24 May 2009

Satu lagi kerja gila?


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat dan ceria selalu.

Hari ini saya ingin bercerita berkenaan satu lagi kerja gila saya.

Saya dan tiga rakan gadis saya memulakan Ahad yang indah ini seawal 9.45 pagi, namun terlewat sehingga 10.15 pagi... disebabkan engkau, penulis!

(Maaf rakan-rakan, saya buntu memikirkan kostum ronggeng yang sesuai memandangkan jeans saya sedang menunggu giliran untuk disidai, dan sehelai lagi entah hilang ke mana. Peringatan: Ingatlah bahawa saya ini seorang perempuan yang tidak begitu banyak masa untuk membeli-belah, makanya semuanya sangat terhad. *Malu....*)

Kami menuju ke Sunway Piramid dengan sebuah kereta berwarna hitam yang dipandu oleh pemilik kereta hitam itu. Nama pemiliknya ialah, oh ya. Kami berempat menuju ke Sunway Piramid dengan imej yang anggun dan menawan.

(Nampak tak? Saya sudah berjaya menukar topik supaya tidak perlu menyatakan nama pemilik kereta tersebut. Itu merupakan antara misteri blog ini. Hahaha! Misteri ke?)

Namun saya dengan jujurnya menyatakan, saya ke sana dengan satu niat yang saya rasa, tidak sama dengan niat utama mereka ke Sunway Piramid. Saya hanya mahu meluangkan masa terluang bersama mereka memandangkan sudah lama tidak bersua muka walaupun hidup berdekatan.


Apa niat mereka yang tidak sama dengan niat saya?

Berkaraoke.

Ini kali kedua saya ke tempat karaoke. Pertama kali dahulu dengan kakak kedua saya, mari saya namakan dia Suzana (ya tentulah bukan nama sebenar.) Saya dan kakak saya itu menuju ke The Mines pada suatu hari. Dia begitu mahu saya berkaraoke bersamanya, namun saya tidak mahu. Saya tidak begitu faham apa hebatnya berkaraoke. Saya berkaraoke di rumah, boleh dikatakan setiap hari. Buka laptop, buka Winamp ataupun Window Media Player, klik pada lagu yang ingin disumbangkan, lantas melalaklah. Percuma, gratis,
free dan Paulina. Okey, Paulina itu bukan istilah percuma dalam apa-apa bahasa. Saya tiba-tiba teringat satu watak dalam cerita luar negara yang bernama Paulina, sangat cantik orangnya. (Seorang yang tidak fokus membuat kerja gamaknya dia ini.)

Fine~ ke topik asal. Mana tinggal tadi? Ya, saya pertama kali ke tempat karaoke bersama kakak kedua saya. Hmm... entah apa gunanya saya berikan dia nama samaran tadi. Baiklah, bermula semula. Ya, pertama kali ke tempat karaoke bersama Suzana. Tempatnya sangat asing dan kecil. Saya sedikit rimas. Itulah yang mereka gelarkan, 'Karaoke Jamban'. Huh, menulisnya sahaja membuatkan saya tersipu-sipu malu. Kasar sungguh istilahnya. Namun itulah hakikatnya. Kecil, seperti bilik termenung itu. Sama kecilnya namun yang ini ada bunyi-bunyi gitar, drum dan kastanet. Malah, ada suara mirip-mirip Siti Nordiana dan Achik Spin.

Waddehel, man! Apa lagu yang mereka nyanyikan itu?! Mengapakah Suzana membawa saya ke kancah ini??? Dia memilih-milih lagu yang ingin disumbangkan. Saya tabahkan diri mendengar sumbangannya, sehinggalah dia memilih lagu kedua yang saya tidak mahu ingat apa tajuk lagunya, namun saya ingat, saya ajak dia balik dengan begitu tekad, dan terus membuka pintu tempat kecil itu, dan menjadi peramah pada adik-adik rempit yang ramai menunggu di luar.

"Adik, nak nyanyi lagu tak? Sambungkan kami punya. Percuma ni, kami dah bayar tadi. Adik nyanyi la lagu apa yang adik nak."

Saya mempelawa dengan sengihan menggoda, ternyata adik-adik rempit itu terkedu. Mereka pandang saya dengan muka 'waddehel, man!' yang saya reaksikan awal-awal tadi. Tetapi selepas dijelaskan kembali, adik-adik rempit itu masuk ke tempat kecil itu dengan sinar wajah yang sangat ceria. Suzana akur dengan ketegasan saya dan dia ketawa terkekek-kekek melihat reaksi saya. Saya terasa hendak pitam kerana lagu-lagu yang disediakan begitu terhad dan hanya dalam kelompok Scoin, Spin, Arrow, Siti Nordiana, Syura dan New Boyz.

Itu kisah kebencian saya pada karaoke.

Bukanlah benci sangat sebenarnya, tetapi tidak berminat kerana sikap segan saya yang tahap melampau. Menyanyi dengan gaya yang agak bersungguh, siap ada mikrofon dan lirik lagu. Namun kali ini, saya akur ke tempat karaoke lagi demi rakan-rakan gadis saya. Meluangkan masa bersama. Saya awal-awal sudah beritahu kepada Melissa (bukan nama sebenar juga), yang saya tidak mahu menyanyi... saya hanya mahu duduk sambil melayan mereka menyanyi.

Tidak diendahkan.

Melissa tanya mahu lagu apa sambil menghulurkan mikrofon.

Saya gelak. Mengharap saya masih tidak perlu berkaraoke.

Melissa sudah menekan-nekan alat kawalan jauh, sedia memilih lagu.

Tanpa saya sedar, saya berkata, "Rossa ada?" (Kau ni betul ke tak minat?)

Maka lagu 'Aku Bukan Untukmu' dendangan Rossa yang disumbangkan oleh saya merupakan lagu karaoke pertama saya. Segan juga sebenarnya walaupun sepatutnya dengan mereka-mereka itu, tidak ada apa yang perlu disegankan. Saya memang tidak minat berkaraoke sebenarnya... sangat tidak berminat. Namun saya gila agaknya, saya nyanyikan juga. Suara saya bergema-gema di dalam bilik itu. Pelik bunyinya. Nada tinggi sangat gagal. Tetapi, ah, redah sajalah. Yang pasti lagu-lagu di sana lebih banyak pilihan, agak
up-to-date walaupun ada rakan yang tetap memilih irama dangdut. Hahahaha u know who u are, ladies!

Akhirnya saya sedar, berkaraoke itu bukan seperti masuk Akademi Fantasia mahupun One In A Million. Tidak perlu menyanyi sedap-sedap dan tiada penguasaan pentas. Ini kawasan boleh
pitching lari. Lontarkan sajalah, itu salah satu cara melepaskan tekanan. Segala stres kerja, masalah rumah tangga, kekacauan jiwa meronta, sedikit sebanyak agak terlupa sebentar dengan lalakan sendiri mahupun rakan-rakan. Saya masih segan sekiranya ada yang mengajak saya berkaraoke, mungkin ini kerja gila saya yang saya tidak begitu mahu ulangi, tidak seperti bowling dan paintball mahupun futsal, buah salak dan warna-warna meriah, namun sekiranya ada rakan-rakan yang mengajak dan saya agak gila ketika itu, tidak mustahil akan ada kali ketiga.



Wassalam.

Hasil Kerja Gila

Hai.... Assalamualaikum semua.

Seperti yang sudah saya nyatakan pada entri 'Benci, lama-lama suka?' yang lalu, target terdekat kerja gila 2009 saya ialah paintball. Dan semalam merupakan tarikh keramat itu. Saya sudahpun bergelar pemain paintball secara rasminya semalam dengan markah kekalahan 0-2 dalam dua pusingan perlawanan ketika bermain dengan team 'Abu Sayyaf' yang dianggotai tiga pemain lelaki dan tiga pemain perempuan. Team saya yang saya benci untuk menyatakan di sini namanya yakni team 'Tamil Eelam' (entah mengapa kami ini Tamil, mereka itu Abu Sayyaf), juga mempunyai tiga pemain lelaki dan tiga pemain perempuan. 12 orang semuanya dan itu satu bilangan pemain yang sangat sedikit apabila beberapa nama tidak memunculkan diri di tempat perlawanan.


Sebelum ke tempat perlawanan, saya begitu runsing untuk memakai baju apa. Saya ini seorang perempuan yang tidak begitu banyak masa untuk membeli-belah, jadinya semua baju saya ialah baju kesayangan dan sangat berharga. Namun saya berjaya juga mengakikahkan beberapa helai kerana saya tahu warna yang bakal 'membunuh' saya kelak mampu dihapuskan dengan basuhan mesin. Baju yang saya akikahkan ialah baju yang saya sering pakai ketika menjadi minah rempit suatu ketika dahulu. Ia sudah lusuh, namun saya masih menyimpannya. Ah, apalah yang kau merepekkan, shaiton.


Sesampainya di tempat perlawanan, kami dibawa meredah kawasan hutan yang membuatkan kami pancit sebelum perlawanan. Sebenarnya tidaklah jauh sangat kawasan hutan itu, cumanya masing-masing jenis manusia pejabat yang hanya bangun dari kerusi untuk ke tandas, surau, kedai makan dan mengacau meja kawan.
Oh ya, dan juga bermesyuarat (ini penting ini untuk diberitahu). Perlawanan antara dua team itu tamat tidak sampai beberapa minit apabila team saya semuanya sudah ditag (tag ialah istilah 'dibunuh' dalam paintball) dan hanya tinggal saya seorang di dalam kubu. Bedebah gila. Saya siap menggigil apabila melihat lawan mara ke kubu yang saya pertahankan, namun takdir saya, saya juga tewas. Pusingan kedua juga begitu, saya orang kedua terakhir yang ditewaskan. Dem betul.

Tetapi saya begitu terkejut apabila pusingan terakhir ialah perlawanan antara team wanita dengan team lelaki. Huh, kami seakan-akan sudah kalah tanpa bertanding, tetapi pantang berundur tanpa usaha bukan? Kami teruskan dengan strategi masing-masing, siapa jaga port mana. Dan saya orang kedua awal yang telah ditewaskan. Jahanam sungguh saya ini dijadikan sasaran kerana saya merupakan antara pemain terakhir tewas pada dua perlawanan awal tadi. Mereka melihat saya sebagai satu ancaman hebat, kerana itu saya perlu ditewaskan awal-awal. Hahahaha! (Ayat itu ayat yang dibuat oleh penulis sendiri untuk mengubati hati yang lara.) Lama mereka bertarung pada pusingan kali ini kerana team wanita masih banyak peluru akibat ketidakberanian menembak pada dua pusingan awal. Dan keputusannya, kami
(TEAM WANITA) menang walaupun bukan saya wirawatinya. Itu sudah mencukupi, kerana saya dahagakan perasaan kemenangan. Hahaha!

Dan ini hasil perlawanan semalam:

  1. Lebam di bahagian peha yang warnanya sangat cantik; biru, ungu dan merah.
  2. Birat kemerahan-merahan di bahagian lengan.
  3. Kepedihan apabila memegang bahu; mungkin cedera juga di situ tanpa warna.
  4. Kelenguhan tangan kerana marker (pistol menembak itu) agak berat bagi saya yang kerdil ini. Oh....
Tetapi buat kawan-kawan yang tidak pernah bermain paintball, janganlah ngeri pula membaca hasil permainan saya itu. Tidaklah sakit sangat sebenarnya. Sakit lagi apabila hati ini dilukai orang tersayang.

20 May 2009

Kenangan Kucar-kacir

Assalamualaikum, hai semua....

Wah! Mula-mula, saya hendak mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada pengunjung-pengunjung blog ini. Daripada hanya seorang Peminat Bukan Rahsia saya, sekarang sudah ada tujuh orang! Terima kasih banyak-banyak atas sokongan padu yang tidak pernah putus-putus diberikan. Juga kepada mereka yang meninggalkan komen, hatta yang sahaja-sahaja lalu di blog ini, terima kasih sekali lagi saya ucapkan.

Fuuuh~ penat tu andai diucapkan depan-depan. Nasib baik ini alam maya... walaupun saya turut lelah ketika menulis kerana menahan nafas disebabkan begitu teruja.
(Dah kenapa kau siap tahan-tahan nafas....)

Sebenarnya kisah yang akan saya kongsi ini, diimbau kembali apabila saya berYM bersama rakan sekelas sekolah menengah saya. Sebenarnya kami pernah sekelas ketika darjah 6, malangnya saya ini lebih hina kewujudannya daripada pintu sekolah. Dia boleh tidak ingat yang saya pernah sekelas dengan dia. Oh... apalah yang saya mampu ucapkan ketika itu selain redha dan "dem u".

Tak adalah... saya ini bersopan orangnya. Saya katakan, "Bedebah la kau ni... aku sekelas dengan kau tau... dulu masa tadika pun penah sekelas... ada gambar lagi... gambar yang aku yakin kau akan mintak aku bakarkan demi kau. Hahahaha!"

Namun itu kisah lain.

Kisah ini ialah kisah sepanjang saya hidup bermastautin di Kajang.

Al-kisahnya, saya ini dilarang sama sekali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur selagi saya masih bersekolah. Malah, pekan Kajang yang entah apa yang hebat sangat itu pun saya tidak diizinkan berjalan-jalan. Sudahlah bersekolah di kawasan kampung, hendak ke bandar pun tidak boleh, makanya saya memang tidak terdedah dengan anasir-anasir luar. Apabila saya bersekolah menengah, saya rasakan peluang untuk saya melakukan onar di Kajang terbuka luas kerana sekolah menengah saya itu sudah separuh jalan ke pekan Kajang. Saya teruja.

Namun... hampa. Ibu bapa saya tetap tidak membenarkan saya menjejakkan kaki ke mana-mana selain sekolah dan rumah. Saya akan terus pulang ke rumah selepas waktu sekolah, mengayuh basikal yang mempunyai pertukaran gear yang anggun, melihat-lihat budak lelaki kacak yang sering berbasikal bersama namun tidak diketahui namanya sehingga kini, dan membuat kerja rumah selepas enak bersantaian. Saya tidak tahu apa itu lepak selepas habis waktu belajar ketika bersekolah dahulu. Memang saya akan terus balik.

Tetapi, saya ini manusia biasa. Yang apabila dikatakan "Jangan!", ya... inilah masanya membenarkan kemenangan syaitan. (Amaran: Jangan benarkan syaitan menang sebenarnya! Buruk padah yang menanti. Jangan!)

Walaupun syaitan itu dikatakan menang, saya tetap tidak melepakkan diri selepas habis waktu sekolah. Saya hanya berani menyetan ketika hari Sabtu. Mengapa Sabtu? Kerana pada hari Sabtu, saya dan rakan-rakan yang aktif memasuki badan beruniform akan mengadakan latihan kawat kaki. Ini memang aktiviti yang paling saya gemari sepanjang bersekolah. Sekiranya tidak berkawat pada setiap hujung minggu, rasa seperti memakan sarapan dengan gigi yang belum bergosok. Rasa... rasa yang tidak indah! Rasa tidak sepatutnya! Rasa tidak lengkap!

Dan petang Sabtulah waktu saya beraksi, saya beronggeng Rokiah. Saya akan menaiki bas ke pekan Kajang, tanpa arah tujuan. Saja. Saja mahu naik bas dan jejak pekan Kajang. Asyik naik basikal dan ke sekolah, bosanlah hidup saya. Saya lakukan ini begitu kerap sehingga saya rasa, bosanlah pekan Kajang itu.

Inilah ketikanya saya berpakat dengan rakan saya itu untuk.... MENJEJAKKAN KAKI KE KUALA LUMPUR SECARA HARAM!!! Hahahahahahahahahahahahahaha!

Kerana dia juga tidak dibenarkan ke Kuala Lumpur pada umur itu. Umur yang baharu sahaja mendapat lesen L motor.

Misi pertama: Pinjam motor sesiapa kerana kami tiada motor, namun kami sudah ada lesen.

Misi kedua: Sudah ada yang berani meminjamkan motornya kepada saya selepas jenuh saya dan rakan saya itu memujuk rayu, menggoda dan menghaluskan suara masing-masing. Misi mengisi minyak dan memikirkan mana nak cekau duit.

Misi ketiga: Mengenakan pakaian minah rempit yang paling sensasi; baju-T, seluar trek... selipar.

Misi keempat: Menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.

Dan misi kami selesai dengan jayanya. Kami telah membina sejarah dan kenangan bersama kerana menjejakkan kaki di KLCC dengan seluar trek dan selipar. Kami kendong
helmet di tangan, seperti membawa beg Louis Vuitton (saya siap kena Google dulu jenama ini sebab tak pernah pakai dan nyata ketika search tadi, ejaannya salah... thanks Google.)

Sangat keji.

Kami sangka kami sudah up-to-date dari segi fesyen, rupanya kami merupakan manusia paling 'hina' kerana pemakaian kami, ditambahkan sengihan anak hutan yang sangat kagum melihat kedai berkaca dan patung-patung angkuh berkaca mata hitam.

Alangkah indahnya sekiranya saya ikut cakap mak saya supaya tidak menjejakkan kaki di Kuala Lumpur ketika zaman sekolah. Sekiranya selepas zaman sekolah dan saya sudah pandai berdandan sedikit, pasti kenangan KL saya lebih manis dan indah.

Dan saya rasa melanggar cakap ibu bapa itu sesuatu yang sangat musibah.

Kerana kami balik dengan tayar motor yang pancit dan kami terpaksa menolak motor yang pancit
itu di tengah-tengah bandar KL yang panas terik dengan duit RM10 di dalam poket.

"Hai, tolak motor ke?" seorang abang posmen menyapa.

Sekiranya iman tiada di dada, sudah lama saya kasi flying-kick di belakang abang posmen itu.

Kami balik dengan keletihan tahap melampau dan bertekad untuk tidak melanggari perintah ibu bapa lagi.

Namun...

Ya, ada namun.

Namun... kami ini berdarah muda yang panas.

Kami tetap mahu ke mana-mana tanpa keizinan.

Tetapi dek kerana pengalaman pahit di Kuala Lumpur, kami tertekad untuk sama-sama ke Kajang dengan menaiki bas kerana... kerana KRU membuat persembahan di Metro Kajang. KRU WEH DI METRO KAJANG! INI UMPAMA DAVID BECKHAM DAN VICTORIA BECKHAM BERSHOPPING DI MYDIN!

Waktu itulah....

Tak kenal siapa KRU? Tonton videoklip di sini.

Kami menunggu-nunggu kedatangan KRU dengan penuh kesabaran dan harapan. Dalam hati saya, saya begitu mengharap dapat menatap wajah Yusri secara langsung! Itulah jejaka idaman saya ketika zaman sekolah.

Dan muncullah mereka! Semuanya ada; Norman, Yusri dan Edry. Trio adik-beradik yang sangat popular itu muncul di Kajang! Pekan Kajang yang sangat ceruk itu mereka terokai! Sangat bergaya.

Rakan saya siap dapat bersalaman dengan Azza Elite. ELITE TU WOI!

Tetapi saya rasa... antara sebab mengapa KRU tidak lagi muncul di pekan Kajang ialah:

"Put your hands in the air!" jerit Norman KRU.

...

....

Kriikk... krikkk... krikkk... (bunyi cengkerik).

Tiada seorang pun warga Kajang yang menghayunkan tangan ke udara seperti yang Norman KRU sarankan. Perbuatan menghayunkan tangan ke udara itu kelihatan amat jelik sekali pada kami.

Sesungguhnya, saya tetap mengklasifikasikan warga Kajang ialah warga kampung. Namun saya bahagia menjadi gadis kampung kerana di sinilah saya membesar. Pahit manis saya di sini. Tawa dan tangisan saya di sini.

Tetapi sekiranya ada yang ajak saya pindah Shah Alam, sayalah yang akan packing barang dulu.


Gambar tadika saya dan rakan bedebah saya yang tidak tahu kami sekelas itu.

17 May 2009

Hari minggu yang... apakah?

Semalam, hari Sabtu yang dirasakan indah itu, berakhir dengan sangat pantas tanpa saya sedari. Apabila saya sedar, sudah separuh Sabtu itu dihabiskan tanpa apa-apa hasil. Saya termenung memikirkan diri yang berkelakuan sejahanam begini.

'Hey, sekiranya hendak membuang masa, baik teruskan membuat kerja-kerja ofis di rumah! Bukan duduk termenung sehingga satu apa pun tidak dibuat,' Shakira (entah mengapa saya hendak namakan dia Shakira... selama ini dia tidak ada nama dan dia tidak ada status... tiba-tiba namanya Shakira dan berstatus rakan imaginasi saya), membebel dalam minda sendiri. Saya akur.

Saya hentikan menungan saya dan saya teruskan melayari Internet hingga ke petang.

Saya sudah ternampak Shakira muncul secara halus dalam minda saya dengan niat untuk membebel. Saya jentik dia dengan pantas dan saya rasa dia sudah arwah ketika itu. Saya senyum puas kerana saya rasa saya sudah bebas daripada bebelan rakan imaginasi. Saya meneruskan sesi membuang masa saya.

Oh, Sabtu paling indah yang pernah saya lalui kerana saya penuhi hari saya dengan melayari Internet, memakan apa jua jenis makanan yang wujud di dapur, menonton TV bersama emak dan kakak yang saya sendiri tidak tahu hujung pangkal cerita itu namun masih setia menonton sehingga habis, memasak Maggi goreng pertama saya dengan begitu hebat tanpa mengingati bahan-bahan yang saya lontarkan ke dalam kuali dan bersenam apabila berasa gusar melihat corak pemakanan saya. Yang paling best, siap boleh tidur petang dengan lamanya kerana kekenyangan dan bangun dengan perut yang mual dan kepala yang pening.

Saat itu saya memandang ke cermin, 'Siapa yang jadikan kau isteri, tentu akan geleng kepala sekiranya dia tahu kau begini jenisnya....' dan tentulah saya akan teruskan dunia solo saya dalam tempoh yang agak lama kerana saya telah mempamerkan sikap saya di blog ini. Walaupun sedar buat masa ini hanya ada satu peminat bukan rahsia saya, saya tetap rasakan saya akan dibuang daripada senarai calon isteri sesiapa. Hahahahahahahahahaha! (gelak ignorant.)

Sedar-sedar lagi, masa sudah menunjukkan pukul 12.01 pagi. Sudah masuk hari Ahad. Saya berhenti melakukan apa-apa. Tetapi tangan pantas menukar status YM agar kelihatan up-to-date.

'Oh... sudah masuk Ahad rupa-rupanya.'

Itu status YM saya ketika 12.03 pagi, hari Ahad.

Saya masih ligat berYM kerana mata saya segar-bugar dek penangan tidur petang yang sangat jarang saya lakukan itu. Syaitan manakah yang membuatkan saya jadi begini... sungguh enteng sikap saya dengan menyalahkan syaitan apabila hidup menjadi tidak bagus.

Dan saya berYM sehingga 4 pagi, berbicara soal hidup dan mati (err... mati?) dan masuk tidur dengan perasaan bercampur-aduk.

Oh, saya diberikan satu lagi hari sebagai penebus sikap bedebah saya pada hari Sabtu. Saya bertekad, Ahad akan diisi dengan pelbagai aktiviti dan produktiviti.

Bermula dengan gagal.

Saya bangun sekitar 10 pagi.

Mandi dan bernyanyi di dalam bilik air dengan kepala yang pening.

Bersiap dengan perancangan, akan melakukan sesuatu hari ini! Mesti!

Berpakaian serba sederhana, mengambil kunci kereta, dan bertemu dengan emak. Ketuk biliknya, dan berkata, "Kite nak gi dentist jap." Salam cium tangannya, dan beredar.

Balik dengan hampa. Semua dentist itu berpakat menutup perniagaan pada hari Ahad. And why on earth didn't I know that?

Menyalin pakaian santai di rumah, melantak nasi lemak masakan emak yang sudah dipesan agar memakannya selepas pulang daripada misi mencari dentist, sedangkan ketika bangun daripada tidur tadi, saya sudah bertekad untuk menyeksa diri dengan tidak memakan apa-apa kerana kegelojohan saya semalam. Namun demi mengelak menjadi anak durhaka, saya melantak juga dengan sucinya.

Dan ilmu pengetahuan saya berkenaan saya yang begitu mendalam, saya yakin saya akan tidur lagi petang ini kerana saya akan mengantuk tahap disuntik dadah apabila kenyang. Dan ternyata saya lulus dengan cemerlang.

Kini, saya menaip di sini selepas membuat editing sebanyak tiga muka surat. Saya kompom membenci diri saya dalam keriangan membuang masa saya. Aduh... hari minggu ini sangat jahanam bagi saya. Jahanam yang saya enjoyi (perosak bahasa: enjoy ditambah imbuhan belakang 'i'). Namun saya sangat bersikap seperti manusia... kita sedar itu salah, namun kita tetap buat. Dan kita begitu akan berasa bersalah, namun tetap melakukannya.

Esok sudah Isnin. Matilah saya....

16 May 2009

Benci, lama-lama suka?

Sebenarnya, ada banyak perkara yang saya tidak pernah buat dalam hidup ini. Ya, antaranya apa yang saya tulis di tepi kiri blog saya ini. Tetapi itu kita boleh abaikan buat seketika. Yang saya hendak bualkan di sini berkenaan perkara yang orang lain buat kerana ia bagus tetapi saya hingga kini masih skeptikal dengannya.

Saya ada banyak pandangan berkenaan sesuatu perkara, dan pandangan itu antara penyebab saya mengelak. Dari aktiviti, makanan hingga benda; semuanya saya ada pandangan sendiri yang ada kalanya orang akan gelak apabila tahu apa sebabnya. Hahaha... saya pun tidak tahu mengapa otak saya begitu aktif membuat pandangan, tetapi itulah saya. Pandangan saya ini jugalah yang menjaga saya sepanjang umur saya ini. Alhamdulillah, saya masih tidak pernah meminum arak, berjudi, menyabung ayam dan sebagainya. Hehehe....

Ini kisah 12 Mei 2009. Tarikh bersejarah bagi saya kerana itu hari dan kali pertama dalam hidup saya, saya bermain boling!!!

Huh~ ini semua kerana pada 14 Mei 2009 yang lalu, syarikat saya membuat pertandingan boling antara kumpulan.... Saya siap berdebar-debar kerana saya tidak suka dan tidak pernah minat belajar boling kerana saya tidak mahu. Namun saya tahu, 14 Mei itu ialah tarikh yang saya tidak mampu elak. Saya sudah berkira-kira, hendak sakit secara sengaja namun betul-betul sakit kerana saya memang tidak berapa sihat. Saya batuk. Hehehe... saya harap saya batuk seperti Khamis minggu sebelumnya, yang menyebabkan saya terpaksa ambil MC.

Namun pada 12 Mei itu, saya kuatkan juga semangat untuk berlatih boling dengan teman-teman sekerja. Ramai yang berlatih sama... itu antara sebab saya sedikit bersemangat meneruskan latihan. Permasalah pertama: Bola nombor berapa. Saya tidak tahu pun bola-bola boling itu ada nombor. Nasib baik ada yang berikan suggestion. Saya guna nombor 9. Permasalah kedua: Saya tidak tahu jari mana hendak diletakkan di lubang yang mana. Juga berterima kasih kepada yang mengajar. Mula membuat balingan.

Balingan pertama, 9 pin jatuh!

Dan saya batuk.

Gembira! Gembira kerana saya yang tidak pernah bermain boling ini berjaya menjatuhkan 9 pin pada balingan sulung dan saya sudah batuk kembali! Dalam hati, 'Ya... come on batuk. U can do it!' dan saya duduk dengan senyuman. Senyuman yang berbaur gembira menjatuhkan 9 pin.

Kemudian tiba lagi giliran saya membuat balingan. Bangun dari kerusi dengan dada yang sedikit sakit. Saya batuk lagi. Senyum.

Jatuh lagi 8 pin. Semua yang ada tepuk tangan. Saya juga tepuk. Namun, hati saya masih fokus pada batuk saya yang menjadi-jadi. 'Ya... teruskan!' Hati saya berbunga riang. Saya duduk dan membuka zip beg. Ambil air masak, dan meneguk sekali dua. Batuk lagi. Saya sudah yakin, kertas MC sudah berada di tangan ketika itu.

Kini, tiba sekali lagi giliran membuat balingan. Saya angkat bola boling yang saya kategorikan sebagai menyusahkan, berjalan ke hadapan dengan perasaan segan tahap melampau, dan membuat balingan tanpa apa-apa teknik.

Entah mengapa, itulah STRIKE saya yang pertama! Hah ha ha!

Saya duduk.

Saya senyum, gelak dan batuk.

Hati riang.

Hati riang tetapi saya berkerut.

Saya suka.

Kerana batuk?

Tidak.

Kerana... saya rasa saya sudah suka boling! (^o^)

Kertas MC imaginasi saya, saya buang jauh-jauh.

Saya yakin saya sudah suka boling ketika itu kerana saya mampu strike pada balingan ketiga pertama saya. Hehehe... agak bongkak, bukan? Suka kerana mampu buat. Sedangkan selama ini saya begitu benci boling. Sangat benci hingga saya hanya duduk di bangku dengan muka menyampah ketika satu keluarga saya bermain boling. Malah, mesin kiraan markah itu rosak, mereka bermain berulang-ulang kali tanpa perlu membayar lebih. Mainlah hingga putus urat, memang tidak perlu bayar. Orang yang jaga tempat boling ketika itu pula entah ke mana. Lepas satu balingan, mesin itu terus-menerus menurutkan pin-pin baru.

Saya tidak suka boling kerana saya rasa, bola itu terlalu berat, saya akan membuat balingan ke longkang dengan begitu jayanya, dan orang lain akan memerhatikan saya dari belakang. Saya tidak suka semua itu. Saya kurang selesa apabila menjadi fokus orang. Sedangkan, apabila tiba pertandingan pada 14 Mei itu, saya sendiri kurang ada masa memerhatikan balingan orang lain! Hahaha! Dan itu jugalah agaknya pada orang lain. Mereka tidak ada masa melihat saya. Huh... 24 tahun yang saya bazirkan dengan pandangan pelik. Hehehe... kini saya agak suka boling. Saya tentu akan join sekiranya ada yang ajak. Dan tidak mustahil, saya yang akan ajak orang main boling dengan saya. Saya belanja semuanya pun tak mengapa. Hehehe....

Walaupun ketika pertandingan, kumpulan sensasi saya tidak menang, saya masih gembira. Kerana kami semua main dengan riang. Gelak-gelak, ketawa-ketawa, menjulang nama kumpulan masing-masing. Persaingan sihat, bak kata... er... bak kata pujangga kot.



Akan datang, saya mungkin akan membuat pelbagai lagi perkara yang saya tidak suka. Saya akan hadapinya juga kelak. Target terdekat akan datang: Paintball. Huh.

Jumpa lagi!

13 May 2009

Salam perkenalan!

Hai, salam perkenalan. Saya seorang yang serius, kerana itulah nama blog saya begini. Dahulu, saya seorang yang kurang serius, namun kerana peningkatan umur dan minda, saya menjadi sangat serius. Sangat serius, tahu? Jadinya silalah fikir empat kali apabila anda mahu terus melawati blog ini.

Apa-apa pun, terima kasih saya dahulukan kepada sesiapa yang membaca entri pertama blog saya ini yang saya kira sebagai titik tolak kedutan di wajah saya kelak. Saya akan berkerut setiap kali menaip, dan meminum air kopi.


Okey, itu sahaja buat masa ini. Jumpa lagi!

(Apesal tulis ayat macam nak kena lempang ni?)

Err... hai, eh mengapa belum keluar dari blog ini lagi? Silalah keluar melawat blog lain, sementara blog ini sedang dikemas kini dan tiada entri baru. Selamat maju jaya!

Huh... nasib baik
tidak sempat memperlihatkan sikap sebenar....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...