Showing posts with label Bebel Raya. Show all posts
Showing posts with label Bebel Raya. Show all posts

25 September 2012

♥ Ceritera Raya 2012 ♥

Assalamu'alaikum.


Mak oooooi... nak dekat Raya Haji baru nak buat entri Raya Aidilfitri ke, kak? Haha! Maaflah... baru dapat transfer segala gambar yang berkenaan demi menyerikan lagi entri ini. Lagipun bukan ada yang kisah blog ini berupdate ataupun tidak, kan. Muahaha! Ya, ya, sedar diri. 

Baiklah. Seperti yang tertulis pada entri ini, kami bertiga dilanda demam, selesema, dan batuk kategori teruk jugalah. Maka raya pertama hingga raya ketiga, tidak mampu ke mana-mana. Hati berasa sedih bagai ditusuk sembilu, memandangkan tahun ini pertama kali raya bertiga, dan pertama kali beraya di Kajang sejak berkahwin. Langsung tidak sempat beraya bersama keluarga. Gambar hari raya pertama secara beramai-ramai pun nan hadolah jawabnya. Apakan daya.... :')

Walaupun kami berdua tidak larat, tetapi Afia yang kurang sihat itu tetap bercantik-cantik di dalam bilik. Haha! Nasiblah jadi baby kan... 

Ada gaya penari Hawaii tak hiasan kepala Afia? :))
(Ibu sangatlah tidak larat, maka tiada gambar ibu pada pagi raya. :')

Demi menghiburkan lagi hati yang berduka-lara-lah-sangat, sekali lagi Afia dijadikan babydoll oleh ibu dan abah. Haha! Kami pakaikan Afia tudung! xD

Terus rasa nak gigit pipi gemuk itu!!!

Hijab + Short sleeves = It is okay if you are a baby.
But if you are not, PAKAI LENGAN PANJANG! >.<

Dan begitu sahajalah tiga raya pertama. Duduk rumah, buat kerja, makan ubat, tidur, makan kuih raya, gomol Afia, makan juadah raya, buat kerja lagi. Agak cuak sebab raya keempat mahu balik JB. Memasing doa supaya lekas sembuh. 

Alhamdulillah, Encik Suami kebah esoknya. Saya masih selesema dan batuk. Nasib baik dia yang memandu. Saya memang macam inilah. Susah mahu sakit, tetapi bila sakit, berminggu baru baik. Tidak mengapalah. Sakit kan penghapus dosa. Yeah. :')

Afia tak sabar nak jumpa nenek!

Alhamdulillah. Sudah sampai! 

Kami sampai di JB jam 5 petang, tetapi singgah Jusco Taman U dulu. Beli diapers! (Lepas itu terjumpa Afiq yang baru balik tengok wayang bersama rakan-rakannya. Bermakna, pertama kali Afiq jumpa Afia adalah di JJ! Haha! Pun boleeeh.)

Afia dan Uncle Adik sebelum Uncle Adik balik UiTM Perak.

Hari Jumaat (raya keenam), beraya ke rumah nenek Encik Suami. Nenek masih sihat dan kuat. Moga terus sihat, amin. Tetapi tidak sempat beraya lama-lama sebab Encik Suami mahu pergi solat Jumaat, dan kami perlu ke JJ (lagi), beli barang (lagi). 

Sehari sebelum balik ke Kajang (raya kelapan), mak bawa kami shopping (lagi dan lagi!), sambil beraya ke rumah para mak cik (Cik Ana & Cik Ha). Mak mentua sibuk bekerja, tetapi sempat juga ajak kami beli barang-barang Afia. Terima kasih mak selalu belanja kami dan bawa jalan-jalan. (^_^) 



Di PizzaHut ... okey sudah lupa apa nama JJ itu. Makan tengah hari bersama mak dan Alip. Itu, nampak tak di sebelah mak mentua itu? Haha! Mana-mana pun Afia tidur sahajalah kerjanya. Penat agaknya kena angkut hari-hari, kehkeh. 

Ya, dia tidur lagi sambil kunyah tangan ibu,
waktu tunggu nenek beratur bayar barang di Parkson.

♥ Hari Isnin 26 Ogos, kami pun bertolak balik ke Kajang. ♥

2 September pula (hari Sabtu), kami sambung beraya di Negeri Sembilan; rumah Cikpuan Azzah, dan rumah Cikpuan Izanor. Patutnya selepas itu mahu terus ke Janda Baik, beraya di rumah Puan Ainon dan Ayahanda Prof., tetapi melihatkan Afia yang kepenatan, kami tidak sampai hati. Huuu... harap ada rezeki ke Janda Baik yang permai itu, insya-Allah.

Di rumah Cikpuan Azzah yang memakai shawl oren (gambar bawah).
Tengok itu. Tengok. Tidur lagi. Meragam pun sebab nak tidur.

Kami di rumah Cikpuan Izanor (yang memakai shawl ungu itu).
Seronok dapat kumpul ramai-ramai macam ini. ^_^
Kredit gambar: Cikpuan Azzah

Esoknya sambung lagi! Ha... ini kaedah membalas dendam kerana kurang pergi beraya namanya. Haha kemain. Mula di rumah Cikpuan Fatimah Rodhiah (di Saujana Impian juga - kira jiranlah, hehe), disusuli rumah Cikpuan Waida di Bangi.

Antara juadah di rumah Cikpuan Fatimah yang OhLaLaLaLazat!!!

Bergambar di rumah Cikpuan Waida (yang berdiri di sebelah saya itu).
Di atas meja itu adalah trifle Waida yang sedap!!! :D
Kredit gambar: Cikpuan Azzah

Alhamdulillah, kiranya raya tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya. Memang syukur amat. Sakit-sakit pun, hati terubat melihat gelagat Afia. Penat macam mana pun, tetap seronok dapat jumpa sahabat-sahabat dan saudara-mara. Terima kasih, Allah. Sesungguhnya Kau mendengar doaku. :)

Plus, tidaklah ralat sangat apabila tidak dapat beraya ke rumah sahabat yang lain, sebab minggu ketiga Syawal, kami buat rumah terbuka dan majlis aqiqah Afia bersama kembar yang tembam itu. Terima kasih kepada semua yang sudi datang!


Oh ini perlu tunggu entri seterusnya. Penat menghadap laptop. Hihi.

Jumpa lagi!


P/S: Tahun ini merasa dapat duit raya lagi, tetapi untuk Afia, haha! Terima kasih semua yang sudi berikan duit raya kepada Afia. Yang datang beraya, rakan-rakan di PTS waktu kami singgah ke sana hari itu, juga sanak-saudara. Terima kasih! Terima kasih! Afia kayoooooooooo! :))

18 August 2012

✿ Salam Syawal! ✿


Assalamu'alaikum.

Walaupun bermacam dugaan datang menyapa sepanjang Ramadan ini, saya tetap rasa bulan mulia ini datang dan pergi dengan pantas. Pertama kali berpuasa sebagai ibu, dengan anak yang baru masuk tiga bulan minggu lalu. Oh, agak mencabar. Memang agak mencabar. Tidur masih tidak cukup, rutin tunggang-langgang, dan sekarang kesihatan pula diuji. Semalam seharian tidak larat bangun. Suhu 37.7 darjah Celsius, hingus keluar bertalu-talu, diiringi sakit kepala dan sedikit mual. Tanda awal dua hari sebelumnya adalah sakit tekak, dan hidung berdarah tak pernah-pernah. 

Huuu....


NAMUN!


Semalam berjaya siapkan 112 biji kuih raya Cornflakes! Muahaha!
v(^_____________________^)v


Sebenarnya mahu buat Cornflakes coklat, tetapi entah kenapa Cikpuan Tangan saya ini, pergi ambil dan bayar dengan penuh konpiden, coklat berperisa strawberi. :') Maka merah jambulah kuih Cornflakes saya ini. Ah peduli apa kan, asalkan rasanya sudah ada. Pertama kali buat, beb! Sambil demam + selesema, sempat juga siapkan sendirian di dapur nan hening. Kira okeylah khennn. Terima kasih laptop atas bantuan memaparkan resipi dari blog kakak itu. (Namun usah bimbang, kebersihan amat dititikberatkan sepanjang proses pembikinan.)

Saya tidak tahu pula kuih Cornflakes ini tidak perlu dibakar. Haha! Senang rupa-rupanya. Tapi kena buat lagi dengan coklat berwarna coklat sebenar, demi kenikmatan mata. Memang agak sakit mataku melihat warna merah jambu yang menyerlah itewww.

Kiranya tahun ini saya menyumbang dua jenis kuih raya untuk rumah ini, sebab Rabu lepas kuih raya yang saya tempah dari Tuan Mu'az Azmi sudah selamat tiba. Terima kasih Tuan Mu'az! Siap hantar ke rumah, yalls! Oh, agak berlagak ayat dua jenis itu, padahal dua jenis sahaja pun! T_T Sangat saat-saat akhir membeli kuih raya. Dapat buat sendiri sejenis, dan beli sejenis, orang di rumah ini wajar berasa syukur.



Siapa mahu tempah choc chip selepas raya, PM beliau ya. :D



Seperti biasa, selain sibuk bab kuih raya, mestilah ada hidangnya raya kan. Emak sudah siapkan rendang daging, ayam kampung masak gulai, nasi himpit, and more to come! Hee... Cikpuan Badan, sila berpada-pada kerana perjuangan mengurangkan berat mengandung dulu pun belum selesai! Sila jangan tambahkan lagi. *Perut angguk laju.*


Pada kesempatan ini, mahu kongsi doa yang berguna untuk kita semua. Bukan, bukan doa makan. Ia adalah...

DOA AKHIR RAMADAN

Ya Allah,
Ramadan akan berakhir dan akan meninggalkan kami, oleh itu berilah masa kepada kami bagi terus beramal seperti pada bulan Ramadan. Kami bersyukur kerana diberi hidayah dan petunjuk bagi mentaati-Mu dengan ikhlas hati kami, dan beribadat kepada-Mu demi mengharapkan keampunan dan keredaan-Mu.

Ya Allah,
kami mohon kepada-Mu semoga dipanjangkan umur kami bagi bertemu bulan Ramadan pada tahun hadapan, supaya dapat kami mengabdikan diri kami kepada-Mu.


Ya Allah,
sekiranya kami tidak sempat bertemu bulan Ramadan lagi, maka Engkau ampunkan dosa kami dan masukkan kami ke dalam syurga-Mu.

Ya Allah,
kami berharap dengan berakhirnya bulan Ramadan yg mulia ini, segala amalan kami Engkau terima dan segala doa kami Engkau makbulkan, amin....
dengan sedikit pengubahsuaian daripada saya.)

Taqabbalallahu minna wa minkum.

♥

Disebabkan tiada masa mahu buat kad raya digital secara bersungguh,
maka terima sahajalah apa yang ada ini. 


Salam Aidil Fitri, maaf zahir dan batin, 
kepada semua yang sudi membaca blog ini.


Daripada kami bertiga: Nazry Salam, Husna Adnan, dan Afia Zara mok.

Insya-Allah tahun ini kami bertiga raya di Kajang dahulu, 
sebelum bertolak ke Johor Bahru.

♥ Semoga perjalanan kita semua dilindungi Allah dan para malaikat-Nya, amin.... ♥ 




Jumpa lagi!

09 September 2010

Aidilfitri Sudah Mari!

Saya sudah selesai mengemas bilik.

Aktiviti ini bermula jam lima petang semalam.

Alihkan perabot, vakum bilik, buang benda-benda tidak berfaedah, susun buku.

Tidur selepas subuh (sangat gigih, sampai sanggup berjaga malam),
bangun jam sepuluh pagi, sambung mengemas.

Kemas almari, asingkan baju-baju, paku dinding, pasang langsir baru,
tukar cadar, lap tingkap.

Dan akhirnya, segala aktiviti berakhir jam tujuh petang tadi.

Ya, baru tadi siap kemas segala-galanya.

Kau bayangkan, Nab. Berapa lama akak bersihkan bilik akak?

Sangat lama, bukan? T___________________T
  • Barang-barang yang dibuang = 3 plastik besar
  • Pakaian yang disingkirkan = 4 plastik besar
  • Jumlah habuk terkumpul = mungkin boleh membentuk sebuah pulau
  • Namun tiada fosil cicak mahupun kepak lipas yang dijumpai. Syabas!
Sekarang sudahpun masuk 1 Syawal.

Sangat cepat.

Alhamdulillah, sempat juga mengemaskan bilik, walaupun proses mengemas macam kemas dua buah rumah banglo.

Jadi, sekarang sudah kebuntuan.

Entah mahu kemas apa lagi.

Lalu mengemas kini blog pula kerana masih belum mengucapkan
selamat hari raya.

Maka....

Salam Aidilfitri daripada saya 
kepada semua rakan yang membaca blog ini.


Saya tidak pulang ke kampung, maka beraya di sini sahaja.

Semoga kawan-kawan yang pulang ke kampung selamat sampai ke pangkuan keluarga masing-masing.

Kawan-kawan yang sudah selamat sampai, semoga gembira meraikan hari raya bersama keluarga, sanak-saudara, dan mereka yang tersayang.

Kepada yang beraya, terutama rakan-rakan di Kajang, sila jangan beraya di kampung lama sangat. Mari pergi beraya bersama-sama.

Kepada mereka yang senasib dengan saya, mari buat FB page "Kami tetap gembira walaupun tidak pulang ke kampung." Ironinya, saya tidak mahu like.

Okey, jumpa nanti.

Jaga diri baik-baik.

♥ Sayang semua. ♥

Wassalam.

*Hari ini mood kurang gembira, entah kenapa. Harap esok sudah okey... *

24 August 2010

Tajuk: Juadah Berbuka Saya

Assalamualaikum, kawan-kawan! =D

Hari ini sudah hari ke-14 kita berpuasa.

Sepanjang tempoh itu, saya pernah sekali berbuka dengan mi goreng, sekali dengan nasi kerabu, sekali dengan nasi tomato...

... dan sangat banyak kali dengan nasi beriyani bersama ayam masak merah.

T_________T Sudah seperti ketagihan pula.... 

Macam mana mahu kurus?! Orang lain semasa bulan puasa ini, ada yang kehilangan berat badan sebanyak 4 kilogram!

Saya?

Okey, itu bukan isunya. Isunya di sini adalah....

Buat pertama kalinya dalam bulan Ramadan, saya tidak pernah berbuka dengan nasi ayam yang dijual di bazar... keh keh keh.

Ini kerana...

(^_^)


(^_^)/


\(^_^)


\(^_^)/


\(^o^)/


Saya dengan bantuan emak memasak nasi ayam sendiri di rumah!!! Hahahahahahahaha!



Syabas, Inspektor Sahab!

Sebagai nasi ayam pertama saya, saya berikan diri sendiri 3/5 kerana nasi ayam ini boleh dimakan, dan ditambah dua kali oleh adik bongsu. Miahahaha!

*Sebagai gadis yang terlalu sibuk dengan kerjaya, dan baru kini punya sedikit masa bagi belajar memasak hidangan yang lebih sukar daripada nasi goreng, keterujaan sebegini dapatlah hendaknya tuan hamba maafkan sahaja....*

Mari saya kongsikan resepi membuat nasi ayam ala emak saya.

Mula-mula, sediakan bahan-bahan bagi memasak nasi ayam, sup, ayam madu/BBQ (ikut selera masing-masing) dan juga sos kicap serta sos cili (sekiranya habis malas sibuk, tidak perlu buat pun tidak mengapa).

Bagi memasak nasi ayam,

.....


.....................





T________________________T


Sudah seperti blog mak cik yang sangat gigih berkongsi resepi turun-temurun.

Ini tidak boleh dibiarkan.

Blog ini akan hilang arah tujuan sekali lagi!!! Warrrrrrgggghhhhhhh!!!

Baik, baik.

Mari berbincang berkenaan langsir raya.

....

....... T,T


Jumpa lagilah.

........................... *sob*



P/S: Apa menu kegemaran kawan-kawan semasa berbuka? Sesiapa yang jawab nasi beriyani juga, kita adalah geng. Mari berjabat tangan, namun kepada yang perempuan sahaja. Kepada geng lelaki, mari tunjukkan kesefahaman dengan menyanyikan lagu Justin Bieber.

12 August 2010

♥ Salam Ramadan! ♥

Salam penuh kasih sayang dan rendah diri malah berserta hati yang ikhlas, 
untuk semua pembaca blog ini. ^____________^

Sudah 3 Ramadan 1431H.

Masih belum bertegur sapa dengan rakan-rakan di sini.

Mari lakukannya.

* * * 

Selamat berpuasa dan beribadah 
sepanjang bulan Ramadan ini ya!  :love:

♥

Isi Ramadan ini dengan pelbagai ibadah yang mampu dilakukan.

Membaca sesuatu yang baik juga dikira ibadah.

Jadi, mari membeli buku-buku PTS dan buku berfaedah yang lain, 
sejajar dengan kempen

Baca@Ramadan



Ralat: Harga Remaja@ptsone 2010 adalah RM 16.00.
Terima kasih Kyrel kerana perasan akan hal ini. (^_^)

* * *

Jumpa lagi!

(^_^)v

24 April 2010

Masih Hidup

Assalamualaikum kawan-kawan! Hai!

Sekarang saya sedang berhempas-pulas menyiapkan buku sempena bulan puasa dan raya. Ramai hairan mengapa sudah dibuat sekarang, padahal bulan Ramadan lama lagi. Puasa ganti juga ada yang belum dilunaskan. Oh~

Namun buku-buku ini perlu berada di pasaran sebelum tibanya bulan mulia itu atas faktor-faktor pemasaran dan kecenderungan pembeli. Pembeli lebih gemar mencari buku-buku seperti ini sebelum bulan itu tiba. Mungkin sebagai persiapan dan pendidikan jiwa supaya bersedia menghadapi bulan puasa? Mungkinkah?

Jadi apa motif saya tulis entri kali ini?

Ha ha ha. Tiada. T_____________T

Hanya bagi memberitahu saya masih hidup dan menendang (still alive and kicking) walaupun hidup kian mencabar sekarang. Sangat mencabar. Tabahlah, Husna. Tabahlah, awak.

Alang-alang sudah intro bercerita berkenaan tugasan terkini saya, marilah saya teruskan dengan berkongsi serba sedikit pengalaman menyunting buku berkenaan puasa dan raya sebelum musimnya.

Semasa jalan cerita pada bulan Ramadan:

1) Akan berasa waswas untuk makan dan minum

Ya... setiap kali menyunting manuskrip yang berkisarkan bulan puasa, permainan psikologi ini akan menyebabkan saya teragak-agak untuk makan dan minum. Watak di dalam cerita itu ditegah itu dan ini, hingga diri sendiri sudah terpengaruh. Apabila orang berpusu-pusu meninggalkan meja masing-masing demi memenuhi meja di kedai makan, ada sedikit perasan hairan (kerana masih ditipu oleh diri sendiri). Maka ini akan menyebabkan diri sendiri mendapat berat badan ideal dan ada kemungkinan seramping Nasha Aziz. Perlu ke?


Ini gambar lapar atau kenyang? Kompius mak.

2) Mendapat keazaman melebihi had untuk bertarawih setiap malam

Agak kudus di situ, namun ini satu kebenaran. Membaca keseronokan bertarawih dalam cerita tersebut, akan menyebabkan perasaan melonjak girang yang tiada tandingannya hingga sudah fikir mahu membeli telekung baharu demi memberikan motivasi ke surau atau masjid terdekat. Kadang-kadang akan insaf sendiri kerana semasa bulan Ramadan yang lalu, tidak begitu menggunakan peluang beribadah yang anda semaksimum mungkin. Nasib baik tidak edit sambil mengalirkan
air mata. Itu sudah sangat syahdu. Mungkin rakan di sebelah akan mohon pindah meja. Maka selepas itu memang akan mengalirkan air mata kerana kesunyian. T_______T


Tip khusyuk mendirikan solat di surau atau masjid. Tidak perlu memikirkan selipar hilang dibawa perompak. Namun jika mangga begini sahaja, perompak akan bawa lari dengan mangga-mangga sekali dan ini menyebabkan dia mendapat
dua harta rampasan.

3) Mengalami keinginan tahap melampau ke kedai yang menjual kuih-muih dan kerepek

Tiba-tiba menjadi penggila bahulu dan juga berkenan pada kuih batang buruk adalah tidak normal bagi saya terhadap diri sendiri. Persiapan raya seperti membakar kuih, mengadun bahan-bahan dan memasukkan kuih-muih ke dalam balang mampu menaikkan jualan mak cik balang sebanyak 50% semasa bukan musim perayaan, yang disumbang oleh purse anggun saya. Mungkin akan mengalami ketagihan membeli namun makannya tidak.


Apakah itu yang di sebelah kanan dan berwarna-warni itu?
Mengapa hidangkan magnet peti ais bersama kuih-muih?


Semasa jalan cerita pada bulan Syawal:

1) Rasa rindu kepada kampung halaman mula menerjah sanubari

Ini adalah kesayuan tahap mengada. Padahal sekarang di kampung halaman sudah tidak begitu menarik berbanding tahun-tahun terdahulu iaitu semasa saudara-mara rapat masih ada, semasa nenek masih ada. Kini yang tinggal hanyalah anak-anak muda yang kurang nilai bergaul sesama saudara seperti diri sendiri. Oh~ duit raya juga sudah tidak layak dimiliki... (Y_Y)

2) Selain merindui kampung, akan merindui teman-teman sekolah yang sudah hilang khabar

Waktu ini akan fikir, di manalah rakan-rakan tadika, rakan-rakan sekolah rendah dan menengah? Hidup lagikah mereka? Kalau tahu di mana mereka, pasti akan ajak datang beraya. Berjumpa dengan mereka tidak mustahil semasa zaman Facebook ini. Insya-Allah, pasti dapat jejak satu hari nanti.

Namun ada dua masalah. Masalah pertama, sendiri sudah lupa apa nama mereka. (^^',) Masalah kedua, jika jumpa pun, kebanyakan rakan sekolah sudah tidak cam saya. Inilah akibatnya apabila terlalu cun berbanding zaman hingusan.

Ya? Tandas di sebelah sana. Mahu muntah ya? Saya ikut, boleh? Saya juga rasa mual dengan kenyataan itu.
T________T

3)
Selain merindui kampung dan teman-teman sekolah yang sudah hilang khabar, akan merindui teman-teman yang masih bertanya khabar

Ini kes mahu berkonvoi dan berkumpul di satu rumah beramai-ramai hingga riuh-rendah. Setiap tahun saya pasti mahu ikut berkonvoi. Dulu, zaman sekolah, hanya berjalan kaki, naik basikal dan jika yang sedikit moden, naik motosikal. Kemudian selepas habis SPM, seorang rakan kami bawa Pajero. Rasanya sudah sumbat lebih kurang 10 orang dalam satu kenderaan, hingga ada yang duduk bertinggung di bonet dan tempat meletakkan kaki. Hahahaha! Naif sungguh waktu ini. Zaman muda yang tiada masalah... oh~ rindu gila!

4) Rindu ahli keluarga yang sudah tiada

- Tiada penjelasan -

5) Mengalami perasaan mahu makan itu dan ini seperti nasi himpit bersama ayam masak merah, gulai ayam, rendang daging, dan yang sama waktu dengannya.


Kak Diana memang pandai buat saya kian terseksa apabila melihat gambar ini.
Kak Diana hebat!


Hadoi... kucar-kacir betullah perasaan menyunting manuskrip tema puasa dan raya ini.

Adakah editor lain turut merasa apa yang kurasa? Atau saya memang jenis mudah terpengaruh? Ya... ada sedikit... kerana sudah terpengaruh membeli pelembap muka jenama lain suatu ketika dahulu.

Semoga semua buku puasa dan raya ini siap pada waktu yang ditetapkan, amin....

Fuh~ siap satu entri yang mahu mengheret kalian supaya sama-sama terseksa bersama saya. Harap terseksalah sedikit. Jika tidak pun, tolonglah buat-buat terseksa. Saya amat hargai lakonan kalian.

Hingga berjumpa lagi!!! SELAMAT MENUNGGU HARI RAYA!!!

*Disclaimer: Semua gambar diambil dari link asal, dan tiada niat mahu memperoleh keuntungan daripada gambar-gambar tersebut. Alasan lain, letak gambar dari link asal lebih pantas berbanding upload. Kelajuan tahap siput agak mencabar kesabaran.

27 November 2009

Oleh kerana tiada bunga api....

Hahahahahahahahahahahahahahahahaha!

Rasa tidak patut menyambut Aidiladha sebegini, tetapi saya sangat bosan!!!

Mula-mula rancang mahu ke bank sahaja. Kemudian apabila urusan selesai, saya terfikir... balik ke rumah pun tidak akan berbuat apa-apa yang menarik, lalu kepala saya melahirkan idea gila ini dan buat pertama kalinya...

saya menonton wayang seorang diri! Hahahaha! *Best juga!*

Jejaka penjual tiket tadi pun terkejut apabila saya kata satu tiket. Reaksi yang saya sudah jangka, tetapi dialognya tidak.

"Ini semua, yang sudah orang beli ini (sambil tunjuk skrin), majoriti perempuan. Hei, hensem sangat ke Edward Cullen tu? I rasa I lagi hensem," ujar jejaka penjual tiket sambil ketawa.

"What? Oh please!" *Rolling eyeballs* Reaksi gadis penjual tiket di sebelahnya, kemudian juga ketawa.

Saya ketawa sama, tetapi alasan saya menonton Twilight bukan kerana Edward hensem.

At least, bukan itu faktor utama, selain saya memang kebosanan.

Pertama, kerana saya pernah menonton Twilight yang pertama. Jadinya memanglah sangat mahu tengok yang kedua.

Kedua, memang mahu tengok Edward itu. Tetapi bukan hanya kerana dia hensem, tetapi perwatakan Edward itu sendiri. Seperti komen seorang pendengar Hitz.fm,

"It's not about how Edward looks like; it's about how he looks at Bella. His stare can melt your heart. I think every guys must watch Twilight because Edward knows how to treat Bella."
Walaupun saya tahu ramai lelaki benci watak Edward. Hahaha!

Overall,
yang kedua ini okey. Cuma kurang scene Edward. Jacob... emm... bolehlah... walaupun saya tidak minat dia. Hehe. Ending yang bikin suspen supaya tunggu yang ketiga. Bijak, pengarah! Bijak! *huh*

Saya tidak pandai beri bintang, saya cuma dapat beri ini: ♥ ♥ ♥ ♥ ♥

"You're my only reason to stay alive, if that's what I am."

Wawawawa mari mimpikan Edward ini malam. Hehehe.

Selamat malam, kawan-kawan! Enjoy your holiday! (^_^)

26 November 2009

Siapa ada bunga api lebih?


Nabi bersabda: “Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah dari Bani Adam ketika Hari Raya Idul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu, dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya.” (HR Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Hakim)


Saya tidak ada mood untuk buat design. Jadinya saya keluar rumah, dan tangkap gambar. Lihat! Ada bulan kecil! Khas buat kawan-kawan yang saya sayangi.

Ampun maaf atas segala salah silap saya.

Selamat berhari raya dan jaga diri baik-baik.

Assalamualaikum! (^_^)


P/S: Emak sudah di kampung. Saya pula di Kajang. Ngeh ngeh ngeh.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...