27 June 2009

Kehilangan


Pagi tadi, berlakunya perang antara dua ekor kucing saya, Toki dan Putih. Masing-masing dahagakan kasih sayang kerana tuan-tuannya sibuk mengejar kemewahan duniawi sepanjang weekdays, lalu berebut-rebut muncul di atas katil saya. Tetapi Toki (hitam putih itu) lebih dahulu menakluki wilayah katil-bercadar-biri-biri saya. Waktu saya turun ke dapur untuk membuat air Nestume (wah time weekend reti pulak bersarapan) dan naik semula ke bilik, Putih ikut sama. Dulu Putih ini pernah lumpuh selama lebih seminggu, dan kucing yang paling kurus. Kini dia sudah boleh berjalan dan menggemuk. Dia juga sudah garang kerana asyik dibuli. Ketabahan Putih tidak pula membuatkan dirinya dikagumi oleh kucing-kucing lain.

Pagi tadi juga, saya diberitahu bahawa seekor kucing kami sudah hilang. Namanya Belang a.k.a Elang a.k.a Panjang dan banyak lagi nama sampingan. Saya panggil dia Belang. Belang seekor kucing yang paling kurus dan bising. Memang sakit telinga mendengar nyiauan beliau sekiranya kemahuannya tidak kita tepati contohnya apabila dia mahu masuk ke dalam bilik sedangkan saya dengan gigih menutup pintu siap kunci supaya dia tidak dapat masuk. Macamlah dia boleh buka pintu yang bertutup walaupun tidak berkunci.

Sekarang dia sudah tiada. Dia tidak pulang untuk makan sarapan bersama. Dia nyata sudah hilang. Mak kata, semalam sekitar jam 10 malam, ada terdengar bunyi kucing yang seakan-akan disentap dengan kuat. Mak dan adik saya keluar rumah dan melihat-lihat apa yang berlaku. Mak cik jiran sebelah juga keluar. Sungguh prihatin. Manakan tidak, bunyinya sungguh kuat. Tetapi peliknya, tiada apa-apa yang pelik. Sungguh pelik. Yang ada hanyalah beberapa ekor kucing saya yang merenung ke luar pagar dengan mata yang buntang dan mulut ternganga sedikit. Pasti ada sesuatu yang mengejutkan mereka!

Mak kata, "Mak tanya, apa yang berlaku. Tapi tak ada satu pun yang jawab."

Mak saya tanya pada saksi-saksi di tempat kejadian: Abang, Ompok, Bubu, Gegirl dan Putih. Saksi yang dicipta Allah dengan kemampuan mengeluarkan bunyi, bukan perkataan.

Mak, kita sama-sama perlu bercuti.

Menurut dakwaan melulu adik saya, Belang mungkin sudah disambar helang.

Helang.

Saya memandang emak saya dengan seribu kerutan di dahi. Helang. Helang di Kajang.

"Ada helang ke kat sini?" Saya bertanya.

"Dia la yang kata, selalu nampak ada burung besar bertenggek atas pokok tu. Mungkin Belang dah kena sambar."

Oh burung besar. Saya mahu kekalkan statusnya begitu. Helang kelihatan suatu mitos sekiranya ia wujud di Kajang. Tidak, saya tidak mahu percaya. Helang hanya di Langkawi.

Mungkin kami semua memang memerlukan cuti kerana sudah dipenuhi ilusi luar logika. Mungkin juga helang memang ada di Kajang, namun saya tidak rela mempercayainya. Saya tetap mahu helang hanya di Langkawi.

Langkawi.

Janji yang dibina secara palsu bagi mengaburi mata saya yang sedih kerana menganggur terlalu lama setahun yang lepas. Janji tinggal janji. Ini yang rasa nak nyanyi lagu KRU ni. Kang nyanyi kang. Palsu semua itu.

"Awak kahwin la. Best. Nanti suami awak boleh teman awak jalan-jalan," ujar rakan sekerja saya yang sangat bahagia dan mempunyai anak yang sangat comel bernama Umar Afif.

"Baiklah." (Y-Y)

Belang, sekiranya awak memang sudah disambar burung besar dan tidak akan kembali, saya ingin meminta maaf atas semua kesalahan saya. Makan minum awak, kami di sini halalkan kerana awak ialah tanggungan kami. Semoga awak pergi tanpa perlu disakiti dengan hebat.

Bedebah punya burung besar.

24 June 2009

Tulisan Secara Pukal

Akan ada masa, apabila kita mahu mengemas kini blog, kita tiada apa yang menarik mahu dikongsi bersama ataupun ada yang mahu dikongsi bersama tetapi perkara itu tidak menarik. Ini yang berlaku pada saya, bermula sekarang.

Jam 2.10 pagi. Masih menghadap laptop dengan tiga window pada taskbar saya. Pertama, manuskrip yang perlu saya edit, kedua Mozilla Firefox dan terakhir, Windows Media Player yang dok ulang lagu yang sama. Daripada tiga window itu, hanya dua yang aktif diklik. Mozilla Firefox yang ada dua tab iaitu Facebook dan Blogspot, dan Windows Media Player. Window manuskrip yang perlu diedit hanya saya klik apabila perasaan bertanggungjawab yang tinggi mula muncul.

Masa tidur saya sudah mula kucar-kacir.

Saya bangun tidur seawal biasa, tengah hari sudah pandai tidur di meja pejabat disaksikan rakan sekerja yang lalu lalang, pulang seawal yang mungkin, makan malam dengan banyaknya, naik ke bilik, berhuhahuha dengan Wafa Munirah, dan senyap. Sekitar jam 8.30 malam, saya sudah terlelap. Jam 10 ataupun 11 malam, saya terbangun. Kadang-kadang dikejutkan dengan SMS daripada orang yang hebat dan sangat saya kagumi, kadang-kadang terbangun kerana saya rasa saya perlu bangun. Ketika bangun, fikir perlu buat kerja. Sudah bangun, fikir perlu main Internet puas-puas seakan-akan di ofis tidak disediakan talian Internet.

Penyakit zaman moden.

Saya pernah rasa begitu terseksa dan hilang keyakinan diri untuk hidup akibat ketiadaan talian Internet di kampung saya yang agak jauh daripada bandar. Ketiadaan Internet selama hampir seminggu pulang berhari raya di Batu Pahat. Kafe siber memang tidak pernah wujud di pekan berhampiran. Broadband yang dibawa umpama entiti berwayar tanpa guna. Tiada connection.

Hendak berjalan-jalan berjumpa rakan taulan mahupun saudara-mara tidak diberikan keizinan oleh Y.A.B. Perjalanannya jauh.
Bahaya katanya. Tambahan pula saya ini gadis comel yang....

Oh ya, cerita majlis pertunangan Wafa Munirah.

Secara keseluruhannya, alhamdulillah semua okey walaupun pihak lelaki tiba lewat sejam daripada perancangan asal. Biasalah masalah konvoi ini, apabila ada yang yakin dia tahu jalan, akan end up menjadi kereta yang sesat sehingga perlu ditunggu di mana-mana stesen minyak berhampiran. Hehehe, cuak sungguh mereka apabila tiba di rumah kami. Tetapi semuanya baik-baik saja.

Saya adik kepada Wafa Munirah, merangkap mak andam (yeah! Saya sudah berjaya kecapi impian zaman sekolah saya), jurugambar kedua, tukang meletakkan hantaran-hantaran di hadapan tetamu persis dayang yang keluar masuk menari menghiburkan kerabat diraja, 'ayah bakal pengantin' kerana sibuk bersalaman dan mengucapkan "Terima kasih kerana sudi datang" kepada para tetamu, menjadi tabung sementara segala duit salam kaut, pembuat air sekiranya air di dalam jag habis dan sibuk melayan pertanyaan rakan-rakan emak seperti "Awak bila lagi?", "Seri dah ada tu, mak cik rasa time awak tak lama lagi la tu" dan "Jangan lupa jemput mak cik bila time awak pula ya? Dulu kecik je... skang dah besar dah." Tambahan, beberapa minit selepas tetamu terakhir pulang, sudah mula memegang penyapu, mengemaskan meja dan kerusi, membasuh pinggan mangkuk, membuang sampah, menghabiskan makanan mana yang boleh, melayan aksi kucing-kucing yang seharian rasa terabai dan 'menyelesaikan' hantaran Wafa Munirah berupa coklat hebat dan kagum seperti
Ferrero Rocher.

PENAT!

Ini baru majlis pertunangan. Rasa seperti kaki sudah serupa sawi rebus. Terlalu sengsara menjadi pelancar majlis orang sehingga saya berfikir, saya kelak mungkin tidak perlu bertunang. Kahwin terus supaya penatnya biarlah dua kali (rumah sendiri dan rumah pihak lelaki). Hahaha! Tetapi manis juga ya ada gelaran tunang orang? Hmm... tengoklah macam mana kelak. Kena tengok juga permintaan orang tua bagaimana, kan? Saya masih muda dan tiada perancangan kahwin dengan sesiapa. Sila pertanyaan dan fikiran seberat ini pergi menjauh dengan segera.

Ini sahaja perkongsian buat kali ini. Konon nak tulis pendek sahaja, namun masih begini. Maaflah.

Selamat menunaikan puasa sunat di bulan Rejab. Semoga kelak berjumpa pula dengan bulan Syaaban, kemudian dengan bulan Ramadan, kemudian kita boleh raya sama-sama dan harap saya kekal kelihatan muda supaya mendapat duit raya dengan perasaan girang (walaupun sudah tidak menerimanya sejak beberapa tahun yang lalu, huhuhu.)

Wassalam.

P/S: Perlu bersabar mendengar komen-komen hebat rakan taulan yang berjaya menonton Transformers. Saya sudah buat date dengan rakan saya yang tinggal di dalam cermin, agar mencari ruang menontonnya juga. Mana boleh tidak tengok! Saya akan dikategorikan manusia Paleolitik! Cukuplah hinaan yang saya terima kerana handphone canggih saya tidak ada (Baca: malas nak setting balik) MMS.


Awak tunggulah saya datang menonton awak ya?

20 June 2009

Alif Dal Nun Alif Nun: Coretan Buat Seorang Wira


Beratnya beg yg dibawa. Buku teks sudah sememangnya berat. Hujan pula lagi. Basah satu beg. Buku-buku yang berat itu kian berat apabila basah. Saya yang hanya tinggi beberapa sentimeter daripada tanah, harungi juga hujan lebat itu tanpa payung. Saya memang tidak pernah memiliki payung ketika zaman sekolah dahulu.
Lopak-lopak yang penuh di kiri dan kanan jalan, saya redah sahaja. Waktu itu, dengan ketinggian sebegitu, seperti sedang mengharungi Sungai Muar. Habis basah separuh badan dengan sekelip mata sahaja. Kelas agama pula petang-petang. Sekiranya hendak tunggu hingga hujan berhenti, mahu ada yang balik lepas maghrib. Huh, saya tak sanggup. Sekolah agama saya betul-betul bersebelah dengan kubur. Ngeri, okey.
Jadinya, perlahan-lahan saya jalan kaki pulang ke rumah. Ada beberapa kilometer untuk sampai. Saya hanya berjalan kaki ketika ini. Saya sendiri tidak ingat mengapa. Mungkin basikal saya rosak agaknya. Sepanjang perjalanan, banyak kali jugalah saya disimbah dengan air lopak daripada beberapa pemandu kereta yang durjana.
Sedang berjalan itu, muncul sebuah lagi kereta dengan begitu laju lalu menyimbah saya dengan air lopak bagi menambahkan kelencunan saya yang sedia lencun ini. Saya ada kelihatan seperti budak yang tidak mandikah? Saya pandang kereta yang baru memandikan saya tadi. 'Volvo! Oh, abah!'
Mungkin juga abah sudah perasan entiti kecil umpama cendawan butang itu ialah anaknya, lantas dia memberhentikan keretanya.
Saya yang sedari tadi sudah perasan bahawa kereta durjana yang sekelip mata bertukar menjadi kereta hebat abah itu, pantas berlari ke Volvonya dengan bersungguh-sungguh kerana kasut dan baju saya sudah basah. Berat mahu bawa diri yang sedia berat.
Sampai sahaja di kereta, abah berkata:
“BALIK CEPAT! HUJAN NI!”
Abah dengan pantas memecutkan kembali keretanya.
Saya jadi hilang arah. Terpinga-pinga sendirian di tepi jalan.
Sampai sahaja di rumah, saya mengadu pada emak. Lalu emak bertanya kepada abah, mengapa tidak ditumpangkan sahaja anaknya yang comel ini (ayat italik itu saya sendiri yang tambah) pulang bersama?
Abah menjawab, “Basah kusyen kereta tu nanti.”
Abah saya seorang yang penyayang, bukan?
* * *
Abah saya tidaklah kelakar sangat di rumah. Dia seorang yang serius dan berekspresi ketat.
Ya, kadang-kadang saya rasa juga yang abah itu kelakar orangnya. Cuma di hadapan anak-anaknya sahaja dia buat ketat supaya dia digeruni. Berjaya jugalah. Salah satu perkara yg buat saya fikir yang abah saya seorang yang kelakar ialah melalui penggunaan ayatnya.
Setiap kali dia ingin mengait rambutan, menyiram pokok, ataupun membetulkan jala (abah seorang kaki pancing), dia akan suruh kami jangan dekati dia. Perkataan yg selalu digunakan ialah “LARI!” dengan wajah bengis, mata tajam bak helang. Kadang-kadang kami hanya mahu lalu di sebelahnya untuk ke kedai, bukannya mahu duduk mencangkung melihat dia membuat kerja, namun apabila dia ternampak sahaja bayang-bayang anak-anaknya, abah dengan pantas akan suruh, “LARI!”
Saya dahulunya juga tidak faham dengan penggunaan istilah "LARI!" itu. Saya akan pandang abah dengan dahi berkerut, sambil dalam hati, 'Lari? Saya bukan atlet.' Lalu saya capai basikal, dengan muka masih penuh tanda tanya, cuba sedaya upaya menjauhinya. Saya yang naif.
Rupa-rupanya pada abah, lari itu bermaksud "Pergi jauh-jauh. Jangan ganggu." (Walaupun kami tak ada niat pun mahu mengganggunya.)
Jadinya tiap kali abah suruh "LARI!", kami adik beradik akan menjauh. Cuma pernah sekali saya menjadi anak yang keji. Abah kata "LARI!", saya memang lari dengan wajah memandangnya sambil tergelak-gelak. Saya anak yang pelik. Sering berani buat sesuatu walaupun situasinya sangat serius.
Selain itu, abah juga ada penggunaan ayat komputernya yang tersendiri.
“Halimah!” Terdengar suara abah menjerit memanggil kakak sulung saya (itu bukan nama sebenar.)
Ketika ini abah di dalam bilik kakak sebab dia meminjam komputer kakak bagi membuat kerja-kerjanya. Tetapi faham-fahamlah... abah seorang manusia zaman mesin taip. Dia sukar memahami penggunaan komputer moden. Tetapi tidaklah moden sangat. Ini cerita tahun 1990-an.
Kakak saya bergegas menuju ke arah abah.
“Kenapa, abah?”
“Perkataan ini aku tak nak ni. Macam mana nak bunuh?!”
Ayat abah untuk delete adalah BUNUH!

* * *

Mengimbau kembali kenangan zaman kecil saya dengan insan bergelar abah itu, buat saya ketawa sendirian. Hehehe, ya, macam-macam kenangan sebenarnya, namun banyak yang saya sudah lupa. Apa yang ada ini saya hendak jaga, supaya saya tidak melupakan beliau hingga bila-bila. Kerana itulah saya paste kembali entri daripada blog lama saya ke sini dengan harapan saya dapat membacanya kembali bagi menyegarkan kembali memori saya.


Abah. Insan yang sama peliknya dengan saya. Tidak banyak yang saya dapat daripada beliau, lebih-lebih lagi kepintaran beliau dalam berfikir. Kami insan yang nyata berbeza. Cuma rupa saya yang agak asing daripada adik beradik yang lain ini banyaknya daripadanya. Kata oranglah. Pada saya, saya 100% kacukan emak dan abah. Sana sikit, sini sikit dan walla! Muncullah saya.

Saya sangat kagum dengan beliau sehingga saya pernah membuat portfolio berkenaan ayah sendiri di kala cikgu menyuruh kelas saya menemu ramah mana-mana tokoh tempatan. Saya dapat A untuk hasil kerja saya. Dan saya masih simpan sehingga kini portfolio itu. Sangat kelakar dan comel. Semuanya ditulis dengan gigih menggunakan tangan. Peta Malaysia hingga ke peta Kajang, dilukis sendiri. Sangat gigih ketika zaman tanpa Internet.


Abah saya memang begitu. Dua cerita di atas kelihatan beliau seperti seorang yang 'kejam' dan berhati dingin. Itu baru kamu yang membacanya, belum kamu hadapinya bersama saya. Kawan-kawan saya juga sangat takut pada abah saya. Dulu saya seorang anak yang memberontak kerana pemikiran saya dan abah saya sangat berlainan. Apa yang beliau kata A, saya enggan buat. Saya tetap kata B. Namun beliau sebagai ketua rumah, selalu menang dan sepatutnya menang kerana beliau ialah... ketua rumah. Beliau garang sebab ada anak pelik seperti saya agaknya. Hehehe. Namun saya tahu, segala apa yang beliau buat selama ini, ketegasannya dan tindak-tanduknya terhadap saya adalah bagi mengajar saya menjadi seorang manusia yang kuat dan berilmu.

Ada beberapa perkara yang kami sekeluarga mulakan kembali kini. Pertama, dengan membeli kamera digital. Dulu, abah rajin bawa kami jalan-jalan serata Malaysia. Ya, banyak yang saya lupa. Saya sangka saya tidak pernah jejak negeri Kelantan, namun emak saya kata sudah pernah. Siap ada gambar. Sayang, bukan? Memori itu seolah-olah tidak pernah wujud sama sekali. Kerana itulah saya mahu suami saya kelak arif jalan-jalan di Malaysia. Mahu bina kembali kenangan yang dulunya ada, tetapi tidak saya ingati. Abah yang menjadi jurugambar kami. Banyak juga gambar zaman kecil saya yang sangat la selekeh ya rabbi. Rasa nak pergi bakar gambar-gambar itu. Hahaha. Namun tidaklah saya tergamak membakarnya. Memori dalam minda pun sudah tiada, nak bakar yang itu pula. Biarlah zaman kecil saya kelihatan sebegitu, asalkan kini ketika dewasa saya kelihatan lebih....

Itu yang pertama. Kami mula bergambar satu keluarga semula. Gambar sekeluarga yang pertama setelah sekian lama tidak bergambar ialah pada hari raya dua tahun lepas. Gambar itulah yang kini diletakkan di dinding rumah. Kemudian makin banyak gambar-gambar keluarga. Bayangkan, gambar terakhir kami bergambar bersama adalah ketika saya masih belum bertudung. Dan saya bertudung ketika saya darjah lima. Tetapi saya gembira kerana minat abah dalam fotografi sedikit sebanyak sudah saya sambung kembali.

Kedua, kami sudah kembali membeli kacang kuda. Yang warna oren, apabila sudah rebus jadi empuk itu. Itu kacang kuda, kan? Mengapa ya namanya ada kaitan dengan kuda? Hmm.... Dulu abah selaaaaalu beli dan masak di rumah. Itu juga antara 'masakan' pertama saya ketika saya kecil dulu. Saya belajar daripadanya kerana kadang-kadang abah akan 'seksa' saya yang masih kecil supaya menyediakan hidangan kegemarannya. Masukkan kacang ke dalam periuk, masukkan air sehingga semua kacang itu tenggelam, pasang api, apabila air sudah sedikit mendidih, taburkan garam secukup rasa, dan gaul kemudian toskan apabila kacang sudah empuk. Memang kudapan petang yang abah sangat suka.

Cuma air teh sahaja yang tidak lagi dibuat di rumah ini. Kerana tidak ada seorang pun daripada anaknya yang menggemari air teh. Saya ada kenangan kelakar berkenaan air teh dengan abah. Tiap kali mendengar kawan-kawan order air teh, saya akan tersenyum kerana teringatkan abah. Memang minuman kegemarannya.

Buku-buku abah, kini masih tersusun kemas di dalam salah sebuah bilik di rumah lama. Saya ada perancangan membelek kembali buku-bukunya, namun masih belum terbuat. Saya tidak mewarisi banyak perkara daripadanya seperti yang saya nyatakan di atas, lebih-lebih cara abah berfikir. Kerana saya kurang minat membaca. Saya akan cuba buka bahan bacaannya sebagai salah satu usaha saya memahami pemikiran dan dirinya. Insya-Allah, saya akan cuba.

Pelbagai konflik telah pun terjadi sepanjang lebih kurang dua dekad hidup saya bersama beliau. Ada yang saya kesali, ada yang saya tertawa riang apabila mengenangnya. Seperti dua kisah di atas. Namun bagi saya, beliau sememangnya insan yang saya sayang. Tetapi masa sangat mencemburui saya, kerana saya tidak sempat menyelami sedalam mana sayang saya padanya. Saya sedar yang saya sayang beliau dengan begitu hebat apabila ianya sudah terlalu terlambat. Terlambat di dunia, namun tidak pernah terlambat di alam yang satu lagi. Doa saya sentiasa ada untuk beliau. Al-Fatihah.


1945 - 2006
Gambar beliau ketika zaman muda. Tembam, kan? (^_^)

Hadiah Saya Untuk Abah
Dua tahun yang sangat perit kerana saya sudah tahu usaha saya dalam memberikan beliau hadiah ini tidak dapat disaksikan oleh beliau. Hampir putus asa namun terima kasih buat emak saya, ahli keluarga yang lain, kawan-kawan seperjuangan dan semua yang terlibat. Soalan wartawan kepada saya, "Siapa yang datang tengok awak konvo hari ini?" sangat menyesakkan dada saya. Konvokesyen degree saya yang penuh drama air mata. Buat malu sahaja. Nasib baik muka saya dalam paper itu okey. Hehehe. Saya memang sedih beliau tidak dapat turut serta, tetapi saya yakin beliau ada ketika itu. Paling tidak, ada dalam hati saya.


Ana mushtaqot ilaika. Sungguh. Itu ayat yang saya mahu nyatakan kepada abah sepanjang lima tahun saya berjauhan kerana pilihan saya menyambung pengajian, namun tidak pernah tersebut. Dan langsung tidak dapat disebut. Abah pergi ketika saya sedang dalam kuliah, subjek statistik. Saya masih ingat suasana kuliah ketika itu, beberapa bulan selepas bermulanya pengajian ijazah saya, juga sebulan sebelum konvo diploma saya. Jam empat petang jika tidak silap, saya melihat handphone saya, ada tiga missed call daripada kakak sulung saya. Dan saya seperti tidak tahu mahu buat apa mendengar berita pemergiannya yang secara mengejut. Saya anaknya yang tiba paling lewat, seperti hendak pitam melihat sekujur tubuh berselimut putih menyambut ketibaan saya. Hari dan kali pertama kakak saya memeluk saya dengan begitu erat.

Banyak perkara membuatkan saya ingat pada abah. Terbaru, tahlil yang dibuat di syarikat saya Jumaat lepas. Sungguh menguji hati saya.
Ada bacaan beberapa ayat suci yang membuatkan saya rasa terpukul dan teringat abah. Masih ingat cara bacaannya. Nasib baik mata saya sungguh tabah. Huhu.

Hargai apa yang kita ada, kerana apabila ia sudah tiada, kita tidak dapat membayangkan betapa terseksanya hati kita kerana sebuah penyesalan. Awak sayang dia? Awak rindu dia? Cakap sahaja. Segan mahu sampaikan dengan kata-kata? Sampaikan dengan tindakan. Peluk dia kuat-kuat. Salam cium tangannya. Masih segan membuat aksi seakrab itu? Sampaikan pula dengan bakti. Berbuat baik kepada ibu bapa kita dari segenap hal adalah
penghargaan yang tidak terhingga atas segala usaha dan pengorbanan yang telah mereka lakukan buat kita. Kepada yang tidak pernah putus menghargai ibu bapanya, saya ucapkan tahniah dan teruskan. Wassalam.

Selamat Hari Bapa
Daripada saya buat semua wira di luar sana.

"Sudi jadi isteri kedua?"

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…." Fulanah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…."

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar. "Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.

Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini.

Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya yang berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.

Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.


"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua.

Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.


Bagi Fulanah, Syazni tidak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumah tangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak?

Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.


Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Err, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.

"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.

Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumah tangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.


"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah di dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Ye ke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang. Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Syazni berdiri, menghadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut.

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Syazni.

- - -

Selamat pagi. Saya hanya hendak pos entri yang pantas di sini. Pagi saya hari ini dimulakan dengan perasaan ingin tahu yang tinggi. Semua link yang ada, yang dipos rakan-rakan di FB, saya right click dan buka tab baru. Dari satu link, membuatkan saya terjumpa link yang lain, seterusnya link yang lain lagi. Lalu saya terjumpa tulisan di atas. Dipetik daripada laman ini. Tahniah buat penulis.

Khas buat semua pejuang di luar sana. Kerana rakan-rakan saya semuanya pejuang. Buat rakan pejuang lelaki, "Semoga anda berjumpa dengan 'Nusaibah' anda." Buat rakan pejuang wanita, "Semoga anda ketemu dengan 'Syazni' anda." =)

*Terfikir.* Saya tidak mungkin menjadi seperti Nusaibah. Sungguh tabah watak itu. Saya seorang manusia pelik dan berbeza sama sekali. Hehe. Okeylah, saya nak pergi makan puding mangga kacukan peach saya. Bye-bye, wassalam.

12 June 2009

Buat U-turn?

Semalam ya, hari yang menguji saya. Namun dengan nasihat para rakan setugas yang berbaik hati mengYM saya dan menenangkan jiwa saya sepanjang di ofis, saya dapat hadapi hari semalam dengan agak sabar hingga saya pulang ke rumah.

Lalu malam itu ketika makan malam bersama emak saya, saya memandang wajah emak saya yang sedang tenang menikmati hidangan. Kemudian mata saya tertumpu kepada potret keluarga yang digantung di dinding, betul-betul di belakangnya. Sangat seronok melihat gambar saya dan keluarga dengan senyuman seikhlas itu. Dalam hati, saya perlu mencari kemudaan itu semula.

"Mak...," saya memulakan bicara sambil mata masih tertumpu pada potret keluarga.

"Emm?" balas emak. Matanya memandang saya dengan mulut yang masih aktif mengunyah.

"Kita rasa, kita tak ada bakatlah dengan kerja sekarang," kata saya sambil memandang wajahnya.

Tidak ada apa-apa respons. Dia masih mengunyah.

"Entah nak kerja apa pula lepas ni. Nak jadi cikgu, budak-budak zaman sekarang ganas-ganas belaka. Nanti kena buli pula."

Emak menyuapkan nasi ke mulutnya. Matanya masih memandang wajah saya.

Seketika kemudian, dia membalas, "Habis nak kerja apa?"

Saya pula terdiam. Memang tidak ada jawapan dalam minda saya ketika itu.

Pinggan kosong di hadapan saya, saya tatap. Sekosong minda saya. Sangat suci minda saya ketika ini. Ketika solat kemain susah nak sucikan minda daripada fikir hal duniawi, ini masa fikir hal duniawi, minda saya tiba-tiba menjadi kudus.

Emak meneruskan suapannya. Saya kembali menatap potret keluarga.

"Kita nak jadi mak andam," tiba-tiba mulut saya terkeluar ayat itu.

Saya pandang emak saya. Dia juga memandang saya. Saya sudah bersedia mendengar bebelannya kerana ketika saya habis PMR, *TERBONGKARLAH* saya pernah membeli borang ke sekolah vokasional dengan niat mengambil kursus andaman, namun niat saya diketahui oleh emak dan saya diarahkan membuang borang yang bukannya percuma itu dengan bebelan yang sangat pedas dan berlarutan beberapa minggu.

Saya sudah nampak mulut emak saya terbuka, bakal menyatakan sesuatu. Dan akhirnya,

"Hahahaha!" Ini respons emak saya.

Saya senyum. Risau juga dia tersedak kerana mentertawakan saya, namun nasib baik emak saya penggelak yang professional.

Lega. Dia tidak marah saya seperti zaman saya selepas PMR dulu. Kini dia hanya tergelak. Kerana dia tahu, anaknya yang seorang ini tidak ada kemahiran menghias diri, inikan pula menghias orang.

Saya tidak bohong. Saya masih dalam tempoh muhasabah diri, mencari apa sebenarnya yang saya ingin jadi. Ya, kerja saya sekarang ini ialah pekerjaan yang saya corak sedari saya di tingkatan empat. Naik tingkatan lima, masuk universiti ambil diploma dan seterusnya ijazah, dengan hala tuju pekerjaan ini. Saya corak pekerjaan saya yang sekarang ini bukan beberapa bulan ketika tempoh menganggur, tetapi sejak lapan tahun dahulu. Tetapi mengapa kala ini, saya masih belum rasa ini yang saya mahu buat?

Mungkin ini memang pekerjaan yang saya mampu buat, tetapi bukan yang saya minat buat. Saya paling liat membaca. Ayat yang terlalu banyak dalam ruang yang kecil memenatkan saya. Tetapi apa pula pekerjaan yang saya minat buat? Semua yang saya minat, hanya minat. Tidak ada ilmu. Kerja menjaga haiwan misalnya. Ya, saya suka membelai, memberi makan, memberi minum, tidur bersama mereka, namun setakat itu. Sekiranya mereka sakit, saya akan menggelabah. Sekiranya Bubu balik dengan kaki yang terhencot-hencot, saya jatuh kasihan namun saya tidak tahu bagaimana saya dapat mengubatinya. Dan tidak berusaha membuka buku mengenainya.

Lantas saya rasa, memang ini sahajalah kerja yang saya mampu buat. Dan mana ada kerja yang tidak ada dugaan. Kerja apa pun, kita akan terfikir nak tukar kerja lain apabila masalah melanda. Naluri manusia yang kebanyakkannya lebih gemar lari daripada mencari penyelesaian.

Saya akui, saya banyak kali lari daripada masalah supaya hidup saya mudah.

Saya enggan ikut kawan-kawan mengambil sains tulen ataupun akaun, kerana dua-dua aliran itu perlu ambil matematik tambahan. Saya rela turun kelas ambil kesusasteraan Melayu walaupun menangis dua minggu dengan perubahan sosial yang berlaku, kerana melarikan diri daripada matematik tambahan. Malah saya fikir, cita-cita ketika itu iaitu pekerjaan saya ketika ini, tidak memerlukan matematik tambahan sebagai senarai kelayakan. Nyata saya tidak pernah menyesal kerana ambil tindakan melarikan diri itu, kerana saya sangat bahagia di kelas kesusasteraan Melayu sepanjang dua tahun di SMK SAAS, berkawan dengan pelajar-pelajar berbilang kaum.

Saya larikan diri daripada STPM dengan mengambil diploma kerana saya tidak suka subjek pengajian am dan saya teringin hidup di luar Kajang. Tambahan, aliran saya ketika SPM melayakkan saya melanjutkan pengajian diploma dalam bidang komunikasi. Alah, bukan susah sangat pun nak ambil komunikasi. BM dan BI kredit. Layaklah. Selepas diploma, saya ambil major yang melayakkan saya terus menjadi seseorang seperti cita-cita saya di tingkatan empat.

Sudah capai cita-cita, saya larikan diri daripada syarikat lama pula kerana kerjanya yang seperti hamba abdi dan sudah sangat letih dengan masalah berbangkit. Siapa yang tahu hal ini, tahulah. Saya tidak mahu ungkit kisah itu. Semak.

Lalu saya diterima bekerja di syarikat sekarang. Sedikit sebanyak, saya yakin, pengalaman dan kelulusan saya antara sebab saya diterima. Baru beberapa bulan yang setiap kali muncul bulan baru, timbul masalah baru, saya sekali lagi seakan-akan ada perasaan melarikan diri. Apalah?

Sangat lemah. Memalukan. Tidak matang sama sekali. Baru timbul masalah dalam kategori kecil, sudah fikir melarikan diri sekali lagi. Ini baru soal kerja, belum masuk soal hidup, soal cinta. Semuanya saya akhiri dengan melarikan diri. Mudah sungguh.

Bila fikir begini, saya sendiri memotivasikan diri saya. Cukuplah berlari. Dirimu sudah cukup penat. Sudah penat memikirkan destinasi seterusnya walaupun saya tahu, tidak ada apa yang kekal. Jika ada yang lebih baik, saya pasti akan move on. Itu saya serahkan bulat-bulat kepada takdir. Buat masa sekarang, saya perlu kekal di sini. Buat segala apa yang mampu, jika ada masalah, selesaikan. Jika mahu berlari, sarungkan kasut sukan, dan jogging keliling taman. Yang ini malas pula mahu buat. Huh.

Makanya saya tidak akan buat U-turn. Mungkin bukan sekarang. Hari akan datang, saya tidak tahu apa yang akan berlaku, namun saya yakin, hidup saya tidak akan gembira sentiasa. Jadinya perlu sedia daripada sekarang.

Mak andam? Cukuplah kakak-kakak saya yang menjadi mangsa. Hehehe.


11 June 2009

Tensionalisme


Assalamualaikum.
Saya sedang dalam mode tension.
Maafkan saya kerana mahu beremosi sebentar.

- - -

"Kau tahu apa itu roda?" tanya Salman kepada Harun.

"Tahu," jawab Harun. "Bentuknya bulat," sambung Harun lagi, menerangkan apa itu roda kepada Salman supaya rakannya itu yakin dia begitu arif berkenaan roda.

"Bagus!" balas Salman.

Sunyi sepi.

"Jadinya mengapa dengan soal roda itu tadi?" tanya Harun apabila mereka berdua diam terlalu lama. Rasa hatinya tidak senang apabila soal roda timbul tanpa sebab.

"Roda itu bulat. Benar jawapanmu," ujar Salman sambil pandangannya dilontar jauh ke tengah bendang. Melihat seekor kerbau sedang berkubang bertemankan beberapa ekor burung.

"Jadinya?" tanya Harun lagi. 'Hai... apalah Si Salman ini fikirkan', keluh Harun dalam hati.

Suasana sepi sekali lagi.

"Roda itu bulat," Salman bersuara. "Jadinya bahagian roda itu, akan ada yang di bawah apabila bahagian lainnya di atas," terang Salman dengan satu nafas.
Harun turut menahan nafasnya sepanjang Salman bercakap dengan satu nafas. Sebegitu suspens dia menantikan jawapan Salman.

"Ya, itu resam roda. Resam apa sahaja benda di atas muka bumi ini. Pasti ada bahagian di bawah, juga bahagian di atas. Mana mungkin dua-duanya atas permukaan yang sama, Salman." Harun mengerutkan dahinya.

"Hidup ini tidak adil, bukan?" Salman tunduk memandang jari-jemarinya. Harun setia melihat tindak-tanduk sahabatnya itu.

"Apa pula tidak adilnya? Adillah begitu. Ada masa, kita di bawah. Ada masa, orang lain pula di bawah. Waktu itu kita di mana? Kita di atas. Waktu orang lain itu di atas, kita pula di bawah," terang Harun, separa memujuk.

"Jika begitu, hidup ini nyata tidak adillah," tegas Salman kembali. Kerutan di dahi Harun kian dalam. "Jika hidup ini adil, apabila kita di bawah, orang lain juga perlu di bawah. Apabila kita di atas, kita sama-sama di atas," ujar Salman menegakkan pandangannya.

"Mana boleh begitu, Man...." Lembut suara Harun mematahkan hujah Salman. "Jika kita semua hanya dapat rasa satu perasaan sahaja dalam satu-satu masa, dan satu perasaan lain pada masa yang lain, itu bukan hidup."

"Itu bukan hidup?" Salman pula berkerut.
Sunyi sepi.
"Jadinya, itu ialah apa?" Salman kembali menyoal Harun.

Harun pula melontarkan pandangannya jauh ke bendang. Melihat seekor kerbau sedang berkubang bertemankan beberapa ekor burung.

"Itu Teletubbies." Dan Harun melangkah ke bendang dengan wajah yang tegas sambil memegang raga. "Milah! Abang bawakan Milah makanan ni!" jerit Harun sambil melambai kepada isterinya.

"Hidup ini memang tidak adil! Bedebah punya Harun," ujar Salman seraya membaling sebiji batu ke arah kerbau yang jauhnya dua kilometer itu.



07 June 2009

Kisah hari minggu: Edisi Ahad 7 Jun

Sila baca entri di bawah (Kisah hari minggu: Edisi Sabtu 6 Jun) terlebih dahulu supaya kesinambungan entri ini dapat anda hayati. Terima kasih.

Ini pula kisah hari ahad saya. Saya bangun awal seperti biasa, menyikat rambut, menggosok gigi, membasuh muka dan seterusnya membasuh kaki. Saya tidak boleh mandi awal hari ini. Saya ada perancangan.

Jam 8 pagi, saya turun ke bawah. Aktiviti melaporkan diri sekali lagi dilakukan. Kali ini saya jumpa YAB Tan Sri Emak di luar, sedang membakar sampah. Tekad saya pada hari ini ada dua; membasuh dan membersihkan Cik Lisa dan membuat pruf manuskrip yang telah tertunda beberapa hari. Maafkan saya, tuan editor. Saya tidak ada apa-apa alasan membela diri, salah saya kerana menyelesaikan manuskrip saya dahulu. Hidup ini penuh dengan manusia berkepentingan sendiri.


Saya mula menyediakan beberapa alatan yang diperlukan bagi membasuh dan membersihkan Cik Lisa. Baldi, gayung dan kain pengelap sudah disedia. Mencari-cari sabun pembasuh kereta. Tentunya bukan milik saya kerana saya tidak ada kesedaran menjaga kereta sebelum ini. Sabun pembasuh kereta yang saya jumpai milik kakak sulung saya. Terus-terang, ini kali pertama saya membasuh Cik Lisa dengan tangan saya sendiri setelah beberapa bulan saya bersamanya. Sebelum ini, saya banyak singgah di sebuah pusat membasuh kereta di kawasan taman perumahan lama saya. Niat saya sangat baik; memberi upah kepada yang pakar.

Dunia ini juga penuh dengan manusia yang malas. Namun kemalasan manusia itu menjadi mata pencarian bagi manusia yang bijak mempergunakan kemalasan manusia. Manusia yang malas membasuh kereta sendiri seperti saya, memberi kebaikan kepada mereka yang bijak itu tadi. Maka saya yakin kemalasan saya membawa rahmat pada mereka. Kerajinan saya membasuh kereta sendiri pada hari ini membuatkan hati saya sedikit sedih kerana saya seolah-olah mengurangkan keuntungan mereka, namun apakan daya... saya sedikit rajin pagi ini.


Banyaknya membebel. Bukan malaslah... tak ada masa. Haish.

Saya mulakan dengan memvakum bahagian dalam Cik Lisa. Yah hahaha! Menggunakan vakum baru yang dibeli semalam. Vakum yang berjaya dibawa pulang dengan pengorbanan saya. Oh begitu perasan. Saya berasa sedikit bangga kerana saya yang merasmikan vakum itu. Dengan keanggunan di luar imaginasi, saya memulakan pemvakuman. Bahagian meletakkan kaki sekali pandang seperti pantai Port Dickson. Cuma kurang pokok kelapa, cengkerang dan laut sahaja. Entah mana datang segala pasir. Saya cuba mencari salah siapa sedangkan Cik Lisa hanya dipandu oleh saya. Sungguh menghairankan.


Kala inilah terjumpa beberapa keping duit syiling dan keychain yang saya yakin milik pemilik Cik Lisa yang sebelumnya. Saya kumpul segala khazanah dan mula memvakum kembali. Saya vakum setiap sudut di dalam Cik Lisa dan apabila yakin itu sahaja kemampuan saya, saya membuka bonet. Tidak ada apa di dalamnya selain sekaki payung, penghadang cahaya matahari untuk cermin hadapan dan juga alatan pertukangan kereta. Alatan pertukangan kereta ya? Hahaha saya tak tahu apa nama benda alah tu. Kira cincai sajalah.


Saya vakum di dalamnya, dan sesuatu seperti menghimpit ruang ingin tahu saya. Saya pandang sahaja pengalas bonet itu, dan tangan saya seperti disuruh-suruh menyentuhnya. Saya sentuh. Dan kini ruang ingin tahu saya sekali lagi rasa dihimpit-himpit. Menyuruh saya mengangkat alas bonet itu. Lalu dengan segenap kekuatan, saya angkat pengalas bonet.


Hahahahaha! Ya saya tahu. Saya sangat teruk sebab baru tahu di mana orang letak tayar
spare dan saya juga terkejut kerana selama ini saya bawa lima tayar. Ada car jack sekali bawah tu. Hahaha sangat teruk kan? SAYA BARU TAHU!!! xD

Selesai mentertawakan diri sendiri dan memvakum seluruh bahagian dalam Cik Lisa, saya menutup semua pintu dan mula memancurkan air ke badannya. Sesi membasahkan Cik Lisa dan diri sendiri. Ya, inilah sebabnya saya tidak boleh mandi awal pagi tadi kerana akhirnya saya perlu memandikan diri juga.

Apabila semua bahagian badannya basah, saya memasukkan kain pengelap ke dalam air sabun dan mula menyabun. Saya tiru perbuatan pakar membasuh kereta yang sering saya upah itu, dan cuba bergerak sepantas mungkin namun tetap teliti. Tentulah gagal kerana pergerakan saya memang agak lembab sikit. Saya makan pun
slow, hingga seakan-akan menyusahkan orang... inikan pula membasuh kereta.

Matahari sudah tegak di atas. Saya gigih menyabun Cik Lisa dan memberus rim tayar. Selesai aktiviti berkaitan sabun, saya sembur Cik Lisa dengan air lagi. Kemudian memerah kain yang digunakan menyabun Cik Lisa yang telah saya basuh, untuk mengelap badannya. Dengan bantuan matahari dan kain pengelap yang kering, Cik Lisa saya kering dengan pantas. Habislah warnanya sekiranya saya kerap lakukan begini.


Kini Cik Lisa saya sungguh berseri dan menawan. Dalamnya saya sembur Febreze untuk efek wangian dan kesegaran terakhir. Saya berbangga kerana hari ini dia cantik kerana tangan saya sendiri. Ada terfikir ingin menangis terduduk di sebelahnya kerana sangat terharu, namun pemikiran waras saya terus menegah dan menyuruh saya mengalihkan Cik Lisa di luar. Sekiranya Cik Lisa diletakkan di porch rumah, saya yakin esok pagi, bumbung Cik Lisa dipenuhi bulu dan kesan tapak kaki mahkluk bernama kucing. Lalu saya undurkan dirinya dan parking di luar rumah.


Tika ini juga, saya kembali tersedar. Saya sedar, dengan meletakkan dirinya di luar rumah, kecantikan dan kegemerlapan Cik Lisa tidak akan bertahan lama. Kerana:


Jadi entri kali ini dua dalam satu. Menyatakan bahawa Ahad saya dihabiskan dengan sesuatu yang bagus, dan juga pemberitahuan bahawa kereta saya sering kotor kerana pembikinan taman perumahan di tepi itu. Saya bukan seorang yang kuat berjalan dengan kereta saya, jadinya itu menimbulkan kehairanan kerana setiap minggu, kereta saya seperti baru selesai menyertai 4x4 challenge. Saya harap esok pagi Cik Lisa saya masih wangi dan bersih. Huhuhu tolonglah.

Hari Ahad saya seterusnya dihabiskan dengan makan dan tidur. Target menghabiskan pruf manuskrip sekali lagi menuju kehancuran. Saya akan usaha!

Wassalam. Jumpa lagi di lain entri yang lebih serius.

P/S: Ya, saya sudah semakin serius. Menandakan saya perlu membeli produk kecantikan menghilangkan kedut dan mengurangkan minuman berkafein.

Kisah hari minggu: Edisi Sabtu 6 Jun

(Melonjak riang!) Ya!!! Hujung minggu saya kali ini tidak dibazirkan. Oh saya sangat gembira dan perasaan berhidup membara kembali! Hohoho hai semua, dan assalamualaikum.

Hari Sabtu yang selalunya menjadi Hari Sia-sia saya, dimulakan seawal 5.45 pagi. Saya mulakan dengan perasaan bertanggungjawab yang sangat tinggi kerana pagi itu saya ada misi, kemudian disertakan dengan senyuman pagi melihat diri sendiri yang begitu mengerikan (oh saya sangat cemburu melihat gadis yang bangun pagi kelihatan cantik) dan mengambil wuduk lalu menyelesaikan solat subuh dalam keheningan pagi. Wah, ayat Ramadan saya sudah mula kelihatan! Adakah Ramadan sebegitu dekat? (Siapa belum bayar lagi puasa, marilah kita sama-sama lakukannya. Betapa tahun yang lagho hingga hampir begini masih berusaha menggantinya. Tak mengapa, yang penting kita masih ada rasa tanggungjawab. Hutang wajib dibayar. ~Ayat dalam kurungan yang membela diri agar tidak rasa begitu malu dan bersalah.~)

Selesai membersihkan diri, saya membuka laptop dan menghidupkannya dengan hujung jari telunjuk. Begitu juga dengan modem. Apabila sudah kelihatan lambang bumi kecil di hadapan dua komputer kecil di hujung kanan laptop (siapa tidak faham, boleh lihat di laptop kamu, jika masih tidak faham, tidak mengapa sayang... mari buat apa? mari abaikan), saya mula berlegar-legar di alam siber. Melihat-lihat tiga emel yang wajib saya jenguk setiap hari. Satu lagi emel hanya akan saya jenguk apabila saya rasa saya sudah hampir lupa kata kuncinya.

Kemudian membuka Facebook, satu lagi rutin saya. Melihat-lihat status update rakan-rakan, dan saya terkejut! Status seorang adik yang saya kenal tahun lalu di FB, berusia 23 tahun (sebaya adik saya) mengumumkan 13 haribulan ini, dia akan menjadi tunangan orang. Wah, sungguh hebat! Saya terus mengucapkan tahniah kepada dia, dan mendoakan dia dan pasangannya berjaya mengharungi tempoh pertunangan yang ramai cerita kepada saya, satu tempoh yang sangat mencabar. Saya belum ada pengalaman, tetapi pengalaman kawan-kawan agak mengiakan kenyataan itu. Bertabahlah! \(^o^)/

Kakak kedua saya,
(mari namakan dia Wafa Munirah - bukan nama sebenar) juga sudah bangun, dan dia begitu sibuk memilih baju yang sesuai untuk ke majlis nikah rakan baiknya. Musim orang menjadi tunang, suami dan isteri. Hohoho, tahniah buat semua. Ramai juga kenalan saya naik pelamin dalam tempoh cuti sekolah ini. Namun saya tidak berkesempatan kerana punya hal lain yang lebih memerlukan kehadiran saya dan juga majlis mereka sangat jauh!!! Apa ni buat majlis di Johor dan Kelantan??? (T-T) Mana majlis sekitar Selangor dan Kuala Lumpur? Kita kenal di sini sahaja, bukan? Mana? Mana??

Lebih kurang jam 9 pagi, saya turun melaporkan diri kepada
Menteri Kewangan, Keselamatan dan Kasih Sayang, YAB Tan Sri Emak. Tujuan melapor hanya supaya beliau tidak membebel kerana menyangkakan saya masih menenggiling di atas katil empuk di kala itu. Turun sahaja, saya jumpa beliau di dapur. Menyapa selamat pagi. Beliau terus memberitahu apa aktiviti beliau untuk hari ini (yakni semalam). Saya membenarkan beliau menghabiskan senarai aktiviti beliau, sehingga muncul perkataan, "kita pergi jam 12.30."

Saya: "Eh? Kita?"


Beliau: "Yalah, teman mak sebab kawan mak tak jadi pergi kenduri yang satu lagi tu. Dia tak sihat. Mak pun tak tahu jalannya, jadi mak pun tak jadi pergi sana. Tapi kebetulan ada satu lagi kenduri, anak kawan abah area sini-sini je."

Saya: "Hahaha yalah. 12.30? Okey."

Saya sangka Sabtu masih hari sia-sia saya. Namun sudah nampak, jam 12.30, saya perlu menghadiri (saya tersilap taip tadi, saya tulis menghariri - seperti nama rakan sekerja saya tanpa imbuhan meng-) dan saya terus naik menggeledah baju. La la la, jam 12.30 akhirnya muncul. Dan saya ke kenduri itu bersama YAB. Sampai di majlis itu
(majlisnya di kawasan padang), salam tuan rumah, ambil makanan, duduk makan di bawah sebatang pokok yang rendang kerana tetamu terlalu ramai hingga tiada meja kosong namun nasib baik hari agak berangin walaupun terik, dan berbual-bual sesama sendiri. Tidak kenal sesiapa di kenduri itu kerana itu majlis kenduri anak kawan abah. Kami hanya wakil dirinya.

Jam 1.15 petang, kami minta izin beredar. Sesampai di rumah, saya terus naik ke bilik, menukar baju santai, tunggu azan zohor, bersolat, bersiap dengan pakaian kasual dan turun semula ke bawah selepas Kak Wafa Munirah memanggil saya supaya cepat sedikit. Ke mana pula kami kali ini? Haaa...

Ke Nilai 3.

Menaiki kereta Kak Wafa Munirah yang agak luas demi pemuatan barang-barang sejagat. Sebut sahaja ke Nilai 3, pasti dihujani pertanyaan-pertanyaan seperti "Wah! Beli barang kawin ke?" dan ada juga yang tulis, "Wah, tahniah. Nak bertunang." Ya, kami ke Nilai 3 bukan untuk membeli barangan perkahwinan, sebaliknya barangan pertunangan. Tidak perlu berteka-teki kerana kelak ada yang ucapkan tahniah kepada saya. Bikin hati geli dan mendung. Ini majlis tunang kakak kedua saya itu. Saya nak bertunang dengan siapa?? Huhu tak baik korang... (=p).

Selepas berjaya menempuh kesesakan jalan raya (cuti sekolah, biasalah...), kami selamat tiba di destinasi. Panas terik bagai nak gila! Saya yakin, penjual air merupakan peniaga yang paling untung di Nilai.

Dari satu kedai ke satu kedai, kami 'berbalah' tentang corak apa yang cantik, warna apa yang sesuai, apa yang perlu dan apa pula yang tidak perlu. Hahaha! Memang kelam-kabut kerana kami ialah anak beranak yang tidak pernah membuat majlis di rumah sendiri. Ini bakal menjadi majlis sulung di rumah kami selama tiga tahun kami tinggal di sini. Anak pertama YAB yang bakal memecah tradisi.

Tema majlis sudah ditetapkan hijau keemasan. Warna asas sudah ada, mudahlah mencari barang-barang yang berkenaan. Di dalam sebuah kedai yang dibuat khas untuk majlis tunang dan perkahwinan, saya memerhatikan manusia-manusia di dalamnya. Saya tersenyum. Rata-ratanya berpasangan, dan wajah mereka seperti bersinar-sinar. Gembira mencari persiapan majlis mereka jugalah agaknya. Senyum sahaja mereka sambil berbincang. Ada juga seperti kami, bawa keluarga buat penambah riuh.

Saya seperti biasa, menjadi pakar runding tak bertauliah dan juga tukang angkat barang. Saya syukur saya ikut, kerana jika saya tak ikut, mata saya bakal merana kerana YAB dan Kak Wafa Munirah memilih corak dan warna yang tidak ada kesatuan idea. Wah memang hampir menjadi rumah badut! OH SAYA SANGAT BERSYUKUR!!! (Ni nak kata taste kau lebih best la ni? Haha!)


Ini sampul door gift kepada para tetamu pada hari tersebut kelak.


Sekitar jam 5.30, kami sepakat menyatakan bahawa segala keperluan sudah selesai dibeli. Pulang dengan kereta yang hampir menyebabkan saya perlu pulang ke Kajang dengan menaiki komuter. Al-maklumlah, penumpang di kerusi belakang.

Setiap kali pemandu menekan brek ataupun selekoh baring, saya perlu menahan plastik-plastik ini supaya saya tidak mati dibunuh oleh bakul-bakul dan barangan lain. Biarlah saya meninggal dunia dengan cara yang lebih bermaruah.


Itu belum habis lagi. Sesampainya di Kajang, YAB menyatakan bahawa vakum di rumah kami telah pun rosak dan kami memerlukan vakum baru. Saya melihat barang-barang di sebelah saya. Mana nak letak pulak vakum tu??? Bonet belakang dah penuh. Saya berkira-kira perlu menahan teksi untuk pulang ke rumah.

Vakum selesai dibeli. Sangat besar okey. Sebab YAB mahukan vakum berpendekatan air. Vakum yang menggunakan pendekatan air ini zahirnya memang besar. Seperti pekerja di Tesco selalu guna. Kerana terlalu terhad ruang yang tinggal, vakum dibeli tanpa kotak kerana kotak hanya akan memakan ruang. Saya kini duduk di sebelah vakum baru dan plastik-plastik itu.

Sebelum sampai ke rumah, Kak Wafa Munirah menyatakan makanan kucing-kucing kami sudah hampir habis. Lalu menghala ke Klinik Haiwan berdekatan kerana di situ ada menjual makanan kucing. Saya kembali tertanya-tanya, MANA NAK LETAK??? (T-T)

Makanan kucing yang sangat besar itu diletakkan di tempat meletakkan kaki. Saya berkorban dengan duduk berposisi kaki dibengkokkan di atas kerusi dan tangan memeluk kaki tersebut. Dapat bayangkan? Hehehe. Kami selamat tiba dengan kaki saya menyentuh tanah dengan rasa 'semut-semut'. Hahahaha keluarga yang gila! Saya pun turut gila sebab tetap bergelak ketawa di dalam kereta sepanjang jalan. Nak buat macam mana. Itu sahaja kereta kami yang berkategori besar. Rasa seperti mahu beli lori sebijik.

Selesailah aktiviti hari Sabtu saya. Malam tidak ada apa yang produktif selain menonton television dan makan. Ada ambil masa jenguk emel lagi dan mendengar lagu sekitar jam 10 malam. Saya tidak jenguk YM dan membaca blog gosip artis (hmm?) kerana saya sangat letih. Inilah akibat tidak begitu aktif berhidup dan bersenam.

Nasihat saya: Nilai 3 ialah kawasan
yang tidak digalakkan mencari jodoh. Hahaha! Marah jejaka bujang Nilai.

(Bersambung di Kisah Hari Minggu: Edisi Ahad 7 Jun)

04 June 2009

Ucapan Enteng

"Terima kasih...... KAKAAAAAK!" (^O^)

Itu laungan seorang penjaga tol kepada saya petang tadi. Orangnya kelihatan agak muda, agak good looking, berkulit cerah, rambutnya kemas, memakai baju hijau pucuk pisang yang terang dan tersenyum riang.

Saya hulur satu not RM1 sambil mengucap terima kasih dan terus memandang ke depan. Ketika kereta saya sudah bergerak beberapa cm, jejaka muda itu mengucapkan terima kasih. Ada jeda. Kemudian dia laung perkataan KAKAK selepas saya hampir dengan palang tol, tetapi jangan risau, palang tol itu sudahpun terangkat. Hehe.... Saya berpaling melihat dia kembali, dan saya ketawa kerana hati saya rasa laungannya
itu kelakar. Saya lihat matanya sepet kerana dia juga ketawa sama.

Hehehe... perbuatan yang sangat comel. Adik itu pasti orang baru. Mungkin cuba mencari wang sampingan sempena cuti sekolah? Entahlah. Tapi saya yakin dia orang baru. Sudah bertahun-tahun saya melalui tol yang sama, saya tidak pernah disapa sebegitu.

Dan saya sangat-sangat berterima kasih kepada dia kerana petang tadi saya sangat mengantuk. Tol itu menandakan rumah saya sudah hampir dekat. Tetapi entah mengapa saya rasa perjalanan saya masih jauh... rasa seperti mahu tidur sambil membawa kereta tetapi kereta meluncur dengan had laju yang disarankan dan selamat tanpa perlunya kemalangan.
Semalam juga sama. Saya memandu dengan kepala disandarkan ke kerusi dan rasa sangat selesa. Waktu ini, saya fikir, ya... bagusnya ada seorang suami yang dapat membantu saya memandu Cik Lisa saya dan dia hanya memerhatikan saya tidur di kerusi sebelah dengan senyuman kudus dan mendoakan saya rehat sepanjang perjalanan hingga selamat tiba di rumah kami syurga kami.

Ah, melampau sangatlah impian itu, cik.
Tetapi ucapan terima kasih dan laungan KAKAK daripada adik itu menyegarkan saya kembali kerana saya terkejut dan ketawa. Hehehe.

Begitulah selalunya. Ucapannya ringkas, namun impaknya besar! Contoh ucapan terima kasih dan maaf. Kes saya dan adik tol tadi berbeza sedikit kerana dia laung KAKAK. Itu memang menyegarkan saya, tetapi ucapan awal adik itu bagi saya besar impaknya.

Ucapan terima kasih. Ucapan yang ringkas. Namun tak ramai yang sudi mengucapkannya. Rasa segan hendak mengucapkan terima kasih, lebih-lebih lagi pada ibu bapa dan adik beradik, mungkin juga pada kawan-kawan rapat. Tanpa kita sedar, kita sering ucap terima kasih pada orang yang tidak dekat dengan hati kita, yang hanya berkepentingan pada kita. Dengan majikan kita, dengan pomen yang baiki kereta kita, dengan orang yang tunjukkan arah pada kita apabila kita sesat jalan. Sedangkan ibu bapa, adik beradik dan kawan-kawan itu lebih manis sekiranya menjadi penerima ucapan terima kasih kita yang paling kerap. Ramai berfikir, tanpa ucapan terima kasih pun, mereka tetap ada ketika kita susah. Mereka tetap ada apabila kita ditinggalkan kekasih.

Tetapi apa salahnya, sekali-sekala, ringankan mulut dan ucapkan terima kasih pada yang dekat di hati kita itu. Bukan hanya ucap apabila poket kita kering, dan mak ayah beri kita loan yang tak perlu bayar balik, baru nak ucapkan terima kasih. Mak kita SMS kita, 'Beli di kedai saja, mahu makan apa?' Kita balas, 'Mi goreng'. Dan balik dengan bayangan sebungkus mi goreng ada di atas meja. Mana ucapan terima kasih kerana dia ingat bertanyakan kepada kita mahu makan apa? Sekiranya dia tidak ingat pada kita, mana kita nak dapat mi goreng buatan kedai yang percuma? Apalah salahnya balas, 'Nak mi goreng, boleh? Terima kasih, mak.' Emak kita tak balas SMS kita tulis 'Sama-sama' pun tak mengapa. Saya yakin, ucapan terima kasih yang pendek itu sudah mampu membuatkan hatinya senang.

Ataupun ayah kita tanya, "Mengapa balik lewat sangat malam tadi?" Kita jawab, "Ada kerja." dan terus naik ke bilik. Kunci pintu. Mana ucapan terima kasih kerana dia ambil berat tentang kita? "Ada kerja sikit semalam. Terima kasih ayah sebab tanya." Ataupun kita sedang makan. Alahai... lupa nak ambil air. Nampak adik kita ke dapur. "Mat, ambilkan abang air secawan." Adik bawakan kita air. Kita tak pandang pun dia. Mana ucapan terima kasih kerana dia bawakan kita air secawan tadi?

Hanya contoh situasilah atas tu ya.

Ucapan terima kasih ini pada sesetengah orang, perbuatan enteng. Enteng yang bukannya senang hingga mudah hendak diucapkan. Enteng yang remeh. Yang tak ucap pun tak apalah. Bukan adik yang bayar gaji. Tak ucap terima kasih pun dia akan tetap jadi adik.

Sedangkan ucapan terima kasih itu dengan entengnya menyenang hati sesiapa. Tolak ucapan terima kasih yang bernada sarkastik itulah.

Ucapan terima kasih mampu menyelesakan hati kita apabila kita membantu sesiapa, walaupun kita ikhlas. Sedikit sebanyak kita akan rasa senang.

Sama halnya dengan ucapan maaf. Sebesar mana pun kesalahan kita, ucapkanlah maaf dahulu. Walaupun ucapan itu mungkin tidak akan mencantikkan keadaan, tetapi percayalah, sekurang-kurangnya hati yang sedih ataupun sakit itu sedikit ringan. Tetapi pula, janganlah asyik ucap maaf sedangkan tak pernah fikir nak ubah sikap. Buat salah, minta maaf. Lepas tu buat lagi. Minta maaf lagi. Alamak, terbuat lagi. Minta maaf lagilah. Ini gaya orang yang nak kena penampar.

Ucapan terima kasih tadi, sambutlah dengan ucapan 'Sama-sama'. Ini lebih manis sebab ada interaksi. Jangan ada yang kata, "Terima kasih, Yam.", dan watak Yam ini hanya senyum. Ucaplah "Sama-sama" sambil tersenyum. Aduh... menyenangkan sungguh situasi ini.

Apabila kita beli makanan, kita beri duit dan tunggu mak cik gerai pulangkan bakinya. Mak cik itu kata, "Terima kasih, saya jual." Ada yang hanya diam diri dan sambut pulangan baki. Ada yang sekadar angguk dan jawab, "Sama-sama." Ada juga yang angguk, jawab "Sama-sama, saya beli." Indah sungguh kerana akad jual belinya selesai elok. Tetapi sekiranya mak cik yang jual itu berat mulut, mungkin dia sudah tua dan kepenatan, kitalah yang ucapkan "Terima kasih, mak cik. Saya beli ya?" Tak salah kalau peranannya terbalik begini. Saya sekali lagi yakin, mak cik itu walau mukanya tak menunjukkan apa-apa reaksi, hatinya sedikit senang. Ataupun ada hati pelanggan lain yang rasa senang dan merasakan anda pembeli yang berbudi bahasa lantas si dia jatuh suka pada anda? Hai... tak mustahil. Hehehe.

Jadinya, saya ucapkan terima kasih kedua
saya (ya, perkataan 'kedua' itu bukan silap letak) kepada orang tua saya, kepada adik beradik saya yang selalu bertekak namun kalau tengok cerita kelakar, kita ketawa sama-sama, kepada kawan-kawan rapat mahupun tidak begitu rapat kerana dasarnya kita tetap kawan selama menemani saya, kepada semua guru saya kerana mendidik saya di luar rumah, kepada jiran tetangga dan pak guard warganegara Bangladesh yang tolong menjaga keselamatan rumahku syurgaku, kepada majikan yang sudi berikan saya peluang menimba pengalaman baru, kepada bekas-bekas majikan juga kerana tanpa anda, saya takkan rasa majikan saya yang sekarang ini sangat best, kepada semua peniaga yang membantu hidup saya agar lebih mudah, kepada pencipta seterika kerana saya amat tidak selesa jika pakaian saya komot, kepada... aduhlah... sangat ramai. Terima kasih semua. Terima kasih saya yang utama, kepada Allah. Saya di sini kerana izin-Nya.

Maaf sekiranya ada yang merasakan saya tidak menghargai mereka. Saya ucapkan terima kasih kerana saya memang menghargai semuanya. Cuma mungkin tika itu saya sendiri lupa mengingatkan diri saya untuk ucapkan terima kasih. Kerana senyuman saya lebih pantas daripada kelajuan bunyi. Ewah!

Jumpa lagi semua, dan wassalam.



Ini motor saya yang sangat berjasa. Hampir enam tahun saya dengan dia. Setiap kali tengok dia, hati saya sebak kerana sekarang saya kerap bersama Cik Lisa saya. Dia kini di bawah jagaan adik saya. Dik, jaga Si Ungu ini baik-baik.

Ini pula Cik Lisa saya. Harta turun-temurun milik emak. Kini saya jaga dia. Harap dia jaga saya juga. Kalau saya mengantuk, Cik Lisa tolong kuatkan volume radio kuat-kuat secara tiba-tiba ya? Saya pasti akan tersedar kembali. Gile horror.

Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...