22 October 2009

Tajuk: Hobi Saya

Saya banyak kali cuba melakukan hobi yang menunjukkan saya sah seorang perempuan, namun saya...

GAGAL.

Dulu, saya rajin belajar memasak, dengan melihat buku-buku resipi milik emak saya. Seingat saya, masakan pertama saya, yang
real boleh dikatakan memasak, ialah nasi goreng. Waktu itu saya masih sangat kecil. Bersaiz separuh Panadol. Waktu belum kenal sehelai kain bernama tudung, waktu memanjat pokok dengan memakai skirt cotton atas lutut. Namun saya tidak tahu mengapa dalam ingatan saya ini, saya memasak pada waktu petang, sebelum emak saya pulang dari pejabat. Saya ponteng sekolah dan meninggalkan ilmu kerana nasi goreng??? Dunia semua ini!

Saya mula memasak jam 3 petang, dan apabila nasi goreng itu siap, saya hias ala-ala sama seperti dalam buku resepi itu. Oleh kerana saya memasak itu buat kali pertama, saya mahu emak saya menjadi orang pertama yang rasa. Namun emak saya pulang selepas jam 5 petang. Maka saya sembunyikan nasi goreng itu ke dalam almari pinggang mangkuk bagi mengelakkan 'piranha berkaki' di rumah saya membelasah masakan saya itu terlebih dahulu sebelum emak saya.

Apabila emak saya pulang sahaja, saya terus meminta dia rasa nasi goreng saya, yang kala itu sudah sejuk. Saya tidak ingat apa reaksi emak saya, namun saya ada ingat saya makan sendiri masakan saya. Mungkin ketika itu emak saya sudah kenyang, kerana dalam ingatan saya ini juga, nasi goreng saya itu sangat sedap. *Beri 5 bintang untuk kenyataan penuh berkeyakinan ini.*


Saya tidak menghias nasi goreng saya sebegini. Ini sungguh ngeri kerana hiasan ini mengingatkan saya pada wajah rakan saya. Saya pasti tidak tergamak mahu mencocok nasi ini dengan sudu.

Kemudian saya sudah tidak minat belajar memasak. Saya kekal tahu menggoreng nasi, dan mi kerana ramuannya sama. Namun sekiranya masakan goreng saya tiada bawang dan sayur hijau seperti sawi, janganlah meminta-minta. Kerana memang tiada. Saya tidak pernah masak menggunakan bawang. Siapa pencinta bawang, janganlah mencintai saya. Kerana akan ada cinta yang terkorban kelak. "Awak pilih, bawang ataupun saya!" "Bawang!" "Kita putus!"

Lalu saya berubah angin, meminati hobi membuat biskut. Saya dan kakak kedua saya memang kerap bereksperimentasi dengan resepi biskut. Masa yang paling ditunggu-tunggu ialah ketika menekap doh dengan bentuk-bentuk seperti ikan, nanas, bintang dan epal. Ada kalanya rasa hendak makan biskut tanpa rupa, maka akan penyekkan sahaja doh menggunakan tapak tangan, kemudian bakar. Kadang-kadang, sesuatu yang tidak sempurna pada zahirnya lebih memuaskan hati. Biskut itu kelihatan pelik dan kelakar, namun seronok dipegang kerana besar. Seperti dalam iklan Chipsmore. Tipu sungguh iklan itu. Dalam iklan bukan main besar biskutnya.


Ini bukan iklan Chipsmore yang dimaksudkan.

Tapi satu kelemahan membuat biskut ini ialah, saya tidak akan mampu membuatnya tanpa melihat buku resepi, dan tanpa alat-alat pengukur dan penimbang. Berapa gram, berapa mililiter, semua itu saya tidak dapat mengagak sendiri. Saya sangat tidak gemar matematik. Dan geografi. Sejarah juga. Perdagangan. Statistik. Ekonomi pun.

Kemudian saya sudah tidak minat memasak dan membuat biskut. Saya terjebak dengan hobi membuat cross-stitch pula, kerana sering melihat emak saya membuatnya.


Beginilah cara cross-stitch.

Senang, tetapi agak leceh. Perlu tukar-tukar warna benang sekiranya hendak menampakkan keindahan hasil. Kalau hendak buat Mickey Mouse tetapi malas tukar benang selepas menggunakan benang hitam bagi membuat telinganya, baik buat bentuk noktah bersaiz 2 pixel.

Disebabkan hobi ini memerlukan ketekunan dan masa yang jitu, saya hanya memberikan sokongan buat emak saya. Emak saya juga sudah berhenti melakukan hobi ini, namun dia sudah berjaya siapkan dua helai dan membingkaikannya. Syabas!

Memasak, membakar, menjahit... semua sudah cuba.

Kemudian saya cuba melukis. Saya sangat suka melukis zaman-zaman saya muda dulu. Lukis bunga, rumah, pokok, burung, epal, kolam, itik, pelangi, awan, daun, kucing, kerusi, pensel, pemadam, meja, pembaris, kereta dan bermacam-macam lagilah. Saya juga pernah melukis komik 5 panel (itu layakkah dikira komik?). Lelaki dengan rambut belah tengah ala-ala Nick Carter, yang pengsan kerana terminum 'racun'. Gila. Hobi ini nyata gagal kerana saya bersikap seperti psiko. Namun hingga ke hari ini, saya masih boleh melukis
bunga, rumah, pokok, burung, epal, kolam, itik, pelangi, awan, daun, kucing, kerusi, pensel, pemadam, meja, pembaris dan kereta itu.

Bagi terus meyakinkan diri ini ialah orang perempuan, saya cuba menjaga bunga dan tumbuh-tumbuhan milik emak. Setiap petang saya akan rajin menyiram pohon-pohon itu dengan penuh kasih sayang. Namun saya gagal melaksanakan amanah apabila tiba hari di mana kartun kegemaran muncul di televisyen. Tomato Man (kartun Jepun), Doraemon, Thundercats, Conan The Ape Benda Ntah, Thunderbird, He Man, dan banyak lagi. Untung eh budak-budak zaman sekarang. Kartun semua cantik-cantik. Hero hensem. Tak macam He Man. Selera eh tengok kartun macam ni dulu-dulu. Thunderbird memang dah tak boleh blah. TERGAMAK SAYA TENGOK SEMUA INI DULU!!! Maruah!!! Maka saya sudah tidak lagi diberikan tanggungjawab menyiram pokok.


Mual. Dulu inilah hero yang kau puja-puja, Husna.

Semuanya gagal kerana saya ketika zaman muda agak 'kelelakian'. Saya banyak berkawan dengan adik-adik saya yang lelaki kedua-duanya, dan berkawan juga dengan kawan adik-adik saya. Saya lebih menyukai aktiviti memanjat pokok rambutan, meredah sungai, menjelajah kebun keluarga India di hujung jalan, bermain robot dan juga berlumba kereta Tamiya. Saya tidak ada hobi keperempuanan. Saya cuba, namun nyata tidak serasi.

Kerana itu saya masih ada sifat-sifat tidak anggun pada sesetengah situasi. Saya bukan gadis ayu, lemah lembut, gemalai-gemalai itu.

Saya kecewa dengan prestasi sendiri.

Kini saya
kembali mahu cuba melakukan hobi orang perempuan.

Siapa ada cadangan bernas?

Kata kunci: Hobi perempuan yang positif. Saya ada terfikir mahu menjadikan jeruk dan asam makanan ruji, namun itu tidak sihat walaupun itu memang sah keperempuanannya.

Tetapi....

Teringat tazkirah maghrib di radio Era tadi. Kata Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, "Kita jangan terlalu mahu mengikut arus. Ikan selalu berenang melawan arus kerana mahu bebas. Hanya ikan yang mati terpaksa mengikut arus."

Perlukah saya mempunyai hobi keperempuanan?

Tak apalah. Biar saya fikirkan sambil bermain bola sepak pantai.

Assalamualaikum!

12 October 2009

Luar Kotak Biasa. Jom!

Isnin:
Hari ini ialah hari berkerja!
Esok dan tiga hari berikutnya juga perlu berkerja!

Kerja ialah
best kerana kita tidak hanya makan, minum, melayari Internet, menonton video di Youtube dan tidur demi mengisi masa lapang.

Kemudian tibalah lagi hari minggu yang sepatutnya penuh dengan aktiviti gembira! Emak, kawan-kawan, terima kasih kerana ada. =)


Bersemangat! (>o<)

Ahad:
Mood: Jiwa kacau.
Sebab: Pelbagai.
Lokasi: Di dalam kereta.

Aktiviti: Bersama emak.

Tentatif: Ikut, beri pendapat, senyum, balik, luahan secara tiba-tiba.

Hasil: Emak seorang yang
dingin, tetapi sebaris ayatnya bikin hati tenang.
Keputusan: Yakin pada takdir Allah. Doa dan usaha yang terbaik.



Sabtu (malam):
Tonton Oprah.
Bicara mengenai filem terbaik buat manusia hebat.

Oprah diakhiri dengan nyanyian Alicia Keys: Superwoman. She's gorgeous!



Sabtu (pagi):


Reasons to live.

"And I want to be one of the woman who change the world. Pray for me."

Wassalam.

07 October 2009

Normal sebenarnya. #2


Kekasih hati saya


KINI SUDAH HILANG!!! (ToT)

Satu per satu kehilangan.

Namun kehilangan ini tidak mampu saya tanggungi!!!

*Wowowowowowowowowowowowowowowowowo*

(ToT)

(ToT)

(ToT)

ENAM TAHUN BERKHIDMAT,
DAN IA TAMAT DENGAN CARA BEGINI???
SAYA TIDAK BOLEH TERIMA!!!


Sekarang pukul 3.30 pagi, dan saya tidak boleh tidur mengenangkan ada orang asing menggunakan si sayang saya. Dan mengenangkan bahawa si sayang saya ini berkemungkinan besar tidak akan kembali lagi.

IA HILANG DI DALAM PEKARANGAN RUMAH.

Pada waktu adik saya masih ada di ruang tamu.

Sekitar jam 11.30 hingga 12.30 tengah malam.

Apakah semua ini???

Rumah saya sudah dijejak masuk oleh orang asing.

Cik Lisa sedang parkir di luar rumah.

Rumah saya lebih ramai perempuan daripada lelaki.

Lelaki sering keluar berjimba.

Hati saya tidak tenang.

Mohon doakan keselamatan keluarga dan rumah saya.

Kawan-kawan juga, sila berhati-hati ya sayang?

Apabila kita leka, (dalam kes ini, adik saya kerana tidak kunci stereng dan juga tidak lock break disc sedangkan sudah berjuta lemon kali I told him to!) sekelip mata sahaja ia akan hilang.

Boleh tak sekiranya saya mahu berikan dedikasi buat
si penjahat? Boleh ya?

"Kepada yang berkenaan, dan juga kepada semua peragut, pencuri, perompak dan manusia jahat,
*segala sumpah seranah dan maki hamun yang tidak mahu disebut di dunia nyata dan ditulis di blog*!"

Okey, saya hendak terus mengadu kepada Tuhan sekarang.

La la la la... normallah semua ini. Mana ada yang kekal abadi,
melainkan Allah SWT.

*Mourning session is now on.*

Wassalam.

06 October 2009

Kahwin (Uuu....)

Assalamualaikum, hai semua!

Kontroversi tak tajuk entri kali ini? Haa... takut tak? Hehehe. Adik-adik bawah umur, kalau rasa-rasa tengok Ben 10 lebih menarik, silalah pangkah tetingkap blog ini ya? (^_^)

Mengapa tiba-tiba timbul isu kahwin?
Oh no, no. Bukan kerana saya ada perancangan berkahwin secara bawah tanah. Saya masih muda remaja. Masih mahu pergi ke disko setiap malam, mencocok bulan sambil menikmati usia muda dengan hiburan dan air bikarbonat! Hahaha!

Topik ini kerana bulan-bulan akan datang ialah musim orang berkahwin.


Dan kakak saya adalah salah seorang daripada golongan bertuah ini. Bakal mendirikan masjid bersama pasangan yang dikasihinya. (Mari doakan mereka berjaya!) Namun, saya lihat, ada satu kerunsingan kakak saya dan pasangannya, serta beberapa rakan yang ada perancangan berkahwin...

iaitu...

duit.

Cukup ataupun tidak duit untuk majlis?

Cukup ataupun tidak duit untuk mak andam?

Cukup ataupun tidak duit untuk jurugambar, penanggah, pemain kompang dan sebagainya?

Sehingga pada satu tahap, ada yang sanggup berhutang dengan bank, buat pinjaman semata-mata majlis perkahwinan yang mengikut budaya terkini. Orang zaman sekarang ambil gambar tepi tasik, buat bentuk love pada mentari kejauhan, main sorok-sorok tepi pokok.... Serius. Ini satu ikutan yang comel. Sangat comel. Saya tidak pernah jemu melihat gambar kemesraan pengantin baru yang gayanya agak klise, tetapi kegembiraan itu yang saya suka tatapi. Kebanyakan orang mahu bergambar sebegitu. Tetapi kos mencari jurugambar terbaik sudah termasuk dalam kos berkahwin, sehingga menjadi bebanan. *Contoh.*

Saya tidak berani hendak tulis lebih-lebih, bimbang diri sendiri terkena kerunsingan ini. Yang saya hendak tulis di sini bukan tips berjimat cermat demi melancarkan majlis (walaupun ini sebaiknya), bukan juga hendak menasihati buat mana yang perlu dan mampu sahaja (ini tugasan orang tua! Saya masih muda!). Impian itu ialah impian masing-masing. Kalau diberi pilihan, semua orang hendak buat majlis gilang-gemilang. Itu tanda cinta kita pada hubungan kita bersama pasangan, dan betapa riangnya hati kita kerana akhirnya dapat disatukan atas hubungan yang sah.

"Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya." - Surah An-Nur: 32 - Sekarang musim kahwin. Jika kamu miskin maka Allah akan cukupkan."

Itu status salah seorang rakan Facebook saya semalam. (Saya tidak nyatakan nama, bimbang empunya Facebook tidak selesa. Malah empunya akaun juga masih bujang. Hmm... hehe.)

Saya cukup suka status ini, sehingga saya mahu abadikan di blog saya. Saya tidak tinggi ilmu agama, kerana itu sekiranya ada kawan-kawan yang biasa dengan petikan ayat suci ini, janganlah dicerca saya yang baru tika ini mengetahui. Mohon....

Semua bergantung pada niat. Jika niat kita baik, pasti Allah bukakan pintu rezeki kita.

Saya sering menasihati semua orang yang saya sayang, apabila mereka ada kesempitan wang, lebih-lebih lagi apabila berkaitan hal membina masjid ini, supaya jangan terlalu runsing. Saya tidak gemar apabila mereka tidak ada wang yang cukup bagi impian mereka, mereka rasa berkahwin itu satu bebanan. Mereka rasa, tangguhlah dahulu kerana tidak cukup duit. Bagi saya, keraguan itu datangnya daripada syaitan. Siapa lagi makhluk yang sering menggagalkan hasrat anak Adam yang baik-baik seperti membina masjid? Tentulah makhluk itu sahaja. Makin ragu, makin tangguh, makin tambah pula keinginan lain. Mana mungkin cukup begitu.

Jika sudah ada keinginan, gaji masuk tiap-tiap bulan, akaun pun ada simpanan, saya kira, teruskan sahajalah. Ya, saya tahu perlu ada banyak lagi pertimbangan, tetapi saya berpendapat, tidak perlu sampai menangguhkan majlis yang suci sebegini. Ini mungkin jugalah bagi yang sudah mengikat tali pertunangan.

Hal-hal lain menjadi sebab tertangguh, tidak mengapalah. Hal keluarga ke, ada kematian ke, tidak mengapalah. Jangan sebab rasa duit tidak cukup sampai tertangguh. Awak dah ada kekasih hati ni! Lama-lama tunggu, orang kebas baru tahu. *Mode garang tiba-tiba. Haha!*

Saya sudah menjadi saksi, mereka yang berkahwin asal mampu diberikan rezeki sama ada beberapa bulan, minggu mahupun hari sebelum majlis. Selepas berkahwin apatah lagi. Rezeki melimpah-ruah. Ini kerana niat mempercepatkan apa yang halal itu ialah niat yang baik. Niat yang baik, Allah pasti tolong. Kita hanya perlu terus usaha dan meminta dengan cara sebaiknya.


Emak saya yang orang label sebagai rock itu berkata, "Selepas kahwin, lagi senang nak fokus apa-apa. Emak dulu kahwin masa emak masih belajar di universiti. Selepas itu, mengandung. Tapi emak lulus macam orang lain juga dengan perut membesar. Lagi cemerlang agaknya. Sebab dah tak perlu fikir hal kahwin. Suami ada, kalau ada apa-apa masalah, ada sokongan. Kurang duit, suami ada." (Bahagian yang italik ialah rekaan saya kerana emak saya tidak bercakap sebegitu miang. Tetapi, of course la kan? Kan? Bagi yang lelaki, ada isteri, terjaga makan minum, sokongan pun ada. So betul la kan?)

Niat. Kalau niat nak buat majlis macam artis sebab nak menunjuk-nunjuk, kamu fikirlah sendiri. Tetapi kalau pilih makanan yang sedap-sedap tetapi mahal kosnya, pilih tempat yang ada bumbung, ada kipas, semuanya supaya tetamu selesa, saya kira niat sebegini tidak ada salahnya. Mengutamakan tetamu itu juga pintu rezeki. Apabila kita menyenangkan hati tetamu yang datang, pasti akan ada kebaikannya kelak. Kerana itu saya faham mengapa ada yang runsing dengan kos majlis. Mereka mahukan yang terbaik. Kita semua impikan yang terbaik.

Entri ini untuk menanamkan keyakinan bahawa Allah akan membantu berkenaan hal-hal baik seperti berkahwin ini. Jangan bimbang, pasti akan ada jalan penyelesaian.

Ini blog tulisan orang miskin ya? Kalau awak dan awak serta awak mahu baca tulisan orang kaya, nyata-nyata awak salah tempat. Boleh join adik-adik tengok Ben 10. Itu pun kalau Ben 10 belum habis sebab dah ambil masa baca entri yang panjang. Anak-anak orang kaya boleh terus kahwin gilang-gemilang tanpa perlu runsing.

Jadi, kepada kawan-kawan yang sudah ada niat mendirikan masjid, sekiranya kos membeli simen, batu-bata semua pun sudah ada, tinggal nak naikkan kubah, teruskanlah. Jangan sebab tak ada kren untuk naikkan kubah, masjidnya tak jadi. Guna takal pun boleh, bukan? =) *wink

Semoga merancang majlis dengan gembira ya! Takmo kerut-kerut, senyum.... (^_^)

Bye bye. Jaga diri baik-baik! Wassalam.

P.S: Soalan di ruang komen seperti, "Sna, ko bile lagi?" ataupun "Cik Husna bila lagi?" dan sewaktu dengannya tidak akan dilayan. "Sna, bila nak gi cocok bulan?" boleh consider. TQ.

03 October 2009

Normal sebenarnya.

Assalamualaikum.

Wah... sudah masuk bulan Oktober kita ya? Pejam, celik, pejam, celik, tahun 2009 tinggal dua bulan sahaja lagi. Tiba-tiba terfikir, adakah impian saya untuk tahun 2009 sudah terlaksana, ataupun sedang diusahakan, ataupun tidak? Saya tidak ingat di mana senarai itu saya letak. Dulu, masa mula-mula kembali duduk dengan keluarga, saya tampal pada dinding bilik. Kemudian, entah ke mana hilangnya senarai itu. Senarai yang saya tulis di rumah sewa lama, kerana ketika itu semangat begitu berkobar-kobar hendak menjadikan tahun 2009 tahun gemilang pertama, selepas pelbagai insiden 2008 yang meruntuh jiwa. Wah ayat.

Tetapi saya rasa, emm... bukan, tetapi saya yakin, kebanyakan impian 2009 saya sudah saya laksanakan, sama ada dengan usaha sendiri, mahupun secara kebetulan. Ada yang sedang diusahakan, dan ada juga yang tidak. Tidak kerana saya belum yakin melakukannya. Mungkin boleh dianjak menjadi impian 2010. Mungkin. Lihat pada motivasi diri tahun hadapan.

Motivasi.

Waktu ini, sedikit hilang.

Rasa seperti dicabut dari semangat diri dengan perlahan tetapi pedih....

"People always leave."

Itu quote 'kegemaran' bos saya. Saya tidak suka petikan kata-kata itu pada mulanya, kerana saya tidak suka menghadapinya. Tetapi sebenarnya, sekuat mana saya membantah, ia tetap akan berlaku. Bukannya saya tidak pernah menghadapi perpisahan, namun mungkin saya hanya tidak mahu terima hakikat betapa kosongnya hidup saya pada satu-satu tahap.

Walaupun kemudian saya mampu hadapi, kerana saya suka kelemahan saya yang satu ini, yakni saya senang untuk lupa. Bukan melupakan, tetapi ia secara automatik kerana saya sibuk menggembirakan hati sendiri. Saya sepatutnya tidak boleh menyukai kelemahan ini, tetapi somehow, I do.

Lupa perasaan kosong.

Kerana saya jenis yang tidak gemar terus bersedih, walaupun saya seorang yang senang menangis. Saya tidak malu mengakui hakikat ini (tetapi saya sedang cuba kurangkan seboleh mungkin ketika di khalayak ramai), kerana itu anugerah Allah buat saya dan wanita lain. (Ewah nak kaitkan juga). Sekurang-kurangnya, saya tidak hiris urat lengan, gantung diri, pecahkan pinggan mangkuk, memaki hamun sehingga keletihan, hantuk kepala sendiri ke dinding, terjun bangunan, tumbuk pintu kaca hingga berdarah, pukul orang dan sebagainya. Jadinya kalau tiba-tiba kita berada dalam satu situasi sedih, dan anda terlihat mata saya berkaca, sila abaikan. Anggap sahaja mata saya sudah letih memakai kanta lekap. Haha! Tapi betul... ada kala memang berair sebab mata letih. Siapa pakai kanta lekap, angkat tangan!

Ha... di sini saya nak kongsi satu lagu kegemaran saya apabila saya bersedih ataupun hilang motivasi hidup ataupun segala macam perasaan tidak best itu. Saya akan pasang volume kuat-kuat, dan pasang lagu Stacie Orrico dan menyanyi dengan sepenuh hati! Saya suka liriknya. Memang all time favourite la ni. Ada banyak lagi lagu penaik semangat saya, tetapi saya tidak pernah rasa bosan mencari l
agu ini setiap kali roda berada di bawah.

Sememangnya hidup kita bukan setakat di sini. Sekali lagi, saya meminjam qoute Bahruddin Bekri, "
Kita jangan sesekali mendahului kerja Tuhan." Selagi Tuhan masih berikan kita nikmat nyawa, kita perlu teruskan hidup. Terus hidup dengan teruskan berusaha. Yah!

Jadi, kepada semua semangat yang sudah patah, marilah kita bangkit! Kita cari kegembiraan yang boleh dijadikan pemangkin semangat baru. Sekiranya perpisahan itu salah satu cara untuk mencari kebahagian, marilah kita berpisah! Err... macam tak best ayat itu, tetapi, layan sajalah.

* * *

Bertemu dan berpisah dengan seorang sahabat pada 1 Oktober lepas, sesuatu yang menyedihkan saya tetapi juga sesuatu yang membuka pandangan saya.

Beliau lebih banyak menghadapi perpisahan, yang juga pada mulanya tidak menyukai perpisahan itu kerana rasa sudah selesa dengan keadaan hidup sedia ada. Kemudian beliau mendapati yang hidupnya selepas itu bertemu dengan hidup yang lebih baik selepas satu-satu perpisahan. "Sejak itu, saya percaya." Percaya apa yang menunggu di hadapan adalah lebih baik.

Bagus, bukan? Seorang yang hebat kerana begitu positif. Pasti saya ingati awak, sahabat! Semoga gembira dengan perjalanan hidup yang seterusnya. Good luck!

* * *

Ya... saya menulis entri ini kerana saya down beberapa hari ini. Saya tidak ada apa-apa yang bagus bagi mengemas kini blog ini kerana hati saya sedang hilang motivasi.

Saya menghadapi kehilangan satu per satu.

Akhir September lalu, saya baru kehilangan seorang sahabat baik. Bukannya meninggal dunia, tetapi beliau mengambil keputusan menjadi manusia lain yang saya tahu, at the end, beliau memang akan menjadi manusia lain berbanding siapa beliau yang saya kenal ketika ini. Sebelum itu, saya juga 'kehilangan' sahabat yang sangat rapat kerana beliau mendapat kerja kerajaan, sehingga beliau ada perancangan untuk berkahwin pun, saya sudah tidak diberitahu.
Apa-apa pun, saya mendoakan semua sahabat saya kesejahteraan hidup. Nak kena ni... nak kahwin pun senyap-senyap, hehe.

Bulan ini, terjadi lagi. Bulan-bulan akan datang, akan jadi lagi. Tahun hadapan, pasti akan ada lagi. Sebab, "people always leave". Ya, kini saya sudah menerima kata-kata itu 100%. Kerana akhirnya nanti, kita mati juga sendirian. Dihitung nanti pun, sendirian. Tak boleh main pakat-pakat dengan kawan ketika ditanya malaikat. Semua pun sendiri bikin.

Tetapi kini saya sudah yakin!

Apa yang penting, kita perlu fikir positif dengan apa yang kita akan hadapi kelak. Kalau perlu berpisah, kita perlu yakin perpisahan itu demi kebaikan, kerana Allah. Tetapi sebenarnya, sekiranya kita berpisah, janganlah kita lupa siapa yang dijauhkan itu. Hanya lupakan kesedihan perpisahan. Siapa insan yang dipisahkan dari kita, kita tetap ingat betapa hebatnya dia sebagai kenalan kita.

Perpisahan itu sesuatu yang normal sebenarnya. Tidak pelik pun.

YA!

Entah apa yang saya mahu 'ya' kan, tetapi itulah. Saya sudah kembali bersemangat! Hahahaha!

Sekiranya cecair di dalam bekas T-Rex a.k.a kuda laut
a.k.a unta itu sudah habis, bancuhlah air sabun lain. Masih boleh menghasilkan buih-buih riang apabila ditiup. Think!

Okeylah. Sebelum saya mengundurkan diri yang sudah kembali bersemangat ini, saya mahu meninggalkan kawan-kawan dengan satu teka-teki yang saya dapat daripada Google. Sila jangan Google bagi mendapatkan jawapannya kerana itu menunjukkan anda tidak fun.

Soalan:
Seorang lelaki memakai pakaian serba hitam, seluar hitam, kasut hitam, sarung kaki hitam, sarung tangan hitam, dan kaca mata hitam. Dia berjalan di sebuah lorong hitam. Semua lampu di lorong itu padam. Kemudian, sebuah kenderaan berwarna hitam dengan lampu yang juga dipadamkan meluncur laju memasuki lorong itu. Namun tepat di hadapan lelaki itu, kenderaan berhenti. Bagaimana mungkin pemandu kenderaan itu boleh melihat lelaki serba hitam itu?

Bye bye! Wassalam. (^_^)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...