24 December 2009

Semoga Jumpa Lagi!

Hai kawan-kawan! Assalamualaikum! (^_^)

Berjumpa lagi kita pada entri kali ini. Kawan-kawan apa khabar? Harapnya semua dalam keadaan sihat dan ceria bagi menghadapi hari-hari mendatang. Di tempat kawan-kawan cuacanya bagaimana? Di Kajang, tanah milik Tuhan ini baru sahaja dibasahi air hujan rahmat yang menjanjikan 1001 sebab untuk saya tidur dengan nyenyaknya. Ha... benci, bukan? Ayat-ayat saya ada nilai baik dan mesra seperti rancangan binatang ungu berdiri itu.

Sedangkan saya ini bukanlah peramah sangat orangnya. Hua hua hua. *Ini bunyi gelak
ignorant.*

Okey, inilah entri yang saya tunggu-tunggu.


Bermula esok hingga tiba tahun baru 2010 yang diharap lebih indah itu, saya tidak akan berada di hadapan laptop dengan lebih kerap seperti biasa.

Ke mana saya pergi?

Adakah saya mahu berhenti menggunakan Internet dan mula mengetuk-ngetuk batu hingga memercikkan api dan membakar kayu lalu mengibas-ngibas kain agar asapnya mampu menerbitkan hasrat hati saya kepada kawan-kawan sekalian, dan menyumbang kepada penipisan ozon?


Wah, janganlah sebegitu marah.

Sudah tentulah tidak.

Saya amat sayangkan teknologi, walaupun tidak begitu berminat mengejar kemajuan kerana jenama itu dan ini sering menerbitkan siri-siri baru hingga tidak dapat saya ingati. Zaman 3310 dan 3315 sudah jauh berlalu. Apa??? Anda tidak tahu apa nombor-nombor itu??? Kasihan... itu adalah nombor giliran di Bank Muamalat. (~~.)

Baiklah.

Saya sangka saya akan menulis dengan amat pendek, namun tidak berjaya.

Mari ke topik asal.

Esok pagi, saya akan berangkat ke luar Selangor yang saya cintai ini demi menuju ke arah utara yang penuh dengan misteri itu. Misteri?

Oleh kerana minat saya pada geografi yang tiada langsung, saya sudah membeli beberapa peta negeri bagi membantu pengembaraan. (Pada yang membaca entri ini pada awalnya, ada gambar, tetapi saya fikir, macam terlalu kepoh pula siap letak gambar, hahaha.) Kami memang tidak ada perancangan yang khusus mahu ke mana. Memang main redah sahaja dengan bantuan peta-peta hikmat itu. =D

Oleh itu... saya dengan rendah diri ingin memohon ampun dan maaf kepada semua yang membaca sekiranya saya ada salah dan silap. Ya, saya tahu saya ada membuat kesalahan kerana saya juga manusia biasa, walaupun saya sering berubah-ubah mengikut situasi. Saya bukan wanita ayu, namun saya tidak perlu bertindak seperti anak hutan 24 jam. Penat, tahu? Saya juga bukan Barney, jadinya tidak pelik sekiranya ada kalanya saya tidak peramah. Saya sudah tentu bukan almari, jadi mohon halalkan segala yang saya makan dan minum. Semoga kemaafan dan keikhlasan hati kalian makin mempermudahkan pemergian saya sekeluarga.

Maaf juga buat unit tersayang. Semoga tiada masalah sepanjang pemergian saya. Saya janji akan kembali dengan semangat baru, dan semakin pantas bekerja! Love u olls!


Okeylah. Sampai di sini sahaja. Jangan nakal-nakal ya? Tolong tengok-tengokkan blog saya ini daripada jurujual siber. Nanti banyak pula iklan makan beras-lah, iklan ubat gigi-lah, iklan kerja dari rumah-lah, iklan itu-lah, iklan ini-lah. Kalau ada yang bertindak lucah dan mencarut-carut, nanti kita belasah dia ramai-ramai. Tendang perut dia guna kasut bola. Kalau tak ada kasut bola, pergi beli. Jangan nak pinjam-pinjam.

Sudah! Sudah!

Bye! Semoga jumpa lagi! \(^o^)/ Don't miss me too much! Nanti habis mata kanan saya tak ada bulu mata. Wahahaha! *Tak faham, sudah.*

20 December 2009

Drama Minggu Ini

Kisah 1:

Sesuatu yang mengejutkan berlaku pada saya dan keluarga pada hari Jumaat yang lalu. Pada jam 3.00 petang waktu Malaysia, saya yang berada di dalam bilik mendapat panggilan daripada nombor emak saya, tetapi suara adik pertama saya yang kedengaran. Bunyi seperti di dalam kereta, sedangkan tadi mereka berdua sedang menonton televisyen. Sah, ada sesuatu sudah berlaku.


Sama seperti ketika saya diberitahu bahawa motor kesayangan saya sudah hilang.

Saya seperti tinggal di kawasan yang berlainan dengan keluarga saya kerana saya sering dihubungi melalui telefon sekiranya ada apa-apa berlaku. Termasuklah sekiranya diminta mengangkat kain kerana hari mahu hujan. Sedangkan saya hanya berada di dalam bilik. Bilik saya di tingkat atas, sama aras dengan bilik adik-adik saya, manakala bilik emak dan bilik kakak sulung saya di bawah.

Perenggan pertama di atas kelihatan saya seperti tinggal di Dublin.

Okey, mari teruskan cerita.

Kali ini saya mendapat panggilan telefon yang mengatakan adik bongsu saya kemalangan. Bukan kereta langgar dia. Dia yang langgar kereta. Kereta itu sudah berhenti di simpang, tetapi dia tidak perasan hingga terperosok ke bawah kereta.

Ketika di bawah kereta, rakan-rakannya berlari mendapatkannya, dan bertanya sama ada dia boleh keluar ataupun tidak. Satu respons positif kerana dia mampu bercakap tetapi dia kata dia tidak boleh keluar sendiri. Maka dia dikeluarkan dari bawah kereta oleh rakan-rakannya, dan ketika itulah darah membuak-buak keluar dari mulutnya. Sangat ngeri kerana darah itu sampai berbuih dan dia menggelupur sebelum pengsan ketika diangkat naik ke dalam ambulan. (Seperti yang diceritakan oleh rakannya kerana pada waktu kejadian, saya di? Ya, tepat sekali. Saya di dalam bilik.)


Seterusnya selepas mendapat panggilan itu, saya dan kakak menuju ke hospital, terus ke unit kecemasan. Emak dan adik pertama saya sudah berada di situ, di samping beberapa rakan adik bongsu saya. Saya telefon kakak kedua saya yang sudah berkahwin itu. Dia juga terperanjat dan bergegas ke hospital bersama abang ipar.

Sambil menunggu keputusan doktor, menangis jugalah beberapa kali, kerana ada etika berbual yang tidak sesuai dilangsungkan oleh kakak dan adik pertama saya. Bayangkanlah, adakah patut ketika saat cemas itu, adik pertama saya menyamakan situasi adik bongsu saya dengan rakan sekelas saya yang berbangsa India, yang terperosok di bawah kereta, dan diakhiri dengan kematian. Rasa seperti hendak baling selipar ke muka dia. Emak saya yang sudah reda, menangis kembali. Sangat gila itu budak.

Saat itu, memang rasa seperti satu babak dalam drama Melayu di TV1. Duduk berderet, senyap, tangan pegang tisu dan telefon bimbit, rasa hendak meluahkan rasa pada seseorang tetapi tidak tahu siapa, memandang semua doktor dan jururawat yang keluar masuk dengan harapan mendapat berita terkini tetapi hampa, dan terus menunggu dalam kesenyapan.

Alhamdullilah, pada jam hampir lima petang, doktor keluar dan mengatakan adik bongsu saya tidak apa-apa. Tiada tulang yang patah, paru-paru semua okey, cuma leher dan paha bengkak, dan beberapa bahagian badan yang tersiat kulitnya. Ketika adik saya diusung keluar, suasana bertukar menjadi drama Cina TV2 kerana di belakang kami ialah puluhan rakan-rakan adik bongsu saya. Seperti babak ketua samseng yang diusung keluar dan diiringi konco-konco. Sangat bergaya.

Saat itu juga, hati saya dijentik kekaguman.
Tadi hanya ada beberapa orang, tetapi ketika diusung, rasanya ada lebih kurang 20 orang rakannya mengiringi. Memang ramai! Adik saya itu bukan budak lelaki yang sangat baik, samalah dengan kakaknya ini, tetapi dia baik pada rakan-rakannya. Persahabatan sesama lelaki memang menakjubkan.

Susulan pertama kisah 1:

Semalam, saya bergilir dengan emak saya yang sudah bermalam di wad bagi menjaga adik bongsu saya itu. Kasihan emak... matanya sembap, kulitnya yang putih itu bertambah pucat. Tidak selesa sebenarnya di hospital itu. Terlalu kecil dan penjaga hanya diberikan kerusi plastik seperti di kedai makan. Mahu tidur bagaimanakah?

Selepas emak saya pulang, saya menjaga adik saya sambil membaca pruf. Bosan juga duduk saja, sementara adik saya sedang tidur.

Tiba-tiba pak cik katil hadapan memanggil jururawat. Saya yang duduk bertentangan dengannya, rasa hendak pitam. Perut pak cik itu sedang mengalir darah dengan anggunnya. Saya terus memandang manuskrip yang saya pegang, dan berharap hari akan berlalu dengan pantas. Duduk di hospital bukan sesuatu yang menarik, walaupun doktor-doktornya muda dan hensem. Udaranya ada perasaan berkuman, berbau ubat, dan darah di sana sini. Plus, situ ada kucing lalu lalang di bawah katil pesakit. Relek, bukan?

Petang semalam juga, adik saya sudah dibenarkan pulang ke rumah. Alhamdulillah... adik saya kuat. Dia kuat seperti saya. *Bergerak dan memasuki bakul perlahan-lahan*

Sebenarnya, untuk menjadi manusia yang kuat, perlu kuat di hati dan di minda. Bukan sekadar ke gim dan mengangkat besi-besi itu. Kita perlu positif. Sekiranya kita putus asa dalam hidup, kita akan terus dalam kesakitan dan kemurungan. Walau sesakit mana situasi itu, kita perlu pujuk diri kita yang semuanya pasti akan okey. Pujuk dan yakin. Tidak perlu tipu diri kita. Menipu lebih parah. Apa aku bebelkan ni?

Susulan kedua kisah 1:

Ada satu kejadian di hospital, membuatkan saya terkenang waktu kenduri kakak kedua saya. Persamaannya adalah, saya tidak dikenali oleh masyarakat. Ketika kenduri kakak kedua saya, saya tidak dikenali sebagai ahli keluarga saya. Mungkin hanya pembantu bagi melancarkan majlis, sedangkan saya adik kepada pengantin. Saya yang berdiri di sebelah emak, sering tersenyum pasrah apabila ada tetamu bertanya kepada emak saya, "Anak
kau berapa orang? Yang kahwin ini yang kedua. Yang tu yang sulung. Anak perempuan kau tiga orang kan? Mana yang satu lagi?"

Yaaa... menarik sekali. 'Mak cik, sayalah anak ketiga itu.'

Ketika di hospital, ada seorang rakan adik bongsu saya yang juga jiran lama kami datang melawat bersama ibunya. Saya salam ibunya, tanpa mengetahui, dia telah berbisik pada adik pertama saya. "Itu kakak kamu juga ke? Kenapa macam tak pernah nampak?"

Saya rasa saya memang perlu duduk di Dublin.

Saya tidak akan bersedih kerana tidak dikenali! Saya berfikiran positif. Antaranya:

a) Saya berpisah dengan keluarga demi hidup berdikari terlalu lama hingga tidak dikenali.

b) Dulu saya comot. Kini apabila saya sudah dewasa, saya sangat berbeza kerana saya semakin jelita hingga tidak dapat dicam oleh mereka lagi. Kes The Ugly Duckling yang menjadi angsa yang gorgeous.

*Masih duduk di dalam bakul sambil meniup buih-buih riang.*

Hidup yang penuh pancaroba. Tetapi menarik.

Kisah 2:

Semalam, sebelum tidur, saya memakai earphone dan mendengar radio. Ada sebuah stesen radio yang sedang menunaikan permintaan lagu pendengar. Saya terus teruja hendak menghantar permintaan lagu. Hahaha! Kredit banyak, bukan guna pun. Tetapi saya terlepas dengar nombornya. Maka saya simpan sahaja. Tiba-tiba selepas lagu InTeam yang sedap itu, DJ sebut lagi nombornya. Saya terus taip, dan mengarang permintaan lagu. Jam 10.48 malam, saya hantar SMS pada stesen radio itu. Jam 10.49, dapat ucapan terima kasih kerana mendengar slot itu. Lalu saya teruskan dengar, tetapi saya tahu, saya sering tidak bernasib baik.

Selepas mendapat SMS itu, DJ kata, slotnya sudah hampir tamat. Jam 11 malam akan bertukar kepada slot lain. Saya tidak pernah dengar slot itu, jadi manalah saya tahu sudah hampir tamat. Saya tergelak. Tak apalah, memang sekadar mahu mencuba.

DJ pun baca SMS, daripada Labah-labah apa entah, nama samaranlah tu. Selesai baca SMS daripada Labah-labah, DJ ucap selamat malam, tiba-tiba, DJ ITU BACA SMS SAYA!!! Hahahaha! Saya sangat gembira! Dan saya melelapkan mata dengan senyuman kerana dapat mendengar lagu permintaan saya... Sangat manis... hik hik hik. Pandai DJ itu buat surprise.

Kesimpulan:


Cuti tiga hari ini dipenuhi dengan drama kehidupan yang mendewasakan. Ada manis, ada tidak. Jumaat ketika keputeraan Sultan Selangor ada drama kehidupan, Jumaat Maal Hijrah juga ada. Harap Jumaat ketika Krismas itu tidak ada lagi kerana... nantikan entri seterusnya! Hahahaha!

Kalian bacalah kisah-kisah di atas berserta susulannya. Buatlah kesimpulan sendiri. Saya main tulis sahaja, tidak ada idea mahu kaitkan walaupun saya rasa macam ada kerana saya perlu bersiap untuk ke majlis perkahwinan rakan serumah saya. Ambil yang jernih sahaja ya? Sikap masuk bakul itu jangan ditiru. Saya memang gemar berbuat demikian kerana ia menyedapkan hati. Hahaha!

Sehingga berjumpa lagi! Sebelum berpisah, kawan-kawan, mohon aminkan doa saya. "Ya Allah, semoga minggu-minggu hadapan dipermudahkan urusan buat Husna sekeluarga. Amin...." Saya tahu semua yang terjadi ada dua kemungkinan, tetapi yang ini, saya mohon dipermudahkan. Saya mahu 2009 diakhiri dengan manis. Tolonglah....

Sayang kalian! Assalamualaikum! Cuti baik-baik! Bye!

17 December 2009

TAHNIAH!

... kepada kawan-kawan di seluruh dunia
kerana berjaya melangkah ke tahun baru 1431 Hijrah

&

kepada pasukan bola sepak Malaysia
kerana berjaya membawa pulang pingat emas buat negara!

Yaaa \(^o^)/ hooo!

Alhamdulillah... hehe.

Semoga tahun baru ini disirami dengan 1001 keberkatan, kebahagiaan dan kejayaan di dunia serta di akhirat.

Saya pasti ingati hari ini kerana bertepatan dengan 1 Muharram, saya sudah membuat satu keputusan yang paling besar selama saya masih bernafas di bumi Allah ini. Ini penghijrahan yang paling hebat dalam hidup saya.

Kawan-kawan pula bagaimana?

Semoga semuanya baik-baik saja.

14 December 2009

Semangat! Semangat!

Assalamualaikum, hai kawan-kawan! (^_^)

Yosh! Hari baru sudah bermula! Esok hari baru juga, maka marilah menjadi riang dan bertabah menghadapi pelbagai ujian hidup.

Kita boleh down, tetapi tidak boleh lama-lama, nanti diri sendiri yang rugi. Ingat ya adik-adik?

Pertama sekali, saya mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada para sahabat kerana terus memberikan sokongan kepada saya selama ini. Sayang kalian! \(^o^)/

Jadi, apa semangat kita hari ini?

Hari ini ada mesyuarat membangunkan unit baru PTS One. Dan hari ini juga kami menyambut kedatangan staf baru iaitu Cik Shahida, yang dahulunya merupakan pelajar praktikal di PTS. Semoga dengan kehadiran staf baru ini, mempermudahkan segala urusan.


Sepanjang mesyuarat tadi, terasa begitu hampir dengan tahun 2010, di samping tahun Hijrah yang juga akan berubah wajah. Emak saya pun sudah menggantungkan kalender 2010 di belakang kalender 2009. Huh, memang tidak lama lagi!

Apa perancangan PTS sempena 2010?

Apa strategi PTS One pada tahun hadapan?

Apa impian saya pada binary year saya itu? Hohoho.


Hint, hint!

Bermula dengan Untuk Cikgu Terbaik di atas Muka Bumi Tuhan.

Kemudian, Remaja@PTS One 2009.


(^_^)

Ya Tuhan, semoga segala yang direncanakan berjalan dengan lancar, amin....

Kawan-kawan, doakan saya ya!

Saya juga akan doakan yang baik-baik buat kawan-kawan semua.

Hingga berjumpa lagi! Kita pasti berjumpa lagi pada entri akan datang, kerana entri akan datang lebih mengujakan! Pada sayalah. Hohoho! Tunggu tau! Tungguuu!

Buat Ismail Si Magisan dan Resmanshah Si Penulis, maaf sangat-sangat kerana tidak dapat menyertai kalian berjimba tempoh hari. Seronok? Meh meh kita kongsi cerita. Hehe.

07 December 2009

Monolog.

Selesai baca buku kedua yang dibeli kerana minat mengejar realiti.

Saya perlu fikir kembali olahan kedua-dua buku itu, sebelum mengejar realiti dalam buku yang lain pula. Hebat. Dua buku dalam masa empat hari. Bagi sayalah. Ada yang mampu satu buku, tebal bagai nak gila, pun habis baca dalam masa sehari. Saya tidak mampu begitu. Saya tidak mahu melambai satu perenggan dengan bayangan mahu memahami perenggan seterusnya sedangkan perenggan yang dilambai itu, satu patah pun tidak masuk.

Rumit hidup ini sebenarnya.

Tadi kucing jiran yang macho itu muncul dari celahan langsir tingkap. Kepalanya digeleng-geleng dengan laju. Hairan juga. Telinganya gatal barangkali.

Ia menuju ke katil dengan pantas. Saya, apabila si kucing macho itu melakukan tindakan sedikit agresif, saya juga pantas mengelak. Dia banyak kali berpura manja, mengejar kita yang mengekek berlari, dan diakhiri dengan cakaran kurang manja dan gigitan di betis. Sungguh ngeri.

Ia naik ke atas katil. Gaya jalannya pelik. Saya perasan, matanya bengkak sebelah. Saya beranikan diri mendekati... oh, ada luka dan kulit tanpa bulu. Baru bergaduh agaknya.

Ia ke hulu, kemudian ke hilir di atas katil. Saya sudah beberapa kali mengubah duduk sambil membawa buku yang hampir khatam dibaca. Dia ke kiri, saya berganjak ke kanan. Dia ke kanan, saya bangun memerhati. "Kenapa dengan kau, Mok?" Biasalah. Simptom ketiga tiada teman sebilik. Bercakap dengan haiwan. Selepas bercakap dengan dinding. Dan mengacau ketenteraman emak.

Memang tidak keruan perbuatan kucing macho itu. Rasa kasihan pun ada. Saya tahu ia kepedihan kerana luka dan bengkak di kepalanya. Tetapi saya jadi cemas, kerana saya tidak tahu bagaimana mahu membantunya, dan adakah saya akan dicakar ketika membantunya kerana dia kesakitan?

Lalu saya buka pintu, dan mengumpannya turun ke dapur. Saya teringat diri saya. Apabila saya sakit, tidak kira 'hati' mahupun bukan hati, saya akan manjakan perasaan saya dengan makanan manis. Dan ke dapurlah saya, menuang susu segar untuk Gemok. Sepanjang ia minum, memang tidak nampak tanda ia dalam kesakitan.Tiada garuan yang pedih, tiada gelengan kepala yang deras. Saya fikir, kemanisan susu itu sudah melalaikannya. Saya harap ia kenyang dan tidur, maka sepanjang ia tidur, proses penyembuhan boleh berlaku. Jika kukunya terus menggaru, bila masanya luka itu bisa kering?

Tetapi tidak berjaya.

Gemok ikut saya yang beralih mahu ke bilik semula. Hati saya penuh dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak, berdiri tidak mungkin membolehkan buku itu khatam dengan baik.

Saya berhenti daripada menaiki tangga. Memang berdebar dada apabila makhluk yang kita sayang sedang dalam kesakitan tetapi kita tidak tahu mahu buat apa. Malah ia tidak dapat menjawab apa yang boleh mengurangkan kesakitannya.

Saya tekad.

Saya ambil kain, saya ambil ais, saya pakai sarung tangan yang biasa orang pakai ketika mengeluarkan kek dari ketuhar, dan mencari Gemok.

Dia sedang duduk di tepi sliding door. Matanya dikecilkan, mungkin menahan pedih. Saya tolak ia ke pintu, mahu ia baring, dan perlahan menekap kain berisi ais pada lukanya. Memang takut. Serius saya takut. Saya takut ia akan bertindak agresif dan mencakar saya. Cukuplah cakaran yang baru saya terima daripada Si Putih tempoh hari ketika ia cuba untuk duduk di atas ribaan saya. Sarung tangan yang dipakai itu mungkin tidak begitu membantu.

Beberapa kali Gemok menukar duduk, tetapi ia diam ketika ais menyejukkan kawasan lukanya. Tetapi, kucing... kena hujan pun sudah bertempiaran lari, inikan pula lukanya ditekap ais. Apabila pintu kayu dibuka oleh adik saya, Gemok berusaha untuk lari keluar. Saya tidak boleh berbuat apa-apa, melainkan membiarkan dia pergi.

Kucing. Mana boleh berkata-kata.

Macam baby.

Saya rasa... saya dapat rasa secebis rasa cemas ibu bapa apabila bayinya dalam keadaan tidak senang. Apa yang tidak kena? Apa yang perlu dibuat? Inikah yang perlu dibuat? Buat macam ini, ataupun macam itu? Sekarang ke, nanti? Saya ke, awak?

Baby.

Kepada bestfriend saya dan semua yang bakal melayari bahtera perkahwinan, good luck!

Rumit hidup ini sebenarnya.


Yang masih bersekolah, serius. Belajarlah dahulu.

Hidup bukan semuanya suka-suka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...