24 April 2010

Masih Hidup

Assalamualaikum kawan-kawan! Hai!

Sekarang saya sedang berhempas-pulas menyiapkan buku sempena bulan puasa dan raya. Ramai hairan mengapa sudah dibuat sekarang, padahal bulan Ramadan lama lagi. Puasa ganti juga ada yang belum dilunaskan. Oh~

Namun buku-buku ini perlu berada di pasaran sebelum tibanya bulan mulia itu atas faktor-faktor pemasaran dan kecenderungan pembeli. Pembeli lebih gemar mencari buku-buku seperti ini sebelum bulan itu tiba. Mungkin sebagai persiapan dan pendidikan jiwa supaya bersedia menghadapi bulan puasa? Mungkinkah?

Jadi apa motif saya tulis entri kali ini?

Ha ha ha. Tiada. T_____________T

Hanya bagi memberitahu saya masih hidup dan menendang (still alive and kicking) walaupun hidup kian mencabar sekarang. Sangat mencabar. Tabahlah, Husna. Tabahlah, awak.

Alang-alang sudah intro bercerita berkenaan tugasan terkini saya, marilah saya teruskan dengan berkongsi serba sedikit pengalaman menyunting buku berkenaan puasa dan raya sebelum musimnya.

Semasa jalan cerita pada bulan Ramadan:

1) Akan berasa waswas untuk makan dan minum

Ya... setiap kali menyunting manuskrip yang berkisarkan bulan puasa, permainan psikologi ini akan menyebabkan saya teragak-agak untuk makan dan minum. Watak di dalam cerita itu ditegah itu dan ini, hingga diri sendiri sudah terpengaruh. Apabila orang berpusu-pusu meninggalkan meja masing-masing demi memenuhi meja di kedai makan, ada sedikit perasan hairan (kerana masih ditipu oleh diri sendiri). Maka ini akan menyebabkan diri sendiri mendapat berat badan ideal dan ada kemungkinan seramping Nasha Aziz. Perlu ke?


Ini gambar lapar atau kenyang? Kompius mak.

2) Mendapat keazaman melebihi had untuk bertarawih setiap malam

Agak kudus di situ, namun ini satu kebenaran. Membaca keseronokan bertarawih dalam cerita tersebut, akan menyebabkan perasaan melonjak girang yang tiada tandingannya hingga sudah fikir mahu membeli telekung baharu demi memberikan motivasi ke surau atau masjid terdekat. Kadang-kadang akan insaf sendiri kerana semasa bulan Ramadan yang lalu, tidak begitu menggunakan peluang beribadah yang anda semaksimum mungkin. Nasib baik tidak edit sambil mengalirkan
air mata. Itu sudah sangat syahdu. Mungkin rakan di sebelah akan mohon pindah meja. Maka selepas itu memang akan mengalirkan air mata kerana kesunyian. T_______T


Tip khusyuk mendirikan solat di surau atau masjid. Tidak perlu memikirkan selipar hilang dibawa perompak. Namun jika mangga begini sahaja, perompak akan bawa lari dengan mangga-mangga sekali dan ini menyebabkan dia mendapat
dua harta rampasan.

3) Mengalami keinginan tahap melampau ke kedai yang menjual kuih-muih dan kerepek

Tiba-tiba menjadi penggila bahulu dan juga berkenan pada kuih batang buruk adalah tidak normal bagi saya terhadap diri sendiri. Persiapan raya seperti membakar kuih, mengadun bahan-bahan dan memasukkan kuih-muih ke dalam balang mampu menaikkan jualan mak cik balang sebanyak 50% semasa bukan musim perayaan, yang disumbang oleh purse anggun saya. Mungkin akan mengalami ketagihan membeli namun makannya tidak.


Apakah itu yang di sebelah kanan dan berwarna-warni itu?
Mengapa hidangkan magnet peti ais bersama kuih-muih?


Semasa jalan cerita pada bulan Syawal:

1) Rasa rindu kepada kampung halaman mula menerjah sanubari

Ini adalah kesayuan tahap mengada. Padahal sekarang di kampung halaman sudah tidak begitu menarik berbanding tahun-tahun terdahulu iaitu semasa saudara-mara rapat masih ada, semasa nenek masih ada. Kini yang tinggal hanyalah anak-anak muda yang kurang nilai bergaul sesama saudara seperti diri sendiri. Oh~ duit raya juga sudah tidak layak dimiliki... (Y_Y)

2) Selain merindui kampung, akan merindui teman-teman sekolah yang sudah hilang khabar

Waktu ini akan fikir, di manalah rakan-rakan tadika, rakan-rakan sekolah rendah dan menengah? Hidup lagikah mereka? Kalau tahu di mana mereka, pasti akan ajak datang beraya. Berjumpa dengan mereka tidak mustahil semasa zaman Facebook ini. Insya-Allah, pasti dapat jejak satu hari nanti.

Namun ada dua masalah. Masalah pertama, sendiri sudah lupa apa nama mereka. (^^',) Masalah kedua, jika jumpa pun, kebanyakan rakan sekolah sudah tidak cam saya. Inilah akibatnya apabila terlalu cun berbanding zaman hingusan.

Ya? Tandas di sebelah sana. Mahu muntah ya? Saya ikut, boleh? Saya juga rasa mual dengan kenyataan itu.
T________T

3)
Selain merindui kampung dan teman-teman sekolah yang sudah hilang khabar, akan merindui teman-teman yang masih bertanya khabar

Ini kes mahu berkonvoi dan berkumpul di satu rumah beramai-ramai hingga riuh-rendah. Setiap tahun saya pasti mahu ikut berkonvoi. Dulu, zaman sekolah, hanya berjalan kaki, naik basikal dan jika yang sedikit moden, naik motosikal. Kemudian selepas habis SPM, seorang rakan kami bawa Pajero. Rasanya sudah sumbat lebih kurang 10 orang dalam satu kenderaan, hingga ada yang duduk bertinggung di bonet dan tempat meletakkan kaki. Hahahaha! Naif sungguh waktu ini. Zaman muda yang tiada masalah... oh~ rindu gila!

4) Rindu ahli keluarga yang sudah tiada

- Tiada penjelasan -

5) Mengalami perasaan mahu makan itu dan ini seperti nasi himpit bersama ayam masak merah, gulai ayam, rendang daging, dan yang sama waktu dengannya.


Kak Diana memang pandai buat saya kian terseksa apabila melihat gambar ini.
Kak Diana hebat!


Hadoi... kucar-kacir betullah perasaan menyunting manuskrip tema puasa dan raya ini.

Adakah editor lain turut merasa apa yang kurasa? Atau saya memang jenis mudah terpengaruh? Ya... ada sedikit... kerana sudah terpengaruh membeli pelembap muka jenama lain suatu ketika dahulu.

Semoga semua buku puasa dan raya ini siap pada waktu yang ditetapkan, amin....

Fuh~ siap satu entri yang mahu mengheret kalian supaya sama-sama terseksa bersama saya. Harap terseksalah sedikit. Jika tidak pun, tolonglah buat-buat terseksa. Saya amat hargai lakonan kalian.

Hingga berjumpa lagi!!! SELAMAT MENUNGGU HARI RAYA!!!

*Disclaimer: Semua gambar diambil dari link asal, dan tiada niat mahu memperoleh keuntungan daripada gambar-gambar tersebut. Alasan lain, letak gambar dari link asal lebih pantas berbanding upload. Kelajuan tahap siput agak mencabar kesabaran.

08 April 2010

Kenanganku (oh~)

Oh ya.

[ Apa motif menulis 'oh ya'? (~~,') ]

Maafkan saya kerana sudah lama tidak berkongsi ilmu pengetahuan. Baiklah, saya mulakan dengan memberi salam sejahtera kepada semua pengunjung blog ini dan ucapan hai!

Assalamualaikum, hai semua! (^_^)v

Tahukah bahawa saya sudah selesai mengerjakan satu lagi buku supaya di pasaran kelak terdapat novel remaja yang baharu? Apa? Tidak tahu? Adakah kita benar-benar kawan?

Sebenarnya, sekiranya tidak tahu adalah tidak mengapa. Sengaja saya tidak hebohkan supaya kalian tidak risaukan keadaan saya. Saya tahu rakan-rakan saya penyayang orangnya.

Maka bagi tidak membuatkan ramai berteka-teki, saya dengan berbesar hati memperkenalkan buku terbaharu yang sedang dicetak iaitu....



Ya... inilah buku terkini daripada Aizam Aiman yang popular dengan novel My Angel, My Hero dan My Secret itu. Beliau juga penulis bagi Sayalah Puteri Raja! dan juga Sayalah Putera Mahkota!. Memang tidak syak lagi.

Kepada pengikut siri My..., buku ini sudah lama dinanti-nantikan oleh mereka. Alhamdulillah, muncul juga siri seterusnya pada tahun ini. Kepada yang tidak tahu apa itu siri My..., bolehlah mula beli mengikut turutan iaitu
My Angel, My Hero dan My Secret bagi mengelakkan rasa bingung dan sedih kerana rasa ketinggalan.

Dengar cerita My Memory adalah penamat siri My.... Adakah itu benar? Marilah beli dahulu apabila sudah ada di kedai-kedai buku terpilih bagi mendapatkan jawapannya.

Baiklah. Sambung buat kerja, Husna.

Jumpa lagi!

Pembaca: Mana ilmu pengetahuan...? Ayat di awal tadi seperti mahu kongsi...? Cik, bagaimana membezakan baru dan baharu? Cik Husna... marilah jawab... T______T

02 April 2010

PBAKL'10 yang hebat!!!

Salam, hai kawan-kawan yang dirindui! (^_^)v

Alhamdulillah, selesai sudah kami (kita?) berpesta buku pada minggu lepas. Memang banyak aktiviti yang sudah dilakukan, daripada yang berfaedah hinggalah yang paling mengarut contohnya menepis godaan demi godaan pekerja Linguaphone. Mereka ada di mana-mana, di segenap sudut dan tingkat. Memang sangat gigih.

Hoh! *ini nada melepaskan lelah*

Baiklah. Semua orang sudah tulis berkenaan PBAKL, maka saya juga mahu! (Sekiranya adik saya tahu ayat seakan-akan meniru perbuatan orang itu wujud di sini, pasti dia akan cakap 'kau tak ada identiti'. T_______T)

Perasaan cemas kerana pesta buku sudah mula saya rasai sejak bulan Januari yang lalu. Senarai buku yang perlu disiapkan sebelum pesta buku yang berlangsung tiga bulan kemudian itu memang menarik. Namun alhamdulillah, saya rasa hampir semua buku yang dijangkakan ada di pesta buku memang ada di pesta buku. Mana yang tidak sempat, mohon ampun dan maaf ya sayang. Selepas pesta buku juga boleh beli buku... betul... sumpah abang tak tipu, Milah.

Namun perasaan cemas itu berlipat kali ganda ketika seminggu sebelum pesta buku apabila ada beberapa hal belum disiapkan. Memang cemas ya. Terlalu cemas hingga ketawa sahaja apabila sudah nampak tanda-tanda kegagalan.

Ada nampak apa-apa yang pelik di booth PTS tak?

Sekiranya semuanya nampak okey, baguslah. Hehe. Ya, belon besar itu tidak pelik, ia adalah comel dan besar sahaja. Kini ia sudah tiada. Mengapa? Boleh tonton di sini.

Selain menyaksikan kemusnahan belon, kawan-kawan boleh tahu beberapa berita lain semasa PBAKL dalam video Abang Alif itu.

Banjir misalnya.

Banjir itu sangat menakutkan, okey. Apabila dengar pengumuman yang mengatakan air di dalam sungai sudah naik ke tahap bahaya dan minta dialihkan kenderaan kepada mereka yang berkenaan, saya sudah terbayang Cik Lisa melambai sayu sambil dihanyutkan air yang deras. Kerana naluri keibuan yang tinggi, saya sudah berlari mendapatkannya. Dalam hati, berdoa supaya dia tidak apa-apa. Jika dia hanyut, saya akan berenang mendapatkannya. Walaupun ayat itu ada nilai dusta sedikit kerana saya tidak pasti sama ada saya pandai berenang ataupun tidak, namun saya lega kerana Cik Lisa masih di situ.

Tetapi saya tidak dapat mengalihkannya kerana jalan ke tempat parkir sudah dinaiki air. Habis basah hingga ke betis ya. Kasut cantik juga sudah digenangi air hingga bertakung dengan hebat hingga rasa mahu beli Buat Duit Dengan Ikan Keli supaya dapat memanfaatkan air yang bertakung itu. T_______T


Gambar ihsan: PTS
(Cik Lisa di sebelah kereta berwarna biru di ruangan parkir di sebelah kiri anda. Perhatikan, terdapat seorang lelaki gigih berdiri dengan tegak sementara orang lain sedang lintang pukang. Apa motifnya, jangan tanya saya. Saya juga keliru.)

Baik, baik. Sudah melalut. Namun saya yakin ramai yang berada di PWCT pada waktu itu sangat cemas dan huru-hara. Alhamdulillah, tiada apa yang berlaku. Saya tidak baca surat khabar, tetapi rasanya memang tiada orang yang hanyut dibawa air... kan? (~~',)

Secara keseluruhan, sekali lagi dipanjatkan rasa syukur kerana pesta buku kali ini lebih tenang namun tetap meriah, jika hendak dibandingkan dengan tahun lepas. Tahun lepas boleh sampai pengsan bai. Marilah doakan tahun hadapan lebih besar, ada tempat berehat yang empuk, minuman percuma untuk para pengunjung dan mesin urut Ogawa (untuk staf PTS sahaja). Hahaha! Kalau macam tu, bos yang pengsan.
;)

Bagi mengelakkan entri kali ini panjangnya mampu menghubungkan para pembaca ke New Zealand, biar saya senaraikan sahaja apa yang menarik pada tahun ini:


  • Event 'Chit Chat Bersama Penulis Nurul Zahidah dan Ilya Alias' adalah event pertama di pentas aktiviti PTS. Maka sayalah orang pertama yang menghuru-harakan pesta itu dengan aktiviti. Memang huru-hara kerana main belasah saja. Event lain-lain juga huru-hara... T_______T Maka maafkan saya sekiranya ada terkasar bahasa dan tersilap kata. Kau dipaksa (dengar) aku terpaksa (cakap) - tiru tajuk lagu Scan *jangan klik sekiranya mahu mengelakkan mata terseksa dan demi menjaga kesucian lidah daripada memaki hamun.*
  • Dapat jumpa ramai kawan yang sebelum ini bertegur sapa di FB dan di blog ini sahaja. Kamu tahu kamulah yang saya maksudkan, kerana jika saya senaraikan di sini, entri ini akan melangkau beberapa kilometer ke belakang New Zealand. Kepada semua yang menegur saya, yang segan mahu tegur maka hanya memandang dari jauh, yang memandang dari jauh namun tidak segan menegur dengan lambaian dan senyuman, saya ucapkan terima kasih dan saya sangat sangat seronok bertemu kalian. *Serius sangat gembira!*
  • Buat pertama kali dalam hidup saya, saya TERpakai baju biru dengan tudung merah. Semua ini adalah kesilapan teknikal dan komunikasi. Huahua. T_______T
  • Kali ini saya sering bawa pen walaupun saya belum ada buku sendiri. Kenapa? Huahua lagi. *Hehe, menyampah pula taip gelak paksa begitu.*
  • Dengan kerjasama semua pihak, dua buku sulung PTS One Kids iaitu Kisah Si Puteri: Riang Ria Dunia Persahabatan dan Koleksi 33 Kisah Sejarah Melayu berjaya diperkenalkan kepada pengunjung booth PTS pada hari Jumaat, bersamaan 26 Mac 2010. Yahooo!!! Belum sempat event bermula, buku Kisah Si Puteri itu sudah diborong sebanyak 18 naskhah oleh seorang puan yang kami syak (kemain syak) seorang guru yang berdedikasi! HEBAT! Terima kasih puan dan semua pembeli buku-buku PTS! Kalian memang berjaya buat saya kagum, hingga berbelanja ratusan ringgit! WOW!!!
  • Kejayaan terhebat: Berat badan turun sedikit. Sangat sedikit, seolah-olah baik jangan turun sekiranya hanya mahu mempermainkan perasaanku sahaja. Kijam. :argh:
  • Perasaan terhebat: Terus rindukan PBAKL dan kemeriahannya semasa hari terakhir PBAKL. Saya rindukan kesibukan, saya rindukan kawan-kawan yang berkunjung ke booth, saya rindu mendengar bunyi 'pap' 'pap' 'pap' dari jiran sebelah (hahahaha) dan juga rindu melihat adik-adik berebut membeli buku dan berbincang mahu beli buku apa sambil membuka dompet lalu mengira duit masing-masing di atas tapak tangan. T_______T Juga rindu "Kak, harga buku ini berapa?" dan seterusnya berusaha mengira menggunakan kalkulator comel yang gigih dibeli sehari sebelum PBAKL kerana kalkulator tahun lepas sudah hilang dibawa angin. Padahal setahun sekali itu sahajalah mengira sesuatu yang agak sukar kerana ada tambah dan darab.

Oh, cukuplah buat masa ini. Sudah kering idea. Sekiranya ada apa-apa lagi yang ingin dikongsi, saya akan ceritakan pada entri akan datang. Kepada yang tidak bekesempatan ke PBAKL, jemput datang tahun hadapan. Best! (^_^)

Sehingga berjumpa lagi! Sayang kalian!


Oh, sebelum berpisah, ini sebahagian gambar di PBAKL yang lalu.



Belilah untuk si comel ya! Belilah... belilah... belilah... *teknik memukau*



P/S: Terima kasih kepada Rakan Budiman kerana sudah bertambah menjadi 46 orang! Wooohooo! *hahaha!* Kalian memang comel! (^______^)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...