31 October 2010

♥ Korea #1 ♥

Assalamualaikum, kawan-kawan.

Alhamdulillah, semalam jam 10 malam, saya sudah tiba di KLIA. ^_________^

Serius sangat rindu Malaysia, walaupun cuma seminggu di Korea. Makanan berbeza, tempat solat hampir tiada (kecuali sebuah masjid di Seoul) hingga kami solat di dewan seakan-akan dewan kuliah yang lantainya bertangga-tangga, tandas mereka tiada air (namun ini tidak begitu menyusahkan kerana kami sudah tahu, maka masing-masing bawa botol kosong di dalam beg walau ke mana sahaja kami pergi), cuaca musim luruh tiba-tiba dicampur dengan cuaca musim sejuk apabila merasa hampir -7 darjah Celcius hingga bersalji dan hidung berdarah, kurang interaksi dengan masyarakat di sana kerana perbezaan bahasa, dan asyik teringat wajah yang tersayang di Malaysia. Ehem. ;))

Saya juga rindu kucing-kucing, rindu bilik, rindu kehangatan mentari Malaysia, rindu ayam T____T (tak fasal-fasal ayam pun dirindui), makan sayur daun hijau walaupun di Malaysia, hagham nak sentuh, kah kah kah! Malah saya terpaksa makan nasi tiga kali sehari kerana itu sahaja yang dihidang. Orang Korea memang 'nasiholic'. Haha! Saya kurang minat nasi putih. Boleh kata, sehari sekali, ataupun tidak makan nasi lama pun tidak mengapa. Saya lebih suka roti. Tetapi di Seoul, merasa juga daging ayam dan lembu, juga roti nan sebab ada restoran halal. Terima kasih pemilik restoran!!! Jasamu kukenang selalu. Ewah! :D

Selain daripada itu, kulit saya mengelupas, di pipi, dagu, juga betis. Padahal jenuhlah sapu krim itu ini pada muka, dan pakai pelembap pada badan. Suhu kejap okey, sekejap terlalu sejuk. Sebab itulah kulit saya jadi kering dan mengelupas. Namun sudah mahu jadi, nak buat macam mana kan. *bunyi macam pasrah....*

Sekarang, suhu badan saya meningkat naik. Sedang demam panas, batuk, selesema, dan sakit mata kerana ada bendasing di dalam mata hitam saya. Sudah ke klinik tadi, doktor kata mungkin spora, seperti yang saya jangkakan. T______________T Mari doakan saya cepat sembuh. Perlu pergi ke hospital pakar pula rasanya selepas ini. Harap larat bawa badan.

Tetapi....

Saya bukan sedang mengadu domba ataupun mengeluh. Tidak sama sekali. Cuma mahu tegaskan, memang Malaysia sahaja yang sesuai dengan saya, kerana ini hidup saya. Tempat lain, walau secantik mana, tetap hanya mimpi. Badan kampung saya ini cuma selesa di Malaysia, walau sepanas mana pun bumi tanah air saya ini. Sangat bersyukur Malaysia ini begini... Y_________Y

Maka saya sangat seronok dapat pulang. Sangat-sangat seronok!!! Oh yeah! :D

Yang menariknya di Korea?

Korea memang cantik, terutama Pulau Jeju. Serius. Ini tidak boleh tipu. Bersyukur juga dapat peluang dan rezeki ke Korea. Masyarakatnya, yang saya paling suka, murah senyuman. Walaupun pada awal dilihat seperti masam dan sombong, namun selepas saya tegur, mereka akan tegur balik dan tersenyum ikhlas. Sebut sahaja, "Anyeong haseyo", mereka akan balas balik dengan "Anyeong haseyo" dan senyuman ikhlas. Saya sangat suka bab ini! (^_^)v

Selain itu, mereka bangga dengan bahasa Korea, hingga tidak fasih berbahasa Inggeris. Ini ada baik buruknya. Namun jika dilihat dengan sangkaan baik, mereka sayangkan budaya mereka. Makan minum, masih seperti dulu. Nasi dan lauk yang sama, seperti dulu. Bahasa yang sama, seperti dulu, walaupun asalnya, bahasa Korea ini adalah perubahan daripada bahasa Cina. Sebab itu kebanyakan orang Korea juga fasih berbahasa Cina.

Walaupun tandas mereka tiada air kecuali di sinki, tandas mereka bersih dan tidak pernah keputusan tisu. Tiada bau yang tidak menyenangkan, seperti negara lain yang juga tidak ada air di tandas mereka. Memang pembersih orang Korea ini, walaupun semasa musim sejuk, mereka tidak mandi. Hahaha! Ada hotel yang tidak sediakan tuala kepada kami kerana mereka tidak mandi, berbanding kita, yang sudah biasa hari-hari mandi.

Dan satu lagi yang saya kagum, orang Korea buat apa pun dengan sebab. Mereka tidak mandi pun bersebab. Ada kawan emak saya di Korea memberitahu, inilah sebabnya mereka tidak mandi selalu. Mereka mandi berselang hari. Bukan sebab malas ataupun takut air yang sejuk, namun demi menjaga kelembapan kulit. Air sejuk akan buat kita menggigil hingga rasa nak mati, air panas lebih selesa, namun akan mengeringkan kulit. Terus terang, kita pasti tidak dapat ikut budaya ini, namun mereka sudah biasa. Mereka juga tidak berbau yang kurang menyenangkan, hehe.

Semasa melawat ke istana lama mereka, lantainya dibuat tidak sekata, supaya rakyat jalan pandang ke bawah demi mengelakkan tersadung. Ini sekali gus melihatkan rakyat mereka seolah-olah tunduk kepada raja. Juga apabila mereka meletakkan kayu penghadang di hadapan pintu, bagi mengelakkan angin masuk. Sebenarnya, juga supaya orang yang masuk, secara automatik, akan menunduk sambil berjalan masuk, seolah-olah hormat kepada tuan rumah. Semuanya dibuat bersebab. Bukan main buat sahaja. Menarik, bukan?

Emm... okeylah. Ini sekadar mukadimah saya. Nanti apabila sudah sihat dan gambar juga sudah sedia dipilih-pilih, saya akan kongsikan perjalanan saya di sana selama lapan hari dan enam malam itu. Keseluruhannya, Korea memang negara yang menarik dan cantik! :D

Oh, sebelum terlupa (apa hal ayat macam sangat bersopan dan ala-ala karangan budak sekolah ni?), saya selalu update di FB Husna Adnan sepanjang di sana apabila berkesempatan, maka ada gambar-gambar dan cerita sudah saya kongsikan dengan mereka di sana. FB rakan-rakan yang satu lagi, saya tidak sempat update kerana masa yang singkat. Jadi saya mohon maaf kepada rakan-rakan di sana kerana seperti berat sebelah. Nanti akan diceritakan kenapa semua ini berlaku. Memang macam-macam hal, hingga saya hanya dapat update apabila ada perkhidmatan WiFi di hotel. (Macamlah mereka kisah, Husna oooooi. Hahahaha!)

Apa-apa pun, kita jumpa nanti ya! :D

23 October 2010

♥ ♥ ♥ Hari Ini Sudah Tiba! ♥ ♥ ♥

Sudah Datang....

23 Oktober 2010

Memang di sini.

Yeah!! Inilah masanya menerbitkan entri tidak berapa panjang demi berkongsi peristiwa hari ini kepada semua yang membaca blog ini!!! 
Adakah anda teruja??? 


Adakah??? Anda??? TERUJA???


...
krik krik krik*

Baik, baik. Mari saya kongsikan dengan tenang sahaja.

* * *

Selamat Hari Lahir, Emak Tersayang!

Alhamdulillah, hari ini emak saya yang jelita itu sudah berumur 53 tahun, namun tetap maintain jelita dan semakin vouge. Walaupun saya sangat berharap emak saya tidak muncul di blog ini, namun saya mahu menitipkan ucapan dan doa kepadanya di sini kerana sambil saya menaip, hati saya akan membaca, sekali gus mendoakan kesejahteraan emak saya itu. (^_^)

Kepada emak yang melahirkan dan membesarkan saya,
Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan sepanjang hidupmu demi kami berlima. Semoga terus sihat, bahagia dan jelita sentiasa bagi menempuh hari-hari mendatang. Ceria-ceria selalu, emak! Jangan nakal-nakal! Sayang emak! *peluk cium pipi tiga kali*

Semalam sudah sambut hari lahir emak dengan kek dan McDonalds. Kami sambut sehari awal kerana hari ini kami (baca: emak dan saya) akan sedikit sibuk, memandangkan kami perlu menyiapkan beg dan diri untuk ke...

Bagaikan siang tiada mentari....
Bagai malam tiada cahaya purnama....
Tanpamu tiada erti hidup berdua....
Ke akhir, masa kau kucinta aaaa....

:pompom: KOREA!!! :pompom:

HAHAHAHAHAHA! *teruja*

Beb, ini bukan kisah lucu ataupun main-main! 
Ini kisah benar!!! Yeah bebeh! 

Alhamdulilah, terima kasih Allah kerana memberikan saya peluang dan rezeki menjejakkan kaki ke destinasi idaman kalbu, bersama emakku yang jelita, pada hari lahirnya ini... alhamdulillah, alhamdulillah....

Kami akan menuju ke KLIA selepas maghrib nanti, dan menaiki penerbangan yang dijangkakan pada pukul 11 malam. Insya-Allah, saya, emak dan rombongan cik kiah akan tiba di Seoul pada pukul 6 pagi esok.

Maka dengan itu, sebelum saya pergi, saya mahu memohon jutaan ampun dan maaf kepada semua sekiranya saya dan emak saya ada salah dan silap. 

Doakan perjalanan kami selamat pergi dan pulang, dan gembira melihat negara indah itu selama seminggu. Insya-Allah, kami akan pulang ke Malaysia yang dirindui (ewah, awal-awal sudah rindu konon) pada 30 Oktober 2010. Doakan kami ya!!! ^_________^

Sekarang di sana sedang musim luruh, pasca musim sejuk. Jadi tidak boleh pakai skirt pendek sangat sebab nanti akan mati kesejukan dan mungkin akan disebat oleh emak kerana buang tabiat.


 
Oh hoooooi! Jumpa nanti kita!

Walaupun tidak begitu ramai yang peduli, namun saya akan cuba update keadaan di sana menggunakan keliaran api cinta saya menerusi perkhidmatan Celcom RM 20 seminggu. Itu pun nak cerita kan? Adakah mahu disebat oleh diri sendiri?

Harap-harap dapatlah update sebab saya pun tidak pasti sama ada line di sana okey ataupun tidak. Malah tidak pasti adalah charger itu mampu berfungsi dengan baik di sana. Kalau tidak boleh cas, memang hampas.

Ui ui ui... seronoknya saya!!! ^_______________^

Okeylah kawan-kawan. Jumpa nanti ya! Jaga diri baik-baik. Jangan rindu saya sangat. Kalau ada apa-apa, mesej saya di FB, insya-Allah saya akan balas. Kalau sepertinya saya tidak melakukan sebarang respons, maafkan saya. Mungkin berlaku gangguan line, ataupun telefon habis bateri, ataupun 1001 macam perkara yang saya tidak mampu fikir. Baru pertama kali nak jejak Korea ni, bai. Hahaha!

 
 Annyeonghi kyeseyo!
(Selamat tinggal!)

16 October 2010

Menghargai - untuk sesiapa yang sudi....

Saya bukan orang baik, serius cakap. Saya banyak kelemahan. Namun 
saya cuba menjadi baik dan melakukan hal yang baik-baik kepada orang lain, walaupun sedikit bersusah payah. Apa jua yang saya lakukan, saya cuba untuk tidak mencederakan perasaan orang lain.


Tetapi adakalanya, saya tewas. Saya sebagai manusia biasa, tidak mungkin mampu lari daripada hal sebegini. 


Hingga ada manusia lain yang terasa hati dengan saya.


Tetapi menerbitkan permusuhan bukanlah apa yang saya mahu lakukan. Jika ada yang menjadikan itu hobi, saya antara orang yang akan pelik terhadap kamu. Mungkin juga kagum. Kagum kerana kamu boleh hidup dengan gembira sedangkan ada hati yang sedih, marah ataupun kecewa denganmu. Jika saya, saya akan rasa serba salah yang amat sangat.


Kerana hati yang saya sakiti itu, mungkin juga ahli keluarga saya, teman rapat saya, insan yang saya kasihi, dan yang penting, mereka yang pernah berbudi dengan saya.


Sekiranya saya diam selepas melakukan kesalahan, bukanlah kerana saya enjoy melakukan hal itu ataupun saya ego, namun kerana saya sedang tidak tenteram dan ketakutan. Saya tahu, akan ada masanya, saya akan diperlakukan sedemikian, dan saya akan merana.


Kerana saya juga tahu, Tuhan itu maha melihat, maha mendengar dan 
maha mengetahui.


* * *


"No such thing as free lunch."


Itu yang pensyarah saya sering ungkapkan dahulu.


Tiada. 


Tiada apa yang percuma, kerana kita semua mengharapkan sesuatu. 


Kalau benar ada yang sudi belanja kita makan, harga makanan itu percuma bagi kita. Namun apa yang kita lakukan selepas itu adalah 'balasnya'. 


Apabila kawan belanja kita makan, adakalanya dia belanja kerana dia memerlukan pertolongan kita. Ini terang-terangan bukanlah "free lunch". 


Ada juga yang belanja kerana menghargai usaha kita, ataupun mahu membuatkan hati kita rasa 'ringan' supaya kelak kita masih mahu memberikan pertolongan.


Menghargai.


Ada juga kawan yang belanja kita kerana suka-suka. Walaupun dia tiada niat mahu mempergunakan kita, namun ia tetap bukan "free lunch" kerana kita akan 'bayar' dengan persepsi yang baik. Suatu perasaan yang tidak mungkin dapat dikawal. Kita akan simpan dalam hati, betapa baiknya kawan kita itu. Dia juga pasti mahu kita simpan persepsi sebegitu dalam hati kita. Supaya kita baik dengannya, seperti mana dia baik dengan kita.


Tali persaudaraan, persahabatan, kepercayaan....


Apabila dibelanja oleh kekasih hati misalannya, sama ada memang dia berniat mahu menawan hati kita ataupun memang hadir kerana keikhlasannya, sama ada mahukan balasan ataupun tidak, kita sendiri akan membalas tanpa kita sedari. Kasih sayang, cinta, kesetiaan, dan perhatian. Itulah yang sebenarnya yang kita 'bayar' kembali, dan semestinya, yang diharapkan oleh kekasih kita. Jika kita balas dengan kecurangan, mustahil dia akan belanja ataupun mahu bersama kita lagi. 


Berbuat baik kepada ibu bapa, adalah salah satu perkara yang kita perlu, malah wajib membalasnya. Kerana mereka sudah berjasa kepada kita sejak kecil. Kita tidak sewajarnya masih mengharapkan mereka membalas setiap kebaikan kita, namun percayalah, setiap anak yang berbuat baik kepada ibu bapanya, juga berharap, anak-anaknya kelak akan berbuat baik kepadanya.


Paling tidak, setiap yang kita lakukan itu, kita buat kerana Allah, yang menjanjikan pahala atas segala kebaikan yang kita curahkan, insya-Allah.


Tetap bukan "free lunch".


Kita buat kerana mengharapkan balasan. Pahala, syurga, berkat, dan restu.


Penghargaan


Demi memperolehi antara mana pun yang diniatkan, sesiapa sahaja pasti berusaha. Usaha yang paling tidak dapat diganti adalah tenaga dan keikhlasan.


Maka, kita sebagai penerima, janganlah memandang enteng ataupun mengeluh pada setiap usaha orang lain, walaupun bagi kita, itu sesuatu yang kecil, remeh dan leceh. Tiada siapa yang benar-benar tahu, betapa ada usaha yang kelihatan kecil pada penerima, namun meruntun usaha yang besar daripada si pemberi.


Maka ucapkanlah sekurang-kurangnya terima kasih, 
sebagai tanda penghargaan.


Dengan itu, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang pernah mengeluarkan wang ringgit, buah fikiran, tenaga, dan apa jua sekalipun, 
untuk saya.


Semua hadiah dan kad, juga bunga serta kudapan yang saya terima, saya ucapkan terima kasih. Semuanya saya hargai kerana ini adalah pemberian dengan usaha. Usaha membelinya. Usaha membalutnya. Usaha membawanya. Usaha menyerahkannya. :)


Komen, mesej, like, share, link, add dan segalanya di FB-FB saya, juga amat saya hargai. Tidak semua dapat saya layan kerana kekangan masa, idea, ataupun tidak perasan, namun amat saya hargai. Jujur. Saya hargainya.


Segala SMS, panggilan mahupun MMS yang dihantarkan ke telefon bimbit saya, terima kasih saya ucapkan atas ingatan. Mohon maaf juga apabila saya tidak membalasnya. Ada masa saya tidak balas kerana kehabisan kredit, ada masa saya tidak membalasnya kerana saya membaca SMS itu ketika mamai. Saya baca, namun tidak larat mahu balas dan tidur kembali. Dan akhirnya lupa. Ada panggilan yang tidak perasan, ada juga yang diabaikan demi menjaga hati orang lain. Namun walau apa jua sekali pun, saya sangat menghargainya. Sungguh.


Kepada semua yang membaca blog ini, meninggalkan komen, menulis sapaan ataupun apa sahaja di ruangan sembang dan menjadi Rakan Budiman saya, jutaan terima kasih saya ucapkan. Setiap yang kamu usahakan, saya hargai. Menaip, berfikir mahu tulis apa, klik ke blog ini dan sebagainya, semua itu saya hargai. Serius. Kamu semua sumber keyakinan saya.


Saya tidak mampu membalasnya dengan kebendaan, namun saya hanya dapat ucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Ucapan ringkas ini sahaja yang saya mampu, namun percayalah, nilai usaha kamu semua adalah sangat berharga.


Tidak dilupakan kepada semua yang terasa hati dengan saya, saya mohon ampun dan maaf kerana menjadi manusia yang teruk kepada kamu semua. Saya lalai, dan saya banyak main. Kadang-kadang saya tidak sengaja, namun itu bukan alasan untuk saya tidak meminta maaf.


Saya sangat menghargai semua yang muncul dalam hidup saya, kerana kamu, kamu dan kamu semua adalah 'cikgu' saya dalam menjalani kehidupan dari hari ke hari.


Insya-Allah, wallahua'lam.


Hargailah setiap saat dan usaha, kerana ada masanya, ia akan terhenti. 


Kamu akan terhenti. 


Saya juga akan terhenti.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...