01 September 2014

Garment Steamer Adalah Best!!

Bagaimana mempercepatkan proses seterika barangan jualan?
.
1) Beli garment steamer.
2) Upah pekerja untuk seterika.
atau hantar ke dobi - mereka ada servis seterika.
- Atau buat sendiri pun boleh. Senang sangat nak guna.
.
Di mana garment steamer yang berpatutan?

.
Cadangan saya: Lazada (http://www.lazada.com.my)
Pautan terus: http://www.lazada.com.my/shop-garment-steamers-presses/
Ambil COD - cash on delivery.
Bayar semasa barang sampai di depan pintu.
Saya sudah beli tiga unit steamer iron dari Lazada.
Semua bawah RM170. Tahan lama (jika digunakan dengan betul). 

.
Semoga bermanfaat! 


SOP Prepaid Pos Laju

Prepaid = Prabayar

Bagaimana mempercepatkan urusan pengeposan di kaunter Pos Laju?

.
1) Beli siap-siap sampul Prepaid (bermula saiz S: RM6, saiz L: RM9 - ini harga Semenanjung. Harga Sabah Sarawak berbeza.) Sampul ini boleh dibeli di kaunter Pejabat Pos Laju (sementara stok masih ada).


2) Lekatkan sampul ikut saiz yang dibeli, jangan dikecilkan ikut item.
3) Isi borang Pos Laju seperti biasa.
4) Dua helaian pertama pada borang, dimasukkan terus ke dalam plastik di belakang sampul Prepaid.
5) Helaian terakhir disimpan oleh pengirim.
6) Helaian ketiga diberikan kepada pekerja di kaunter semasa pengeposan dibuat.
.
Ya, terus berikan semua bungkusan dan helaian ketiga kepada pekerja di kaunter. Kemudian boleh berjalan pulang dengan bergaya sementara orang lain jenuh menunggu giliran, he he.
.
Langkah-langkah ini diguna pakai di Pejabat Pos Laju. Pejabat pos biasa di Tesco Kajang misalnya, tetap perlu beratur walaupun menggunakan sampul Prepaid. Tempat lain saya tidak pasti.  Semoga bermanfaat! 


Kawanku Panda (2011 - 2014)



Selesai. Selepas habis 361 naskhah, 'Kawanku Panda' tidak lagi diulang cetak dan diuruskan oleh PTS - kerana hak penerbitan sudah dikembalikan kepada saya. Dah jadi rare item ni... hoho.
.
Saya sedang merisik diskaun yang dapat PTS berikan kepada saya sekiranya saya mahu beli sedikit baki buku ini. Ada sesiapa mahu beli juga? Insya-Allah sekiranya dapat diskaun hebat, saya jual dengan harga lebih rendah daripada harga asal RM16. PM saya bagi yang berminat.

Soletip dan Iman




"Kenapa awak cari pangkal soletip tu ke arah bertentangan? Anak panah tu tandanya pangkal soletip berada di hadapannya, bukan di belakang."
.
"Dah banyak kali pusing, tak jumpa-jumpa." Ketawa. "Ala manalah tahu, kilang silap letak anak panah tu. Buatan manusia kan, tak mustahil ada silap."
.
Terdiam. Betapa kita juga sering mencari 'pangkal' kebenaran pada jalan sebaliknya... sedangkan telah diturunkan kepada kita kitab suci al-Quran dari nabi penuh maksum. Itulah kalam Allah yang jelas benar sepanjang zaman. Adakah wujud dalam hati kita bahawa Allah mungkin silap - maka kita ingkar?
.
"Sesungguhnya ayat-ayat Aku (al-Quran) selalu dibacakan kepada kamu, tetapi kamu selalu berpaling ke belakang." Al-Mukmin, 66.
.
Ataupun kita sedar kita silap - cuma menanti seruan tiba?
.
"Kecuali mereka yang telah bertaubat dan melakukan kebaikan-kebaikan dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itu, Aku menerima taubatnya, dan Akulah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang." Al-Baqarah, 160.
.
Cumanya sering terlupa, sesungguhnya ajal itu tidak awal sesaat, dan tidak lewat sesaat. Ampunkan kami atas kelalaian kami, ya Allah. Matikan kami dalam agama-Mu. 


Tip Berjualan Di Instagram




Assalamu'alaikum. Okey, saya kongsikan tip berjualan di Instagram mengikut pengalaman dan pemerhatian saya. Sesuai bagi yang baru nak buat, atau baru buat akaun Instagram. Yang dah otai, mohon skip, haha. Boleh tambah di ruangan komen sekiranya ada cadangan lain. (Saya bukan pakar, sendiri pun masih merangkak.) Dipersilakan share sekiranya bermanfaat.
.
1) Pemilihan nama akaun.
Sekiranya ada jenama, guna nama jenama kita. Sekiranya tiada, guna jenis produk yang kita jual pun boleh. Contoh: monopod_murah_RM25. Kadang memang kelakar nama-nama di IG ni, terutama yang guna underscore berkali-kali sampai panjang ha. Gabung nama jenama dan jenis produk jualan lebih menarik pelanggan kerana dari situ dah tahu kita jual apa. Contoh: smart_clothing. Jenama 'Smart', jual baju.
.
2) Public account.
Supaya orang boleh terus follow atau membolehkan potential buyer melihat-lihat dahulu apa produk jualan kita.

Pemerhatian: Namun kebanyakan IG yang private lebih ramai followers, salah satunya mungkin user malas mahu request to follow semula selepas unfollow. Ada juga yang private supaya dapat approve wanita sahaja; demi menjaga testimoni bergambar dari pelanggan wanita. Ada 1001 sebab mengapa seller private akaun, perlu tanya seller itu sendiri, ataupun raikan sahaja pilihan mereka.
.
3) Follow akaun IG yang bersesuaian.
Saya cadangkan IG @kamibencikakitipuonline. Memang pening kepala baca masalah yang diadukan di situ, kadang remeh-temeh, tetapi yang lainnya sangat bermanfaat. Dapat belajar penipuan terkini supaya sentiasa berwaspada dengan pembeli-tanpa-wajah. (Mana post yang ke arah mengumpat tu, tak usahlah kita simbah minyak tanah lagi.)

Saya follow kerana nampak peluang. Kadang dapat promo pada customer yang mencari barang yang kita jual pada ruangan komen, ada promosi barangan peniaga, event bazaar, ruang swap review, atau sebagainya.
.
4) Swap review.
Saling mempromosikan akaun IG di akaun masing-masing. Swap ini percuma. Ada IG yang tetapkan minima followers sebelum swap, ada juga yang tidak. IG yang 10k ke atas, mahu swap dengan yang punya followers 10k ke atas. Yang 2k, swap dengan 1k atau 2k. Yang ratus-ratus, swap dengan 1k ke bawah. Apa jua syaratnya, biasanya yang followers sedikit perlu ikut syarat followers ramai. Begitulah dunia mihihi. Ayat deskripsi dan gambar sama ada kita berikan, atau mereka sediakan sendiri. Apa pun swap ini perlu bincang dulu sesama pemilik IG.
.
Pro:
- Tiada kos.
- Sekurang-kurangnya naik jugalah 1 follower, insya-Allah.
- Tambah kawan kerana ini konsep bantu-membantu.
.
Kontra:
- Terlalu banyak gambar iklan pada IG kita. Nampak semak.
- IG yang satu lagi tidak up swap IG kita walaupun kita sudah promo.
- IG yang satu lagi desak segerakan naik promo IG dia sebab dia sudah promo, walaupun baru beberapa jam. Hehe pengalaman.
.
5) Review (melalui hadiah / bayaran / hadiah dan bayaran)
Biasanya pada selebriti. Pelakon, penyanyi, blogger, model, siapa-siapalah yang terkenal dan ramai followers. Ada yang tag pada barang yang kita poskan kepada dia, atau apabila dia memakainya. Ada yang minta bayaran sahaja. Ada yang mahu dua-dua.

Paling rendah review berbayar yang saya perlu cuba adalah RM20, page ramai followers yang memang fokus mempromosikan IG bisnes tempatan. Paling tinggi pernah saya diberitahu, RM700 bagi sekali review. Dan iklan akan dipadam seminggu / 3 hari kemudian.
.
Pro:
- Insya-Allah followers memang banyak naik. Terutama selebriti yang karang ayat sendiri. Lebih nampak jujur dan bersungguh.
- Jika selebriti itu suka dengan produk kita, dia akan beli sendiri nanti.
.
Kontra:
- Kos tinggi (tetapi insya-Allah new followers pun ramai).
- Emel tidak berbalas kerana terlalu ramai mohon review.
- Perlu beratur panjang sekiranya setuju membuat bayaran.
- Ada yang que 2 bulan ke hadapan. Ha menunggu la awak.
- Biasanya iklan dipadam amat cepat.
.
6) 'WAJIB' satu hari update sekurang-kurangnya satu gambar. Jika tiada gambar produk terbaru, kongsi kata-kata hikmah, atau apa sahaja yang memberi manfaat. Jangan biarkan IG terbiar. Kerajinan update IG antara cara menaikkan followers.
.
Elakkan update gambar yang terpapar auratnya. Testimoni yang tidak menutup aurat, tak perlu upload pun okey. Yang kurang sempurna, macam nampak lengan dan kaki, edit letak bunga ka, love love ka... asalkan tidak mendedahkan aurat. Dosa orang boleh jadi dosa kita tau. Sebab kita sebarkan sama. Wallahua'lam.
.
7) Ejaan penuh amat digalakkan. Terutama apabila update berkenaan produk. Karang deskripsi dengan tenang, dan padat.
.
8) Gunakan hashtag yang berkaitan SAHAJA. Sekiranya jual van, guna #vanterpakai #sayajualvan #vanforsale dan sebagainya. Letak banyak-banyak pun tak apa, tetapi janganlah banyak sangat. Pening followers. AMAT DITEGAH guna hashtag isu semasa pada barangan jualan. Tidak beretika. #prayforMH370 pada gambar kerepek bawang? Motif kerepek bawang nak pray??
.
9) Sekali-sekala comey update pasal peribadi di IG bisnes. Tunjuk kita juga manusia, ada keluarga, ada urusan peribadi. Followers wanita suka ini. Tetapi jangan kerap sangat. Mereka follow lebih kepada produk kita, jadi banyakkan gambar produk, dan sedikit testimoni.
.
10) Ha jangan lupa terus letak harga. Memudahkan pelanggan survey. Tak apa, mungkin ada yang jual lebih murah. Jika itu rezeki kita, dan kena gaya, insya-Allah tetap ada sale. Kasihanilah kami yang perlu Whatsapp penjual semata-mata nak tahu harga. 
.
Dan layan pertanyaan customer dengan baik. Jangan maki hamun walaupun kita sudah letak semua detail pada gambar setiap kali update. Sekiranya kita penat, emosi tidak stabil, balas kemudian. Sudah tenang, baru balas. Terbukalah apabila yang bertanya itu ini begitu begini, tidak jadi beli... hehe. Yang sudah diberi jumlah dan invois pula, tidak jadi beli dan senyaaaaaap seribu bahasa, tidak balas pun soalan kita "Masih berminat?" "Sudah buat pembayaran?", ini dikira backout buyer. Terpulanglah nak kasi peluang lagi, atau abaikan terus.
.
Above all, bak kata sahabat saya, kembali kepada Allah. Buat semua yang wajib, amalkan yang sunat (dhuha, al-Waqiah, tahajud), banyakkan bersedekah, baiki hubungan sesama manusia, usaha semampu mungkin, dan yakin rezeki dari Allah. Man jadda wajada. All the best to us all! 




Berminat mendapatkan buku Pemasaran Instagram ini?
Whatsapp 012-7219956.
Harga termasuk pos SM: RM25
Harga termasuk pos SS: RM30

Vendor Concept Boutique

Disalin dari status FB saya, pada 29 Mei 2014.

Minggu lepas, semasa berurusan dengan pembekal, mereka bertanya di mana saya membuat jualan. Jawab saya, saya menjual di butik sebagai vendor; dan online. Waktu itu mereka berpandangan sesama sendiri. "Vendor itu apa?"

Saya tidak tahu bagaimana ia bermula dan siapa pengasasnya, tetapi butik berkonsepkan vendor ini pada awalnya (dalam pengetahuan saya), banyak di Shah Alam. Kini ia merebak ke Bangi, Melaka, Johor, Perak, dan boleh katakan hampir setiap negeri di Malaysia sudah mula membuat konsep sebegini.

- Berniaga secara berjemaah di bawah satu bumbung.

Sebagai contoh, Afeeya Bella adalah salah seorang vendor daripada LIMA PULUH vendor lain di The Sisters Boutique (yang akan saya tulis sebagai TSB sahaja selepas ini) Ya, 50. Bermaksud ada 50 online shop kini beroperasi secara fizikal di situ. Afeeya Bella mengisi slot pakaian wanita, dengan sewa RMxxx sebulan. Sewa ini bergantung kepada pemilik butik. Ada RM200, ada RM250, ada RM300, ada RM350, ada RM450, malah ada yang lebih tinggi daripada itu. Slot pakaian / hijab biasanya slot paling 'mahal' dalam sesebuah butik. Slot makanan dan aksesori biasanya lebih 'murah'.

Okey, rasanya tuan & cikpuan sudah mendapat gambaran bagaimana konsep vendor ini diaplikasikan. Pemilik butik menerima bayaran sewa dari para vendor setiap bulan. 


KELEBIHAN (mengikut pengalaman saya):

Paling berharga apabila menjadi vendor sesebuah butik adalah, NETWORKING. Saya tidak ramai rakan peniaga, jadi apabila menjadi vendor, saya berkenalan dengan ramai peniaga, dari segenap umur. Ada yang 'otai' - sudah punya puluhan ribu pengikut Instagram. Ada juga yang baru membuat akaun Instagram, hanya selepas menjadi vendor di TSB.

Pemilik butik membuat group khas bagi mengumpul para vendor di WhatsApp / WA (ini juga terpulang kepada pemilik butik. Ada butik yang tidak mempunyai group vendor.) Kelebihan membuat group WA adalah ini: networking - silaturrahim. Kami berkenalan, berbual, dan saling membantu di dalam group itu. Akrab seperti sudah lama kenal. Pada yang gemar berkongsi, saya diajar bagaimana berurusan dengan pembekal dari China, siapa pembekal plastik membungkus pesanan, dan 1001 proses bisnes yang selama ini ada yang saya tidak tahu!

Kedua, promosi percuma. Pemilik butik (yang biasanya ada media sosial seperti Instagram dan Facebook), akan mempromosikan barangan kita pada setiap media sosial kepunyaan mereka. Ini satu proses timbal balik. Mereka perlu mempromosikan barangan di butik demi menarik para pengikut media sosial mereka untuk datang ke butik, para vendor juga sebaiknya mempromosikan barangan sendiri dan tag / hashtag nama FB / Instagram butik. Malah ada butik yang menggunakan media majalah bagi mempromosikan butik dan para vendor.

Ketiga, seperti fitrah memiliki butik fizikal, jualan tetap berlangsung di butik walau ketika kita bercuti, tidak sihat, dan yang sewaktu dengannya. Staf di butik akan menguruskan pembelian koleksi kita apabila ada pelanggan. Beg plastik dan khidmat staf jualan semuanya disediakan oleh pemilik butik. Ini paling best memandangkan saya masih belum punya dana mengupah pekerja hehe. Jualan di butik ada yang uruskan, jualan online saya uruskan seperti biasa.

Saya rasa seperti ada lagi, boleh utarakan pertanyaan di bahagian komen.



UPDATE 25 JAN 2015: BAB KELEMAHAN, SELEPAS BERFIKIR PANJANG, SAYA TIDAK MAHU ULAS SEKARANG. Mungkin terus tidak ulas, ataupun ulas nanti-nanti. Mohon maaf! 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...