28 February 2010

Jeng jeng jeng!

Siapa di sini gemar menulis diari, blog dan seangkatan dengannya?

Sila angkat tangan! (^_^)

Siapa di sini gemar menulis diari, blog dan seangkatan dengannya
dan mahu tulisan itu dibukukan?

Sila angkat tangan juga! (^_^)

Siapa di sini gemar menulis seperti di atas dengan unsur humor?

Sila angkat tangan juga dan juga! (^_^)



Siapa di sini gemar menangis?

. . . .



Siapa?

"Saya!" jawab Hani Idayu binti Hamdan.






Ini serius.

26 February 2010

♥ ♥ KOMIK-M ♥ ♥

(^O^)

HEBAT!

(^O^)

MENARIK!

(^O^)

MENGAGUMKAN!

Apakah semua ini? :love:

Semua ini adalah kata-kata yang layak diberikan untuk Komik-M kerana menerbitkan komik-komik berfaedah, yang sesuai dibaca
oleh setiap lapisan masyarakat.


Komik terbitan Komik-M tidak dirampas oleh para guru dan pengawas sekiranya pelajar membawanya ke sekolah.

*Ehem* Begitu juga buku-buku PTS One ya.

Mengapa Komik-M diberikan pelepasan sebegitu?

;)

Pertama!

Komik-M menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, maka ini amat bagus bagi mengajar anak bangsa menggunakan bahasa Melayu yang betul.

Kedua!

Jalan cerita yang semestinya syariah-compliant, tiada unsur-unsur keterlaluan hingga menggores sensitiviti masyarakat, terutamanya masyarakat Islam dan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Ketiga!

Dah memang best, nak buat macam mana? :argh:

Maka...

Marilah membaca Komik Malaysia (Komik-M)!

Komik yang lain daripada yang lain. Penuh dengan aksi dan impian namun ada aspek humor juga! Best! Feeqry yang sangat berbakat! (^_^)

Komik ini juga best! Daripada cover sudah nampak betapa best komik ini!
Irfan yang juga sangat berbakat! (^_^)

Komik ini pula memanglah best juga! Lukisannya comel! Betul! Mak tak tipu, nyah.

"Komik comel ala Shin Chan versi baik." - Alif Firdaus Azis


Ultra Qalif adalah yang paling latest saya baca. Sangat best!!! Kawan-kawan, sila beli komik ini kerana ia sungguh kelakar namun tetap menerapkan nilai-nilai murni. Kelakar hingga gelak berguling-guling! :guling:

Iklan:
Promote Ultra Qalif bersama rakan-rakan PTS dan *ehem ehem* Encik Bop sendiri. Beliau yang di belakang saya yang tembam itu (tembam: merujuk kepada diri saya, bukan Encik Bop, beliau sasa) dan menutup separuh muka ala-ala misteri Nusantara.



Komik-M sudah menerbitkan lebih 20 judul komik, jadi apa tunggu lagi? Jadikan komik terbitan Komik-M sebagai koleksi kawan-kawan, kerana harganya murah dan tidak rugi membeli sesuatu yang bermanfaat! Oh? Mahu beli ketika diskaun yang amat hebat maka akan murah bertubi-tubi?

Jangan lupa ke booth PTS (C11 - C25, Dewan Tun Razak 2)
pada 19 hingga 28 Mac ini di PWTC.

Layari microsite PTS sempena pesta buku
bagi mengetahui perkembangan terkini! (^_^)

Terima kasih! :pompom:

P/S: Amboi... bukan main di mana-mana ada ikon bergerak. Hahaha hore!

20 February 2010

Ini semua adalah satu kesalahan! #3

Salam semua! Selamat berhujung minggu! (^_^)

Saya kurang sihat hari ini, maka saya sekali lagi tidak dapat turut serta program Baca@LRT yang sungguh berdedikasi itu. (Sekiranya kawan-kawan klik pada pautan itu tetapi yang muncul adalah page yang membuatkan kawan-kawan terdetik "Ini apa maksud?", sila maafkan saya dan beritahu saya ya? Saya akan berikan maklumat lanjut berkenaan gerakan ini.)

Malah sekali lagi, saya perlu menyiapkan satu lagi buku sempena pesta buku ketika hujung minggu. T______T Mari doakan supaya saya kuat dalam menjalani tanggungjawab yang memakan kebebasan hari minggu saya. Jangan maghah bos saya kerana bos saya tidak memaksa saya melakukan semua ini. Yang memaksa saya adalah pesta buku. Wowowo! Esok ada kursus pula! (Yang didaftarkan atas sifat gatal kerana menyangka minggu kali ini sudah lapang.) Hoyehlah! Memang saya akan menjadi sawi rebus.

MAKA MARILAH MEMBELI BUKU-BUKU PTS ONE KERANA SAYA DAN TIM SUDAH BERUSAHA GIGIH!!! *menangis sambil berguling-guling dengan hebat*


Okey, Husna, sila bertenang.

(^_^)

Apa pula perkongsian ilmu buat kali ini?


Ya... kali ini agak penting juga kerana kesalahan yang bakal saya terjah adalah kesalahan yang biasa rakyat jelata lakukan dengan sangkaan mereka di pihak yang benar.


Mari mulakan!

Was-was,
iaitu perasaan ragu-ragu, contohnya apabila Rob Pattison melamar menjadi suri hidupnya, selepas Justin Timberlake melakukan perkara yang sama satu saat yang lepas, maka timbul perasaan ragu-ragu sama ada mereka melamar kerana rupa paras seperti Jessica Alba ataupun kerana cinta yang murni datang dari hati.

Ejaan sebenarnya adalah
waswas. Tiada tanda sempang/sengkang di antara was dan was seterusnya.

Terkejut, bukan? Ya... tidak perlu terlalu terkejut kerana ini adalah satu kebenaran. Terlalu ramai yang meletakkan tanda sempang di antara dua perkataan kembar seiras ini supaya mereka berpisah, walhal mereka masih mahu bersama hingga ke akhirnya. Maka jangan dipisahkan hati yang mahu bersatu, kerana kelak mengundang padah. Apakah?

War-warkan, iaitu membuat pengumuman dengan berteriak bersungguh-sungguh seperti "Hoi orang kampung! Cik Husna yang dikhabarkan iras Lisa Surihani itu akan mencemar duli!"

Marilah terkejut buat kali kedua kerana ejaan sebenarnya adalah uar (uar-uar).

"War-warkan kepada orang kampung berkenaan kedatangan Cik Husna yang popular itu, sekarang juga!" arah ketua kampung, Lebai Mansur kepada Kulup. (Salah)

"Uar-uarkan kepada orang kampung berkenaan kedatangan Cik Husna yang sangat popular itu, sekarang juga!" arah ketua kampung, Lebai Mansur kepada Kulup. (Betul, tanpa waswas.)


Tiada perkataan war-warkan ya. War dalam bahasa Inggeris
bermaksud 'perang', iaitu keadaan kucar-kacir yang disebabkan permusuhan. Namun perkataan war dalam bahasa Malaysia juga wujud. Maksudnya berasa dahaga kerana memakan kacang. (~~.)

Berambus, merujuk keadaan dihalau pergi dengan kejam, contohnya "Berambus kau dari sini! Kau penyeleweng!" marah Cik Husna apabila Kulup menguar-uarkan rupa parasnya seakan-akan Lisa Surihani, padahal lebih mirip Jessica Alba kadang-kadang.

Kejutan kali ketiga ini adalah berdasarkan silibus ejaan yang diubah kerana apabila saya merujuk kamus Dewan online, perkataan berambus ini wujud namun pada edisi kedua sahaja. Edisi terkini iaitu edisi keempat yakni yang paling terbaharu lagi terkini, adalah, berhambus.

Ha... sakit dada kalian kerana terkejut bertubi-tubi, bukan? Hahaha! >:D
Gelak bertanduk sudah muncul!

Walaupun berhambus juga sama makna dengan perkataan nyah, jangan dikatakan berhambus kepada kaum itu (faham-faham sendiri) ketika anda sendirian di lorong gelap, kerana bimbang diketuk kasut tumit tinggi saiz 11 dan dipaksa memakai gincu berwarna merah jambu pastel dan 'menjaja' bersama-samanya.


Okey, itu sahaja buat masa ini. Semoga mendapat manfaat. Mohon baca, semat di hati dan di minda, dan amalkan ketika menulis kelak. Insya-Allah, pasti mujarab.


Oh, jangan lupa!


Peluang masih dibuka hingga 28 Februari 2010! BERUSAHA SEMUA!


Peluang menulis cerpen puasa/raya untuk Remaja@PTSOne 2010

Peluang melukis komik puasa/raya untuk Remaja@PTSOne 2010

Sehingga berjumpa lagi! (^_^) *Lambai-lambai si daun rambai.*


Apakah ini? Apa itu 'pelan-pelan gustan'? Hahaha! xD
Tak apa, usaha lagi dik!

17 February 2010

Ini semua adalah satu kesalahan! #2

*Tajuk sudah diubah kerana sudah dapat idea! Hore!*

Salam satu dunia! (^_^) Hai kawan-kawan!


Sudah lama tidak bersua. (Lamakah?)

Kawan-kawan apa khabar? Harapnya sihat sentiasa.

Adakah boleh saya terus memanggil pembaca saya kawan-kawan, ataupun perlu lebih berhemah seperti tuan puan? Mari kita belasah sahaja buat entri kali ini.

Apa pula yang mahu saya kongsi bersama kawan-kawan?

Sudah tentulah berkenaan penggunaan bahasa. (Satu per satu rakan pembaca mula menghalakan anak panah ke kotak bertanda x. T______T Janganlah begitu, sayang....)

Baiklah.

Ahad lepas, saya selesai menyunting satu lagi manuskrip daripada penulis baharu. Memang bagus jalan ceritanya dan tidak membosankan. Penulisnya baru berusia 16 tahun. Kagum saya dibuatnya. Saya ketika berusia 16 tahun... emm... apa ya yang saya buat?

Oh! Menyertai Kadet Polis Sekolah. T______T

Syabas.

Uniformnya masih ada hingga sekarang. Jadi sekiranya ada sesiapa yang berminat membelinya, saya timbang kati sahaja. Jangan malu-malu untuk menghubungi saya. (Jangan bimbang, saya akan rahsiakan hal ini. Kita berdua sahaja yang tahu.)

Berbaliklah kepada tujuan kita.

Manuskrip yang ditulis oleh pelajar berusia 16 tahun ini memang menarik, namun tetap berlaku beberapa kesalahan bahasa. Oleh itu, marilah saya mulakan sesi membebel ataupun nama murninya, berkongsi ilmu pengetahuan.

Sesi berkongsi ilmu pengetahuan.

1) Rupanya ataupun rupa-rupanya?

Ini memang sering saya jumpa dalam mana-mana manuskrip pun. Kadang-kadang penulis senior pun melakukan kesalahan ini.

Rupanya adalah betul sekiranya kita bercakap berkenaan rupa (wajah) seseorang.

Ayat contoh: "Rupanya sangat cantik, seperti Lisa Surihani!" puji Nikelson apabila melihat wajah Husna.

Ayat di atas adalah contoh ya. Jangan cuba merusuh.

Namun sekiranya kita mahu menggunakan rupanya dalam konteks mengetahui hal sebenar, perkataan rupa itu perlu digandakan. Contohnya begini:

"Rupa-rupanya Husna itu iras Lisa Surihani! Saya sangka seperti Jessica Alba!" luah Ramlan dengan begitu teruja sambil menggoncang bahu Jamil yang masih terkedu.

Sudah dapat bagaimana menggunakan rupanya ataupun rupa-rupanya?

Bagus. Saya memang sudah lama yakin pembaca di sini bijak-bijak belaka.

Hei hei, tidak perlulah sampai mahu menggosok minyak angin ke kepala. Segala di atas hanya contoh. Okeylah, lain kali saya guna contoh nama orang lain pula ya. (^_^)

2) Okey, itu sahaja.

Hahaha! Itu sahaja yang saya ingat buat masa sekarang. Tadi semasa melihat kembali manuskrip itu, ada banyak perkara mahu dikongsi bersama. Mungkin lain kali saya perlu buat nota supaya tidak menghasilkan entri sebegini pendek dan kurang berfaedah.

Maafkan saya. Hehe. (Minta maaf, namun gelak pula. Adakah ikhlas?)

Minta ruang berucap sebentar boleh?

Terima kasih kepada semua pengunjung blog ini, sama ada yang sudah lama mengikuti tulisan saya hinggalah yang baharu mula menceburi bidang sia-sia ini. Namun tidak sia-sia sebenarnya. Tulisan saya akan diperkemaskan kelak, dan saya akan pastikan waktu kawan-kawan, tuan dan puan sekalian, tidak begitu membazir apabila membaca entri saya.

Mohon maaf juga pada kawan-kawan yang terkejut apabila URL blog lama memerlukan kata kunci pula. (Ye ke? Saya pun tak tahu apa yang berlaku sekiranya kawan-kawan ke URL snalala itu.) 'Memang over budak ini,' detik hati pengunjung tetap. Saya cuba mengesan pembaca-pembaca sebelum ini, dan memberitahu khabar berita ini dengan kadar segera. Mohon maaf sekali lagi. T_____T

Saya tidak sangka begitu ramai yang membaca blog ini sebenarnya. Itu sebab saya dengan sewenang-wenang menukar segala-galanya dengan begitu pantas dan tuntas. Penukaran URL ini mendedahkan siapa pembaca blog saya. Ya, itulah taktik saya sebenarnya. Hahahaha! >:D Lihat, saya ketawa ada tanduk.

No, no. Saya tidak sebegitu licik. Memang tukar atas sebab-sebab tertentu. Tiada kaitan dengan mahu membongkar siapa pembaca saya. Mengetahui siapa yang membaca blog ini sebenarnya membuatkan saya lebih bersopan santun dan ayu. Itu suatu yang digelar seksaan halus. Hahahaha! Saya akan berusaha gigih! (^o^)

Jadinya... cukup di sini sahaja. Saya akan kemas kini dengan entri seterusnya. Hingga berjumpa lagi! *Lambai-lambai si daun mengkudu.*


Terimalah sedikit buah tangan yang saya lukis sebentar tadi hingga tangan sudah kejang-kejang. T______T Jadi sila jangan hina beliau kerana beliau terhasil atas keikhlasan dan kegigihan. Harap maklum.

13 February 2010

Peluang melukis komik! (^o^)

Hai semua! :love:

Kepada yang berminat melukis komik bersama PTS One, inilah masanya!

(Ini peluang baik terutamanya untuk pekomik baru bagi mendapatkan pengalaman hebat!)

Remaja@PTSONE adalah kompilasi cerpen raya dan puasa daripada beberapa penulis PTS One dan juga para pembaca.

Di dalam buku kompilasi ini juga, dimuatkan komik-komik, juga bertema yang sama iaitu raya dan puasa.

Syarat-syarat penyertaan adalah seperti berikut:
  • Tiada had umur.
  • Yang penting jalan cerita original, menarik dan kreatif.
  • Yang paling penting, WAJIB syariah-compliant. Sopan-sopan gitu. (^_^)
  • Karya bersaiz A4, 3 muka surat.
Kepada yang berminat, bolehlah e-melkan kepada husna@pts.com.my.

Ataupun ke alamat di bawah:

Remaja@PTSONE 2010,
PTS One Sdn. Bhd,
No. 12, Jalan DBP,
Dolomite Business Park,
68100 Batu Caves,
Selangor Darul Ehsan.

Ganjaran: RM 120 (lump-sum), berserta sijil penyertaan dan senaskhah buku Remaja@PTSONE 2010.

Seperti biasa, sekiranya tidak mahu apabila sudah penat melukis tetapi idea ditolak kerana kurang menarik, apa kata hantarkan dahulu proposal kepada kami (tajuk dan sinopsis) dan ceritakan serba sedikit watak-watak dalam komik itu. Saya akan cuba membantu dari segi jalan cerita. Insya-Allah.


Jangan lupa lampirkan juga contoh stroke lukisan kawan-kawan. Hanya stroke yang menarik, kemas dan mudah difahami akan diluluskan.

Satu pekomik dibenarkan menghantar lebih daripada satu karya. Maknanya, boleh sahaja buat dua cerita, tetapi dua-dua hanya tiga muka surat. Ini bagi mengelakkan satu pekomik conquer enam muka surat sekali gus. Jika ada dua cerita, kami akan asingkan satu di bahagian awal buku, dan satu lagi mungkin di akhir buku.

Tidak ada idea buat satu cerita sebanyak tiga muka surat?

Boleh sahaja buat satu muka surat komik pendek, tetapi perlu buat tiga cerita.

Mana-mana pun boleh, ikut kreativiti. BERUSAHA!

Oh ya! Tarikh tutupnya juga pada 28 Februari 2010! :wink

Marilah berkomik bersama PTS One! (^_^)

Peluang menulis cerpen! (^o^)

Hai kawan-kawan!

Masih ingat pada novel Remaja@PTSONE?

Ini versi 2009.

Ya! Novel ini akan kembali di pasaran sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini pula. Tahun 2010 yang sangat menarik!

Jadi, kami membuka peluang kepada kawan-kawan yang berminat menghantar karya bertemakan pengalaman pada bulan puasa dan juga pengalaman ketika berhari raya bagi dimuatkan ke dalam novel hangat ini.

Walau bagaimanapun, hanya karya terbaik yang akan dipilih dan setiap karya yang dimuatkan akan menerima RM 70, sijil penghargaan dan senaskhah novel Remaja@PTSONE 2010. Menarik bukan?

Apa lagi? Marilah mula menulis dari sekarang! Mana tahu, ada antara karya kawan-kawan yang terpilih.

Syarat-syarat penyertaan adalah seperti di bawah:
  • Tiada had umur.
  • Yang penting jalan cerita perlu original, menarik, kreatif dan lain daripada yang lain.
  • Tema pengalaman beraya ataupun berpuasa.
  • Perlu cerita yang syariah-compliant, ada moral yang baik, tidak kira sama ada ceritanya sedih ataupun kelakar!
  • Karya bersaiz A4, lebih kurang 8 muka surat.
  • Bertaip
  • Font-12, double spacing
E-melkan manuskrip kawan-kawan itu ke ptsone@pts.com.my, ataupun ke alamat ini:

Remaja@PTSONE 2010,
PTS Publications & Distributors Sdn Bhd,
No. 12, Jalan DBP,
Dolomite Business Park,
68100 Batu Caves,
Selangor Darul Ehsan.

Bagi memudahkan urusan, sertakan sekali biodata kawan-kawan kepada kami. Kami perlukan nama penuh, alamat, e-mel dan juga nombor telefon, sekurang-kurangnya. Mahu tulis cita-cita, sekolah di mana, tarikh lahir dan sebagainya pun boleh. (^_^)

Jangan malu-malu menghantar karya kawan-kawan itu kepada kami!

Okey, selamat berkarya!

Oh ya! Tarikh tutup adalah pada 28 Februari 2010!

Jangan lupa ya!

Perubahan itu perlu.

WOW!

Di sini, di blog yang saya suka ini, saya mulakan dengan tulisan yang santai. Memang waktu itu hanya ada seorang pembaca, iaitu Abang Alif. Dia memang 'abang' yang sangat saya sayangi atas segala jasanya dalam merubah siapa saya hari ini. Kebetulan, tujuan entri ini ditulis, jatuh pada hari lahirnya. Jadi, selamat hari lahir buat Abang Alif! (^_^) Mari doakan dia dan tunangnya dipermudahkan segala urusan dan bahagia hingga ke syurga.

Kemudian satu per satu sahabat saya membaca blog ini. Namun kerana tahu bahawa blog ini bebas dibaca oleh umum, sedangkan di sini menjadi tempat segala macam luahan yang okey dan tidak okey, saya masih merahsiakan identiti saya. Ha ha! Susah gila waktu ini. Mahu cerita, dan mahu letak gambar, tetapi perlu rahsia-rahsia pula. Sedangkan majoriti yang baca kenal saya, cuma saya tidak mahu orang yang saya tidak kenal mengenali diri saya. Hehe.

Sekian lama, terdetik hal yang penting. Saya merasakan saya perlu ada medium bercerita perihal kerja saya sebagai salah satu cara promosi, barangkali.

Maka saya perkenalkan diri, dan seterusnya sudah berani meletakkan gambar di sini. Masih bercerita soal diri walaupun ada waktunya cerita perihal kerja saya.

Kemudian, rasa seperti mahu jadikan blog ini blog kerjaya pula. Maka cuba berhenti merepek soal peribadi.

Namun tidak begitu berjaya. Hahaha! Biasalah, saya ini jujur orangnya. (Sila pengsan pada sesiapa yang enggan percaya.) Segala apa yang saya mahu kongsi, saya tulis di sini. Alhamdulillah, rakan-rakan di sini sering berikan saya kata-kata semangat. Terima kasih saya ucapkan. Kehadiran kalian di sini sudah cukup menyemarakkan semangat saya.

...

Tetapi semalam, berakhirnya kepercayaan saya pada pembaca di blog ini.

Wow!, bukan?

Saya sendiri mengaku ini silap saya, kerana terlalu jujur dengan kalian atas sifat terlalu percaya. Ha ha! Ya, semua ini silap saya, dan saya mohon maaf sekiranya kalian semua terheret sama atas kepercayaan saya.

Maka sekali lagi, ini entri terakhir berbaur emosi dan peribadi.

Kelak di sini hanya tinggal kerjaya.

Siapa yang mahu tinggal, tinggal di sini bersama separuh jiwa saya. Siapa yang mahu berlalu, saya alu-alukan, jika aura kebosanan akan datang membantutkan hasrat kalian ke mari.

Blogging isn't fun anymore. Saya terkilan kerana terpaksa meninggalkan Sna La La dengan separuh daripada jiwa saya yang serius. Separuh lagi saya PERLU simpan dan dikongsi dengan mereka yang boleh dipercayai sahaja. Saya sangka menulis di sini bagai bercakap dengan rakan baik, dan mengharap satu kepercayaan....

HAHAHAHAHAHA! SAYA SANGAT NAIF!!! (>o<)


Kelak kita berjenaka soal yang lebih serius ya?

Tiada lagi kehidupan peribadi Husna Adnan. Maka kepada sesiapa yang seronok mengintai kehidupan saya, yang saya sendiri relakan atas kepercayaan saya, saya mohon ampun dan maaf. Hilang keseronokan kalian menganalisa hidup saya.

Walaupun semalam hanya disebabkan seorang pembaca, tetapi seorang pembaca membuat satu perkara. Dan hanya semalam. Hari-hari sebelumnya, pada entri-entri sebelum ini, ada berpuluhan lagi angkara yang menipiskan kepercayaan, namun saya tidak serik nampaknya. Maka ambillah saya 'ubat' semalam.... Padan muka. Huhuhu.

Lawatlah jika mahu baca perkongsian ilmiah saya ya? Insya-Allah. harap kita sama-sama mendapat manfaatnya.

Terima kasih atas kehadiran tuan puan ke blog ini. Saya sudah tukar URL blog ini agar tampak lebih matang. Saya sedih jika Sna La La adalah side kerja saya. Kerja saya sebagai Husna Adnan. Apakah itu Sna La La pula. Hahahahahahahahahaha! (~~.)

Penerangan pemilihan URL blog: 1001 adalah tarikh lahir saya (10.01) dan Husna Adnan adalah nama kependekan saya. Okey la kan?

Segala pertanyaan berkenaan industri buku dan PTS One, boleh e-melkan kepada saya di husna@pts.com.my. Saya cuba bantu sedaya upaya saya.

Sekian, terima kasih.

Assalamualaikum. =)

10 February 2010

Ini semua adalah satu kesalahan!

.... Tetapi ramai orang suka guna.

Entri kali ini tiada amaran memadam api di dapur. Masih boleh terus membaca sambil menunggu minyak panas. Terima kasih.

Unggu, merujuk kepada sejenis warna.

Ejaan sebenarnya adalah ungu.
Tiada dua huruf
g dalam itu perkataan. Hanya ada satu.

Perkataan
unggu memang ada, tetapi ia bukan sejenis warna yang cantik. Ia membawa maksud layanan berat sebelah ataupun sikap bermusuhan terhadap seseorang berasaskan keturunan bangsanya, misalnya satu kaum men­dapat layanan yang lebih istimewa daripada kaum yang lain. (Sumber: Kamus Dewan online, kerana kamus tertinggal di pejabat.)

Mengguris; hati yang terluka (perasaan).


Ejaan sebenarnya adalah
menggores.
"Mengapa kau sanggup menggores hatiku?"
Ayat itu akan mengundang tawa pasangan kita yang sedang minta
putus.
Maka boleh tukar menjadi ayat di bawah bagi mengekalkan suasana pilu.

"Mengapa kau sanggup melukakan hatiku?"


Sekiranya masih mahu tulis
mengguris lagi, ingatlah 'Gores dan Menang'.
Ada sebab dia tulis 'Gores' di situ. Sebab anda perlu cakar dan calarkan kertas yang mempunyai selaput perak di atasnya bagi melihat hadiah di sebaliknya. Aktiviti mencakar dan mencalar itu boleh saja dijalankan menggunakan duit syiling. Namun itulah metafora bagi situasi menggores perasaan.


Beristirehat, merujuk kepada bersenang-lenang dan bersantai melayan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa dan menghirup udara laut sambil menyedut jus oren segar di dalam gelas yang bergaya dan
okey, cukuplah cik. Cuti Raya Cina tidak lama sahaja lagi. Sabar.

Ejaan sebenar adalah
beristirahat. Walaupun mahu menyatakan aktiviti b.e.r.e.h.a.t. itu, ejaannya bukanlah b.e.r.i.s.t.i.r.e.h.a.t. Maaflah. Inilah hakikat hidup.

Satu persatu.

Ini sudah berapa juta kali saya terangkan, baby? Satu per satu lebih tepat. One by one, bukan one byone. Satu demi satu, bukan? Adakah saya begitu tidak berkaliber hingga masih mahu guna satu persatu??? Berubahlah....
T_______________T
(Penggunaan warna kelabu bagi menampilkan emosi kelam dan sedih.)

Marilah sama-sama memartabatkan bahasa kita. Kelak, apabila anda berpacaran dengan orang Korea misalnya, dapatlah anda mengajar beliau bahasa Malaysia yang betul. Walaupun saya sendiri banyak kesilapan, namun ini sekadar berkongsi sedikit ilmu. Janganlah disemai perasaan amuk dan amarah sekiranya terasa hati. Mari hayati gambar di bawah, yang diambil daripada sumbernya sendiri, bagi mengurangkan tekanan.


Baguslah jika begitu. T______T
Tolong pastikan anda ada tauliah terlebih dahulu, terima kasih.





Terima kasih sudi baca, 'like' dan juga komen! (^_^)v

03 February 2010

Kisah ke JB.

Terlalu banyak yang saya mahu tulis sebenarnya. Namun entah kenapa, saya seperti tidak tahu bagaimana mahu tulis di sini. Saya mahu kalian baca dan dapat rasa betapa terujanya saya! Namun apabila sudah tulis perenggan demi perenggan, saya rasa seperti mahu terjun bangunan. (T____T) Tidak teruja langsung! Maka, saya rasa, apa kata saya mula menulis tanpa banyak membebel?

Namun, adalah lebih manis sekiranya saya beri salam buat kawan-kawan terlebih dahulu.

Assalamu'alaikum, hai kawan-kawan! (^_^)v Apa khabar?

Seperti yang kalian sudah tahu (tahukah??), Sabtu lepas adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Johor Bahru. Walaupun ibu bapa saya berasal dari Batu Pahat, Johor, namun jangan haraplah mereka membenarkan saya ke daerah lain tanpa sebab-musabab yang kukuh. Hmm... 'mereka'... hahaha! Seperti masih lengkap pula ibu bapa itu kelihatannya.

Bagi saya, perjalanan dari sini ke sana agak jauh, namun saya tidak tertidur seperti selalu (apabila berjalan jauh). Saya bangga dengan prestasi diri saya. Saya sangat gigih kerana sepanjang perjalanan, saya layan borak dengan bos.


Kebetulan, ketika kami melepasi sempadan negeri Johor, tim Komik-M iaitu Abang Alif dan Abang Wanzu selaku pemandu serta para pekomik juga baru melepasi sempadan, maka kami bertemu di Hentian Tangkak, sementara menunggu sebuah lagi kereta yang berhenti di Nilai.

Situ banyak ulat bulu, okey.

Tidak... bukan 'ulat bulu' yang membawa maksud lelaki miang, namun memang ulat bulu yakni binatang itu. Huhuhu sungguh ngeri.... Apabila melihat mereka mengengsot ke sana dan ke mari, automatik kaki dan tangan rasa gatal-gatal.


Apabila kereta yang dinanti tiba, kami mula berkonvoi ke JB, tiga kereta.

...

..

.

T________T Saya sudah tiada mood mahu sambung cerita....

CIK SNA, APA YANG SUDAH BERLAKU PADA KAMU??!

Maka, saya mulakan aktiviti mengemas kini blog saya dengan membuat point form sahaja. Maafkan saya. (Entah-entah, kalian lagi suka kerana tidak penat membaca, huhuhu).

  • Sebelum sampai ke rumah pengantin iaitu Kak Nani, pemandu sudah bertukar kerana cik bos baru sedar yang lesennya mati berbulan yang lalu sebelum menuju ke road block di hadapan. Pertukaran pemandu dijalankan dengan pantas ketika berhenti di lampu isyarat, dan dihiasi bunyi hon orang belakang yang bertubi-tubi iaitu kereta Abang Wanzu sendiri. Sungguh kejam. T____T
  • Majlis perkahwinan Kak Nani sungguh berjaya seperti yang beliau mahukan. Gaya Inggeris gitu. Saya gembira kerana dapat membantu beliau semasa persiapan. Walaupun tidak dapat tunggu hingga beliau bersanding bersama suami tersayang, namun kami tetap gembira untuk Kak Nani!!!
  • Saya sudah memandu di bumi JB. Sila tepuk tangan.
  • Pertama kali jejak Plaza Angsana. Sungguh ramai manusia di situ. Hebat!
  • Memberikan sokongan padu buat tim Komik-M (walaupun waktu ini, mata seperti tidak mampu dibuka... kalaulah boleh tidur tanpa rasa malu di tepi kedai Badan Cemerlang itu...) Event apa? Boleh rujuk pada dua entri di bawah. Ada... tolong rajin sedikit dengan turunkan skrol di tepi itu. Jangan malas seperti saya ya, nak. Walau bagaimanapun, orang JB memang gempak. Gila ramai!!! Tahniah semua!
  • Selesai event dan makan-makan di KFC, tim komik pulang ke KL, manakala kami menuju ke Pontian untuk bermalam di sana kerana keesokan harinya, kami akan pulang ke KL dengan penambahan seorang penumpang iaitu jejaka dari Pontian. Mari kita rahsiakan identitinya walaupun tidak perlu sebenarnya.
  • Saya tidak tahu bagaimana mahu bayangkan Pontian, tetapi saya bayangkan dengan begitu keji, yakni pekan kecil seperti Kajang. Namun saya silap. Pontian yang kami pergi itu sungguh bersih, hotel boleh tahan cantik, malah... SEBELAH ITU ADALAH LAUT!!!
  • Pagi-pagi Ahad, sudah bangun dan menjengah laut dari tingkap hotel kerana semalam tidak nampak apa-apa. Malam, memanglah gelap.
  • Sebelum berangkat pulang ke KL, sempat ambil gambar pelbagai pose di tepi laut. Mahu tengok gambarnya? Silalah kecewa kerana gambarnya cantik, tetapi saya tidak. Maafkan saya.
  • Ketika pulang, jejaka Pontian yang memandu, maka saya duduk di belakang seperti bos wanita yang angkuh berkaca mata hitam, dan apabila bosan, baring lantas tertidur.
  • Singgah di Restoran Jejantas Ayer Keroh, belasah A&W.
  • Jejaka Pontian berbelanja sakan di Al-Ikhsan, saya pula berbelanja sakan membeli bantal yang satu berbentuk Smiley, dan satu lagi adalah Spongebob yang besar. Nanti saya letak gambar mereka. Mereka sungguh comel. Bos? Bos duduk di kerusi dengan penuh kesabaran.
  • Sampai rumah lebih kurang 6 petang.
  • Penat. Tetapi seronok!!! *hati ada bunga-bunga. ^____^
Sekian... semoga terhibur.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...