20 November 2014

Kita menyusul....

Assalam, lama tidak menulis di sini. Insya-Allah, mahu cuba kembali selepas membaca blog seorang penulis yang sudah ke rahmatullah. Blog arwah memberi saya inspirasi bagi menulis semula. Semoga rajin huhu.

Pada 17 November lalu, ayah sahabat saya meninggal dunia secara mengejut. Namanya Abdul Karim bin Yaacob. Almarhum juga merupakan doktor keluarga saya sejak saya kecil, memandangkan Klinik Dr. Karim adalah panel emak dan abah. Hampir semua orang Kajang kenal Dr. Karim, with his humble small clinic near a gas station (lupa nama stesen minyak tu // dah kenapa tetiba bahasa rojak).

Orangnya kecil, comel, dan tiap kali ke Klinik Dr. Karim, saya rasa tenang dan selesa. Dr.Karim tidak 'menakutkan' seperti doktor lain. Yang saya paling ingat, tiap kali habis rawatan, Dr. Karim akan membenarkan kami mengambil gula-gula yang diletakkan di dalam balang, di atas meja beliau. So nice....


Inilah Almarhum Dr. Karim yang kami sayang. T_T
(Gambar diambil dari FB salah seorang anaknya.)

Semoga Allah reda, rahmati, dan kasihi almarhum atas segala kebaikan yang dilaksanakan sepanjang hayatnya, amin. Insya-Allah, saya doakan juga untuk seluruh keluarga almarhum, supaya diberikan kekuatan dan kesabaran.



Sebelah kanan gambar adalah sahabat saya, Hidayah. Sebelah kiri pula sahabat saya, Dr. Aireena, anak Dr. Karim yang saya kenali semasa sekolah menengah. Orangnya sama baik seperti almarhum ayahnya. - Ai, teruskan kerjaya darah daging ini. Moga terus menjadi kuat, tabah, dan bersemangat - seperti almarhum daddy. Kami semua ada, menyokong tiap langkah menuju kejayaanmu. T_T

* * *

Pemergian Dr. Karim, dan kesedihan sahabat saya itu, menerbitkan status FB ini, yang saya karang pada 18 November.

Sewaktu memeluk sahabat di perkuburan semalam, kami sama-sama menangis. Pelukan semakin erat apabila beliau bisikkan sesuatu kepada saya. "Husna dulu dah pernah rasa kan?" Air mata saya tumpah tidak tertahan. Melihat sahabat saya bercucuran air mata, benar, ia sama seperti saya 8 tahun dahulu.
.
Selepas pelukan dilerai, Subhanallah... rasa lega sangat. Semacam ada rasa yang tersimpan bertahun-tahun, pergi seiring lerainya pelukan kami. Teringat arwah abah, teringat 'kalau', 'kalau', 'kalau', yang masih bersisa hingga ke hari ini.
.
Tapi saya tahu, apa yang terjadi, tidak dapat diubah lagi. Walaupun saya tidak rapat dengan abah, saya tetap rindu. Yang tinggal dalam memori saya, bukan ketika arwah merotan saya yang degil, bukan ketika arwah memarahi saya yang enggan meneruskan tingkatan 6 - tetapi ketika arwah terbujur kaku, dengan wajah suci mulus. Begitu tenang. Saya ketika itu, memegang tangan abah yang sejuk, mengharap ia cuma mimpi.
.
Harap abah ada, melihat saya abadikan namanya sebagai nama pena. Harap abah ada, sewaktu saya memegang skrol ijazah. Harap abah ada, sewaktu saya bernikah. Harap abah ada, sewaktu cucunya dilahirkan.
.
Tak apa abah, insya-Allah kita jumpa di sana. 

Buat saya rindu abah. :')

Dan... yang masih ada ketika ini, pasti juga menyusul.

Semoga saya dan kita semua, pergi dalam khusnul khotimah, amin....


2 comments:

Anonymous said...

Thanks Husna, terharu sgt dgn entri ni. Doakan semoga arwah ditempatkan dgn org beriman dan mendapat nikmat syurga, semoga kita dapat kuatkan hati, InshaAllah

Husna Adnan said...

Welcome, Ai. T_T Teruskan berkuat!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...