05 June 2013

Sibuk Itu Bagus!


Assalamu'alaikum.


Entri terakhir adalah bulan April. Berani betul! Encik Suami sudah bising. "Mana entri baru? Mana entri baru??" Itu adalah tekanan tertinggi pernah saya dapat. Selalunya apabila saya minta sedikit masa untuk update blog, mesti muka bosan dia keluar. Hahaha nampak betapa kritikal keadaan sekarang??!

Apabila ada masa lapang, hobi Encik Suami adalah melihat gambar-gambar dalam telefon saya. Biasalah, saya kan 'momok gambar'. Ha... dari situ dia dapat kesan betapa banyak entri tertangguh huahua. 

Ya ya ya. Memang banyak. Lebih kurang tujuh entri. (Kepada yang mual baca ayat ini dan terdetik 'Eee poyo je macam blogger femes. Bajet orang kesah apa kau nak cerita.' - sila terjun tingkap. Itu pun kalau muat. Kalau tak muat, sila pangkah sahaja tetingkap ini dan lupakan blog Kak Senah ni haaa. Jangan sibuk baca kalau hati tidak suka. Kalau baca maksudnya you love me, kan? #pitam)

Okey okey okey tarik nafassss... hembus! Tarik nafassss... HEMBUS LOMPAT BINTANG SAMBIL SEBUT "HAH!!!" - Antara aktiviti paling hazab. Serius saya tidak suka. Sebab badan berat. Kbai. Alaaaaaaaaa lama sangat tak menulis di blog, rasa kelirulah nak mula bagaimana. Asyik mengarut dari tadi. T_T

Okey okey okey. Kita mulakan dengan apa yang paling penting.

- CINTA BARU -

(Amaran: Ini entri panjang lebar.)



Ironinya, saya belum pernah ceritakan perihal cinta baru saya di sini. Afeeya Bella Enterprise (002182740-W). Syarikat milikan tunggal yang didaftarkan di SSM pada 12.12.12. Milik saya yang dibantu oleh Encik Suami dan ditemani oleh Afia Zara. Ramai staf aku kononnya. =))

Semasa terdetik nak daftar perniagaan, memang tiada rasa nak daftarkan atas nama SnaLaLa Blogshop, walaupun itu mulanya saya belajar mengenal dunia bisnes. Mungkin nama nampak main-main kot. Entahlah. Maka berusaha keras cari nama baru. Panjang berjela nama cadangan, akhirnya tak pasal ambil Afeeya Bella. Haha! Insipirasi nama ini tentunya Afia. Kami selalu sebut, "Afia bijak... Afia molek... Afia cantik." Terus rasa nak letak 'Afeeya Bella' - guna ejaan asal nama Afia sebelum kami daftarkan dengan ejaan 'Afia'. Ha... banyak kisah budak kecil itu. Nanti saya buat entri lain. (Entri tertangguh #3) 'Bella' pula seperti yang ramai tahu, "is related to the Italian and Latin words for beautiful," kata Wikipedia.

Walaupun didaftarkan pada 12 Disember 2012, saya mula berniaga di page AB (Afeeya Bella) pada bulan Mac. Sibuk entah apalah. Awalnya saya reka dan hantar jahit dengan label sendiri, tetapi kebelakangan ini saya berehat daripada membeli kain dan hantar tempah. Antara sebabnya adalah penat cari kain, dan tukang jahit pun dah sibuk nak uruskan tempahan raya. Huhu. Tapi menguruskan AB memang seronok walaupun mencabar. =D

Label yang ditempah sebelum siap logo hahaha. Belasah sahajalah.
Nanti ada bajet lain, baru tempah yang ikut logo atas tuuu.

Bekerjasama dengan jurugambar profesional, 
antara pengalaman baru saya dengan AB. ^__^

(Syria set dengan inner ini produk AB.)

Juga belajar mekap diri sendiri yang sesuai untuk penggambaran studio. 
Maaflah tak kebabooom pun iouls mekap sendiri. 
Siapa sudi sponsor mekap, mari kita bekerjasama.

Dan maaf juga sebab terpaksa jadi model tembam.
Bak kata Puan Ainon, "Gunakan apa yang ada di tangan." U_U
Siapa sudi jadi model AB dengan upah Rojak Wahab Special, roger ek.
Nanti dah kaya sikit upah Pandora pula. Wah gitu kau!

Ini boleh makan tiga orang. Serius banyak! Main order sajo.


Apabila tiada rezeki untuk ke studio, saya ambil gambar sendiri. Maka wujudlah latar belakang tingkap, tirai kayu, dinding warna-warni, dan sebagainya. Pun boleh.

Setakat ini alhamdulillah ada yang habis dijual, ada juga yang suam-suam kuku. Perkara macam ini biasalah kan. Berniaga, ada untung, ada jadi aset. Rugi akan cuba diminimakan sebaik mungkinlah. Alaaa segan nak cakap pasal bisnes sebab ilmu saya setakat ini saiz mini. Sekangkang kera pun besar lagi. Jangan perli-perli ek. *tetiba sambil berlari menekup muka*

Oleh yang demikian, jemput like dan follow AB di Facebook, Twitter, dan Instagram. Biasanya hebahan awal koleksi terbaru, kami keluarkan di Facebook. Manakala teaser dan kod-kod yang masih available kami keluarkan di Instagram dulu. Twitter itu sekadar pautan dari Instagram ke Facebook. Senang cerita, follow dan like sahaja semua. Ajak keluarga dan kawan-kawan sekali, okey? Hihihi.



* * *

Okey, ini pula khas untuk orang Kajang, Bangi, dan yang berhampiran. 

Kami akan join event Car Boot Sale pada Sabtu ini di Prima Saujana, dari jam 8 pagi hingga 1 petang. Sebenarnya ini untuk jual barangan terpakai (preloved), tetapi penganjur kata boleh jual barang baru juga. Maka kami akan bawa sekali koleksi Afeeya Bella ke lokasi. Yahuuu!


Antara yang akan dijual dengan harga supermurah di sana.

Bukan setakat koleksi Afeeya Bella dan barangan terpakai, buku-buku tulisan saya pun nak juga ikut katanya. Haha manja tau. Nak beli 'Kawanku Panda', atau siri 'Kisah Si Puteri' pun boleh. Ha... ada yang best untuk pembeli buku-buku di sana.


Comel tak? Weeehehe. Tiap pembelian mana-mana naskhah buku tulisan saya, akan dapat penanda buku panda yang hensem itu. Kalau alergik tengok panda, boleh tukar penanda buku bunga-bunga. Ini sangat eksklusif, okey. 

Rugi siapa tidak datang Sabtu ini. RUGI.

Dan lebih rugi apabila tidak mendapat button badge supercomel itu!!!

Ini kerana, tiap pembelian mana-mana buku tulisan saya, 
akan dapat penanda buku dan button badge!

P E R C U M A

APA??!

Ya... mana nak dapat semua ini.
Di kedai buku dapat buku dan plastik sahaja.

Encik Suami lukis panda baca buku. Saya design. Mungkin tak selawa pereka grafik profesional, tetapi puas hati dapat buat sendiri untuk pembeli 'Kawanku Panda' yang comel-comel belaka. Auwww! (^____^)v


  Hee... iklan kejap.

BERMINAT NAK TEMPAH BUTTON BADGE?

MARI KE IFAS-CREATIVE.

Spefikasi Saiz: 58 mm

Harga yang ditawarkan:
Kuantiti 1-100 = RM 2.30
Kuantiti 101 - 300 = RM 2.00
Kuantiti 301-500 = RM 1.80
Kuantiti 501- 1000 = RM 1.50
Kuantiti 1001 ke atas = RM 1.30

Untuk tempahan atau pertanyaan, sila emailkan ke ifascreative@gmail.com.

- Iklan habis. -



Mari dapatkan mereka selagi stok masih ada!!!

"Saya sudah dapatkannya. Yuolls yang belum dapat... blueeek!" - Afia.

* * *

So... yeah... inilah cinta baru saya. Afeeya Bella. Berniaga. Bisnes. Perkara yang buat saya kembali sibuk hingga tidak sempat intai Facebook dan berhuhahuha bersama temen-temen. Menjadi dewasa tidak mudah, namun ia indah... terutama apabila ditemani orang tersayang sambil melakukan apa yang kita suka. Saya memang tiada darah bisnes, namun kita boleh belajar, kan? Jangan takut buat apa yang kita minat, walaupun tiada ilmu. Kita boleh belajar semasa buat, ataupun belajar sebelum buat, tapi yang penting kena buat! Ilmu tanpa berbuat pun apa guna kan kan kan. Mari berusaha gigih!! Sibuk itu bagus!

19 April 2013

Wadihana Islamic Steakhouse

Assalamu'laikum.

Pinjam gambar dari FB WISH.


Ahad lepas kami makan tengah hari di sini. Lama teringin nak makan makanan barat, jadi sempat-sempatkanlah pergi situ memandangkan Encik Suami akan balik JB, nanti kempunan tiada siapa sudi menemani eceewah. (Sekarang beliau sudah di JB hingga 28 April. Huhu Afia, we can do it, GIRL!)

Muka pasrah sebab sepatutnya bersiap ke Shah Alam, tapi tidak jadi.
Namun hikmahnya dapat makan sedap yey!

Okey, daripada duduk belakang bosan-bosan, mari buat magic.
Satu... dua... tadaaa! Tetiba abah muncul dengan chocolate blended. :')

Wadihah Islamic Steakhouse, atau WISH ini ada di sebelah kiri jalan sekiranya anda dari Kajang. Shoplot di hadapan masjid kubah biru Seksyen 9, Bangi - alamak sorry lupa nama masjid tersebut. Sampai sahaja di sana, kami terus letakkan Afia di dalam kerusi bayi yang disediakan.

"Hmm... bau sedap. Ada can makan beef steak."

Sementara tunggu makanan sampai, mari bergambar lagi.
Jinjang pula leher Afia. Jelas ketidakrelaan di situ miahaha.

Sebelum Afia mengamuk akibat kerap dibuli oleh abah, terus beri dia epal kukus di dalam food-feeder. Ya, Afia. Belum datang can nak makan beef steak. Ibu rajin pagi-pagi dah buat bekal untuk Afia. Epal adalah bagus untuk jauhkan doktor.


Ibu punya. Hebat tak? Ngaharhar. 
Turkey Sandwich with Omelette
Di atas kentang goreng itu adalah keju, yummy!

Cantik rambut abah. Amboi sangat.
Abah punya nampak lebih menyihatkan sebab ada brokoli.
Chicken Chop with Rice.

Namanya air WISH yang sedap.
Fizzy drink + asam boi + lemonade.
Orang perempuan memang suka masam-masam.

Encik Suami minum air suam sahaja. Dia kata jaga kesihatan. Gitu... (padahal tadi dah seronok sedut Chocolate Blended Cool Station).

Overall, boleh tahan sedap menu Islamic Steakhouse. Pekerja-pekerjanya kemas, restoran kemas, plating kemas... suasana tenang. Harga dia pula standard makanan barat, tidak murah sangat, tidak mahal sangat. Tapi ada menu lobster, yuolls! Yang itu tidak ditulis harga, mungkin ikut harga pasaran lobster masa kita order kot. Mesti mahal kan nak makan lobster. Layak ke aku menabung demi menikmati seekor lobster? Mampu ke aku? Perlu ke?

WISH list:




Terus kesal sebab Doraemon tidak wujud. Ingat tak dia pernah keluarkan alat macam kayu yang hujungnya ada pelekat, supaya mereka boleh tarik keluar makanan dan apa-apa sahaja dari gambar? Ingat tak? Okey kalau ingat jom kesal sama-sama. U_U

Tadi sambil tengok-tengok gambar lobster di FB WISH, terjumpa komen ini.

Hahaha comel pertanyaan.


Okey, hati ibu sudah gembira. Afia jangan sedih ek. Nanti umur dua tahun dan ke atas ibu belanja. Hihihi sekarang makan yang ibu masak dulu tau tau tau. 

(Banyak gila tempat yang menjadi idaman perutku selalu. Semoga ada rezeki nak makan di tempat-tempat tersebut. Nanti bebila tak ada kerja dan yang paling utama - rajin, nak buat entri khas untuk ini. Wakaka rajin keeee???)

Jumpa lagi!


08 April 2013

Coconut Shake Klebang TERBAIK!

Assalamu'alaikum.


Ini kisah 2 Februari lalu. Ya, anda membaca dengan betul, dan saya tidak silap taip. Memang 2 Februari 2013, yakni lebih dua bulan lalu punya cerita. Hayooooh teruk sungguh gaya flashback yang dilakukan ini. Hahaha! 

Disebabkan memang dah niat nak buat entri berkenaan Klebang yang best itu, kena buat juga sebab tiap kali tengok Gallery, dan melihat gambar-gambar ini, terasa bagai ada jelingan tajam daripada kelapa-kelapa yang tertewas. (?)

Kami ke Melaka pada 2 Februari lalu demi meraikan dua sahabat yang menjadi pengantin. Barakallah, Tuan Zamri Mohamad dan Puan Fazeila Isa! Yihaaa!

Seawal pagi, kami bersiap-siap dan kecoh sana sini nak pakai apa segala sebab kami semakin jarang ke kenduri kahwin. Sama ada pada tarikh jemputan kami tidak lapang, ataupun tiada jemputan semasa kami amat lapang. Afia paling cepat siap sebab pakai tudung ibu, dah tak perlu pakai baju dah. Haha! :p

"Terpinga saya dibuatnya."

Selaku pemandu pecut, saya berjaya membawa keluarga kecil saya dengan selamat ke lokasi kejadian dalam masa dua jam. Alhamdulillah, kami sangka kami sesat, rupa-rupanya jalan sudah betul, tetapi semasa kami nak masuk jalan ke walimah itu, ada kereta kemalangan dengan lori, hingga block jalan. Beria kami patah balik sebab sangka jalan yang betul itu adalah jalan mati, khas untuk lori bawa pasir sahaja. 

Sampai di sana, nampak hampir semua di bawah khemah adalah wajah-wajah yang dikenali. Terasa seperti small reunion gitu. Ada Puan Ainon. Ayahanda Prof., ada... okey memang tak larat nak tulis nama semua. T_T

Selepas salam-menyalam dan bertemu pengantin, kami buat macam khemah sendiri. Ambil makanan, ambil air, makan-minum-makan-minum, gelak-gelak sambil gosip sikit dengan para sahabat yang baru sampai. Dah habis makan, ambil gambar diri sendiri, gambar Encik Suami, gambar Afia, dan bergambar bersama sahabat.

Auwww so cute both of you.
Afia shekshi sebab Melaka adalah hot hot 
(tolong baca dengan nada lagu Wonder Girls).

Ibu pun nak juga menyibuk.

Sahabat GG yang dirindui oh oh....

Afia nampaknya seperti sudah dehydrate sementara ibu sibuk berposing.

Dah habis sesi bergambar, kami bergegas ke surau sebelum mencari lokasi Coconut Shake Klebang yang superfamous itu. Eleh, itu pun kami tahu sebab Cikpuan Azzah yang nak pergi cari tempat itu, hahaha!

Yang ralatnya, punya sibuk nak solat dan cari kelapa, kami lupa terus nak bergambar bersama pengantin! Hadooooi teruk betul! Maafkan kami, raja-ratu sehari yang manis!

Gambar culik dari album Cikpuan Azzah. 
Jurugambar: Husna Adnan (poyo lettew nak mention).

Seperti biasa, selepas sesat ke timur ke barat, akhirnya kami jumpa! Terima kasih Google kerana membantu pencarian kami!


Ya, parkir disediakan di belakang. Hebat gila, tak? Ada sebuah restoran, ha itulah dia. Restoran itu untuk siapa yang nak makan dan minum di situ. Siapa nak bungkus, kena beratur di pondok hadapan, yakni seperti gambar bawah ini.


Kelapa yang menanti saat dipenggal. 
Sayu sangat pula caption macam ini. U_U

Cuba teka apa yang warna kuning bertingkat itu?
Jangan buang masa, mari saya beritahu sahaja.
Itu adalah bekas aiskrim vanila yang digunakan pada hari itu SAHAJA!
Bayangkan dah berapa banyak mereka buat. WOW!

Yummmmeh!

Barisan memang panjang, tetapi mereka yang buat coconut shake itu sangat cekap dan pantas! Rasa sekejap sahaja sudah tiba giliran kami. Kalau rasa lama pun, mungkin sebab nafsu sendiri yang tidak sabar hingga membuatkan air liur yang ditelan seperti bergelen-gelen lantas berasa haus teramat sangat terlampau.

Yahuuu terus beli empat cawan (dua cawan setiap seorang) akibat berasa sedih mahu meninggalkan Klebang yang mungkin tidak akan disinggah lagi dalam tahun ini. Sebenarnya macam nak beli sepuluh tapi duit lupa nak cocok. Kesal.

Oh kini berasa rindu menghirup dirimu sayang... T_T

Bagi saya, ia memang lazat dan menyegarkan! Memang patut ianya superfamous dan siapa pergi Klebang wajib pergi beli dan minum sehingga kenyang di situ kemudian baru bungkus 10 cawan untuk diri sendiri dan berasa rindu nak minum lagi tiap kali panas terik huuhuuu.

Cubalah.
Aksi macam Duta Coconut Shake Klebang tak? *pengsan*

NAK NAK NAK!!!
(Kredit gambar: submerryn.com)



15 March 2013

Touch N Go & Hero

Assalamu'alaikum.

Siapa di sini pengguna Touch N Go?

Kami antaranya. Itu pun selepas emak berikan kami kad miliknya kerana beliau ada lebih. Ngeh ngeh ngeh. (Padahal dah lama nak beli, tetapi tiap kali nak beli, mesti tidak berjodoh.) Kiranya kami baru lagilah jadi pengguna Touch N Go. Freshie sangat!

Memang senang dan cepat guna Tonch N Go, kan? Tidak perlu lagi beratur panjang demi menghulurkan seringgit kepada jurutol yang ayu-ayu belaka itu. Ya, ya. Kekadang Touch N Go pun beratur lebih panjang daripada Tunai, meehehe. Pernah terus tukar lorong dengan pantas ke lorong Tunai dan menggali dompet dengan pantas juga tatkala hal ini berlaku. Phewww~

Dan... adalah sesuatu yang biasa hal ini berlaku di lorong Touch N Go:


Atau.... 


Maka perlahan-lahan kereta di hadapan berundur, diikuti kereta kedua, kereta ketiga, keempat, kelima supaya kereta pertama dapat beralih ke lorong Tunai.

Sedih, kan? Hahaha.

Sebenarnya kita boleh jimatkan masa dan emosi apabila hal ini berlaku. Tidak perlu berundur, ataupun marah-marah. Apa yang penting? Kerjasama. 

Rasanya ramai dapat jawab. Ya tak?

Tolong bayarkan!

Yaaaa... benar sekali. Sekiranya kita kereta yang di belakang, apa kata kita buat sedikit kebajikan, yakni tolong swipe kad kita bagi membantu kereta yang dilanda kebingungan itu.

TETAPI....


Sekiranya kita adalah kereta kedua, jangan memandai nak swipe kad kita, kerana kad kita tidak akan berfungsi apabila kita nak swipe untuk diri kita nanti. Terpaksalah orang di belakang pula selamatkan kita yang baru menyelamatkan kereta di hadapan. Ini lagi sedih! Hahaha.

Saya tidak tahu apa nama sistem ini, tetapi saya rasa, ya, saya sekadar membuat andaian, sistem ini dibuat supaya kredit kita tidak ditolak berkali-kali sekiranya kita TERswipe berkali-kali. Yalah, tangan kita kan kekadang lari sikit alignment dia. Saya wajar berterima kasih kepada sistem ini kerana saya sering swipe banyak kali akibat tangan bersaiz mini. Mencuba berkali-kali, dan pernah kad itu terjatuh ke bawah kereta juga. Huuu.... T_T

Jadi, cara yang lebih menawan adalah:


Kereta ketiga, ataupun keempat, ataupun kelima dan asalkan bukan kereta kedua, adalah penyelamat sebenar bagi kereta pertama. Yahuuuuuuuuuu!

Sistem hebat yang diperkatakan tadi akan kembali beroperasi seperti biasa, sekiranya kita swipe dua kali, tetapi ada kad lain di antaranya. Cool, kan? Ya, ini juga andaian. Tapi masuk akal, kan kan kan?

Jadi, sekiranya kita terlibat dengan insiden terpaksa-berundur-kerana-kereta-hadapan-dilanda-ujian, kita ada pilihan bagi membantu mereka. Keluar kereta (pastikan kereta dikunci ataupun ada orang lain di dalam yang dapat bantu kuncikan), berlari deras, swipe kad kita, dan boleh minta dia bayar tunai mengikut kadar tol terbabit. Nak rasa lebih seronok? Lambai sahaja kereta itu pergi dengan begitu bergaya. Sedekah gitu. (^_^)

Kereta kedua? Sila pasrah sahaja kerana anda tidak dapat menjadi hero. Melainkan anda ada dua kad Touch N Go. Muahahaha.

(Dan jangan maki orang di dalam kereta kedua sekiranya dia tidak keluar membantu dan hanya mampu buat signal undur. Inilah sebabnya. *husnuzon)

Okey itu sahaja kali ini.

Jumpa lagi!


07 March 2013

Cinta. Cinta. Cinta! ♥

Assalamu'alaikum.


Bagi penggemar kisah cinta dan suka membaca, mari baca entri ini hingga habis.

Nuun Creative Books berjaya menerbitkan dua e-book yang salah satunya ada certot (cerita kontot) tulisan Husna Adnan - ehem, ya, tentulah saya orangnya - dan salah satunya ada certot tulisan Encik Suami - Nazry Salam. Dan dua-duanya bersama sahabat-sahabat penulis yang lain! Menarik kan? Kan? Mahu tahu siapa penulis lain itu? Mari lihat di bawah.

Pandang cinta dengan hati, kelak rindu mula sebati.
(Huuu maaflah, saya tidak berapa pandai tulis jiwa-jiwa-ang)

Awal-awal sudah bikin lapar. :')

Jemuran sudah cinta. Eh.

Haaaa!

Sekarang berasa sangat cinta, bukan? Mata sudah penuh cinta, bukan?

BELI SEKARANG!!!


Dapatkan ebook hasil penulisan TulisNovel.Com Clan:

Cinta: Unconfirmed RM15.00
Ebook ‘Cinta: Unconfirmed’ mengandungi 17 cerpen kontot (certot) bertemakan cinta. Kolaborasi penulis tersohor dan baru, ebook ini memberikan sentuhan cinta yang patuh syariah...

Saranghaeyo, Mi Amor! RM15.00
Disertakan dengan tip-tip cinta oleh pakar dan para penulis sendiri, ebook ini diharapkan dapat mengimbangi pasaran karya cinta yang lebih membimbing ke arah cinta Tuhan.

http://www.e-sentral.com/book/publisher/nuuncreative

(Kredit: eSentral)


Mahu timba ilmu penulisan secara percuma?


Mari masuk sini.



Cinta: Confirm. Insya-Allah. 
Shawl dari SnaLaLa Blogshop. (He he nak juga menyelit.)


Okey, itu sahaja buat masa ini.

Terima kasih kerana membaca hingga habis.

Selamat bercinta!


21 February 2013

Rama-rama terbang melata....

Assalamu'alaikum.


Mood melankolik dan terharu bercampur-baur sejak kelmarin, semalam, dan hari ini (sebab gatal tulis entri jam 12.19 tengah malam).

Monyok satu hari, tetapi semangat bina impian yang sudah masuk kaki selangkah itu buat bibir tersenyum tersengih berkali-kali. Kadang takut ada penyakit mental atas perubahan emosi yang terlalu mendadak, namun tatkala teringat salah satu asbab ini, terus lega. 

Sebab saya PEREMPUAN. Muahahaha. 

Emosi perempuan memang selalu berbolak-balik seperti sampan di gigi air.


Umur saya hampir 30 tahun. Ya, saya tahu. Wajah saya seperti gadis sekolah menengah, tetapi usah terperanjat sangat. - - - Beraninya perasan tanpa memikirkan entah ada yang beli makan dengan duit simpan berhari-hari. Senang aku bikin isi perut orang terluah sebaldiHAHAHAHA.

Okey sambung.   

Dengan umur yang sebegini, masih banyak yang belum saya buat, yang belum saya capai. Saya bukan sesiapa, hingga saya rasa keliru berkali-kali. Tanyalah rakan rapat, berapa kali budak tua ini tanya apa bakat, apa karakter, apa jenama, apa istimewa. Rasanya hampir buat mereka bosan dan menyiampiah!

Walaupun demikian, masih ada takdir-takdir yang buat semangat saya naik semula. Takdir melihat, takdir mendengar, takdir merasa - tanpa saya cari, tanpa saya doa kepada Tuhan.

Kamu.

Kamu-kamu yang tag nama saya sebagai idola, sebagai tanda aras cita-cita. Kamu-kamu yang baca penulisan saya, dan suka berganda-ganda. Kamu-kamu yang dahulunya tiada di sini, namun kini sama-sama membaca dan menulis gaya sama. Guna susunan ayat sama, guna semangat sama, guna emoticon sama.

Perasan sungguh aku... 

... sekiranya kamu-kamu jadi seperti aku bukan kerana aku. Hahaha! 

Jujurnya, saya yang kini juga adalah adaptasi, atas serapan semangat orang lain. Hingga umur yang hampir 30 tahun ini pun, saya masih mencari karakter saya, jiwa saya. Entah apa yang saya kejar, saya usahakan - saya ikut sahaja kata hati. Lebih-lebih lagi selepas ada suami, saya ikut izin dia juga. Kata hati dan izin sama, maka langkah kaki disusun berdikit-dikit. 

Walau ke arah lain.

Bukan editor. Bukan penulis. Bukan lagi pemberi semangat.

Cuba jadi penggerak industri 9/10 rezeki walau kosong ilmu dalam ombak keringat.



Ketika saya bukan lagi saya yang kamu-kamu perhati, 
mahukah kamu-kamu masih di sisi?

Masih adakah yang jadikan saya inspirasi, 
sedangkan diri sendiri entah ke mana destinasi?

Apasal aku tulis macam berpuisi?


Walau ada ataupun tidak, saya dedikasikan entri ini khas buat semua yang mengagumi perjalanan hidup saya, sedangkan ia superbiasa. Tiada istimewa, sekadar cuba berbeda. Sebab saya mudah bosan sekiranya derap kaki alunan sama, sentiasa. Mahu juga menari Tango, sedangkan biasa menari Cha-Cha.

Analogi. Analogi. Analogi.


Terima kasih, semua. Kamu sumber inspirasi yang sebenarnya. :')

Saya tahu ini sementara, atas izin Allah semata-mata.


Hidup baik-baik. 

Kerna ada yang memerhati. 

Dia - Yang Pasti.


Serius macam nak lempang muka sendiri guna kuali. 
Apasal aku tulis macam berpuisi ni??!

18 February 2013

Kemalasan Maksima-ma-maaa

Assalamu'alaikum.

Lama tidak update blog. Serius lupa diri sendiri ada blog. Blogblogblog (kira macam blablabla versi blogger membebel.)

Banyak nak cerita, tetapi malas nak taip. Rugilah azam 2013 yakni mahu rajin update blog terkandas di tengah jalan pada bulan Februari pula. 


Sangat hangat-hangat bubur Afia. T_T

Okey, mari saya cerita secara rawak sahaja.

Semalam baru balik dari bercuti santai bersama keluarga suami. Seronoknya dapat main dengan anak-anak buah yang semakin hari semakin tembam dan lincah seperti Afia yang lincah namun tidak semakin tembam. 

(Nampak tak perenggan di atas itu? Itu ditulis pada 13 Februari 2013, kerana sebenarnya kami bercuti pada 10, 11, dan 12 Februari yang lalu. Hari ini sudah 18 Februari. T_T Malasnya aku... malasnya kau, Husna.......................)

Perkembangan Afia alhamdulillah okey. Dia dah mula makan tiga hingga empat kali sehari, tidak termasuk makan buah yang ibu beri supaya beliau tidak bosan melihat ibu dan abah gigih bekerja. Sila bayangkan Afia yang makan 24 jam, selain tidur, main, uk-uk (ya mohon buat bunyi yang tepat juga), dan menangis. Namun akibat kelincahan beliau yang baru sedar yang kakinya ada lebih banyak fungsi selain berasa sejuk tatkala pendingin hawa dipasang, beliau semakin di luar kawalan! 

Panjat sana, panjat sini, terhantuk sana sini. Maka beliau yang kita maksudkan ini iaitu Afia Zara, semakin susut dan ramping. Hmm... ibu apa lagi... cemburulah! Ibu tidak kurus pun walaupun susukan Afia dan keluar sana sini juga! *sedih sambil tumbuk lemak yang enggan pergi*


Saya ada ketagihan terbaru walaupun amat sangat ketinggalan, yakni Instagram.

Kay Bye. 


.
.

Seronok ke entri macam ini?

Rasa tidak memandaikan bangsa langsung.

Hmm... okey.

Ejaan tepat adalah pendingin hawa - alat mendinginkan hawa (udara) di dalam bangunan kita; rumah, bilik, dewan, hotel, dan sebagainya.

Lebih okey macam ini tak?

Haha okey okey jumpa lagi nanti.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...