01 September 2014

Garment Steamer Adalah Best!!

Bagaimana mempercepatkan proses seterika barangan jualan?
.
1) Beli garment steamer.
2) Upah pekerja untuk seterika.
atau hantar ke dobi - mereka ada servis seterika.
- Atau buat sendiri pun boleh. Senang sangat nak guna.
.
Di mana garment steamer yang berpatutan?

.
Cadangan saya: Lazada (http://www.lazada.com.my)
Pautan terus: http://www.lazada.com.my/shop-garment-steamers-presses/
Ambil COD - cash on delivery.
Bayar semasa barang sampai di depan pintu.
Saya sudah beli tiga unit steamer iron dari Lazada.
Semua bawah RM170. Tahan lama (jika digunakan dengan betul). 

.
Semoga bermanfaat! 


SOP Prepaid Pos Laju

Prepaid = Prabayar

Bagaimana mempercepatkan urusan pengeposan di kaunter Pos Laju?

.
1) Beli siap-siap sampul Prepaid (bermula saiz S: RM6, saiz L: RM9 - ini harga Semenanjung. Harga Sabah Sarawak berbeza.) Sampul ini boleh dibeli di kaunter Pejabat Pos Laju (sementara stok masih ada).


2) Lekatkan sampul ikut saiz yang dibeli, jangan dikecilkan ikut item.
3) Isi borang Pos Laju seperti biasa.
4) Dua helaian pertama pada borang, dimasukkan terus ke dalam plastik di belakang sampul Prepaid.
5) Helaian terakhir disimpan oleh pengirim.
6) Helaian ketiga diberikan kepada pekerja di kaunter semasa pengeposan dibuat.
.
Ya, terus berikan semua bungkusan dan helaian ketiga kepada pekerja di kaunter. Kemudian boleh berjalan pulang dengan bergaya sementara orang lain jenuh menunggu giliran, he he.
.
Langkah-langkah ini diguna pakai di Pejabat Pos Laju. Pejabat pos biasa di Tesco Kajang misalnya, tetap perlu beratur walaupun menggunakan sampul Prepaid. Tempat lain saya tidak pasti.  Semoga bermanfaat! 


Kawanku Panda (2011 - 2014)



Selesai. Selepas habis 361 naskhah, 'Kawanku Panda' tidak lagi diulang cetak dan diuruskan oleh PTS - kerana hak penerbitan sudah dikembalikan kepada saya. Dah jadi rare item ni... hoho.
.
Saya sedang merisik diskaun yang dapat PTS berikan kepada saya sekiranya saya mahu beli sedikit baki buku ini. Ada sesiapa mahu beli juga? Insya-Allah sekiranya dapat diskaun hebat, saya jual dengan harga lebih rendah daripada harga asal RM16. PM saya bagi yang berminat.

Soletip dan Iman




"Kenapa awak cari pangkal soletip tu ke arah bertentangan? Anak panah tu tandanya pangkal soletip berada di hadapannya, bukan di belakang."
.
"Dah banyak kali pusing, tak jumpa-jumpa." Ketawa. "Ala manalah tahu, kilang silap letak anak panah tu. Buatan manusia kan, tak mustahil ada silap."
.
Terdiam. Betapa kita juga sering mencari 'pangkal' kebenaran pada jalan sebaliknya... sedangkan telah diturunkan kepada kita kitab suci al-Quran dari nabi penuh maksum. Itulah kalam Allah yang jelas benar sepanjang zaman. Adakah wujud dalam hati kita bahawa Allah mungkin silap - maka kita ingkar?
.
"Sesungguhnya ayat-ayat Aku (al-Quran) selalu dibacakan kepada kamu, tetapi kamu selalu berpaling ke belakang." Al-Mukmin, 66.
.
Ataupun kita sedar kita silap - cuma menanti seruan tiba?
.
"Kecuali mereka yang telah bertaubat dan melakukan kebaikan-kebaikan dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itu, Aku menerima taubatnya, dan Akulah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang." Al-Baqarah, 160.
.
Cumanya sering terlupa, sesungguhnya ajal itu tidak awal sesaat, dan tidak lewat sesaat. Ampunkan kami atas kelalaian kami, ya Allah. Matikan kami dalam agama-Mu. 


Tip Berjualan Di Instagram




Assalamu'alaikum. Okey, saya kongsikan tip berjualan di Instagram mengikut pengalaman dan pemerhatian saya. Sesuai bagi yang baru nak buat, atau baru buat akaun Instagram. Yang dah otai, mohon skip, haha. Boleh tambah di ruangan komen sekiranya ada cadangan lain. (Saya bukan pakar, sendiri pun masih merangkak.) Dipersilakan share sekiranya bermanfaat.
.
1) Pemilihan nama akaun.
Sekiranya ada jenama, guna nama jenama kita. Sekiranya tiada, guna jenis produk yang kita jual pun boleh. Contoh: monopod_murah_RM25. Kadang memang kelakar nama-nama di IG ni, terutama yang guna underscore berkali-kali sampai panjang ha. Gabung nama jenama dan jenis produk jualan lebih menarik pelanggan kerana dari situ dah tahu kita jual apa. Contoh: smart_clothing. Jenama 'Smart', jual baju.
.
2) Public account.
Supaya orang boleh terus follow atau membolehkan potential buyer melihat-lihat dahulu apa produk jualan kita.

Pemerhatian: Namun kebanyakan IG yang private lebih ramai followers, salah satunya mungkin user malas mahu request to follow semula selepas unfollow. Ada juga yang private supaya dapat approve wanita sahaja; demi menjaga testimoni bergambar dari pelanggan wanita. Ada 1001 sebab mengapa seller private akaun, perlu tanya seller itu sendiri, ataupun raikan sahaja pilihan mereka.
.
3) Follow akaun IG yang bersesuaian.
Saya cadangkan IG @kamibencikakitipuonline. Memang pening kepala baca masalah yang diadukan di situ, kadang remeh-temeh, tetapi yang lainnya sangat bermanfaat. Dapat belajar penipuan terkini supaya sentiasa berwaspada dengan pembeli-tanpa-wajah. (Mana post yang ke arah mengumpat tu, tak usahlah kita simbah minyak tanah lagi.)

Saya follow kerana nampak peluang. Kadang dapat promo pada customer yang mencari barang yang kita jual pada ruangan komen, ada promosi barangan peniaga, event bazaar, ruang swap review, atau sebagainya.
.
4) Swap review.
Saling mempromosikan akaun IG di akaun masing-masing. Swap ini percuma. Ada IG yang tetapkan minima followers sebelum swap, ada juga yang tidak. IG yang 10k ke atas, mahu swap dengan yang punya followers 10k ke atas. Yang 2k, swap dengan 1k atau 2k. Yang ratus-ratus, swap dengan 1k ke bawah. Apa jua syaratnya, biasanya yang followers sedikit perlu ikut syarat followers ramai. Begitulah dunia mihihi. Ayat deskripsi dan gambar sama ada kita berikan, atau mereka sediakan sendiri. Apa pun swap ini perlu bincang dulu sesama pemilik IG.
.
Pro:
- Tiada kos.
- Sekurang-kurangnya naik jugalah 1 follower, insya-Allah.
- Tambah kawan kerana ini konsep bantu-membantu.
.
Kontra:
- Terlalu banyak gambar iklan pada IG kita. Nampak semak.
- IG yang satu lagi tidak up swap IG kita walaupun kita sudah promo.
- IG yang satu lagi desak segerakan naik promo IG dia sebab dia sudah promo, walaupun baru beberapa jam. Hehe pengalaman.
.
5) Review (melalui hadiah / bayaran / hadiah dan bayaran)
Biasanya pada selebriti. Pelakon, penyanyi, blogger, model, siapa-siapalah yang terkenal dan ramai followers. Ada yang tag pada barang yang kita poskan kepada dia, atau apabila dia memakainya. Ada yang minta bayaran sahaja. Ada yang mahu dua-dua.

Paling rendah review berbayar yang saya perlu cuba adalah RM20, page ramai followers yang memang fokus mempromosikan IG bisnes tempatan. Paling tinggi pernah saya diberitahu, RM700 bagi sekali review. Dan iklan akan dipadam seminggu / 3 hari kemudian.
.
Pro:
- Insya-Allah followers memang banyak naik. Terutama selebriti yang karang ayat sendiri. Lebih nampak jujur dan bersungguh.
- Jika selebriti itu suka dengan produk kita, dia akan beli sendiri nanti.
.
Kontra:
- Kos tinggi (tetapi insya-Allah new followers pun ramai).
- Emel tidak berbalas kerana terlalu ramai mohon review.
- Perlu beratur panjang sekiranya setuju membuat bayaran.
- Ada yang que 2 bulan ke hadapan. Ha menunggu la awak.
- Biasanya iklan dipadam amat cepat.
.
6) 'WAJIB' satu hari update sekurang-kurangnya satu gambar. Jika tiada gambar produk terbaru, kongsi kata-kata hikmah, atau apa sahaja yang memberi manfaat. Jangan biarkan IG terbiar. Kerajinan update IG antara cara menaikkan followers.
.
Elakkan update gambar yang terpapar auratnya. Testimoni yang tidak menutup aurat, tak perlu upload pun okey. Yang kurang sempurna, macam nampak lengan dan kaki, edit letak bunga ka, love love ka... asalkan tidak mendedahkan aurat. Dosa orang boleh jadi dosa kita tau. Sebab kita sebarkan sama. Wallahua'lam.
.
7) Ejaan penuh amat digalakkan. Terutama apabila update berkenaan produk. Karang deskripsi dengan tenang, dan padat.
.
8) Gunakan hashtag yang berkaitan SAHAJA. Sekiranya jual van, guna #vanterpakai #sayajualvan #vanforsale dan sebagainya. Letak banyak-banyak pun tak apa, tetapi janganlah banyak sangat. Pening followers. AMAT DITEGAH guna hashtag isu semasa pada barangan jualan. Tidak beretika. #prayforMH370 pada gambar kerepek bawang? Motif kerepek bawang nak pray??
.
9) Sekali-sekala comey update pasal peribadi di IG bisnes. Tunjuk kita juga manusia, ada keluarga, ada urusan peribadi. Followers wanita suka ini. Tetapi jangan kerap sangat. Mereka follow lebih kepada produk kita, jadi banyakkan gambar produk, dan sedikit testimoni.
.
10) Ha jangan lupa terus letak harga. Memudahkan pelanggan survey. Tak apa, mungkin ada yang jual lebih murah. Jika itu rezeki kita, dan kena gaya, insya-Allah tetap ada sale. Kasihanilah kami yang perlu Whatsapp penjual semata-mata nak tahu harga. 
.
Dan layan pertanyaan customer dengan baik. Jangan maki hamun walaupun kita sudah letak semua detail pada gambar setiap kali update. Sekiranya kita penat, emosi tidak stabil, balas kemudian. Sudah tenang, baru balas. Terbukalah apabila yang bertanya itu ini begitu begini, tidak jadi beli... hehe. Yang sudah diberi jumlah dan invois pula, tidak jadi beli dan senyaaaaaap seribu bahasa, tidak balas pun soalan kita "Masih berminat?" "Sudah buat pembayaran?", ini dikira backout buyer. Terpulanglah nak kasi peluang lagi, atau abaikan terus.
.
Above all, bak kata sahabat saya, kembali kepada Allah. Buat semua yang wajib, amalkan yang sunat (dhuha, al-Waqiah, tahajud), banyakkan bersedekah, baiki hubungan sesama manusia, usaha semampu mungkin, dan yakin rezeki dari Allah. Man jadda wajada. All the best to us all! 




Berminat mendapatkan buku Pemasaran Instagram ini?
Whatsapp 012-7219956.
Harga termasuk pos SM: RM25
Harga termasuk pos SS: RM30

Vendor Concept Boutique

Disalin dari status FB saya, pada 29 Mei 2014.

Minggu lepas, semasa berurusan dengan pembekal, mereka bertanya di mana saya membuat jualan. Jawab saya, saya menjual di butik sebagai vendor; dan online. Waktu itu mereka berpandangan sesama sendiri. "Vendor itu apa?"

Saya tidak tahu bagaimana ia bermula dan siapa pengasasnya, tetapi butik berkonsepkan vendor ini pada awalnya (dalam pengetahuan saya), banyak di Shah Alam. Kini ia merebak ke Bangi, Melaka, Johor, Perak, dan boleh katakan hampir setiap negeri di Malaysia sudah mula membuat konsep sebegini.

- Berniaga secara berjemaah di bawah satu bumbung.

Sebagai contoh, Afeeya Bella adalah salah seorang vendor daripada LIMA PULUH vendor lain di The Sisters Boutique (yang akan saya tulis sebagai TSB sahaja selepas ini) Ya, 50. Bermaksud ada 50 online shop kini beroperasi secara fizikal di situ. Afeeya Bella mengisi slot pakaian wanita, dengan sewa RMxxx sebulan. Sewa ini bergantung kepada pemilik butik. Ada RM200, ada RM250, ada RM300, ada RM350, ada RM450, malah ada yang lebih tinggi daripada itu. Slot pakaian / hijab biasanya slot paling 'mahal' dalam sesebuah butik. Slot makanan dan aksesori biasanya lebih 'murah'.

Okey, rasanya tuan & cikpuan sudah mendapat gambaran bagaimana konsep vendor ini diaplikasikan. Pemilik butik menerima bayaran sewa dari para vendor setiap bulan. 


KELEBIHAN (mengikut pengalaman saya):

Paling berharga apabila menjadi vendor sesebuah butik adalah, NETWORKING. Saya tidak ramai rakan peniaga, jadi apabila menjadi vendor, saya berkenalan dengan ramai peniaga, dari segenap umur. Ada yang 'otai' - sudah punya puluhan ribu pengikut Instagram. Ada juga yang baru membuat akaun Instagram, hanya selepas menjadi vendor di TSB.

Pemilik butik membuat group khas bagi mengumpul para vendor di WhatsApp / WA (ini juga terpulang kepada pemilik butik. Ada butik yang tidak mempunyai group vendor.) Kelebihan membuat group WA adalah ini: networking - silaturrahim. Kami berkenalan, berbual, dan saling membantu di dalam group itu. Akrab seperti sudah lama kenal. Pada yang gemar berkongsi, saya diajar bagaimana berurusan dengan pembekal dari China, siapa pembekal plastik membungkus pesanan, dan 1001 proses bisnes yang selama ini ada yang saya tidak tahu!

Kedua, promosi percuma. Pemilik butik (yang biasanya ada media sosial seperti Instagram dan Facebook), akan mempromosikan barangan kita pada setiap media sosial kepunyaan mereka. Ini satu proses timbal balik. Mereka perlu mempromosikan barangan di butik demi menarik para pengikut media sosial mereka untuk datang ke butik, para vendor juga sebaiknya mempromosikan barangan sendiri dan tag / hashtag nama FB / Instagram butik. Malah ada butik yang menggunakan media majalah bagi mempromosikan butik dan para vendor.

Ketiga, seperti fitrah memiliki butik fizikal, jualan tetap berlangsung di butik walau ketika kita bercuti, tidak sihat, dan yang sewaktu dengannya. Staf di butik akan menguruskan pembelian koleksi kita apabila ada pelanggan. Beg plastik dan khidmat staf jualan semuanya disediakan oleh pemilik butik. Ini paling best memandangkan saya masih belum punya dana mengupah pekerja hehe. Jualan di butik ada yang uruskan, jualan online saya uruskan seperti biasa.

Saya rasa seperti ada lagi, boleh utarakan pertanyaan di bahagian komen.



UPDATE 25 JAN 2015: BAB KELEMAHAN, SELEPAS BERFIKIR PANJANG, SAYA TIDAK MAHU ULAS SEKARANG. Mungkin terus tidak ulas, ataupun ulas nanti-nanti. Mohon maaf! 

24 September 2013

Baiti Jannati

Assalamu'alaikum.

Belum pernah cerita perihal kami pindah rumah kan? Ya tanya macamlah banyak sangat entri sampai lost track. Wakaka okey sambung.

Alhamdulillah, bulan lalu kami sekeluarga berpindah ke rumah sewa yang amatlah selesa dan luas. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Dua tahun tinggal di rumah keluarga saya, di dalam bilik bersaiz master bedroom di tingkat atas, tentulah rasa gembira, lega, dan syukur yang amat kerana lebih banyak ruang bagi dimanfaatkan. Semua ini bermula demi kelancaran proses pembesaran Afia, tatkala hadirnya beberapa rezeki lain. 

Afia dari tembam sampai slim melim, membesar di bilik nan berjasa itu.
(Eh Afia bukan kurus sebab duduk dalam bilik tau. 
Dia dah pandai jalan sekarang yahuuu!)

Bye bye dinding pink yang manis. :')

Memula memang kekok amat. Terlalu banyak ruang! Cakap sikit dah bergema-gema. Haha! Apalah sangat barang dari bilik dibawa ke sebuah rumah kan? Maka bergegaslah kami membeli periuk, sudu, garpu, tong gas, dan segala macam lagi isi rumah yang perlu supaya dapat duduk berdikari dengan aman dan damai. 

Alhamdulillah, dalam masa kurang seminggu, rumah kami dah hampir lengkap apa adanya. Rasa macam tak percaya kami berjaya buat semua ini dengan satu tekad. Memang teragak-agak juga nak berpindah dulu, hahahaha sangat manjalah!

Ruang tamu yang digunakan oleh Encik Suami bagi mengajar tuisyen.
Ya Kak Nab, beliau ada buat kelas tuisyen di rumah ngeh ngeh.

Tapi kan... kami berdua sahaja memang mustahil dapat selesaikan semua ini dalam masa kurang seminggu. Maka nak buat ucapan ala OSCAR sekejap. Terima kasih kepada mak; Puan Halilah, juga adik-beradik atas segala bantuan. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada ibu mentua, kakak-kakak, abang-abang, adik-adik di sebelah suami kerana turut sama membantu kami. Hadiah-hadiah masa kahwin dulu, huuuu memang banyak yang boleh guna lagi. Tak perlu beli dah. Terima kasih saudara-mara dan sahabat handai, para tetamu walimah kami dahulu. Moga Allah murahkan rezeki dan rahmati kalian, amin.....

Juga.... terima kasih kepada semua yang berusaha (PTS, editor, Norizah Wahid, akaun, sales, marketing, warehouse, Bookcafe, dll) kerana urusan jual beli segala kelengkapan rumah yang memakan angka beribu-ribu ringgit itu, berjaya dihulurkan tanpa hati yang gundah dengan kehadiran cek royalti ini.

Masih empat angka dengan sikap pemalas aku ini. T_T
Tahun depan jangan harap eh kalau tak hantar KAWANKU PANDA #2!! 

Oh... lupa nak habaq mai di blog bersawangku ini. 

7 September lalu, saya dan Kak Nani (Haryani Kamilan) bersiaran langsung di Selamat Pagi Malaysia TV1 sebagai wakil para penulis siri 'Kisah Si Puteri'. Alhamdulillah buku 'Kami Puteri Hebat' dipilih oleh juri sebagai antara calon buku fiksyen kanak-kanak berbahasa Malaysia, Anugerah PNM. Sekiranya ada rezeki kami, harap menanglah 'Kami Puteri Hebat'. Amin!

Bersama hos Syed Munawar.

Kini... bermulalah langkah kami membesarkan Afia bersama-sama, di rumah kami syurga kami ini. Tidak pasti akan terus di sini hingga bila, kerana kami terbuka untuk berhijrah ke tempat lain juga. (^_^)v

You know... (tetiba feeling omputeh). Life is short. Jangan bosankan timeline hidup kita dengan perkara yang sama saban hari. Cuba perkara baru. Try crazy things! As long as we did not against Allah, Islam, our Prophet SAW, and everything good in our ordinary life, just go for it. Kita akan kagum dengan keupayaan kita melakukan apa yang kita sangka kita tidak mampu. Tekad, usaha, yakin, percaya, dan jangan mudah putus asa! BERUSAHALAH!

Cabaran yang saya selalu kongsi di blog ini masih sama. Saya bukan nak tunjuk saya kaya ataupun apa kerana saya tidak kaya pun. Serius! Belum juga layak dikategorikan insan berjaya.

Cuma.... 

Ada minat, rasa-rasa ada bakat, cubalah menulis. Tidak kisahlah kerja doktor ke, jurutera ke, peguam ke, posmen ke, cikgu ke, kerja bank ke, masih di bangku sekolah ke... cubalah menulis. Ada banyak sebab mengapa kita perlu menulis, namun bagi entri ini, jadikan royalti buku itu satu pemangkin untuk kita usaha sungguh-sungguh supaya tulis hingga siap, dan niatkan duit royalti itu nanti akan digunakan ke arah kebaikan. Insya-Allah. Bukan dengan PTS sahaja, hantarlah ke mana-mana penerbit pun boleh. Karangkraf, Jemari Seni, Must Read, Ana Muslim, dan banyaklah!

Kemudian, mari gembirakan saya dengan inbox sebegini. :')


Cikpuan-pembaca-blog-saya ini kini sudah memiliki novel!


Mohon beli. Mari beli. SILA BELI!!!

Terima kasih dan tahniah Cikpuan Raishah Deen kerana berjaya menerbitkan sebuah novel. Saya doakan moga Cikpuan beroleh kejayaan dunia dan akhirat. Saya juga doakan semoga semua pembaca blog ini mampu lakukan apa yang Cikpuan Raishah Deen lakukan, dan mendapat kebaikan atas segala usaha.


Kekadang kita tulis bukan untuk kaya, tetapi sesambil makan di restoran, sesambil tengok iklan, sesambil tunggu baju siap basuh... kita menulis sedikit demi sedikit. Kongsi ilmu apa yang kita tahu. Lambat-laun siap satu manuskrip, dan insya-Allah sekiranya TERLAJAAAAAAK LARIS, duit royalti itu nanti adalah bonus kerana kita menggunakan masa dengan baik. Best tak? BEST TAK??!!!

Seriously, saya amat syukur saya paksa diri saya menulis.
Saya syukur suami, dan kawan-kawan juga paksa saya menulis.

Hahahaha cuma sekarang macam liat sikitlah. Puuuui!


Okey, nak pergi pos barang. 
Jadi peniaga pun beeeeeeest, tanpa paksaan! #tetiba

06 September 2013

Konvensyen Bidadari Dunia

Assalamu'alaikum.


Maafin maafin maafin gue kerna lambat menghapdet event Konvensyen Bidadari yang berlangsung Sabtu dan Ahad lepas. Syukur dalam kesibukan, sempat juga kami jejakkan kaki ke PICC walaupun hanya sebentar cuma. Sebabnya ibu mentua dan adik-beradik suami datang ke Kajang (kami baru dua minggu pindah rumah ehek nantilah cerita), jadi seronok melayan mereka makan-makan di rumah. Sempat juga beraya ke rumah mak cik sebelah suami di Bangi, sebelum bergegas ke Putrajaya. BERGEGAS kena bold sebab ada kisah wakakaka.

Bagus sangat Putrajaya, sebab ada banyak tanda jalan. 
Tak sesat punyaaaa (padahal siap guna GPS padahal ada tanda jalan 
padahal apa ada hal).

PICC dari kejauhan. Ada banner Konvensyen Bidadari yang amat besar, namun tetap sukar kelihatan dari sini walaupun sudah begitu hampir. Besar sungguh PICC.

Selesai parkir, tarik kunci kereta, raba-raba belakang kerusi segala, dah tergamam. Tanya Encik Suami, dia kata tiada. Huaaaaaaaaaaa BEG DAKU TERTINGGAL DI RUMAH MAK CIK BELIAU TADI!!!


Ha ambillah ubat sebab bergegas sangat kan. Nasib baik masa dukung Afia lepas salam-salam mak cik, memang tengah gengam telefon. Oh lega. Sekurang-kurangnya ada telefon, masih boleh ambil gambar.

Walaupun bateri tinggal 20%. 

  

Terus buat-buat tenang. Keep Calm and Have Fun gitu concept of the day.

Wajah pertama yang bikin aku kian tenang dalam keramaian.
Jumpa Kak Azzah di depan kaunter pendaftaran.

Kak Azzah panel hari Ahad, hari yang saya tidak dapat pergi. *sobs*

Kami. Tadaaaaa!

Close-up sikit lemakku yang pemalu itu.

Terima kasih, Magic Skin Camera360. 
Nampak macam baru mandi air terjun dia punya kabus-kabus.
Kulit juga terasa lebih anjal dan cerah dua tona.

Depan kaunter pendaftaran.
Besar. Memang besar!

Lebih 50 booth jualan dibuka. Rambang mata, yuoolls!
I rambang hati sahaja sebab beg duit tertinggal. T_T

Rakaman 'Soal Wanita TV Al-Hijrah' yang gamat.

Itu... itu tangga bergerak yang amat gerun.
TINGGI SANGAT AAAAAAAA GIGIL LUTUT!
Kena naik ekskalator untuk naik ke dewan konvensyen.

Memang meriah sangat-sangat di setiap ruang. Konvensyen berhenti rehat sebelum sambung selepas maghrib. Huuui masya-Allah ramai betul bidadari dunia yang hadir, semua datang cantik-cantik tutup aurat alhamdulillah. Sejuk mata ibu, nak. Eh.

Bergambar bersama Gee, antara orang kuat konvensyen ini.
TAHNIAH, GEE AND THE GANG!

Pemandangan dari atas. Subhanallah memang cantik sangat! ^__^

Pintu masuk ke dewan Konvensyen Bidadari.

Dewan sudah hampir penuh untuk sesi Sheikh Yawar Baig.

Sempatlah dengar sedikit. Rugi sangat tidak dapat dengar semuanya. 
Insya-Allah moga ada rezeki tahun hadapan. :')

'Mothers - Go Out and Change The World'


Ini pula antara yang kami dapat daripada pihak penganjur:

Ada buku nota, majalah JOM!, ada Power Boost yang dah habis diminum, 
dan macam-macam lagi.

Buttonbadge kiri dapat percuma, buttonbadge kanan sendiri beli.
Sebab terlampau comel, minta ihsan RM5 daripada Encik Suami muahaha.


Terima kasih Tuan Ahmad Fitri Zainul kerana sudi menjemput saya sebagai Rakan Blogger konvensyen ini. Terima kasih juga IMuslim dan semua yang terlibat. Tahniah atas majlis ilmu yang menarik ini. Semoga dipermudahkan usaha kalian demi majlis ilmu yang lain, amin....


Terima kasih juga kepada abah dan Afia kerana sudi teman ibu.

Nanti kita cuba pergi sama-sama lagi ya. 

Insya-Allah....



P/S: Esok tengoklah Selamat Pagi Malaysia di TV1. Ada penulis-penulis KISAH SI PUTERI. Ngeeehehe. :">

30 July 2013

Majlis Ilmu Untuk Kita!

Assalamu'alaikum.


Pertama sekali nak ucapkan:


Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada sebelumnya.

Fuh~ lama tidak update blog. Hidup begitu sibuk lantas masa kelihatan sangat sedikit hingga banyak perkara tidak sempat dibuat dan terabai. - Ya, blog ini antaranya. 

Kekadang jengah juga tatkala teringat yang diri ini ada blog (rasa macam pernah guna ayat ini ngaahaha), rasa hairan kerana total visit yang tertera pada atas kanan blog ini berpuluh-puluh walaupun tiada update. T_T Moga bermanfaat, ya.

Baiklah. Ada perkara penting hendak dikongsi bersama kalian. Perkara yang dahulu sangat ralat kerana tidak dapat turut serta; sedang dalam pantang bersalinkan Afia.

Yaaaaalls... best gila kan. 
Nampak tak barisan speaker yang hebat-hebat itu?
Mari saya zoooooooom kasi jelas!



BEST BEST BEST! MASYA-ALLAH!
(Ada dua sahabat saya jadi speaker tau. Cuba teka? Hihi.)

Kalau nak lagi jelas, boleh lihat di laman web Konvensyen Bidadari.


Ya, tepat sekali. *tetiba*

Para Muslimin jangan sedih. Ada habuan untuk kalian juga ecewah! 
(Ditujukan khas kepada kaum lelaki yang skimming-scroll -laju-laju poster atas itu.)



Speaker Bengkel Suami Mithali pun bukan calang-calang, hokey.

Mesti ramai dah teruja kan?

ANDA PERLU LEBIH TERUJA 
DAN BERTINDAK PANTAS KERANA....


Daripada Admin FB The Bidadari:


Tinggal Hanya SATU HARI Sahaja Lagi HARGA PROMOSI. 
> Daftar segera di www.thebidadari.com <

HARGA PROMOSI:
RM100 PELAJAR
RM150 ORANG AWAM
RM200 JIKA BERPASANGAN 

(Wanita ke Konvensyen Bidadari + Lelaki ke Bengkel Suami Mithali)
(Terbuka kepada semua, suami atau bakal suami mahupun individu.)

Dapatkan harga promosi ini. 
Program adalah 2 HARI Sabtu dan Ahad.

Konvensyen Bidadari 2013 dan Bengkel Suami Mithali 
31 Ogos dan 1 September 2013
PICC Putrajaya



Hubungi 03-7734 7020 untuk sebarang pertanyaan.


Rasanya hari ini hari terakhir kot untuk dapat harga promosi. 
Ke esok? Rasa macam hari ini haha!

Antaranya mendaftar ke konvensyen ini... 
HARI INI!


Insya-Allah, kita jumpa di sana. 


10 June 2013

1st Kajang Car Boot Sale 2013

Assalamu'alaikum.


Seperti yang diceritakan pada entri lepas, alhamdulillah penyertaan kami dalam Car Boot Sale Kajang berjalan lancar. Walaupun kulit memasing sudah gelap tiga ton ke belakang (berbelang yuoolls!), namun kami dua-dua puas hati dan seronok! Sangat best aaaaaaaaaarghhh best gila!! Hahaha over.

Tapi memang best. Encik Suami yang datang membantu sahaja pun sampai harap kami join lagi sekiranya penganjur buat sebulan sekali. Nampak betapa teruja kami dan betapa supportive para pengunjung di sini??

Okey marilah layan gambar. Nak update entri tertangguh yang lain macam belum datang seru. Gambar pun tak banyak sebab sibuk sangat kemas dan layan pengunjung sampai telefon pun lupa mana letak, siapa pegang. Ini gambar semasa pukul 10 atau 11 pagi, dah panas terik... dan orang lebih rela balik baring atas lantai sambil buka kipas pulas ke nombor 5 atau buka pendingin hawa - baru terhegeh snap sana sini. Kesal dengan diri sendiri. U_U

Tapak kami. Dah berubah susunan daripada pagi tadi sebab baru teringat shawl preloved tak tayang depan meja, shawl baru tak gantung, baju preloved dalam plastik terlupa di dalam kereta sobs. Tak apa, lain kali ada rezeki boleh jual lagi. ^__^

Haa... ini susunan awal-awal. Tilam Afia bawah meja itu sudah dibeli orang. Huu... macam inilah bila jual barangan terpakai. Kita jual barang yang ada memori - terus sedih dah tak pasal. Topi-topi comel yang Afia selalu pakai dulu pun dah ada orang borong. Baju-baju dia, stoking dia, kasut-kasut dia................... :')

Mula-mula atas meja ini ada hiasan tembikar yang kecil-kecil itu. Oleh sebab kurang mendapat sambutan, kami naikkan beg dan shawl pula. Lain kali meja memang tempat longgok shawl!! Baru seronok orang nak gaduh tarik-tarik tudung kan.

Bahagian boot khas untuk tudung Afeeya Bella dan aksesori. ^_^

Suasana di Dataran Prima Saujana. Tapak peserta lain pun best-best. Sempat jeling-jeling sahaja semasa pulangkan pen pelanggan yang tertinggal. Pernah dengar orang jual Sony Discman original dengan harga RM2? DUA RINGGIT??! Abang sebelah kereta kami jual, dan dibeli seorang budak. Bertuah punya budak! T__T

Gambar dari penganjur. Sibuk sibuk sibuk!

Di bawah pula antara yang sudi membeli 'Kisah Si Puteri' dan menghabiskan stok novel 'Kawanku Panda'. Terima kasih!!!

Mungkin adik ini pembeli stok terakhir 'Kisah Si Puteri: Gaun Merah Jambu'. Beria promo pada orang ada siri yang sesuai untuk puasa dan raya, cari-cari habis sudah! Alhamdulillah... :') eh sebak tetiba.

Weeee moga terhibur, adik! Bertambah Geng Kawanku Panda yahuuu!

Puan-puan manis ini belikan untuk anak-anak di rumah. ;)

Pembaca karya Nazry Salam pun ada ha! Terkejut adik itu bila saya kata, "Inilah Nazry Salam." Hahaha terus dia beli novel 'Lukisan Hati' sebab yang lain sudah ada. Kelasss awak, Encik Suami. x))


Okey nak berikan ucapan terima kasih teristimewa untuk Encik Suami.
*sediakan baldi jika anda alah pada kasih sayang yang ditonjolkan secara lisan wakaka*


Terima kasih banyak-banyak, gila-gila punya terima kasih, kepada suami yang begitu berdedikasi dan ikhlas membantu saya dalam menjayakan event pertama AfeeyaBella ini. Peluh merecik sampai basah muka, basah baju, dan yang penting, lengan sudah berbelang! Walau demikian awak tetap seronok dan lebih teruja nak kira keuntungan. Haha! Terima kasih, ya. Terima kasih belikan air dan makanan. Terima kasih bukakan payung. ♥ ♥ 

Dan terima kasih juga kepada emak (Tok Mak Afia), dan kakak saya (Ummi Kembar dan Baby Raudhah) kerana bantu jagakan, mandikan, masakkan makanan untuk Afia sepanjang tujuh jam kami berniaga. Afia pun ibu dan abah nak ucapkan terima kasih (manalah tahu besar nanti dia baca entri ini), sebab berkelakuan baik dan senyum-senyum sahaja sepanjang ibu abah tiada. Mungkin ibu abah dah boleh dating tengok wayang lalalala kbai jangan ikut. 

Jumpa lagi!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...