26 September 2009

Cabaran!

* Mengekalkan berat badan juga satu cabaran.

Assalamualaikum, hai semua!


Khamis lepas berlangsunglah konvoi saya bersama rakan-rakan. Seronok! Walaupun tidak ramai yang ikut serta, kami memang seronok. Bertukar-tukar cerita, bergosip. Hehe! Enam buah rumah, tidak termasuk rumah sendiri. Rumah terakhir tidak sempat pergi, kerana ada amanah bonda yang perlu saya selesaikan. Ewah.

Orangnya tidak ramai. Mula-mula hanya empat orang, kemudian lima, kemudian jadi lapan, kemudian jadi sembilan. Sembilan, termasuk rakan kepada rakan yang berasal dari Yemen. Mula-mula saya sangka dia tidak pandai berbahasa Melayu kerana asyik cakap bahasa Inggeris, rupa-rupanya dia boleh berbahasa Melayu sedikit-sedikit. Mungkin juga dia faham. Enam tahun duduk di Malaysia. Oh tiba-tiba rasa malu sebab rasanya banyak juga saya menyakat warga asing ini. Hehehe.

Tetapi dalam banyak-banyak rumah, ada satu yang paling terkesan dalam hati. Rumah rakan kami di taman perumahan lama saya. Siapa yang pergi, anda tahu siapa yang saya maksudkan.

Keluarga rakan kami itu memang sangat mengagumkan. Dari dulu, sehingga sekarang, tidak pernah berubah. Masih peramah dan baik. Rakan kami itu memang sedia comel, tetapi sederhana. Penampilannya sentiasa biasa, kadang-kadang sampai rasa nak tolong betulkan tudungnya. Haha! Tapi dia tetap seorang yang riang, walaupun malu-malu. Keluarganya, dari ayah sehingga ke dirinya sendiri, memang baik hati. Sangat baik hati. Dia mempunyai ibu bapa yang sangat supportive, loving, kelakar, dan paling penting, berilmu dunia akhirat.

Banyak yang emak dan ayah rakan kami itu kongsi dengan kami. Saya dengar satu per satu, dan tipu sekiranya tidak terkesan dalam hati. Rakan kami berhenti kerja kerana mahu berniaga. Berniaga ice-blended bagi meneruskan usaha abangnya.
Abangnya juga berhenti kerja yang bagus kerana mahu berniaga.

Ada mentaliti masyarakat kita, apabila berniaga, orang yang berniaga itu berniaga kerana tidak diterima bekerja oleh mana-mana syarikat. Orang berniaga itu lulusan kampung. Habis sekolah ataupun tidak agaknya. Tidak mungkin tidak, pasti ada yang mengatakan mereka keluarga yang gila. Emaknya pun pencen awal.

Hakikatnya, mereka adik beradik, berkelulusan tinggi. Ada diploma, ada ijazah. Jualan ice-blended mereka sangat menguntungkan. Lebih untung daripada kerja dengan orang. Kerja makan gaji. Emaknya pencen awal kerana terlalu sibuk sehingga bimbang keluarga terabai.

Memang insan-insan yang mengagumkan.

Rakan kami itu berniaga dengan lori putih, seperti yang digunakan mamak jual rojak tepi jalan itu. Malah, dia yang pandu sendiri lori itu dari satu lokasi ke satu lokasi. Perempuan. 24 tahun. Sebaya.

Seorang yang hebat dan mengagumkan.

Ketika ayahnya bertanya pekerjaan kami seorang demi seorang, boleh rasa betapa jauhnya pandangan ayahnya berkenaan kerjaya kami. Setiap daripada kami mendapat pandangannya. Kerjaya saya, editor buku. Ayahnya memberikan cadangan, yang mana, cadangan itu boleh dijadikan side income saya. Tetapi cadangan itu sebenarnya, adalah satu pukulan kerana saya pernah melakukannya.

Menjadi graduan komunikasi UiTM, memang banyak kelebihan. Lebih-lebih lagi apabila menjadi graduan penerbitan. Saya belajar banyak perkara, yang sememangnya mampu menjadikan saya kaya pada hari ini. Tetapi silap saya, saya tidak terus berbuat.

Dulu saya memang pernah ambil upah menterjemah. Zaman belajar. Ketika itu, klien saya sendiri ialah pelajar. Mana mungkin mampu mendapat beratus ringgit.

Dulu juga saya pernah ambil upah menaip.

Juga pernah ambil upah membuat kad raya dan kad majlis pertunangan.

Pernah membuat suntingan kerja luar.

Pernah ambil upah cari mutiara kata dalam sesebuah buku.

Dulu juga pernah ambil upah lipat baju, tahu? (Ini bukan diajar di UiTM.)

Zaman belajar dulu, memang macam-macam kerja saya buat untuk hidup.

Tetapi sekarang, sudah tidak. Kurang ada masa melayan kerja luar. Alasankah?

"Dalam hidup, tidak ada masalah. Hanya ada cabaran."

Mendengar bait-bait kata emak rakan kami itu, buat saya berfikir semula. Kurang ada masa adalah cabaran saya sekiranya mahu kukuh dalam hidup, bukan sekadar sebagai pekerja, tetapi sebagai insan berjaya. Orang lain boleh berjaya, mengapa saya tidak? Saya hanyalah pekerja kerdil dalam sebuah syarikat yang boleh dikategorikan gah. Ini pun, masih ramai yang tidak mengenali apa itu PTS. Ramai yang bertanya saya bekerja di mana. Pada mereka yang memang dalam industri ini, akan tahu. Tetapi yang luar daripada industri ini, ada yang tahu, ada yang tidak. Cabaran.

"Mak cik bangga dengan anak-anak mak cik. Ini memang mak cik akan cakap."

Mendengar lagi apa yang diperkatakan oleh emak rakan kami itu, memberikan saya satu semangat. Hohoho! Saya memang tidak ada perancangan untuk berkahwin. Saya sendiri belum pasti siapa nakhoda saya. Tetapi yang pasti, apabila saya sudah dalam alam itu kelak, saya mahu menjadi seperti emak rakan saya itu, dengan kocakan peribadi emak saya sendiri. Mahu menjadi yang terbaik buat anak-anak saya.

For them, I want to be a cheerleader.

For myself, I am my own stricker.

Mereka perlu dilatih menjadi stricker hidup mereka sendiri. Latih, bukan bentuk. Bentuk itu ada jisimnya. Latih lebih meluas. Keputusan untuk menjadi apa, keputusan mereka. Saya pasti akan menyokong, selama mana keputusan itu tidak menjahanamkan diri mereka.

Kesalahan ibu bapa: memaksa anak menjadi apa yang mereka (ibu bapa) diidamkan. Ada anak yang mampu dan mahu mengikut impian ibu bapa mereka. Ini tidak perlu difikirkan. Yang perlu difikirkan, anak yang tidak mampu ataupun tidak mahu menjadi seperti apa yang diidamkan oleh ibu bapa mereka. Anak ini lebih tertekan tanpa sokongan. Walaupun anak ini berjaya dengan jalan yang dia pilih, biasanya kejayaan itu ditanam-tanam jauh ke pasak bumi. Senyap seribu bahasa. Kejayaan anak orang, dijulang-julang sampai ke bintang.

Rasa terkesan dengan apa yang dikatakan oleh emak dan ayah rakan saya itu. Sememangnya kejayaan dipupuk di rumah. Rumah itu permulaannya. Keluarga itu pemangkinnya. Tidaklah perlu memuji anak berguni-guni, tetapi sokongan itu sangat memberi kesan. Sangat berbeza 'produk' yang dilahirkan dengan kasih sayang, dididik dengan kesungguhan, dibelai dengan ketabahan, dikemaskan dengan ilmu Allah.

Namun saya ada pesanan secara peribadi. Kepada yang tidak dilahirkan dalam keluarga yang sempurna, tidak bahagia seperti keluarga lain, janganlah merosakkan diri sebagai tanda protes. Hidup yang kamu rosakkan itu hidup kamu. Sekiranya nasib kita tidak sebaik nasib orang, kita teruskan hidup kerana mahu membaikinya. Bukan menambahkan lagi kerosakan sedia ada. Saya tidak setuju dengan anak-anak muda yang malas belajar, menjadi penagih, menjadi rempit, menjadi pencuri, menjadi pelacur, menjadi segala macam sampah masyarakat kerana alasannya keluarga mereka tidak bahagia. Tidak mungkin kita mahu memberikan pengalaman yang sama kepada anak-anak kita pula. Kita sudah rasa sakitnya, mengapa mahu seksa anak yang tidak tahu apa-apa?

Zaman-zaman muda ini, memang seronok protes itu ini. Tetapi percayalah, apabila sudah tua kelak, ah tidak perlulah sehingga tua, tunggulah apabila sudah berkeluarga kelak, kamu akan tahu bagaimana susahnya hendak hidup. Berkahwin memang seronok, tetapi disusuli tanggungjawab. Anak-anak. Ketika itu hendak menyesal pun tidak berguna.

Ada kemampuan dan peluang untuk belajar, belajarlah. Jangan malas. Ada orang yang mahu belajar tetapi tidak mampu. Percayalah, dik. Ewah, aku bercakap dengan siapa entah? Saya sedang menyaksikan seorang insan yang dahulunya sangat malas belajar, belum berkahwin pun lagi, tetapi sudah mengeluh kerana nasibnya sekarang. Siap menyalahkan ibu bapa kerana tidak memaksanya belajar rajin-rajin dahulu. Berbilah rotan patah memukul, ada hati menyalahkan orang. Mempunyai kelulusan tinggi, sijil bercop ataupun tidak, itu cerita lain. Yang penting, ada ilmu.

Hmm... memang raya yang berfaedah. Saya kalau cerita isu keluarga, memang agak emosi sedikit. Hahaha maaflah ya. Saya antara yang mahu mengubah nasib sendiri. Keluarga saya bukan yang terbaik, tetapi saya tetap sayang keluarga saya.

Dalam entri ini, kawan-kawan menjadi saksi betapa saya mahu menjadi itu dan ini.
Apabila kita hendak berbuat, memang macam-macam cabaran akan timbul. Mulai hari ini, kita jangan guna perkataan 'masalah'. Kita guna 'cabaran'. Okey? Masalah itu kedengaran negatif, maka kita juga akan hilang semangat. Oh, saya harap saya mampu.

Baiklah, semoga kebaikan raya saya dapat dikongsi dengan kawan-kawan. Raya setiap hari ke rumah orang tetapi tidak mendapat kebaikan, apalah gunanya. Baik berhari raya sehari sahaja tetapi ada intipati. Hahahaha! Ayat orang dengki ni, maaf zahir dan batin. Hehehe. La... saya gurau je la. Janganlah terasa hati. Dah, dah, lap air mata.

Sehingga berjumpa lagi! Selamat hari raya dan jaga diri (serta berat badan) baik-baik ya! Wassalam. Eh serius tau. Saya gurau je untuk perenggan atas ni. Sorry... sorry. Tapi tak nak pula delete. Wahahaha!

P/S: Saya bukanlah orang baik, mahupun yang terbaik. Sekadar berkongsi pandangan.

06 September 2009

Mari Mencuba!

Assalamualaikum, hai kawan-kawan!

Hebat! Entah mengapa saya rasa seperti sudah lama tidak mengemas kini blog ini sedangkan baru enam hari meninggalkannya. Sedang menghadapi sedikit kekangan masa (dan 'kecergasan' talian Internet) bagi melawat blog kawan-kawan juga.

Emm... pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung blog ini, sama ada yang sudi meninggalkan komen, mahupun yang sekadar membaca, berspekulasi, berpandangan peribadi secara senyap dan sebagainya. Kalian sangat supportive.

Ini kisah minggu lepas.

Saya memasak. Ngeh heh heh. *Nada gelak sinis antagonis*

Juadah berbuka puasa itu saya berikan nama:
Maggi Goreng Air Tangan Kita Tapi Mangkuk Mak Kita Punya
Langkah B: Penyediaan mi
1) Beli mana-mana mi yang anda suka. Anda beli Mi Sedap pun nama resepi ini tetap bernama Maggi. Jadi sekiranya tidak keberatan, belilah mi jenama Maggi supaya tidak seperti berdusta. Namun sekiranya hendak beli jenama lain kerana memboikot Maggi pun tidak mengapa. Hendak guna mi biasa yang selalu dijual di kedai-kedai lain juga boleh. Pandai-pandailah nak hidup.
2) Sesudah beli, buka bungkusan dan rebus ke dalam air yang panas. Tiada istilah rebus sekiranya menggunakan air sejuk. Itu namanya rendam. Tetapi rendam ada istilah merendam ke dalam air panas. Namun kita hendak rebus ya, kawan-kawan. Supaya mi menjadi lembut dan senang dihadam.
3) Toskan mi apabila sudah lembut. Tidak perlu terlalu lembut kerana sebentar lagi akan dimasak bersama bahan-bahan lain.
Langkah C: Bahan-bahan
Sudah lupa kerana main masuk sahaja apa yang ada. Secukup rasa dan sesuka hati.

Langkah D: Cara-cara membuat
Apabila bahan-bahan yang saya sudah lupa itu kelihatan okey, masukkan mi dan kacau sehingga mi dan bahan-bahan menjadi akrab. Oleh kerana sedang berpuasa, proses merasa bolehlah ditunda sehingga bunyi azan maghrib. Saya waswas mahu rasa sedikit di hujung lidah.

Langkah A: Permulaan
Sebelum memasak, kita perlu sediakan hati dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan supaya masakan kita sedap dan menyelerakan. Kemudian mulakan dengan bismillah dan menyediakan langkah seterusnya.

Hasilnya:

Jadinya bolehlah agak sendiri apa bahan-bahan yang digunakan.

Kata kunci: Sejuk beku.

Komentar menganyam bakul:

  1. "Boleh la...." sambil tersenyum.
  2. "Okey la...." sambil tambah dua pinggan.
  3. "Kau masak? Apa rasanya?" lalu mengambil pinggan sedangkan tadi hanya ambil sudu kerana sekadar mahu merasa.
Kesimpulan:
Jangan takut mencuba. Tetapi apa yang kita cuba itu, perlu dengan hati yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Apabila kita mencuba, kita ada pilihan. Sama ada untuk terus mencuba, ataupun berhenti mencuba. Ada yang kata, kadang-kadang kita tidak ada pilihan. Saya kata, kita tetap ada hak membuat pilihan. Kerja kita banyak, nak tak nak kita kena siapkan juga. Pilihan lain, berhenti kerja secara drastik, tinggalkan kerja yang ada kepada sesiapa jua mangsa seterusnya dan menjadi orang yang dibenci.

Si ibu boleh pilih ini:


Si anak yang comel pula boleh pilih ini:

Pilihan lain:


Tepuk dada, tanya selera.

Sehingga berjumpa lagi, salam sayang daripada saya, Husna Adnan dan krew (eh, macam kenal skrip ini.) Wassalam! (^_^)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...