30 July 2009

"Waktu saya kecil, saya nak jadi...."

Mukadimah entah apa sebab:
Sekira dibandingkan dengan sahabat-sahabat yang lain, hidup saya tidaklah begitu memenatkan. Maksudnya, kerja saya hanya duduk di atas kerusi, menghadap kertas yang menari-nari abjad kecil bagaikan jutaan semut yang mampu melayarkan saya ke dunia mimpi, menghadap skrin komputer yang lebih melaghokan saya tetapi saya gemarkannya, dan meja yang sekejap kemas, sekejap bersepah. Ada yang sampai bekerja 7 hari seminggu, ada yang
straight 3 bulan ke hulu ke hilir menjelajah Malaysia untuk buat penggambaran drama, dan ada juga yang sudah hampir setahun tidak menjenguk mak ayah di kampung kerana sangat sibuk dengan kerjaya di ibu kota. Takrif penat saya sekiranya dimasukkan ke dalam kamus kerjaya kawan-kawan saya yang lain, pasti tidak valid. Penat saya bagi mereka hanyalah tenaga yang mereka keluarkan untuk membancuh Nescafe.

Assalamualaikum dan berjumpa lagi kita (^_^).


Saya secara dasarnya ialah gadis kampung. Kajang bukannya bandar. Sebermulanya saya menghirup udara milik Tuhan, walaupun tika itu saya dilahirkan di Kuala Lumpur, hakikatnya saya hidup bertahun-tahun di pekan kecil ini. Pekan yang saya kira, masih pekan sehingga ke hari ini walaupun tarafnya mungkin sudah berubah, sudah banyak pusat membeli-belah, sudah makin ramai penduduk, sudah mencanak-canak bukit ditarah bagi mendirikan teratak manusia.


Saya betul-betul mula mengenal dunia luar pada waktu saya menerima tawaran menyambung pengajian diploma di UiTM Arau. Geografi saya sangat teruk. Saya hampir menangis tidak mahu pergi walaupun keinginan mengambil diploma itu lebih tinggi daripada meneruskan hari-hari mendung menghadap STPM kelak, kerana saya sangka Arau itu di Sarawak. Bengong, bukan? Hehehe... kakak saya sudah gelak hampir terguling-guling apabila melihat wajah cuak saya dengan mata berkaca, bersungguh-sungguh berkata, "Tak nak, tak nak pergi! Kat Sarawak!" sejurus membaca perkataan Arau.

Tiada apa yang saya cela mengenai Sarawak. Hanya saya, sebagai gadis kampung yang 18 tahun tidak pernah hidup di luar pekan Kajang waktu itu, merasakan negeri itu sangat jauh. Perlu merentas lautan.


Tetapi apabila kakak saya kata yang Arau itu di Perlis, saya menarik nafas lega tetapi saya sekali lagi rasa berat hati. Percaya ataupun tidak, saya membayangkan utara Malaysia itu, yang diiringi perkataan Indera Kayangan itu, negeri yang terapung.
Seriously. Saya fikir Perlis itu ialah sebuah negeri yang juga sangat jauh, tinggi dan terawang-awang kerana perkataan 'kayangan'. Saya hingga ke hari ini tergelak mengenang kembali kenaifan dan betapa katak-di-bawah-tempurung-nya saya. Sudahlah kurang menjelajah, membaca pun malas. Hambik.

Dan monolog dalaman paling bodoh pernah saya ungkapkan sejurus tiba di utara Malaysia ialah, 'Perlis ini macam Selangor jugalah sebenarnya. Masih di atas bumi. Taklah teruk sangat.' Tergamak pula saya nak rasa lega kerana Perlis itu tidak terapung, dan bukannya nak lega hal lain! Apakah ini?


Berbalik cerita hidup di pekan.


Saya
 sememangnya kurang pendedahan dunia luar. Ada baiknya apabila mempunyai ibu bapa yang tegas dan berperwatakan ala kuku besi dalam membicarakan soal kebebasan anak. Saya tidak pernah tahu apa itu lepak minum-minum sehinggalah saya masuk universiti. Bagi saya, nak minum, dapur saya ada air. Buat apa minum di kedai. Lepak yang paling kuat saya buat dulu pun ialah pergi ke kafe siber dua jam lebih awal daripada bermulanya waktu sekolah. Saya tidak pernah tahu ada kawan-kawan yang ke Metro Kajang dengan berpakaian sekolah pada hari bersekolah. Saya hanya tahu, habis waktu sekolah, balik.

Yang kurang baiknya, efek seperti di perenggan ke-4. Tapi itu mungkin salah saya yang malas membaca dan liat belajar geografi. Ibu bapa tidak bersalah.

Ketika di sekolah rendah, saya masih tidak tahu apa yang saya mahu jadi apabila saya besar nanti. Kolum cita-cita pada borang yang cikgu edarkan sangat menyesakkan dada saya. Saya cuba menulis sesuatu yang tidak klise seperti cikgu dan doktor, tetapi saya tidak dapat menarik idea-idea kerjaya yang wujud. Ini juga salah satu efek akibat malas membaca sebenarnya. Saya hanya tulis cita-cita saya pada subuh, hari borang itu perlu dipulangkan kepada cikgu saya dengan tulisan tangan yang kelam-kabut. 'Jururawat'.

Hidup terperuk begitu membuatkan saya banyak menonton televisyen. Zaman itu zaman tidak ada komputer sendiri. Internet pun perlu dicatu-catu penggunaannya kerana setiap bulan bil dicas ikut berapa banyak kita guna. Tak macam sekarang. Sudah ada cas tetap ikut kemahuan kita. Apabila di depan TV, berita bukanlah agenda utama menontonnya. Tentulah rancangan-rancangan hiburan seperti Muzik-muzik kerana saya gemar menyanyi. Apabila (hai banyaknya 'apabila') ada artis kegemaran buat persembahan, mulalah sesi sing-a-long.

Rasanya semua manusia gemar menyanyi. Cara mudah menghilangkan stress. Melihatkan artis-artis itu, kadang-kadang pernah juga ada rasa mahu menjadi seperti mereka. Walaupun tidak pandai berlakon ataupun menyanyi, artis itu kerjaya yang paling hebatlah pada saya waktu itu. Saya pernah terfikir hendak menjadi salah seorang ahli kumpulan Elite. Rasa hot kalau dapat muncul dalam videoklip bersama Abby, Shasha, Azza, Watie dan Linda Rafar. Menyanyi di belakang lorong dan dicelah-celah almari itu kelihatan sungguh bergaya.


Nasib baik saya masih waras. Tapi lagu Trauma tetap best.

Apabila saya ditugaskan mengedit dan menguruskan karya Lily Haslina Nasir, saya tersenyum. Kisahnya hampir sama dengan saya yang kecil, tetapi tidak serupa. Kisah Aril, jejaka yang berasal dari kampung, yang bercita-cita menjadi penyanyi, tetapi pada masa yang sama turut menanti tawaran menjadi bilal. Orangnya naif, sangat berperwatakan orang kampung yang suci tetapi berani ke uji bakat program realiti. Kisah Aril ini ada iras-iras Raja SMS kita, terpulang bagi pembaca menilainya. Ending cerita ini ada twist, itu yang menarik. Nak tahu, belilah. Hehehe. Ini buku kedua yang saya edit, tajuknya Aku Bukan Superstar.


Zaman P. Ramlee, ahlil muzik itu dihina-hina. Zaman kita, ahlil muzik itu dipuja-puja. Berapa ramai anak-anak muda kita yang nak jadi Lan ex-Meet Uncle Hussein? Berapa ramai yang nak jadi Faizal Tahir? Berapa ramai yang nak jadi Liyana Jasmay?

Tepuk dada, tanya selera.

Kita masih muda!

Ataupun....

Kita sudah di akhir zaman!

Terpulanglah sayangku. Wassalam =)

P/S: Saya pun banyak khilaf dalam hidup saya. Saya banyak main. Saya banyak ketawa. Saya banyak mengabaikan yang penting kerana malas nak sesakkan minda. Marilah sama-sama berusaha capai yang terbaik.

28 July 2009

"Saya nak jadi apa besar nanti?"

Assalamualaikum, hai kawan-kawan!

Tinggal beberapa hari sahaja lagi tibanya bulan Ogos yang tidak dinanti-nanti. Sangat sedih apabila memikirkan perpindahan dan perpisahan yang bakal berlaku. 'Owww... wadehel....' (ayat kegemaran rock star batch kami yang sekarang sudah jadi guru muzik). Mengenangkan hari-hari bekerja yang sangat sibuk, selesai satu kerja, tambah dua kerja, selesai dua kerja, tambah lagi kerja, saya ada rasa mahu berhenti daripada berbuat apa-apa dan duduk memandang ke hadapan sambil tersenyum lega. Hakikatnya, kalau makan pasir berlaukkan daun itu sedap, saya pasti akan berhenti kerja dan hanya duduk di buaian setiap hari.

Dikenang-kenang kembali, seperti entri terdahulu, ya inilah cita-cita saya. Cita-cita yang dibentuk sejak di sekolah menengah. Seperti kawan saya yang di atas itu, guru muzik bukanlah cita-citanya. Bidang penyiaran yang dipelajarinya tidak membawa apa-apa peluang pekerjaan, sehinggalah dia berbakti sebagai seorang guru. Kadang-kadang ada juga terima SMS daripada dia.

'Huzz, (ini nama manusia lembik yang dia suka panggil saya) jomlah jadi cikgu. Best beb. Sekolah aku ada nak guna cikgu bahasa Inggeris ni. Apply la.'

Saya baca SMS kirimannya dengan senyuman sahaja. Ada geleng-geleng sedikit. Saya balas SMS itu dengan ucapan terima kasih atas info itu, dan ucapkan semoga dia menjadi cikgu yang baik.

Dan dia begitu gembira menjadi seorang guru sehinggalah sekarang, sedangkan titik pemulaan dia sebagai guru itu hanyalah suka-suka, kebetulan, sementara mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya.

Saya? Saya berjaya mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan saya, cita-cita saya dan apa yang saya reti buat. Nak kerja jadi pelukis pelan, saya hanya tahu lukis epal, pokok, awan, itik, ayam, gula-gula, rumah ada serombong asap ala-ala rumah manusia katik dalam cerita Snow White dan burung yang sekali pandang seperti logo McD yang berwarna hitam. Nak jadi doktor, darah merupakan aset penting dalam membuatkan saya pitam dan pening kepala. Maka editorlah yang paling sesuai.

Dan saya akan teruskan cita-cita ini selagi mana saya boleh, kerana pekerjaan sebagai editor di PTS terutamanya PTS One merupakan satu cabaran yang sangat manis walaupun perit kadang-kadang. Expectation manusia itu terlalu tinggi, dan kita perlu paksa diri kita untuk berusaha lebih tinggi seinci daripada expectation itu.

Semoga kami semua dipermudahkan segala urusan oleh-Nya.

Berfikir kembali, saya bertuah ada pekerjaan. Di PTS pula tu. Ada ramai yang bermati-matian untuk menjadi warga PTS, tetapi atas beberapa sebab, mereka tidak diterima. Sama ada rezeki mereka sudah ditulis untuk mendapat yang lebih baik, ataupun Allah mahu mereka jumpa yang teruk dahulu sebelum bertemu dengan yang baik. Mana-mana pun, Allah itu maha adil. Dia ada perancangan-Nya. Jangan putus asa. Bak tulisan Bahruddin Bekri, '
Kita jangan sesekali mendahului kerja Tuhan.' Selagi Allah masih berikan kita peluang menghirup udaranya, kita masih dituntut untuk berusaha.

Saya, paling tidak, membuat pekerjaan yang saya pernah cita-citakan. Maknanya saya boleh, sebab itulah saya bercita-citakan pekerjaan ini. Tapi pernah ataupun tidak kawan-kawan bercita-cita menjadi pengetua? Saya langsung tidak pernah. Nak jadi cikgu pun mengelak-elak, inikan pula menjadi pengetua. Tapi apa yang kalian akan buat sekiranya kalian dipaksa menjadi pengetua, di kolej swasta yang sangat mewah, dan umur kalian baru 23 tahun? Seorang remaja perempuan pula! Oh kalau saya, saya akan berfikir selepas saya pitam seminggu dua. Saya respek siapa yang mampu jadi seseorang yang tidak pernah difikirkannya. Kalau kau seorang penagih, tak yahlah nak bangga pula walaupun memang dari tadika tak terfikir nak jadi penagih. Kau dah keluar topik ni brader. (Abaikan ini. Ini monolog dalaman.)

Ada masa lebih, ada duit lebih, apa kata beli buku-buku di bawah.

Mengapa Aku Masih Jadi Pengetua? karya Kusyi Hirdan ini adalah buku pertama yang saya edit dan uruskan ketika awal-awal saya bekerja di bawah PTS One. Itu buku susulan selepas Mengapa Aku Jadi Pengetua?. Kalau ada antara kalian yang sudah baca, dan buku ini ada kesalahan dari segi ejaan dan sebagainya, silalah mengadu domba kepada saya. Hehehe... saya akan betulkan sebelum buku-buku ini diulang cetak (insya-Allah, mudah-mudahan buku-buku ini diulang cetak... amin... amin... meh la amin sama-sama, hehe).

Watak Izah dalam buku inilah yang berumur 23 tahun dan tiba-tiba dipaksa menjadi pengetua kolej swasta milik kakak iparnya yang meninggal dunia. Ha... nak tahu bagaimana kesudahan cerita ini? Belilah... tak nak beli pun tak apa. Sila paksa orang yang anda kasihi hadiahkan untuk anda. Hehe.

So... apa cita-cita kalian? Mana yang masih belajar, memang time belajar inilah masa nak corak hala tuju. Tapi kalau dah habis belajar nanti kerja bidang lain, tak ada salah pun. Best apa kalau tiba-tiba yang ambil jurusan ladang jadi chef. Mana yang sudah bekerja, gembira tak dengan kerjaya anda? Sama tak dengan cita-cita zaman muda dulu? Kalau ada yang mahu kongsi, boleh kongsi cerita di sini. Kalau tak ada sambutan pun tak apa. (Nada sayu) saya sudah biasa hidup dalam kesunyian. (Eyewww....)

Hahaha, wassalam! Sehingga berjumpa lagi!

27 July 2009

Bermula Semula (^_^)

Assalamualaikum, hai kawan-kawan!

Dengan ini, seperti yang sudah saya uar-uarkan sebelum ini, saya akan memperkenalkan diri saya. Ya, blog ini bakal tiada lagi rahsia kerana saya sudah berniat mahu menjadikan blog ini blog rasmi saya supaya mudah bagi saya melakukan apa-apa hebahan dan perkongsian umum.
Dimulakan dengan... bismillah dan....

Nama saya Husna. Nama penuh saya sangat panjang, maka boleh diabaikan. Panggil saya Husna sudah memadai.
Nak panggil Sna pun boleh. Saya berumur eh lupa nak beritahu, saya dilahirkan di Kuala Lumpur.

Okey... okey... macamlah korang tak tahu umur saya berapa, kan? Hari lahir saya yang ke-16 (auwwwww) dua hari sebelum saya bekerja di syarikat kesayangan saya iaitu syarikat penerbitan yang hebat (aircondnya kedengaran begitu kuat, namun saya ikhlas nih!) yakni PTS Publications & Distributors Sdn Bhd yang beroperasi di Wangsa Melawati buat masa ini, dan akan berpindah ke Batu Caves kelak.


Saya harap kita sudah agak kenal buat masa ini. Cukuplah setakat ini rasanya.


Buat pengetahuan sesiapa yang baru menjengah blog ini, mungkin ada sesetengah entri terdahulu yang ditulis dengan penuh perasaan sama ada marah, teruja, sedih, bimbang dan sebagainya, saya harap kalian menerima dengan hati terbuka kerana saya adalah manusia biasa. Saya akan usaha bagi menjadikan blog ini kelihatan seprofesional yang boleh, insya-Allah.


Terima kasih kepada yang memberikan sokongan selama ini. I love you all with all my heart. Cakap omputeh siap.



* * *

Alhamdulillah... perpisahan dunia Facebook saya berjalan dengan lancar. Hidup lebih teratur dan tenang apabila hidup kasual dan formal saya dipisahkan. Begitu juga dengan telefon, cumanya buat masa sekarang, Celcom saya dilumpuhkan buat sementara waktu kerana telefon saya yang hensem itu digunakan untuk nombor pejabat saya. Nanti sudah dapat telefon pejabat, Celcom saya akan beraksi semula (walaupun ada ataupun tidak, ia akan lebih kerap senyap daripada berdendang.)


* * *

Baru-baru ini, saya membantu menjalankan promosi di Ikano dan Shah Alam. Alhamdulillah juga, walaupun di Ikano langsung tiada penonton awam, kami tetap mantap menghabiskan masa yang ada dengan apa-apa perkongsian yang mampu. Terima kasih kepada Alif Firdaus Azis yang handal mengemudi majlis walaupun yang menontonnya ialah saya, Cik Rafiza bersama anak dan suami, Cik Dila bersama kekasih hati, suami Puan Kusyi Hirdan, anak-anak Puan Lily Haslina Nasir dan mata-mata yang memandang sambil menaiki tangga bergerak yang canggih itu. Hehehe... tak mengapalah, masing-masing sedang sibuk mengejar tujuan masing-masing.

Di Shah Alam pula, adalah pengalaman paling manis sepanjang saya menjayakan program promosi penulis, kerana ini pertama kali saya membantu program yang sangat santai dan best! Tidak ada sesi autograf yang klise. Yang ada, bacaan puisi bersama petikan gitar oleh penulis, pertunjukan silap mata dan sesi kuiz yang sangat kelakar kerana soalannya sangat susah seperti "Siapa nama adik?" dan "Adik datang dengan siapa?" Yang paling best, dapat turut serta menjadi pembantu kepada Alif dan rakannya, Ismail untuk melakukan silap mata.


Dulu, zaman belajar, saya sering ke P.A.S untuk membeli ink printer, printer, laptop, handphone (ewah semua barang mewah je mention) dan sebagainya. Kali ini, datang semula ke Shah Alam bagi membantu persembahan pula. Masa di atas pentas, tak rasa berdebar. Rasa tenang saja... siap boleh sama-sama berlakon dengan mamat dua orang itu ketika mereka buat aksi slow motion. Mungkin waktu tu rasa seperti pulang ke kampung halaman. Wajah-wajah penonton yang saya lihat seperti wajah-wajah keluarga seUiTM itu begitu mendamaikan. Hehehe... tapi memang best la... tahniah buat Alif, Bahruddin Bekri dan Ismail. Terima kasih buat warga kerja MPH (Hanif) dan staf PTS yang hadir (Cik Haryani dan Puan Rafiza).



* * *

Selepas ini mungkin tidak lagi bekerja dengan Alif kerana beliau akan berpindah unit, namun saya kira, selagi dia penulis PTS One, pasti akan ada program promosi bersama-sama yang lain, Insya-Allah. Susah nak bayangkan apabila beliau sudah tiada kelak, namun hidup perlu diteruskan. Semoga kami semua diberikan limpah kurnia dan petunjuk daripada Allah S.W.T.


Sehingga berjumpa lagi, jaga diri baik-baik!

23 July 2009

Entri Pendek Sikit Daripada Zirafah

Assalamualaikum... sebenarnya banyak yang saya nak tulis. Tetapi tidak tahu mana pangkal, mana hujung. Jadi seperti biasa, saya akan mula dengan satu huruf, kemudian satu perkataan, kemudian satu ayat, kemudian satu karangan merepek. Sedia?

Err... macam mana ya nak mula? Okey, mula dengan....


* * *

Cerita kerja.


Macam biasa, minggu-minggu lalu merupakan minggu yang agak sibuk tetapi teratur. Lepas satu musibat, timbul satu musibat yang lain, namun diselesaikan dengan anggun. Well... ini pun masih ada yang perlukan bantuan kawan-kawan, especially bila nak buat PnL. Huhuhu... nak kira harga sebuah
buku pun payah. Dah berapa kali saya tengok staf senior buat, dan saya lancar juga memberi cadangan, namun bila kena buat sendiri, jenuh. Yang lain, saya rasa saya sudah pegang. Ewah! Alhamdulillah... buku yang saya handle, selesai satu per satu.

Ha... nampak?

Satu per satu.

Satu per satu. Bukan satu persatu. One by one. Not one byone. =)

Banyak sebenarnya kesalahan di muka bumi Malaysia ini yang saya perhatikan. Tolak kesalahan seperti membunuh dan berjudi, juga bukan kes Teo Beng Hock mahupun Manohara, saya fikirkan kesalahan bahasa. Saya rasa saya skema, poyo dan kau-rasa-kau-bagus-ke? punya orang apabila bercakap tentang bahasa. Saya tidaklah begitu
kau-rasa-kau-bagus-ke?, tetapi saya cuba menjadi bagus. Saya tidak pandai sains, mahupun matematik. Sangat teruk dalam subjek geografi dan sejarah. Maka saya cuba pandai bahasa. Pening juga kadang-kadang. Bab ejaan saja, bertukar-tukar. Dulu begini, sekarang sudah dieja begini pula.

Dalam banyak-banyak hal bahasa, saya paling tidak suka (benci sebenarnya) apabila melihat papan tanda yang salah penggunaan 'di'.

'Di' yang rapat dengan perkataan seterusnya ialah 'di' yang digabungkan dengan perbuatan, ataupun perkataan yang dapat dibayangkan sebagai perbuatan. Contohnya, digarap, diselang-selikan, dipijak dan diteruskan. 'Diteruskan', kita tak tahu bagaimana perbuatan 'diteruskan' itu, tetapi cuba bayangkan gaya seorang lelaki gentleman menunduk sedikit dengan tangan diarahkan ke hadapan apabila ada gadis mahu melalui laluan yang sama. Begitulah bayangan perbuatan bagi 'diteruskan' mengikut kamus sukasuki saya.

'Di' yang dijauhkan dengan perkataan seterusnya pula ialah 'di' yang menunjukkan tempat dan arah. Di mana? Di situ. Di sana? Di Langkawi? Di Wangsa Melawati. Kemudian di Batu Caves.

Senang bukan?

'Di' juga sering disalahgunakan oleh masyakat apabila 'di' digunakan sebagai penunjuk waktu dan hari. Bermula dengan lirik Allahyarham P. Ramlee. "Di hari raya, terkenang daku kepada si dia.' Sebenarnya bukan 'di hari raya', tetapi 'pada hari raya'. Bukan 'di pagi hari', tetapi 'pada pagi hari'. Bukan 'di minggu hadapan', tetapi 'pada minggu hadapan'. Oh ya, 'pada' pula digunakan....

Okey, saya stop. Sakit-sakit kepala sikit tak? Ada rasa nak skip baca kan? Ataupun rasa nak terus halakan mouse ke arah petak kecil di hujung kanan atas sana kan?

Fhewww... (susah nak tengok entri pendek di sini... nanti saya usahakan.)

Rasa nak tulis buku. Tetapi saya punya masa yang terhad. Masa saya sangat penuh dengan kerja dibayar gaji, makan masakan emak yang sangat sedap, menonton televisyen yang bil elektriknya dibayar oleh kakak-kakak (mungkin apabila mereka berkahwin kelak, bil-bil tersebut menjadi tanggungan saya... hmm... *considering something*), tidur apabila sudah mengantuk, melihat-lihat dunia siber, merepek di sini, memikirkan masa hadapan, memandu Cik Lisa dengan perjalanan yang lama dan jauh, nanti akan makin jauh, dan membelai Bubu.

Sibuknya hidup saya.... (~~',)

Hahaha sibuklah sangat. Bukan sibuk, hatta malas.

Belum sampai seru.


* * *

Cerita di rumah.

Kurang tidur apabila dilanda kepanasan tahap gila dan nyamuk menari-nari di telinga. Tutup tingkap supaya nyamuk tidak masuk, lalu menyebabkan saya dan kakak tidur bagai hidupan laut dalam. Basah, gelap dan sesak. Berpeluh-peluh, hoh tidak menarik langsung! Saya terbangun jam 2 pagi, berpusing-pusing di atas katil, berputus asa. Termenung memandang siling, lalu memakai earphone dan mendengar radio. Bangun buka tingkap, maka meriahlah kemasukan nyamuk bagai kemasukan pendatang asing. Cuma tak ada tongkang saja.

Apabila duduk di luar, anginnya nyaman pula. Maka sudah beberapa malam saya lepak di luar rumah bertemankan berbelas kucing. Tujuh wakil rumah saya, lima lagi wakil rumah jiran. Mereka sangat comel apabila berbaringan tanpa ragu beramai-ramai di atas jalan. Malam-malam begitu tidak banyak kereta lalu. Bertambah galaklah mereka bergelimpangan. Kadang-kadang saya lepak di luar pagar, kadang-kadang apabila rasa keselamatan agak terancam melihatkan beberapa ekor anjing menyalak-nyalak, saya membuaikan diri di dalam kawasan pagar. Buaian hadiah abah kepada emak. Emak begitu mahukan buaian, namun rumah lama kami agak sempit. Tetapi abah belikan juga, dan rumah kami tiba-tiba kelihatan seperti reban.

Sekarang rumah dah lain. Halaman pun besar sedikit. Buaian itu sudah kelihatan cantik di tempatnya. Kira bolehlah... malah jiran hadapan yang dulunya warga asing dan juga gemar melepak di luar tanpa baju dan rokok setia di jari, sekarang sudah berpindah. Membuatkan saya rasa buaian itu memang kena pada tempatnya. Terima kasih, abah. Kalau hati tidak gembira, saya akan keluar, berbuai-buai. Dulu warnanya biru, sekarang sudah diwarnakan merah hati. Cantik.

Beberapa malam saya melepak di luar melayan perasaan dan angin, emak pun join. Lepak sama. Apabila duduk di luar, tidak banyak yang dibualkan. Sekadar terhibur melihat gelagat-gelagat binatang berbulu, berkaki empat, ada misai dan berbunyi meow itu.

Tiba-tiba emak ajak teman dia round taman perumahan kami. Jam 10.30 malam, hari Selasa. Dua-dua esoknya perlu ke pejabat. Sepatutnya sudah mula hampir-hampirkan diri dengan katil. Saya mengantuk juga waktu itu, tetapi melihatkan kesungguhan emak, saya masuk dan siapkan diri. Pakai baju sejuk, senonoh-senonoh sedikit, kemudian turun kembali.

Mula melangkah dengan tangan diselukkan ke dalam poket. Sejuk! Jalanlah berdua dengan emak. Malam-malam, dengan bunyi seretan kaki, pasti ada jiran yang hairan dan rasa tidak selamat. Huhu... tetapi saya gagahi juga. Selesai satu round, emak ajak round jalan sana pula. Kemudian jalan belah sana. Jenguk-jenguk rumah jiran yang sedang renovate. Ada satu rumah itu, sangat cantik. Ada swimming pool lagi kau. Senyum saja melihat kemewahan sesetengah orang. Rezeki... biarlah... jangan emak tiba-tiba nak swimming pool juga sudahlah.

Memang letih dan sangat mengantuk berjalan-jalan malam itu, tetapi bagus juga. Layan kemahuan orang tua kita sekali sekala, apalah sangat. Cuba kalau ada kekasih hati. Diajak keliling dunia pun sanggup. Ini cuma keliling taman perumahan. Apalah sangat... dan aktiviti itu buat saya sedar, ya saya hidup dalam dunia saya sahaja. Siapa jiran saya, apa jiran saya buat, rumah mana yang pakai kereta mewah, rumah siapa yang pagarnya hanya deretan pasu bunga, tidak saya ambil kisah. Malam itu, saya kenal rumah siapa yang bagaimana.


* * *

Cerita hujung minggu.

Sabtu ke Bangi, kenduri kahwin Amad. Ya saya sudah cerita. Ahad yang saya tidak cerita. Sebab Ahad saya sibuk dengan aktiviti mengenal diri dan belajar perkara baru. Pagi-pagi, saya sudah bersemangat waja. Kerana baru hari Ahad. Selalunya kenduri kahwin sudah hari Ahad. Ini apabila kenduri kahwinnya hari Sabtu, saya rasa diberi satu hari lagi sebagai bonus. Psikologi je... hari minggunya masih tetap dua hari.

Saya belajar masak sambal ikan bilis. Hahaha!

Saya kan memang tak pandai memasak, makanya saya belajar sikit-sikit. Kelakar juga bila dikenang. Emak suruh kupas bawang putih, bawang besar. Basuh ikan bilis. Tumis cili sehingga keluar minyak. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Begini pun sudah rasa hidup saya sudah selesai. Rasa tidak ada apa lagi yang perlu saya achieve. Ini belum lagi tiba-tiba pandai buat nasi kerabu ataupun nasi dagang. Melampau gila perasaan.


* * *

Cerita perpisahan dan memisahkan.


Ogos yang bakal muncul ini bukanlah bulan yang ditunggu-tunggu. Bahangnya sudah terasa, dan kesedihan saban hari menjadi Ajinomoto bagi gula-gula perisa oren saya. Unit kami akan berlaku kehilangan dan kami sendiri akan menghilang dari lokasi sekarang. Sedih, tahu? Hari-hari yang ada ini, perlu digunakan sebaik mungkin. Selepas ini, akan berpisah buat jangka masa yang lama sebelum bertemu kembali. Puasa kelak tidak satu tempat. Tazkirah yang dinanti-nanti juga entah bila mahu mula semula. Bukanlah dipisahkan dengan lautan pun... ya saya tahu... cuma environmentnya pasti lain. Kena adapt dengan sesuatu yang baru. Menghakis semangat, masa dan minyak Cik Lisa saya.

Bertabahlah, Sna. Bak kata A.F.A, "Perubahan itu perlu...."

Dan saya rasa memang perlu. Perlu buat akaun Facebook yang baru dan buat blog baru. Facebook urusan kerja vs. Facebook peribadi. Blog urusan kerja vs. blog repekan hati. Nombor telefon sudah dipisahkan. Lega saya. Kini urusan kerja dan peribadi saya sudah dipisahkan dalam dunia telefon (walaupun masih belum terima handphone satu lagi), tetapi tidak bagi Facebook dan blog. Perlu dibuat sesuatu.

Isunya, kawan-kawan saya gila belaka. Saya pun. Facebook yang ada itu sangat teratur kerana rasa diperhati. Masih belum open untuk add semua staf, terutamanya Mrs. Chairman. Makanya saya akan buat clean up. (Update: Sudah ada akaun kerja! Yeah!)

Blog. Juga sama. Saya tekad, kelak saya akan war-warkan blog ini. Senang. Nak hebahkan apa-apa, saya akan letak di sini. Segala gambar, sudah boleh letak sesuka hati. Saya tetap akan update blog ini, dan kongsi apa yang patut. Ini kerana blog ini sudah semakin ramai yang tahu siapa pemiliknya. 


Memang betul kata A.F.A, "Perubahan itu perlu...."


* * *

Cerita sudah habis.

11 July 2009

Mengagumi Si Anak Kecil

Petang tadi selepas pulang dari PKNS Bangi, saya singgah ke pasar malam membeli beberapa juadah makan malam, lalu pulang ke rumah dengan hati yang lapang. Rasa seronok dapat bersosial pada hujung minggu, walaupun hakikatnya keluar atas urusan kerja. Rasa rindu pada pesta buku sedikit terubat. Sudah lama tidak turun event mempromosikan buku penulis. Sungguh tidak kusangka akan gembira berjumpa rakan sekerja yang ada di tempat terbabit pada hujung minggu.

Sejujurnya, saya sangat malas untuk bersiap ke Bangi pada awalnya. Sudah biasa duduk di rumah pada hujung minggu, membuatkan saya begitu liat menyiapkan diri. Pukul 12.30 tengah hari, saya melemparkan diri ke atas katil semula. Rasa malas yang maha hebat sedang melanda diri saya waktu itu. Kakak saya hanya melihat saya yang mula menenggiling di kala dia sedang bersiap-siap mahu ke rumah lama untuk proses membaik pulih bersama emak. Apabila zuhur sudah masuk baharu saya paksa diri saya untuk bangun. Bersiap pun nak tak nak saja.

Tetapi sesampai sahaja di PKNS Bangi, rasa seronok. Melihat adik-adik kecil yang bersemangat muncul di kawasan pentas, bersama keluarga masing-masing, mahu melihat sendiri penulis kegemaran mereka iaitu Kak Ain Maisarah dan Kak Farihah Iskandar. Ada yang datang seorang diri, berjalan kaki kerana rumahnya dekat dengan PKNS Bangi semata-mata mahu berjumpa Kak Ain Maisarah.

Saya terfikir.


Ketika saya seusia dia, saya tidak begitu. Hujung minggu saya, hanya duduk di rumah, bantu emak membuat kerja-kerja rumah yang tidak pernah habis. Buku cerita? Huh, sungguhlah saya tidak sapa walau dengan jelingan mata. Inikan pula ada penulis kegemaran. Saya tidak kenal penulis-penulis buku kanak-kanak, tetapi saya kenal sasterawan negara. Usman Awang, A. Samad Said, A. Samad Ismail, Arena Wati dan banyak lagi. Inilah buku-buku yang ada di rumah saya sejak saya kecil.

Saya tahu nama-nama itu pada usia sebegitu kerana kawasan rak buku rumah saya diletakkan berhadapan dengan bilik saya. Saya tidak sapa dengan jelingan, tetapi sudah itu sahaja yang menjadi penghias dinding. Susah juga sekiranya setiap kali keluar bilik perlu memalingkan muka ke arah lain. Namun tetap sama. Tidak sekali saya membelek buku-buku itu, hanya membaca nama-nama hebat itu pada
spine sahaja.

Oleh kerana merasakan diri ini sungguh tidak patut kerana tidak berusaha untuk membelek, saya pernah juga melakukan beberapa percubaan memilih beberapa buku untuk dibaca. Saya panjat kerusi, memilih buku-buku yang saya rasa macam
best. Antaranya ialah Salina tulisan A. Samad Said. Entah mengapa saya rasa buku itu macam best. Nama Salina itu kedengaran sedikit misteri bagi saya. Mula-mula jumpa yang kulit lembut. Kemudian jumpa pula yang kulit keras. Saya ambil yang kulit keras kerana tampak bergaya. Tetapi tidak pernah saya habis membaca buku itu. Tidak juga kini berusaha menghabiskannya. Tiada perancangan pun.

Bukanlah emak saya tidak pernah membelikan buku kanak-kanak ataupun novel remaja untuk saya dan adik beradik yang lain. Pernah, malah agak banyak juga. Tetapi tidak lama, kerana emak saya juga dilanda perasaan meluat melihat buku. Kerja dengan buku, di rumah dengan buku, dinding rumah penuh dengan buku dan dapur rumah penuh dengan plastik yang dapat kerana membeli buku. Lalu matilah koleksi buku baru di rumah kami, kecuali yang emak dapat percuma kerana itu hasil kerjanya dan juga hadiah syarikat. Abah sahaja yang paling rajin mengumpul, masih mengumpul pada hayatnya, dengan bacaan-bacaan berat dan penuh ilmu. Itu perancangan saya - mahu mencuba membelek bacaan-bacaannya untuk memahami dirinya. Namun masih belum terlaksana. Masih belum nampak bila.


Ada beberapa buku pemberian rakan-rakan saya sejak dari zaman universiti sehingga kini, masih belum saya habiskan. Bayangkan. Novel
Ayat-ayat Cinta yang kawan sebilik saya paksa saya baca kerana saya dengan rajinnya menghadiahkan buku Janganlah Bersedih: Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia kepada dirinya pada hari lahirnya, hanya saya habiskan hampir setahun kemudian. Hari lahirnya pada bulan Disember 07, dan saya habis baca buku Ayat-ayat Cinta itu pada Disember 08. Malah bukan buku miliknya. Habis sahaja semester terakhir pada bulan Mei 08, saya pulangkan kembali buku itu kerana kami akan berpisah. Sukar berjumpa lagi. Maka saya pulangkan.

Pulang ke rumah, emak saya pun ada buku itu. Hadiah kawan katanya. Saya sambung baca buku milik emak pula. Sangatlah lembab bagi saya menghabiskan buku itu, walaupun ketika habis membacanya, saya rasa buku itu bagus sebenarnya. Malah meninggalkan saya dengan keinginan penuh semangat mencari jejaka seperti Fahri walaupun hati dengan yakin kata sukar. (Siapa saya untuk bersama jejaka berperwatakan Fahri sedangkan diri sendiri tidak betul? Tidak cermin diri sungguh. Huhuhu... namun ini semua adalah impak membaca novel
Ayat-ayat Cinta. Jangan salahkan saya. Salahkan penulisnya yang membuat watak Fahri terlalu hebat dan baik.)

Setahun satu buku.


Namun saya berterima kasih kepada buku-buku yang rakan-rakan hadiahkan. Kerana buku-buku itu walaupun masih ada yang belum saya habis membacanya, sudah banyak memberikan saya ilham. Novel
Ayat-ayat Cinta itu hujah saya ketika 2nd interview. Dan hasilnya saya dapat kerja yang saya lakukan sekarang. Apabila timbul soalan, "Apa buku terbaru yang kamu baca?" ketika saya di dalam bilik mesyuarat untuk diconfirmkan, saya sudah kaget. Saya nak saja jawab buku-buku yang saya murnikan, namun sudah tentulah tidak valid. Lalu saya teringat. Saya hujahkan buku hadiah dari seorang sahabat. Be Happy Without Being Perfect. Nasib baik saya pandai goreng sikit-sikit. Yang penting saya mampu keluarkan satu tajuk buku. Terima kasih semua.

Mengenang kembali adik-adik yang datang ke mana-mana aktiviti berkenaan buku - dan sangat seronok berjumpa penulis-penulis kegemaran sehingga ke tahap beli sahaja semua buku yang penulis itu tulis, entah
best, entah tidak, kalau sudah nama itu yang tertera di cover, blurb di belakang sudah tidak diendahkan, malah tidak perlu tanya penjual buku itu tentang apa, janji beli dahulu, baca dan tahu kemudian - saya jadi malu sendiri. Saya kagum pada mereka, dan saya seronok melayan mereka yang begitu teruja kerana saya akan jadi sebahagian kenangan mereka ketika membeli buku itu walaupun mungkin tidak lama. Nanti mereka lupalah wajah ini, suara ini, kakak ini. Seronok melihat mereka yang seronok bergelumang dengan buku sudah memadai.

Semoga adik-adik ini menjadi syabab yang cemerlang. (Syabab = remaja - ewah dah pandai nak guna perkataan Arab sebegini! Terima kasih kepada IKIM.fm dan tetamu undangannya, hehe.) Juga sebab pesta buku di PKNS Bangi tadi ada nama Syabab Media sebagai penganjur bersama dan buku-buku yang dipromosikan tadi perlu dibayar di booth Galeri Buku Syabab. (Jadi apa kena mengenanya? Abaikan.)

Info: Pesta Buku di PKNS Bangi ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam, sampai 15 Julai.


Antara adik-adik yang mengambil bahagian. Maaf gambar gegar sebab tangan terketar-ketar menekan kamera. Masih gemuruh kerana disuruh jadi MC secara mengejut, sebelum diganti staf senior yang lain. Lega saya. Hahaha!

Dari sekecil anak hingga sebesar bapa memunculkan diri.

Inilah superstars yang dikerumuni para peminat. Hebat!

04 July 2009

Edisi Sakit Tanpa Penyakit

Hari Sabtu yang dimulakan dengan penuh bersemangat. Ada projek baru dengan seorang jejaka yang sangat hebat, berwawasan dan berdedikasi sehingga saya begitu mengagumi beliau. Harap rancangan ini berjaya dengan penuh gilang-gemilang. Semoga berjaya!

Dan saya baru selesai edit satu cerpen. Bagus tulisannya. Al-maklumlah, ditulis oleh penulis bestseller dalam kategorinya dan juga seorang pemurni coretan manusia lain. Bagi merehatkan minda, saya menjengah blog-blog yang menunjukkan adanya entri terbaru.

Sindiket Sol-Jah yang muncul pertama.

Saya klik pada linknya.

Membaca entri dan menonton klip video yang sudah diposkan, lalu saya menurunkan muka web ke bawah. Perlahan-lahan tetikus dikuis-kuis, lalu mata saya tertancap pada himpunan buku-buku 'bawah tanah' keluaran mereka.

Kudeta.

Sajak-sajak suci.

Ganguan teksual?

Menarik bunyinya. Cover ada antena?


Saya turunkan lagi muka web. Penuh daya ingin tahu yang tinggi.

Dan roma saya berdiri tegak. Perut ada rasa mual-mual. Kepala sakit-sakit, denyut-denyut.

................

...............

..............

.............

...........

..........

.........

........

.......

......

.....

....

...

..

.

Dem la.
Mana mungkin imej ini mampu merehatkan minda saya!!!

01 July 2009

Kisah Mesin Penghentam Masa!

Saya tidak rasa sesuatu yang mengujakan hari ini. 1 Julai 2009, hari pertama syarikat tempat saya bekerja mengamalkan sistem punch card, walaupun juga sekali gus mempraktikkan sistem waktu anjal. Masuk awal, balik awal, masuk lewat, balik lewat. Tidak ada apa yang menarik. Saya tetap bangun awal seperti biasa, menjalani hiruk pikuk jalan bandar, tiba lewat namun masih dikira on time bagi sesi pukul 10, kulit pipi rasa terbakar dek kehangatan matahari yang semakin meninggi, ketiadaan parking terdekat sehingga perlu menapak jauh dan balik lewat daripada biasa. Haibat!

Selama sembilan tahun usia syarikat ini, inilah pertama kali sistem sekatan kebebasan masa pekerja a.k.a punch card diperkenalkan. Saya menolak sebarang hujah bahawa semua ini ada kebaikannya, undang-undang yang tegas itu perlu bagi menstabilkan penyelarasan dan kebebasan tidak boleh diberikan 100 peratus, nanti anak buah pijak kepala.

Saya membangkang 100 peratus.

Walaupun saya juga akan berhujah bagi pihak kerajaan. Bukan bagi pihak mereka sebenarnya, tetapi bagi ketenangan dan mencari redha hati saya sendiri.

Selama ini, tidak ada produktiviti yang merosot kerana pekerja tiba lewat. Mungkinlah ada, kata pun saya pekerja baru. Apalah yang saya tahu tentang apa yang terjadi lapan tahun sebelumnya. Tetapi saya yakin, ia tidak berlaku dalam unit saya. Itu hanya kes terpencil.

Produktiviti merosot kerana program lain, bukan kerana ketiadaan punch card. Saya benci melihat mesin dan kad warna merah kusam itu. Saya benci mendengar bunyi ia mencetak pada kad warna merah kusam itu dengan pantas. Saya benci semua berkenaan mesin durjana itu. Ia mengingatkan saya pada syarikat lama saya. Saya sangat benci! Tahu tak? Saya benci perasaan beratur untuk menghentam (punch: ikut suka sayalah mahu guna istilah apa) kad warna merah kusam itu. Saya benci kamu, mesin. Kamu mungkin lebih cantik dari mesin di syarikat lama saya, namun saya tetap terkenangkan kenangan pahit saya apabila melihat kamu!

Namun sebagai pekerja, saya pura-pura akur. Terpaksa pura-pura akur. Mungkin tidak semua pekerja ada kenangan tidak manis apabila melihat mesin itu, namun saya percaya, hampir semua tidak menyukainya. Diumpamakan seperti budak kecil yang dibenarkan makan sebiji coklat sahaja sepanjang sebulan. Rasa terkongkong, rasa tertekan, rasa tidak puas hati.

Namun sebagai pekerja, saya pura-pura akur. Eh, seperti sudah menulis ayat itu.

Baiklah, mari berhati murni. Sesi berhujah bagi pihak kerajaan.

Semua ini ada hikmahnya. (Ayat standard mula berhujah.)

Makin ramai pekerja, pihak pengurusan perlu melakukan sistem baru bagi mengawal pergerakan pekerjanya. Makin ramai pekerja, segala sistem perlu diperkemaskinikan.

Ya. Walaupun saya masih berpura-pura menerimanya sehingga ke perenggan ini, namun saya percaya, perkara ini akan berkekalan kerana syarikat tempat saya bekerja sedang berkembang maju. Demi melihat syarikat berpotensi besar ini membangun dan maju, segala sistem yang bersesuaian perlu saya dan semua pekerja fahami dan patuhi.

(Sesi motivasi) ~Saya sayang mesin itu, kerana ia membuatkan saya dan rakan-rakan sekerja saya menjadi lebih berdisiplin dan membolehkan produktiviti syarikat menaik 101 peratus.~ Ulang ayat ini empat puluh empat kali, mungkin mujarab.

Sesungguhnya menipu itu berdosa, dan menipu diri sendiri itu perit rasanya.

Saya tidak perlu menipu. Saya tidak perlu memaksa diri saya bagi menerima semua ini.

Apa yang saya perlu? Saya perlu go with the flow dan teruskan bekerja. Redha.

I love YOU!
(Bukan gambar sebenar. Hanya gambar kembarnya yang saya curi di alam maya.)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...