Showing posts with label Bebel Bisnes. Show all posts
Showing posts with label Bebel Bisnes. Show all posts

04 January 2017

Asas Bisnes: Bisnes Kecil Mindset Besar

Assalamu'alaikum.

Pada 31 Disember 2016, saya dengan kerjasama Skuad Misi PLT telah menerbitkan satu ebook berkenaan asas perniagaan kecil-kecilan. Jualan sudah dibuka sejak 1 Jan 2017.



Disasarkan kepada mereka yang baru bermula dalam bisnes kecilan ataupun yang merancang mahu memulakan bisnes kecilan.

Di bawah saya lampirkan 7 muka surat sample daripada ebook ini.









Secara keseluruhan, ebook ini panduan asas bagi yang mahu mengenali dunia bisnes kecilan dengan lebih jelas.

Ini antara feedback daripada yang sudah mendapatkan ebook ini:





Harga RM30 sahaja

Untuk belian, emelkan nama dan nombor telefon 




NOTA: Pengembalian wang (money back guarantee).akan dibuat tanpa sebarang pertanyaan kepada sesiapa yang merasakan tidak berbaloi membeli ebook ini. 


DISCLAIMER: Ebook ini tidak sesuai dibeli oleh peniaga berpengalaman. Perkongsian sangat asas dan tidak terperinci bagi tiap topik. Sesuai untuk yang baru hendak bermula dan yang baru bermula.


11 October 2016

Selalu rasa tidak cukup? Baca ini!

"AWAT SIBUK HAL ORANG??"
.
.
.
Saya tak sibuk pun siapa belum kahwin, siapa belum ada anak, siapa lepas bersalin tak kurus-kurus, siapa itu siapa ini.
.
Tapi saya sangat 'sibukkan' hati dan jiwa sendiri memikirkan masa hadapan mereka yang tidak menggali potensi sendiri, dan beranggapan dapat makan gaji hingga mati (sori kalau kebacaan keras, blame the rhymes).
.
Ada masa lapang, sibuk marathon The Walking Dead. Lepas itu Arrow, lepas itu Sayangku Kapten Mukhriz. Tiap kali marathon siap update wall, tapi tiap kali jumpa pun asyik cerita duit tak cukup, beras tak beli.
.
Dan tiap kali itulah saya berikan solusi. Cuba jual ini, dapatlah duit sesikit daripada tak ada. Cuba buat ini, dapatlah tambah pendapatan daripada tunggu hujung bulan.
.
Tapi yang saya dapat,
"Aku mana reti."
"Aku tak ada masa."
"Eee tak nak aku jual-jual ni."
"Internet aku slow, macam mana nak jual online?" - tapi ada komputer yang dibuka tiap masa kasi anak tengok Youtube.
.
Saya malas ulas hidup orang. Bukan kita tahu 24 jam cabaran dia macam mana.
.
Tapi itulah.
.
Kalau asyik update wall berjimba sana sini, marathon drama sana sini, tapi kerap kata tak ada duit, mengeluh gaji sikit, menyalahkan kerajaan, salahkan bos tak bagi bonus, salahkan suami tak cukup bagi nafkah... kena ubah balik cara penggunaan masa.
.
Time is money.
Masa itu emas.
.
Jika perlu layan drama, layanlah sejam sehari. Pilih drama yang paling menarik untuk diikuti, yang memberi inspirasi, yang beri pengalaman dan ilmu berisi.
.
Yang cerita hat pusing laki hensem perempuan lawa kahwin paksa mati kanser, buatlah ending sendiri dalam kepala. Tak perlu buang masa hangpa dok follow sampai 20 episod.
.
Selebihnya, gali potensi. Cari cara jana pendapatan sendiri, dengan kudrat dan masa sendiri.
.
Pernah rasa jual barang untung sen-sen?
Pernah rasa jual barang untung puluh-puluh?
Or even... pernah rasa jual barang?
.
Rasa dia macam mana?
.
Rasa LEGA. Rasa BERSYUKUR.
.
Syukur masa yang Allah beri, kita gunakan untuk cari duit poket, tidak meminta-minta, tidak mengeluh, tidak berburuk sangka dengan orang lain dan Pemberi Rezeki.
.
Bersyukur, kita dapat bantu selesaikan masalah orang dengan barang yang kita jual. Jika kita fokus volume, bersyukur kita dapat jual dengan harga yang tidak membebankan.
.
(Tak dapat pahala orang yang merendahkan harga dan menyesalinya. Ha ini yang Kak Ratu baca dalam buku 'Perniagaan Dalam Islam'. Nanti dah habis hadam, insya-Allah Kak Ratu kongsi.)
.
Hina ke jual barang ni?
Sampai alergi naik bulu roma bagai?
.
Bila bab menjual je, terus terbayang makcik pakai tudung tiga segi ikat bawah dagu, pakai jubah duduk tepi Petronas jual keropok ikan? Bila menjual je, macam mengemis duit dalam poket orang? Tak elegen? Tak bergaya?
.
Mana lebih hina?
.
Menghina orang yang berusaha,
atau tidak berusaha dan menghina orang lain? Teeeeeeet.
.
Menjual tak susah.
Insya-Allah. Ada banyak cara.
.
Cara paling mudah:
 Jangan bakar duit beribu-ribu kalau baru nak mula. Jangan join yang janji hibah tetap tiap bulan. Buatlah dropship, tak keluar duit langsung. Kena rajin ja.
 Atau beli barang pukal dengan modal rendah. Kak Ratu siap kongsi mana nak ambil stok, siap segala tips dalam kain. Kenanga Mall terpacak situ bukan untuk hiasan. Jalan TAR bukan melebar di situ untuk kau asyik shopping tudung penuhkan almari sendiri. Kau juallah sekali.
 Atau kalau malas berpanas di luar, berpanaslah di dalam. Ambil tempahan dan buat ikut kemampuan. Buatlah sendiri di rumah.
Contoh:
Reti buat kek.
Ambil tempahan sebiji kek dulu.
Ambil gambar, dan minta feedback.
Jual kepada siapa?
Kepada ahli keluarga,
jiran tetangga,
rakan rapat,
yakni orang terdekat.
Repeat.
Kalau memang sedap,
orang jauh pun sudi datang ambil.
Dah mula,
hebahkan.
Kalau senyap ja,
macam mana nak jual?
.
Bab dropship ni, terkilan Kak Ratu bukan sikit. Botingkek. Masa cari, ramai nak. Masa buat, hayooooh macam kita paksa pulak.
.
Malas promo.
walau dah dikasi ayat menjual.
.
Malas upload,
walau dah dikasi gambar cantik.
.
Malas layan customer,
sedangkan di situlah Allah nak salur rezeki.
.
Kalau malas,
buat apa pun tak jadi.
.
Kalau malas,
sendiri fikir kenapa duit tak mari-mari.
.
Kalau malas,
teruskan marathon siang malam.
Tapi kena happy-lah dengan pilihan sendiri.
.
Buatlah apa pun,
janji jangan mengeluh sana sini
jika kita sendiri tak reti
hargai masa yang Allah beri.
.
Yes, be yourself.
But be the better you.
.
Tak hipokrit kalau kita ubah jadi lebih baik.
.

Tips Menjual Barangan Terpakai (Online)


.
PS: Eh ada ka orang letak PS awal-awal? Anggap prescript lah gitu - Semestinya tidak menjamin akan menjadi. Ikut rezeki memasing.
.
Bismillah.
.
1. NIAT, DOA, DAN REDHA
Sekiranya puan seorang isteri, minta suami doakan kejayaan jualan. Jika tuan / cikpuan seorang anak, minta ibu doakan. Jika tiada antara duanya, minta Allah redha dan jayakan. Ini penting. Niat kena betul.
.
2. GAJI INCOMING!!
Pastikan hari buat jualan itu sama ada sehari sebelum gaji, atau waktu gaji, atau minggu gaji. Tengah bulan krik krik sikit terutamanya bila barang kita majoriti RM50 ke atas dan lebih kepada fesyen.
.
3. PILIH BARANG YANG MASIH ELOK
Yang dah koyak, pakaian dalam terpakai etc, seeloknya terus ke tong sampah. Yang ada minor defect masih boleh jual asalkan kita beritahu di mana. Yang rosak macam barang eletronik, boleh juga promo tapi buat asing. Kadang ada mekanik nak beli murah untuk depa baiki dan jual semula.
.
4. GAMBAR JELAS
Lepas dah pilih, letak setempat dan ambil gambar. Letak sekali kertas bertulis nama FB dan tarikh bagi menegaskan yang awak bukan scammer. Kemudian baru ambil gambar satu per satu. Rajin sikit naaa. Pastikan terang dan jelas. Blur, gelap, main tebar atas lantai berhabuk tu geli tau haha.
Kalau jual baju baby, shawl, atau yang kekecil dan ringan, terus buat kombo. Orang tak ralat nak bayar duit pos kalau sekali pos dapat lebih sehelai.
.
5. UPLOAD + CAPTION + HARGA + CONDITION
Dah siap gambar, mula upload. Okey ini tips Kak Ratu. Upload di FB awak saja. Pastikan album set Public dan komen pun Public. Biar sesiapa saja boleh komen situ. Sertakan sesiap harga, ukuran, kondisi barang, dan kegunaan jika perlu.
Bab harga, ini Kak Ratu nak pesan. Kalau niat kita nak kemas rumah, nak clear almari, nak cantikkan ruang yang lama bersemak, harga tu tak payahlah cekik darah. Kadang harga preloved lagi mahal daripada harga baru.
Kita bukan nak buat untung mana. Unless memang jual sebab nak beli barang lain, Kak Ratu tak boleh kata apa la. Cumanya ramai susah nak jual barang preloved disebabkan harga tak to-die-for tuuudiah.
.
6. SHARE LINK
Kenapa Kak Ratu cadangkan upload di wall? Supaya dapat kita share link album tersebut di beberapa group barangan terpakai. Ada admin yang sempoi, ada yang kena upload terus di group. Kita paste pada group sempoi dan aktif. Tak adalah tiap kali nak promote, asyik dok upload dan karang ayat.
.
7. CTA (contact to action)
Semua order berurusan di PM. Layan PM ikut turutan. Bagi Kak Ratu yang ini lebih senang berbanding alihkan bakal pembeli ke Whatsapp atau Telegram.
Aha dan satu lagi, boleh juga anggap siapa pertama komen book, dia punya. Biar depa book book book kemudian suruh PM jika serius buyer. Kenapa bukan kita yang PM? Untuk filter serius buyer VS joy buyer (yang syok book sana sini tapi tak beli pun).
.
8. BAYARAN 24 JAM
Ini paling strict yang Kak Ratu amalkan. Dah PM, dah dapat total dan nombor akaun, reservation dalam masa 24 jam sahaja. Kita beritahu pada bakal pembeli. Kalau senyap, terus open kepada orang lain tanpa notis. Tak payah sesusah dok PM "Sis dah bayar ke? Masih minat ke? Halooo anybody home??" BUANG MASA.
.
9. OFFLINE / SELF-PICKUP
Bagi yang selesa untuk stranger datang ke rumah (jika awak perempuan, pastikan ada suami / adik beradik lelaki / ayah), tetapkan satu hari yang rumah dibuka untuk ambil dan bayar. Nak tengok barang lain pun boleh. Kata yang hari itu sahaja dibuka untuk walk-in, sebab esoknya nak uruskan pengeposan online pula. Maka pembeli online dapat 24 jam, pembeli offline pun dapat 24 jam.
.
10. "SAYA SERIUS BUYER SIS, PLEASEEEE!"
Mendapat rayuan untuk tangguh bayaran hingga sekian-sekian hari?
Minta deposit untuk lock barang, atau pastikan barang tersebut ada beberapa lagi nama yang sudi untuk que-book. Jika beliau back-out, kita ada bakal pembeli lain.
.
11. DELETE KOMEN 'BOOK'
Delete komen book bagi booker yang tak jadi beli, supaya bakal pelanggan akan datang tak rasa keliru. Boleh juga delete gambar yang dah sold, atau tulis SOLD, atau alih ke album lain. Buang dari album jualan lebih elok supaya yang terlepas tak rasa frust sangat haha. Kalau nak biar situ pun okey je. Nampak meriah.
.
12. TURUN HARGA / SEDEKAH
Jika selepas beberapa tempoh ada barang yang tidak mendapat sambutan, turunkan lagi harga atau beri percuma kepada yang berminat.
.
13. SENYUMLAH TENGOK RUMAH DAH CLEAR
Senyum pun nak kena ajar ke? 👻
.
.
Yang benar,
Husna Adnan,
WAHM yang berjaya dapat RM1k
hasil jual preloved dalam masa 24 jam hihi.
Alhamdulillah, moga bermanfaat.
.

SAMPUL PRABAYAR: "KIRA BURN LAH."

(Dari status FB 24 Mei 2016)

Alkisahnya semalam nak pos barang pembeli, kami short 1 borang prabayar PL. Ini memang bukan buang sebab salah isi ke apa, semua yang kami beli diletakkan setempat di atas meja. Sangat mustahil ianya hilang.
.
Maka suami ke kaunter PL Kajang. Malangnya, tidak boleh diberi borang sebagai ganti, hanya boleh beli sampul baru dan dapat borang baru.
.
"Jadi yang saya sudah beli ini?" tanya suami.
"Kira burn lah," selamba orang kaunter jawab.
"Dah kalau masa beli itu diberi kurang, takkan saya nak burn saja? Memang short satu."
"Salah encik sebab tidak kira on the spot."
.
Haha tergelak aku. Sekarang gelaklah sambil menaip, semalam berapi juga. Kalau beli 500, 500 lah kena kira balik. Sila bersila di situ.
.
Tapi kes ini selesai baik. Suami telefon Pengurus PL dan dibenarkan ambil satu borang di PL yang kami beli sebelum ini; di PPL Bangi. Kena bawa resit.
.
Okey.
.
Faham amat. Kita letak juga diri kita dalam kasut pihak PosLaju. Memang banyak syarat terbaru depa yang kalut mengada. Prabayar pun kena timbang, sampul letak barcode, ada expired date, borang tak boleh ganti.
.
Ini semua terjadi sebab perangai sesetengah pengguna PL sendiri. Tak amanah, suka membazir, banyak songeh. Itulah sebab ada pepatah 'kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga'. Orang terdahulu dah faham amat dengan perangai orang kita.
.
Yang Kak Ratu nak kongsi ini adalah, bagaimana kita sebagai orang bisnes perlu ada back-up plan untuk risiko luar kawal.
.
= Dengan penyelesaian dalam kawalan.
.
Bila terjadi hal sebegini, perlu ada skrip untuk tidak menyalahkan pengguna. Siap dengan nada menyentap dan muka bosan, apatah lagi kan. Pengguna keluar duit untuk servis kita.
.
1) Ajar pekerja untuk menerangkan SOP baru kepada pengguna, menggunakan ayat yang betul dan nada yang baik.
.
2) Jika ada page, terangkan SOP baru di situ (saya tidak pasti pihak PL ada beritahu ataupun tidak secara public, kami memang tak tahu).
.
3) Walaupun ada masa pengguna salah, minta maaf sahaja. Ayat menyalahkan pengguna seperti dialog sebenar di atas adalah tidak anggun sama sekali.
.
4) Budi bahasa budaya kita. Mana? Kalau ada, tunjuklah. Bukan baik menyengih dengan mat salih saja. How are you sir? Gumoning.
.
Tidak semua orang bisnes sedar akan risiko terkawal VS tidak terkawal. Kena banyak praktis, dan siapkan segala perancangan yang dapat dilakukan oleh pihak kita. Mana yang dari kita, dapat dikawal. Orang lain, tidak dapat dikawal. Tetapi boleh dimanipulasi.
.
Yang paling dapat dikawal adalah emosi kita.
Dari situ, dapat manipulate emosi orang lain.
Tak dapat manipulate, senyumlah ucap sori.
Nak buek camno.
.
Husna Adnan,
Garang tapi manih U_U

30 August 2016

PBAKL 2016: Skuad Misi Buka Booth!





MODAL CIPUT: MANA NAK CARI STOK MURAH DENGAN KUANTITI SEDIKIT?

.
Raya nak dekat kan? Nak cari duit tambah untuk pulang ke kampung halaman?
.
Ini jawapan Kak Ratu seperti yang dijanjikan:
.
Kenanga Mall
.
Google je mesti jumpa.
.
Tak terperanjat?
Terperanjat?
.
Siapa tahu, tahulah. Kan Kak Ratu dah kata yang otai boleh berlalu pergi. Ini untuk yang tidak mengetahui.
.
Baju dewasa, baju kanak-kanak, tudung, minyak wangi, barang dari China, barangan umrah haji, baju Korea, baju Bangladesh, semua ada.
.
Oleh kerana Kak Ratu biasa borong pakaian, Kak Ratu kongsi fokus pakaian eh.
.
Beli tiga helai pun dah murah.
Beli sehelai pun murah tak masuk akal.
.
Nak niaga, nak beli pakai sendiri, nak beli untuk sedekah orang, nak beli tong-tong kengkawan atau ahli keluarga, di sinilah tempatnya.
.
Baju RM1, RM5, RM15, RM30 semua ada.
Yang kain bagus pun masih murah.
.
Bergantung floor mana yang kita pergi.
.
Yang murah biasanya tingkat 3, 3A, 5, 6.
.
Kalau Jalan TAR terlalu besar dan panas untuk diredahi, Kenanga Mall terlalu berpinar mata nak tengok tiap kedai tapi sejuk ekon.
.
Kalau Kenanga Mall pun kau tak mahu redah, hakak tak faham macam mana hangpa nak bersaing dengan peniaga fighter.
.
Tips dari pengalaman Kak Ratu:
.
- Jika jumpa satu barang yang best, tanya harga. Jangan terus beli. Tanya lagi berapa minima order.
.
- Jika minima order takat 3 / 6 helai, dan bukannya 15 / 20 helai (untuk pakaian), dah cukup baguih nooo.
.
- Jangan beli. Tanya lagi: Minima order itu boleh campur design, atau tak boleh. Ada kedai yang segala macam dalam kedai dia tu kau boleh campur. Lagi masyuklah beli banyak design kot nak survey pasaran.
.
Ada kedai satu design, boleh pilih warna. Ada kedai, tak boleh pilih warna. Satu design tu kalau ada 12 warna, 12 warnalah yang kau kena ambil. Hatta oren floresen hingga ke cakerawala angkasawan boleh nampak.
.
- Kalau semua okey, jangan beli. Tanya lagi. Kalau nak restock, kena ambil semua warna juga, atau 6 / 12 / 20 helai juga, atau boleh restock takat helaian yang kita perlu, dan warna yang pelanggan minta.
.
Ada kedai tak boleh kawtim. Tiap jual beli, reset balik macam tak kenal kau. Ada kedai, dia kata boleh restock takat yang kita perlu, asalkan masih simpan resit. Tanya perabih.
.
- Dah cukup maklumat, kalau puas hati, boleh beli. Kalau nak survey kedai lain, survey dulu. Buat yang sama.
.
Ada kedai sama barang, lain harga, walaupun bos sama. Di Kenanga Mall, satu bos ada banyak kedai. Ada juga yang tiap floor tu ada kedai dia. Kalau ada 8 floor, 8 lah kedai dia. Jadi jangan heran kalau barang orang sini, sama dengan orang sana. Tapi harga boleh bincang ikut staf senior.
.
.
Tip tambahan:
.
- Tanya juga sekiranya kedai tersebut ada buat group khas atau boleh PM pelanggan segala gambar dan produk terbaru.
.
Broadcast begini memudahkan kita supaya tidak perlu turun Kenanga Mall tu tiap minggu. Mana design lawa, kita book sesiap. Yang jauh, boleh minta pos.
.
Broadcast begini juga senang kalau kita nak guna balik gambar pembekal untuk survey pasaran atau ambil pre-order. Minta izin dulu.
.
.
Okey rasanya banyak dah Kak Ratu suap hangpa pagi ini. Moga kenyang dan bermanfaat.
.
Kak Ratu tak rugi kongsi perkara ini. Sebabnya tak semua akan bergerak pon. Takat nak hype tahu maklumat ja.
.
Tapi kalau dah tahu, dan ada member nak berniaga, kau kongsilah ilmu tak seberapa ni. Hakak kasi free, kau tak payahlah nak kaut untung. Orang tu baru nak berniaga, dah kena cukai dengan kau. Belum kerajaan lagi. Wooops.
.
Kak Ratu tak minta banyak. Minta doakan sambutan pembaca di booth A3015 di PBAKL, MAEPS Serdang bermula Jumaat ini, meriah dan berjalan lancar. Itu ja.
.
P/S: Peniaga yang memang ambil dari sini, jangan risau. Rezeki tiap kita Allah dah tentukan. Rezeki tiap kita Allah kata, kalau kita buat, kita dapat. Rezeki di bumi Allah ni luas, jangan berebut, jangan hasad dengki, jangan makan sorang.
.
.
Husna Adnan,
Ratu Kenanga suatu masa dulu.
Tiap pekerja situ dah macam kawan.
Layan orang bebaik, nanti depa layan hang bebaik.
Tapi sekarang mana entah depa pergi. Y_Y

Buku selfie?? Oh no!

Kes hangat berkenaan buku yang berasal dari status media sosial, dah jadi bualan tiap rakan industri.
.
Saya tiada masalah dengan buku konsep begini. Kalau dah suka, penutup botol pun kita kumpul.
.
Lagipun ia tetap status yang ditulis si penulis. Tak kacau copyright orang. Lainlah dia ambil status hakak pi jual kata ayat dia dan meraih kegemilangan.
.
.
Cuma hakak ada pendapatlah.
Pendapat krik krik.
.
Nak copy paste status tu tiada masalah. Tapi kurangkan tepek muka individu; tak kira cantik ke, hodoh ke, hensem ke, suam kuku ke apa.
.
Kalau dibuat tipografi yang besar satu muka surat dan menggabungkan font yang elok-elok ala 88 Love Life atau Kanvas Muharikah, seronok sikit nak hadap sambil mengenang nasib.
.
Kalau baca buku yang terlalu banyak selfie, hakak rasa cemas serba salah gitu. Isteri orang kan. #kbai
.
.
Jelas sekali saya bukan pembaca sasaran. Mungkin ini buku fan-service. Fangirl mungkin suka simpan dan tatap wajah beliau. Macam kau kumpul poster Shima dululah. Buat-buat lupa lettew.
.
Maka, hakak tak kutuk beliau mahupun penerbit. Mereka buat atas sebab mereka sendiri. Kos mereka sendiri. Risiko mereka sendiri.
.
Kita yang bukan pembaca sasaran, kalau tak puas hati, buat buku sendiri. Demi jaga maruah, konon tak nak letak muka sendiri, kau letaklah gambar rumput ke apa yang patut.
.
Tak tahu macam mana, contact hakak. Biar hakak uruskan dari cover, layout, ISBN, sampai ke pencetak.
.
Kau siapkan duit je.
PM sis jika berminat.

Terbitan Sulung Skuad Misi


12 April 2016

5 Tip Membina Kredibiliti Bagi Peniaga Yang Berurusan via Whatsapp



1. Gunakan gambar sendiri yang paling elok, atau logo syarikat sekiranya nombor itu nombor syarikat.
Jangan biarkan kosong, atau letak gambar anak, gambar selfie mulut senget, gambar alam sekitar, mahupun gambar juadah hari raya yang lalu.
Gambar adalah 1st impression kita kepada bakal pelanggan.
.
2. Tulis status Whatsapp dengan ayat yang mengesahkan nombor itu memang milik empunya bisnes yang pelanggan simpan.
Contoh:
Jika peniaga kain, tulis status
"Kain Murah & Berkualiti"
Jika ada website, letak url web.
.
3. Elakkan (atau jangan buat langsung) status negatif atau emo meroyan dikhianati kekasih.
"Jantan tak guna!!!"
"Kau buat aku hari ini, esok kau tunggu!"
"Bosannya. Gi mati pls. 😒"
Walhal jual kain telekung, dah terganggu emosi bakal pembeli. 'Eh betul ke idok ni nombor IG telekungkutelekungmu tu?' 😷
.
4. Mulakan menyapa bakal pelanggan dengan salam dan emoticon yang bersesuaian. Tunjukkan kemesraan walaupun sebenarnya baru bergaduh laki bini perihal siapa nak cebok anak.
Atau jika tak reti berpura-pura, balas Whatsapp hanya selepas emosi terkawal.
.
5. Gunakan panggilan yang sesuai dengan target market.
Ada target market yang hanya sesuai menggunakan panggilan formal (tuan, cikpuan, puan, encik, dato', datin). Ada juga target market yang selesa dipanggil panggilan santai (sis, kakak, bro).
Mulakan dengan panggilan formal lebih selamat. Jika pelanggan minta santai, baru kita ubah.
.
BONUS!
6. Gunakan ejaan penuh bagi mengelakkan kekeliruan. Dan dilarang keras menggunakan singkatan berbentuk nombor dalam urusan jual beli.
Penjual: "Harga promo 2 abes da wak."
Pelanggan: "Tapi saya nak 1 je."
2 = Itu, tu.
Pelanggan: "Ada lagi ke sis?"
Penjual: "6t saya PM blk."
6t: Nanti
Hakak pernah beri invois untuk dua kuantiti sampai terkejut pelanggan. Awat mahai sangat?? Sebab dia yang guna '2' = itu. Kita paham lain. Hoho.
.
Apa pun, sebagai peniaga, kita kena cool. Belakang-belakang meroyan dengan suami ke, best friend ke, anak kucing ke, depan pelanggan tetap mahu cool. Sifu kata, nak hati tisu, jangan berbisnes.
.
Oleh: Husna Adnan

5 Sebab Mengapa Sesetengah Penjual Kurang Gemar COD (Cash On Delivery):


1. Pelanggan sangka COD tiada sebarang kos, maka mahu tolak duit pos.
COD masih guna minyak, malah tol jika ada. Takat RM6, pergi balik kadang lebih daripada itu. Kalau sekampung setaman sejalan itu lain cerita.
.
2. Jimat masa?
Penjual kata jam 2 petang di Petronas.
Pembeli kata okey, otw.
Penjual tengok jam, dah 2.30 petang.
Pembeli Whatsapp, "Esok boleh ke? Saya ada satu lagi kenduri kena hadir."
Minta carut ke? Astaghfirullah.
Pembeli kata ada di rumah.
Penjual kata dalam pukul 2 sampai.
Dah sampai... segala loceng, call, Whatsapp, DM, TG, merpati, asap semua tak berkesan. Tiduq ka??
Ada juga pembeli yang on time, tapi penjual pula buat hal. Manusia, kan. Jadi, adakala COD ini tak jimatkan masa pun. Baik lagi hangpa minta pos.
.
3. Jimat tenaga?
Duduk dalam kereta berjam-jam, semata nak tunggu awak nan seorang. Kalau penjual yang kena angkut anak, kesianlah musim panas ni. Awak mungkinlah suka, sebab minta COD otw dari kenduri.
.
4. "Saya duduk Paris. Boleh ke nak COD sekarang? Nak sabun harga promo."
Ada produk, tidak berbaloi untuk dihantar sekotak saja. Atau sekeping. Atau sehelai. Atau seurat. Margin sedih. Apabila diterangkan, dikata tolak rejeki.
.
5. Dah kasi total, bawa duit tak cukup. Atau harga barang RM19, diberi RM100. Kita bukan mesin cash, sayang.
.
Apabila diadun semua ramuan di atas, sesetengah penjual lebih selesa berurusan secara pos. Tapi penjual pun kena tunjuk kredibiliti untuk buat pelanggan percaya yang barang itu confirm sampai. Ini kisah lain. Jika profile ala-ala fake / scam, memang orang minta COD je la manjang.
.

Tulisan oleh: Husna Adnan
Dibenarkan terus share.
Dilarang copy paste tanpa kredit.
Saya bertanggungjawab atas tulisan saya.

BAGAIMANA FOUNDER MENGANIAYA IMPIAN SENDIRI; FAST CASH VS BRANDING

Sewaktu menghadiri The Founder Talk tahun lalu, kami diperkenalkan dengan beberapa founder jenama tempatan yang gah di Malaysia, malah gah juga di luar negara.
Kebanyakan founder bermula dengan, "Aku menjadi founder kerana mahu menambah baik kualiti hidup orang lain, dengan membuka peluang pekerjaan." Muluk-muluk belake niatnya. Syukur.
Malangnya, akibat kesilapan sistem dan lebih berpaksikan kepada keuntungan (yang sebenarnya hanyalah keuntungan jangka pendek), ada sesetengah founder lupa apa niat asal.
.
Kesilapan-kesilapan biasa:
1) Bermula dengan kuantiti produk yang banyak. Lebur modal untuk siapkan produk sahaja.
2) Tiada bajet yang cukup untuk marketing.
3) Hire ramai stokis dan dealer, untuk buat kerja sales.
4) Tiap level ada margin berbeza.
5) Beli banyak, kos rendah, untung tinggi (sepatutnya).
6) Demi nak lajukan stok, benarkan stokis menjual direct kepada pelanggan.
7) Stokis margin tinggi, beri diskaun melampau, pelanggan musti pilih > stok laju.
8) Founder tepuk tangan, kasi stokis hadiah wang tunai, barang kemas, iPhone, percutian ke Maldives.
9) Stokis gembira.
10) Dealer bilis terkontang-kanting, perlu bersaing dengan stokis jerung.
11) Demi menghalalkan stok laju mencair, tiada kawalan harga. Jaga stokis katanya. Fast cash.
.
Heh. Kisah benar.
.
Di bawah adalah apa yang kami pelajari dari Seminar #GergasiHijau, perkongsian Cikgu Leo, founder Gel Amani. Saya tambah-tambah sikit ikut pengalaman.
.
1- Founder hire stokis: founder lead supaya stokis dapat mengurus dan membimbing team pengedar. Founder highlight nama stokis. Stokis biasanya mendapat margin sebanyak 50%, dan tidak diambil ramai. Ada yang satu negeri, satu stokis sahaja. Tugas hakiki: buat marketing, dan bimbing pengedar urus pelanggan.
2- Stokis hire pengedar: team jualan yang berurusan dengan pelanggan. Margin biasa untuk pengedar adalah 35%. Amalan baik yang diamalkan oleh stokis: buat senarai pengedar, arahkan pelanggan kepada mereka. Jika stokis mendapat pelanggan yang berminat, stokis akan bertanya lokasi pelanggan, dan berikan contact pengedar yang berhampiran.
3- Pelanggan yang mempunyai potensi menjadi tukang-bawa-mulut berkenaan kebaikan produk, dipanggil agent. Pengedar boleh memberikan diskaun sebanyak 20% kepada pelanggan yang berminat menjadi agent.
4- Agent yang perform, ditawarkan menjadi pengedar.
5- Margin besar ke, margin ciput ke, semua jual harga sama yang ditetapkan oleh founder. Jangan benarkan main harga. Buat apa saling berbunuhan? Orang nak jadi dealer / agent pun tak tempting.
6- Dah saling berbunuhan stokis vs dealer / agent, tang mana hangpa kata nak menambah baik hidup orang lain? Yang modal ciput apa cerita? (Ciput tak ciput, min order cecah riburiban ye.)
.
Apabila sudah sempurna hierarki ini, perlu ada satu lagi sistem yang wajib dibuat; yakni semua penggerak perlu mendaftar. Hatta dropship. (Saya belajar dari Tuan Safiey Ilias, founder Perlaking.)
Ini demi mengawal harga pasaran, dan mengesan siapa yang main harga, under siapa polan tersebut. HQ berhak menyaman, dan melucutkan keahlian.
Maka semua bersaing cara sihat.
Kuatkan branding, banyakkan ilmu bisnes. Bukan buang harga!
.
***
Ada dapat input berguna daripada post ini? Kongsi dengan rakan lain. Semoga ramai dapat manfaat. Demi kehidupan yang lebih berstrategi, taktikal, adil, dan harmoni. Biar orang lain kaya dengan cara salah, jangan kita menjadi salah seorang daripadanya.
Menjadi umat Islam, perlu ada 'long-term vision'. Visi jangka panjang lah terjemahnya. Iaitu; syurga.
Biar perniagaan kita, bawa kebaikan.
Bawa kita ke syurga.
Daripada Ibnu Umar, kata Rasulullah, "Ketahuilah! Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinanmu." - Sahih Bukhari.
.
Husna Adnan,
Peniaga sejak 2009.
Dah kenal banyak ragam manusia.
Pasal duit, semua halaaaaaaaal.

Gergasi Hijau 2016

19 Mac 2016, pertama kali pergi ke seminar bersama-sama.
Overall, best juga la Gergasi Hijau ni.



Meeting Roti Misi


26 Februari 2016

Berkenaan meeting di Sg. Buloh semalam. Pertemuan pertama antara Skuad Misi dan tim ABS Roti.
.
Alhamdulillah, kami mencapai kata sepakat. Insya-Allah kemunculan sulung Roti Misi adalah pada PBAKL nanti. INSYA-ALLAH. Selepas itu, akan diedarkan ke sekolah-sekolah terpilih.
.
Terima kasih Puan Reni Bt Rahmat, ABS Roti, dan ABS Prestige kerana menerima baik cadangan kami. 
.
Kenapa ABS Roti?
.
Kerana target kami sama.
.
Pelajar sekolah. 
.
Semoga kerjasama ini berjalan lancar dan diberkati Allah, amin...
.
(Gambar Roti Misi itu sekadar mock-up. Bungkusan sebenar akan diumumkan apabila siap kelak.)

Tips Dropship & Ejen

:: Post agak panjang, ternostalgia sikit. ::
.
#Dropship: untuk mereka yang tiada modal dan belum bersedia menghadapi risiko kerugian. Penjual promosikan barang tanpa perlu simpan stok. Semua belian pelanggan akan diposkan oleh HQ.
.
2011, saya aktif join dropship. Bermula dengan jualan tudung sarung dari saiz S hingga XXL, kemudian shawl-shawl pelbagai material.

.
Nampak saja sold out, sold out. Tapi sebenarnya agent lain yang chargas. Saya dok nganga ja tengok kod itu ini habis di web supplier. Tak dapat sesen pun. Tapi kena update jugak kunun sendiri jual. 😂
.
Oleh kerana tidak mendatangkan untung, saya kembali beli stok dengan modal sendiri (guna duit freelance edit & layout buku). Mula dulu jual preloved. Lepas itu beli stok beg, kerongsang, inner. Apa yang mampu dibeli dengan modal ciput.
.
Alhamdulillah, walau zaman itu tidak guna FB Ads (belum wujud atau belum peduli?), tak reti copywriting, gambar pun guna handphone cabuk... barang-barang jualan habis licin.


Saya terfikir, "Kenapa barang lain boleh jual, tapi barang dropship satu pun tak laku?"
.
"Sama je kekdahnya. Bukan preorder pun, semua ready stocks. Upload gambar, letak harga, tulis cara beli, settle."
.
Tapi bila dok fikir-fikir, ada satu beza.
.
Pengalaman. Experience.
.
Untuk stok sendiri, pengalaman memakainya, memegangnya dengan tangan sendiri hingga mampu tulis penerangan terperinci, suatu yang tiada untuk dropship.
.
Nak 'fake it to make it' sedalam-dalamnya pun rasa tak best. Tak feel. Jiwa tu tak meriah nak karang ayat.
.
Teori Robert Cialdini ada menyatakan 6 prinsip asas yang mempengaruhi manusia. Salah satunya 'sosial proof'. (Google je, mesti jumpa.)
.
Ini yang kureng. Supplier pulak zaman tu tak kasi pun testimoni mana-mana pelanggan. Penerangan produk pun ala kadar. Kita pun tak tahu benda tu penting, maka krik krik la mereput.
.
Penggal akhir 2012, saya join satu lagi dropship menjual produk kecantikan dari Korea; Tony Moly.
.
Dulu tak banyak outlet dia, kalau ada pun mahal berganda. Supplier dari Malaysia order terus dari sana, dan dapat murah. Maka kami pun jual murah sikit daripada harga kedai.
.
Kali ini berbeza.
.
Sambil promo macam biasa yakni guna gambar-gambar dari supplier dan Google, saya buat perkara-perkara di bawah supaya dapat kumpul testimoni sebagai social proof.
.

1) Jual pada ahli keluarga (mak, kakak)
Apabila pesanan untuk ahli keluarga sampai, saya tumpang sekaki guna sikit untuk dapatkan dia punya feel tu. Belek habis-habisan, ambil gambar sendiri. Gambar sendiri tu ada personal touch.

2) Jual pada kawan-kawan rapat
Waktu ini, masih tiada testimoni bergambar dari ahli keluarga sebab depa memang jenis tak gemar ambil gambar atau kasi feedback bertulis. 😒 Tapi sendiri dah rasa, dah pegang, ada gambar sendiri... konfiden ada up sikitlah.

3) Beli untuk diri sendiri

Selepas beberapa ketika, oleh kerana masih tak puas hati, saya beli untuk diri sendiri. Waktu itu, muka sendiri je la dapat dijadikan testimoni. Namun cukup untuk capture pembeli baru dan kawan-kawan. Order masuk tiap hari. 😍
.
Tapi! Ha masih ada tapi.
Cerita orang belajar sendiri, ginilah.
.
Dulu saya belum sedar betapa testimoni daripada pelanggan sedia ada itu SANGAT PENTING. Takat gitu-gitu sajalah. Ada, ada. Tak ada, tak cari.
.
Malu bertanya, sesat jualan. 😝
.
"Gathering testimonials is just a matter of asking the right people and making it part of your customer services process." - Karen McCreadie, penulis buku Low-Budget Marketing for Rookies.
.
Lantas tiba satu tempoh, order kian susut bila kita dok ulang gambar sama. Kapish. The end. Bye Tony Moly.
.
Ramadan 2014, dek kerana keletihan puasa dan berniaga di Vendeur, saya pun cuba satu produk kesihatan tempatan; jenama Ephyra. Terpengaruh dengan kecergasan dan kecantikan dutanya, haha!
.
Oleh kerana berkesan dan serasi dengan badan, saya beranikan diri menjadi agent. Modal pertama ratus-ratus. Seterusnya ribu-riban untuk penuhi permintaan.
.
Yang ni tak guna FB ads. Sepenuhnya guna IG dan sharing di FB sahaja. Alhamdulillah masih bertahan sebagai dealer sah hingga hari ini. Masih kaedah sama; banyakkan testimoni.


Dan semua ini, bermula dengan dropship.
.
Belum pernah merasa tahap parcel menggunung, tapi saya dah buat dan belajar dari pengalaman. Setakat hari ini, ini yang terbukti sesuai untuk bisnes saya. Mungkin untuk kalian juga.
.
Pendek kata:
👉 Jangan kedekut beli sendiri produk dropship tu untuk lebih yakin.
👉 Usah malu bertanya atau minta feedback pelanggan. Testimoni tu penting. HQ sayang agent yang rajin korek testimoni. 😁
👉 Kalau produk dropship tu mahal, buat research sendiri. Kalau produk kesihatan tu ada banyak kandungan, Google kandungan tu satu per satu. Apa kebaikan dia segala. Kalau jual pakaian, pergi kedai kain untuk rasa dan kenali sifat kain.
👉 Zaman sekarang, dropship ni bukan benda baru. Tak mudah nak dapat pelanggan, nak-nak terangan tulis hangpa dropship ja.
👉 Educate diri, untuk educate target market. Kena well prepared. Bila bakal prospek soal, dapat jawab dengan yakin macam benda tu bebetul depan mata.
👉 Buat apa pun, inisiatif kena ada.
.
All the best!
.
Husna Adnan,
Budak baru belajar.
Nak tunggu berjaya macam Mark Zuckerberg baru sharing, takut umur tak panjang. Rugi simpan. 👻
.
P/S: Jemput share dengan kawan-kawan yang buat dropship. 💋
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...