27 March 2010

Entri Kasi Tisu Sedikit

Tiba-tiba mahu buat entri jiwa gelodak, hati sayu.

Hari ini, hari kedua terakhir sebelum berakhirnya pesta buku esok. Hari ini dan esok, saya tidak lagi perlu bertugas, mahupun mengendalikan event. Maka saya akan datang sebagai pengunjung sahaja jika rajin.

Hari ini, saya mahu duduk di rumah, mengemas bilik yang seperti baru selesai dilanggar todak, membasuh segala macam yang boleh dibasuh, bermain dengan Si Putih yang kasihan kerana diabaikan sekian lama, membaca segala perkembangan terbaharu rakan-rakan di FB, membaca blog yang mana saya larat baca, mengemas kini mana yang patut, juga gigihkan diri membaca buku yang dapat secara percuma dan yang dibeli hingga kosong dompetku, serta sibuk memantau FB emak sendiri.
Hahaha. Memang agak sibuk.

Juga agak sibuk bagi memastikan segala buku yang mahu diberikan sebagai hadiah kepada teman-teman berjaya dibeli, supaya minggu hadapan dapatlah saya poskan semuanya. Kepada para penerima hadiah, tunggu ya. Insya-Allah, saya akan dapatkan buku-buku yang kalian inginkan itu dengan kadar segera.

(^_^)

Buat Tuan Ilham Hamdani, saya ada terfikir sesuatu. Sekiranya saya tidak mampu mengirimkan hadiah kepada tuan di Australia, ada tak sesiapa di Malaysia yang tuan mahu saya hadiahkan buku-buku itu? Hehe. Saya amat berbesar hati sekiranya saya dapat kirimkan hadiah kepadanya, bagi pihak tuan. Sekiranya ada, beritahu ya!

Berkenaan pesta buku, saya akan kemas kini kemudian. Belum habis lagi berpesta, maka adalah lebih manis sekiranya saya buat satu entri khas sempena PBAKL'10 ini.


Kepada yang belum pergi, ini suasananya.

Terima kasih kepada semua yang sudi melawat ke blog saya, meninggalkan komen di ruangan komen dan juga Salam Singgah!, yang senaraikan blog saya di blog kalian, yang letak gambar saya, yang letak gambar kita, yang letak gambar PTS dan ada saya menyibuk (hehe) dan sebagainya. Terima kasih saya ucapkan. Sokongan kalian amat saya hargai, dan ya, saya amat terharu.

Husna Adnan ini belum jadi sesiapa, namun perjalanan saya menjadi sesiapa itu begitu banyak dorongan, nasihat dan sokongan. Terima kasih semua. Saya tidak perlu letakkan nama kalian di sini, satu per satu, kerana saya tahu, setiap yang terdetik, "Oh, aku juga pernah beri sokongan kepada dia!", maka kamulah orangnya. Dari saya lahir, masuk tadika, masuk sekolah rendah, masuk sekolah menengah, masuk High School Kajang, masuk UiTM ambil diploma dan ijazah, zaman saya menganggur tidak tentu arah, zaman saya bekerja di Kota Damansara, dan seterusnya zaman saya bekerja di PTS, saya amat menghargai semuanya.

Serius.

Saya amat, amat, amat hargainya. Biarpun ada antara kita yang sudah lost contact, saya sering doakan yang terbaik. Mana yang salah, saya maafkan, mana yang tidak dapat maafkan saya, saya mohon Allah lembutkan hati kalian demi memaafkan saya.

Saya tidak suka membenci orang, dan saya harap saya tidak menjadi kebencian orang juga. Namun bukan semua hati dapat dipuaskan, maka untuk mengharap saya langsung tidak dibenci, adalah umpama menyuruh saya memakan sawi, atau lebih dikenali dengan istilah, 'mustahil'.

Saya kurang faham dengan orang yang sering benci dengan apa yang diusahakan oleh orang lain, hingga seseorang bertindak menjatuhkan orang itu, kerana sifat cemburu. Saya kurang faham. Sekiranya kita cemburu dan berusaha menjadi yang lebih baik, itu bagus. Namun jika cemburu dengan niat menjatuhkan orang lain, nak-nak yang seagama dan sebangsa, saya kurang faham. Maaflah. Boleh kata saya kurang bijak kerana kurang faham. Tak apa, saya boleh terima. Lagipun saya memang bukan pelajar cemerlang, jadi apa salahnya jika saya mengaku yang saya ada kurang faham di mana-mana.

Dan saya juga kurang faham pada ibu bapa yang tidak menyokong minat anak-anak, selama minat anak-anak itu tidak bercanggah dengan agama, juga menyebabkan dia leka hingga tiada masa hadapan.

Melukis, contohnya.

Di PTS, kami para editor yang tidak pandai melukis ini, sering terdetik, "Kalaulah saya pandai lukis, saya dah buat semua ini sendiri." Kerana buku kami lebih-lebih lagi novel remaja dan kanak-kanak, amat memerlukan ilustrator. Kadang-kadang ilustrator sedia ada sibuk dengan tugas dan kerja, maka kami akan putus akal. Jika watak utama boleh dilukis dengan bentuk epal ataupun awan, saya sudah lama buat. Namun hakikatnya, belum ada watak utama novel kami adalah epal yang bercakap. Belum ada.

Maka, kepada ibu bapa yang anaknya ada minat pada sesuatu yang tidak memudaratkan, apa salahnya beri sokongan... dunia ini luas, peluang juga luas. Sambil bekerja di bank misalnya, boleh sahaja ambil kerja freelance melukis. Asalkan mampu menepati deadline kami. Jika tidak mampu, kami pun harap pelukis sebegini fokus sahaja pada kerja makan gaji mereka. Kerja apa pun, adalah tanggungjawab, sejurus kita setuju melakukannya, maka adalah tugas kita melaksanakan pada tempoh yang ditetapkan.

Saya pernah rasa zaman melakar masa hadapan yang tidak mendapat sokongan ketua keluarga. Saya sudah rasa apa itu 'buang daerah'. Saya sudah rasa apa itu belajar tanpa sesen daripadanya. Saya sudah rasa macam-macam. Maka saya agak sedih apabila ada adik-adik ataupun sesiapa sahaja yang tidak mendapat sokongan keluarga, walhal kita tahu itu bukan sesuatu yang memudaratkan. Namun adalah dinasihatkan juga buat anak-anak yang tidak mendapat sokongan, supaya jangan bergaduh dengan ibu bapa. Mereka lebih utama. Saya juga tetap sayangkan ayah saya. (^_^)

Namun satu-satunya manusia yang tidak pernah penat menyokong saya walaupun dia juga pemegang anugerah Pengkritik Terhebat, adalah emak saya.

Saya yakin emak kawan-kawan juga antaranya insan kurniaan Allah kepada kita yang paling cantik buatannya. Hampir sempurna.

Emak saya sudah tiga kali ke booth PTS, meninjau keadaan saya. Saya? Saya baru semalam berpeluang berbuat demikian. Tetapi saya tahu, dia tiada di situ. Asalkan saya ada datang jenguk, hati saya sedikit lega.

Sepanjang pesta buku, bilik saya memang teruk. Sangat teruk. Bukan sepanjang pesta buku sahaja, namun hidup saya memang sudah tidak terurus sejak Januari. Tetapi memang kerana pesta buku, bilik saya jadi begini. Dapat salahkan pesta buku memang indah.

Tetapi sepanjang tiga bulan ini, seminggu sekali saya akan pulang dengan bilik saya kemas dan cantik.

Kerja siapa?

Emak saya. (^_^)

Dulu ada rasa kurang selesa, yalah, sudah remaja (ehem), maka kita memang kurang selesa sekiranya emak kita yang kemaskan. Saya ada minta emak saya jangan kemaskan lagi, saya akan kemas sekiranya saya ada masa, namun nampaknya, sehingga jam 10 pagi tadi, dia masih mengetuk pintu bilik saya dengan vakum di tangan. Dia ada membebel, dia ada minta buang itu ini, hati saya serba salah, namun nampaknya, dia buat kerana dia mahu buat.

Jika demam pun akan bangun kerana risaukan kain di ampaian. Padahal anak-anak ada sahaja di rumah. Saya lihat, adik lelaki saya sudah pantas mengambil bakul sekiranya hari tiba-tiba mendung, dan ambil pakaian di ampaian. Adakah dia juga sudah sedar yang emak kami sudah berumur? Orang tua (walaupun masih nampak muda dan cantik), namun begitu cergas, sering buat saya risau. Entah kenapa.

Apabila dapat gaji, dia gigih shopping sendirian, beli barang dapur untuk kami sekeluarga, angkat beg-beg plastik yang ada kalanya berat, dan di dalamnya, lebih banyak makanan yang dibeli, bukan makanan yang dia akan makan ataupun sempat makan. Memang beli untuk kami sahaja. Kadang-kadang jika emak tanya, "Yang emak beli tu, ada lagi tak?", saya harap ada kedai runcit di sebelah rumah saya. Rasa mahu lari pergi beli supaya dia dapat makan. Tetapi teruknya saya sebagai seorang anak, saya akan gantikan niat dia mahu makan itu dengan hanya teman dia tonton TV.

Emak saya jika tonton TV, memang akan ajak borak, dari hal cerita yang ditayangkan, hingga hal hidup, hal kerja, hal penulis, hal jiran. Saya jenis yang kurang ambil tahu, maka kadang-kadang saya akan dengar sahaja. Saya kurang kenal penulis-penulis selain penulis PTS One, maka nama-nama yang emak saya kata itu umpama angin lalu sahaja. Teruknya saya sebagai
seorang anak.

Dia bawa buku KKC ke pejabat. Dia cerita anaknya kerja PTS.

Saya pula lebih senang berahsia.

Saya bukan tidak hargai dia, namun menjadi anak kepada dia adalah satu cabaran. Jika orang tahu, orang akan bandingkan. Saya tidak mahu dibandingkan, kerana salah seorang akan kalah. Jadi saya simpan sendiri. Pada yang tahu, tahulah. Pada yang tidak, saya tidak uar-uarkan.

Saya tahu dia amat menyokong hidup saya, dan saya amat hargai setiap pengorbanan dia.

Maka tolong Tuhan, jangan ambil dirinya selagi saya masih belum ada insan lain yang dapat saya peluk ketika gembira, dan tumpang bahunya ketika menangis.

Dan, hari ini bukan hari lahir emak saya. Haha!

Memang tiba-tiba mahu berhati tisu.

Sayangi ibu bapa kita, sayangi adik beradik kita, sayangi anak-anak kita, sayangi rakan-rakan kita, sayangi kenalan kita, sayangi kucing kita, sayangi semua makhluk dan pencipta-Nya, nescaya kita akan tenang. Siapa tahu sesaat kemudian, dia dijemput Ilahi. Menyesal adalah perasaan yang tidak best. Seksa, tahu?

Kepada cinta-cinta hati saya, terima kasih atas segala sokongan. ='D



Walaupun tiada iras, saya tidak peduli. Kan sudah kata saya tidak pandai melukis.
Hahaha! (Siap watermark, bai.)

17 March 2010

Tulisan Secara Pukal (lagi)

Tahukah anda bahawa kuku juga terdapat pada jari kaki kita?

*Pembaca pura-pura terkejut!*

Melainkan apabila kita cuba menyepak bola di atas jalan tar tetapi hayunan kurang memberansangkan hingga jari kaki tersagat pada jalan tar itu? Adakah anda tahu?


*Sudah pening kepala kerana cuba membayangkan adegan ngeri itu.*

Okey,
fine. Tidak kelakar.

Saya sengaja mahu buat sapaan yang lain sedikit daripada biasa, kerana hari ini sudah hari Rabu.


*Pembaca sudah hilang sabar.* Apa kaitan dengan hari Rabu pula??


Okey, okey.... T__________T

Assalamualaikum, hai kawan-kawan! (^_^)v

Baiklah. Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pelawat blog ini, dan terima kasih juga buat para Rakan Budiman kerana sudah bertambah daripada kosong, menjadi satu, dua, tiga, empat, hinggalah sekarang, pada waktu entri ini ditulis, sebanyak tiga puluh lima (35) orang semuanya!


TAHNIAH!!!

Maka dengan ini, kesemua Rakan Budiman saya akan mendapat... (bunyikan paluan kompang, eh, dram di telinga masing-masing):
  • Doa! - "Ya Allah, semoga mereka dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan di dunia dan di akhirat, amin...." *muka kudus habis!*
  • Senyuman! =)
  • Kasih sayang! (^_^) Dapat rasa tak?
  • Pujian melangit! - "Kalian semua sangat cantik dan kacak, hingga hampir terbabas saya ketika memandu di jalan raya apabila mengenangkannya. Hebat!"
  • Dan sebagainya! - Ini pun boleh ke?
Yang kedua, hari ini hari terakhir saya mengemas kini blog ini sebelum saya bertungkus-lumus menyiapkan segala persiapan pesta buku dan berpesta buku. Ya, berpesta ya. @___@ Tahun lepas saya kurang dikenali, maka boleh buat perangai. Namun tahun ini saya agak terkenal, maka perlu bersopan-santun sentiasa. Tidak begitu berpestalah nampak gayanya. Hahaha! Apa? Ada pembaca yang pengsan secara tiba-tiba akibat membaca perenggan ini?

Yang ketiga (mengabaikan pembaca yang pengsan), alhamdulillah, satu lagi produk baharu PTS One bakal terbit kelak. Sama ada pada penghujung pesta buku ataupun selepas pesta buku, buku ini tetap akan berada di pasaran.

Buku apa itu?


Memperkenalkan...!


Kisah Si Puteri - Riang Ria Dunia Persahabatan

*Tepuk tepuk tepuk*


Inilah dia produk pertama yakni anak sulung merangkap cucu pertama PTS One (???) yakni produk hebat daripada unit baharu PTS One iaitu PTS One Kids! (^o^)
Wooohooo!!!


Kan sudah kata kami akan mengganas.... (~~,') ganas ke?

Selepas menakluk penduduk bumi Malaysia dengan kategori Young Readers, Teen Boys & Girls dan juga Syok!, kami pasti berusaha menakluk kalian dengan PELIT dan juga PTS One Kids! Marilah menyokong PTS One!


Hore!!!

Yang keempat, berkenaan soalan kuiz pada entri sebelum ini. Hahaha! Terima kasih kepada semua yang menjawab iaitu Shukri, Ismail, Tuan Ilham Hamdani dan Kyrel. Memandangkan hanya seorang yang menjawab dengan tepat, maka jika diikutkan syarat di bawah, hanya seorang sahajalah yang mendapat hadiahnya. Miahahaha!

Namun...

Tuan Ilham, tuan berada di
Canberra, Australia... bagaimana saya mahu poskan hadiahnya ke sana...? T_______T Maafkan saya... boleh tuntut sekiranya tuan pulang ke Malaysia kelak.

Ya! Jawapannya... saya terpedaya dengan jurujual itu.... T___________T

Saya beli bukan kerana saya risau untuk menjadi si tua, tetapi saya cuma mahu mencuba sahaja. Hahahaha! Walaupun saya memang seorang yang setia (Ismail, sila alert dengan ejaan ini), namun perubahan itu perlu. Saya sudah menjadi wanita sekarang. Sila berikan saya hadiah kerana boleh menyahut apabila mendengar Rossa menyanyikan lagu Hey Ladies.

Kepada Shukri, Ismail dan Kyrel, sebagai tanda penghargaan, saya tetap berikan kalian hadiah atas usaha menjawab. (^_^) Boleh senaraikan tiga buku PTS yang mahu saya belanja kalian. Tarikh tutup menyenaraikannya adalah tiga saat daripada sekarang!

Hahaha! Tak adalah. Gurau saja. Jangan paniks. Sila e-melkan kepada saya senarai buku dan alamat rumah kalian kepada saya. Saya akan poskan dengan gembira! (^____^)v Yeah!

Kelima, jika kalian membaca ruang Salam Singgah! saya, pasti
kalian mendapat tahu bahawa saya... ya... saya sudah ditag oleh si cantik manis yang bernama Nurul Ain.... T__________T Terima kasih ya cik adik kerana sudi tag saya dengan soalan yang sangat manis belaka itu... Wowowo... adakah dunia ini adil? T____________T Hahaha!

Oleh kerana entri ini adalah tulisan secara pukal memandang saya mungkin agak sibuk bagi mengemas kini selepas ini kerana pesta buku, maka saya jawab di sini dengan tajuk kecil sahaja ya? Harap Cik Nurul Ain berpuas hati.

Terimalah!
(^_^)


* * *


SEPULUH

Cara-cara:
Copy tajuk entri “sepuluh” dan paste di post anda.
Anda dikehendaki untuk menjawab sepuluh soalan di bawah dengan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.


[#1] Siapakah diri anda di rumah?

Anak seorang mak cik yang cantik, adik yang diabaikan dan kakak yang tidak diendahkan.


[#2] Siapakah diri anda disamping rakan?

Seorang rakan juga.


[#3] 5 benda yang anda idamkan tetapi masih belum tercapai.

  1. KPI unit mencapai target setiap bulan.
  2. Bonus penggal ini. Belum tercapai kerana belum habis penggal, maka tidak tahu sama ada layak ataupun tidak meraih bonus dengan hilai tawa. T______T
  3. Ketinggian bertambah beberapa cm lagi. Berilah daku peluang....
  4. Syurga. Harap tercapai.
  5. Keluarga yang bahagia bersama suami tercinta dan anak-anak tersayang serta seekor ikan yang diberi nama Hamtaro.
·
[#4] Siapakah nama pasangan anda?

Biarlah rahsia. Tidak, tidak. Bukan Datuk K. T_________T

Baiklah, mari saya beritahu.

Namanya Edward Cullen. Sekian.


[#5] Ceritakan 5 perkara yang anda paling suka tentang pasangan anda.

  1. Kelakar. Ya, Edward memang kelakar walaupun selalu bertindak macho dengan senyuman senget dan berpeluk tubuh.
  2. Bijak bistari. Dia pandai memanjat pokok sambil bercakap dengan tenang.
  3. Kacak. Oh....
  4. Baik hati dan mulia. Dia tidak sampai hati menjadikan orang lain vampire juga. Memang baik sangat.
  5. Peramah. Edward memang nampak pendiam, tetapi dia bijak memanjangkan perbualan dengan bertanya khabar, dan bertanya sama ada saya sudah makan ataupun tidak.
Aik? Ada pembaca yang pengsan lagi? Cuaca panas sangat agaknya... hmm... kasihan... minum air banyak sedikit ya!!!

·
[#6] Bila tarikh anda couple?

Bila ya Twilight mula ditayangkan? Lupalah.


[#7] Apakah kenangan pahit anda bersama pasangan anda?


Tidak ada. Semuanya manis belaka, kecuali sewaktu dia bersama Bella. Itu memang melampau!


[#8] Lagu tema cinta anda?

Lagu ini rasanya. Bella memang tidak mampu membuatkan dia senyum. Saya sahaja yang mampu. Boleh pasang lagu Aizat - Hanya Kau Yang Mampu beramai-ramai sekarang.


[#9] Apa perubahan yang ingin anda lihat dari pasangan anda.

Semoga dia menjadi manusia yang semakin penyayang. Dia kan vampire. T______T


[#10] Tag 10 rakan ada yang lain.

Saya tidak tahu mahu tag siapa. Jacob pasti sudah berkecil hati kerana saya memuji Edward. Hmm... maka saya tag sesiapa sahajalah ya.

1 - 10) Sesiapa sahaja.

* * *

"Alhamdulillah... terima kasih Katy Peri kerana menjawabkan untuk saya."

*Membaca semula tag yang dijawab oleh Katy Peri.*

WAH!!! Miang juga perempuan ini!

Maaflah, Ain. Saya sedikit sibuk tadi. Saya upah Katy supaya menjawabkan untuk saya... begini pula balasannya selepas saya membelanja beliau mi sup. T______________T

Key backspace saya pula missing in action. T________T Mungkin dilarikan serigala. Maaf ya? Harap berpuas hati dengan jawapan yang sudah tertera. Wowowo.


* * *

Baiklah! Sudah masanya saya masuk tidur! Esok, lusa dan hari kemudiannya adalah hari-hari yang mencabar! Perlu berusaha ya semua!!!


Semoga dapat berjumpa
di Pesta Buku Antarabangsa
Kuala Lumpur '10!



Bye
semua! Jaga diri baik-baik!!! (^O^)

P/S: Kepada sesiapa yang perasan, ruangan komen pada entri-entri saya yang terdahulu sudah kosong, kering kontang, sunyi sepi, hilang dibawa angin dan sebagainya. Maafkan saya... saya juga tidak tahu kenapa semua ini terjadi... saya tidak delete mereka ya. T________T

13 March 2010

Ia sudah muncul!!! (^o^)

Hai hai hai! Salam semua! Apa khabar? (^_^)v

Alhamdulillah, pada hari ini (waktu ini sudah dikira semalamlah ya), kami di PTS One amat gembira apabila tiga lagi buku sempena PBAKL' 10 sudah tiba di stor PTS. Memang seronok habislah, sampai geng-geng PTS One turun ke Mezzanine (tingkat pertama yang menempatkan Millennia, Islamika, Litera dan grafik) bagi meriuhkan suasana dengan mengambil gambar menggunakan Mac milik jejaka bernama Poji, hingga melenyapkan ketenteraman warga Mezzanine buat seketika. Maafkan kami, dan juga saya sebagai penghasut terkemuka.

Maka lahirlah gambar seperti di bawah:

Ini semua adalah geng PTS One, tanpa Abang Jimi.
Dia sudah bertukar menjadi cover. Kasihan....

Sebenarnya ada beberapa gambar yang lebih ramai makhluknya, bermaksud lebih meriah dan kepoh nampak gayanya, namun semua sudah menjadi entiti kurang dikenal pasti kerana begitu galak bergerak-gerak. T____________T

Walau bagaimanapun, TAHNIAH! buat semua kerana PELIT kita sudah muncul, diiringi buku remaja yang dikendalikan oleh editor iras Lisa Surihani dengan adunan Jessica Alba sedikit yang bertajuk Siapa Lebih Popular? karya Nurul Zahidah. Sebagai info, Nurul Zahidah ini baru berusia 16 tahun, dan kini menyambung pelajaran di MRSM. Hebat tak? Bukunya memang best! Ini serius. Saya tabik spring: kita-ditakdirkan-jatuh cinta buat beliau! (^_^)

Dari pihak saya, tinggal satu debaran sahaja. Sebuah lagi buku penting yang nasibnya kini di tangan pencetak. Saya harap buku itu selamat dicetak dan dihantar ke stor PTS. Saya akan menjadi manusia paling gembira hingga mahu mendendangkan lagu ini di hadapan jutaan penduduk bumi dan melemparkan jutaan bunga mawar buat semua yang hadir apabila melihat buku itu di stor dengan sempurna! Bukan patutnya melakukan sujud syukur ke, cik? (~~,') Err.... Marilah join saya mendoakan agar buku itu tiada masalah, amin...

Selain daripada itu, sedarkah kawan-kawan yang PBAKL' 10 tinggal seminggu sahaja lagi? Jumaat minggu hadapan sudah bermula pesta yang dinanti-nantikan oleh peminat buku itu! Sudahkah kawan-kawan tahu buku apa yang mahu dibeli? Sudahkah kawan-kawan bina perancangan bersama rakan-rakan untuk ke PWTC pada tarikh tertentu? Sekiranya belum, layari website PTS dan microsite PTS bagi melihat judul buku dan jadual aktiviti kami. Ini jadual PTS sahaja. Jadual kelas 3 Mawar tiada di situ ya. Baik. Abaikan.

Oh! Menyebut berkenaan kelas 3 Mawar, terus teringat zaman sekolah. Kemudian, terus teringat adik-adik kita yang baru mendapat keputusan SPM. (Sila dalami setiap kronologi ini dalam usaha saya menyempang secara halus daripada cerita asal.) Harap semua calon SPM 2009 bersedia menghadapi kehidupan yang lebih menarik! Bersemangat ya! (^o^)

Mengenang zaman itu, SPM saya biasa-biasa sahaja, namun okeylah. Isi borang UPU pun main-main, kerana sangka mahu ambil STPM, atas desakan (padam) kerahan (padam) unjuran keluarga. Ya, namun saya turuti unjuran keluarga dengan penuh keikhlasan, kerana waktu itu saya sendiri kurang pasti dengan hala tuju saya.... T_________T wowowowo.

Sebulan lebih sahaja bergelar pelajar lower six, sebelum menerima surat tawaran ke UiTM. Surat keramat itulah permulaan segala-galanya. Yang paling best, tidak perlu memakai baju seragam lagi... hahaha! Saya paling tidak suka memakai pakaian seragam sekolah. Saya tidak gemar berbaju kurung sebenarnya. Hehehe. Para gadis, sila jangan contohi sikap ini.

Hidup di kampus adalah sangat menarik. Tetapi perlu pandai jaga diri, dan waktu inilah menjadi lebih bijak daripada Albert Einstein dalam memilih kawan kerana mereka mampu membawa 1001 pengaruh dalam perjalanan kita menggenggam diploma dan seterusnya ijazah.

Albert Einstein: Kenapa dalam banyak-banyak manusia, aku juga yang dijadikan perbandingan? T______T

Husna Adnan: Oh! Maaflah, uncle. Bye!


Sangat rindu ya zaman belajar. Namun tidaklah begitu rindu, kerana zaman bekerja ini lebih menarik nampaknya. Saya bekerja sambil belajar melalui manusia di sekeliling saya. (Sebenarnya seorang yang sangat takut pada ujian dan peperiksaan, hahaha!)

Namun tidak perlu takut pada ujian dan peperiksaan. Hadapi sahaja dengan tenang. Walaupun saya selalu takut, namun saya sangat teruja apabila tiba hari yang membolehkan kita memeriksa keputusan secara online itu. Memang sikap yang pelik, kerana usaha dan keterujaan tidak selari, namun saya tetap seronok! Wahaha! =D

Oh! Saya perlu berhenti mengimbau kenangan zaman muda, kerana mengimbau semua ini semakin mengingatkan saya pada satu insiden ketika saya sedang membeli-belah di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di area sini
(ewah! terkemuka kau, tak tahan) beberapa hari yang lalu.

Saya berjalan menyelusuri rak-rak yang dipecahkan mengikut keperluan produk. Saya mencari pelembap muka kerana pelembap muka yang sering melembapkan kulit bayi saya ini sudah hampir habis. Sebelum ini pernah berusaha mencari jenama yang sama, tetapi kecundang. Tiba-tiba, jumpa juga akhirnya! Namun saiznya agak kecil. Maka saya berjalan lagi, dan menggenggam pelembap muka itu menyelusuri rak-rak lain, mana tahu ada yang lebih besar saiznya. Lama sedikit ia bertahan.

Tidak lama kemudian, seorang jurujual berbangsa Cina merapati saya. Wajahnya tersenyum manis.

"Ya miss. Mahu cari apa?" sapanya dengan agak ramah.

"Oh, tak apa. Sudah jumpa," balas saya sambil mengangkat pelembap muka yang digenggam erat, umpama ada beberapa gadis berkulit kering cuba merampasnya dari tangan saya.

"You beli untuk siapa?" tanya jurujual itu dengan wajah yang sudah kurang manisnya.

"Err... untuk sayalah," jawab saya dengan senyuman keyakinan, walaupun dalam hati agak keliru dengan pertanyaan itu.

"Miss, kalau untuk you, you sudah tidak boleh pakai produk ini. Ini untuk budak sekolah sahaja. Kalau untuk you, I suggest you pakai ini. (sambil menunjuk satu produk yang tidak pernah saya pandang sebelum ini.) Ini memang untuk wanita dewasa macam you, kerana dalam krim ini, ada formula anti penuaan. Yang itu, tiada."

T_________________________T

Sekian.

Persoalan: Adakah saya membeli produk yang dicadangkan oleh beliau, ataupun teguh dengan pelembap muka yang sudah bertahun-tahun digunakan itu?

Tiga tekaan tepat yang pertama akan mendapat hadiah misteri, dan sudah tentulah produk keluaran PTS. Boleh jadi produk PTS One, boleh jadi produk PTS Millennia, boleh jadi produk PTS Pro, boleh jadi lebih daripada satu, macam-macam boleh jadilah!

Seorang boleh teka sekali sahaja di ruang komen di bawah kerana ini terlalu senang. Menarik bukan? (^^',) Hahaha! Itupun jika ada yang mahu tekalah.

Apalah kisah saya yang semakin tua ini dijadikan kuiz pula? Huhu. T_____T

Baiklah! Selamat berhujung minggu semua!

Jaga diri baik-baik ya! Bye bye! (^_^)

07 March 2010

♥ PELIT ♥

Assalamualaikum, hai kawan-kawan! :love:

Apa khabar? Harap semua pengunjung blog ini sihat dan ceria sentiasa.


Maaflah kerana saya meninggalkan kalian agak lama. Saya berada di US sepanjang minggu lepas kerana melakukan pembedahan menambah ketinggian.


Silalah percaya jika rajin. T______T


Namun kini saya sudah kembali! Yeah! (^_^)v


Baiklah. Saya teruskan entri kali ini tanpa perlu merepek panjang kerana tajuk sudah tiada kejutan.


Atas permintaan ramai... saya mempersembahkan entri berkenaan...


*tepuk tepuk tepuk*

PELIT
, adalah singkatan bagi 'PErsonal LITerature' yang bermaksud, jurnal peribadi. Genre penulisan dengan brand PELIT ini sudah lama popular di Indonesia, lalu PTS One mengikut jejak langkah penerbit di sana bagi menerbitkan PELIT daripada para pengarang tempatan yang berbakat pula!

Secara asasnya, tulisan bagi kategori ini seperti penulisan diari ataupun blog. Memang ramai yang berbakat menulis sebegini, bukan? Sudah rasa ada pembaca yang tersenyum-senyum. He he he.

Di bawah adalah ciri-ciri PELIT:
  • Watak utama – perempuan ataupun lelaki (kanak-kanak/remaja/awal dewasa)
  • Tulisan berbentuk diari; catatan peribadi berkenaan kehidupan dan sebagainya
  • Menggunakan kata ganti diri pertama (aku/saya)
  • Penerapan unsur syariah (ini sudah tentu!)
  • Bahasa Melayu Tinggi (ini juga sudah tentulah, baby!)
  • Ada unsur humor (sama seperti genre SYOK!)
Ini pula formatnya:

Font
Times New Roman
Saiz
12
Line Spacing
Double Spacing
Saiz kertas
A4
Halaman
100 - 120

Setiap perenggan, tidak perlu buatkan spacing ya? Terus sahaja menulis dan hanya buat spacing antara perenggan apabila memasuki bab lain. Maka 100-120 halaman itu dikira sebegitu. Sekiranya setiap satu perenggan ada spacing, selepas kami buang spacing itu, tiba-tiba halaman tinggal 50 sahaja, kawan-kawan perlu tambah baki 50 itu ya? (^_^)

Senang cerita, PELIT ini tulis sahaja apa yang kita mahu tulis, asalkan sesuai dengan ciri-ciri di atas, selari dengan prinsip PTS dan ada moral. Sekiranya tulis kisah hidup seseorang dengan mendatar, tanpa apa-apa nilai tambah yang menarik, itu adalah PELIK ya... T_______T Siapa mahu beli?

Ha... sudah berminat?


Kepada yang berminat menulis PELIT bersama PTS One, marilah ikuti tiga langkah mudah di bawah:

Langkah 1:
Tulis sinopsis keseluruhan cerita. Tidak melebihi satu muka surat adalah sangat afdhal ya kawan-kawan.

Langkah 2: Berikan kami contoh bab (satu ataupun dua), mana-mana bab yang sudah dikarang oleh kawan-kawan.

Langkah 3:
E-melkan kepada kami di ptsone@pts.com.my.

Mudah, bukan?
(^_^)

Oh? Ada yang belum dapat tangkap?

Baiklah, baiklah.

Jangan bimbang, sayang. Simpanlah kembali garfu itu di dapur.

Sebagai contoh, marilah dapatkan dua produk baharu PTS One dalam kategori ini bermula pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010,19 Mac hingga 28 Mac kelak. Dua produk PELIT ini mampu memberikan kawan-kawan gambaran yang lebih jelas. Siapa tahu, dengan membaca kedua-dua buku ini, kawan-kawan mendapat lebih banyak idea yang lebih menarik dan lebih kreatif pula! Berapa banyak 'lebih' da... (~~,')



Diari Si Ratu Air Mata
Natasha Effyzal
(Penulis comel Sekolah Kampung?, Sekolah Menengah?,
Tempat Kedua? dan Tempat Pertama?)


Diari Mat Despatch
Bahruddin Bekri
(Penulis terhebat kategori SYOK! - Doa Untuk Aku,
Kita Hanya di Seberang Jalan, Puisi Untuk Nadina dan banyak lagi!)

Baiklah! Harap entri ini membantu kawan-kawan bagi mengenali apa itu PELIT. Kita berjumpa pada entri akan datang ya! Saya perlu memenuhi beberapa undangan menjadi model busana Muslimah. Yalah. Tinggi sudah bertambah, mustahil saya mahu menolak pula, bukan?

Jumpa lagi!!! \(^o^)/ Bye bye!

OH! NANTI DAHULU!

PTS ONE AKAN MUNCUL DENGAN
BEBERAPA KATEGORI BAHARU KELAK!

Selepas PELIT, apa pula?

Nantikan kemunculannya apabila ia mahu muncul. T____T

KAMI AKAN MENGGANAS!

Muahahaha!

Okey, okey. Bye.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...