26 September 2009

Cabaran!

* Mengekalkan berat badan juga satu cabaran.

Assalamualaikum, hai semua!


Khamis lepas berlangsunglah konvoi saya bersama rakan-rakan. Seronok! Walaupun tidak ramai yang ikut serta, kami memang seronok. Bertukar-tukar cerita, bergosip. Hehe! Enam buah rumah, tidak termasuk rumah sendiri. Rumah terakhir tidak sempat pergi, kerana ada amanah bonda yang perlu saya selesaikan. Ewah.

Orangnya tidak ramai. Mula-mula hanya empat orang, kemudian lima, kemudian jadi lapan, kemudian jadi sembilan. Sembilan, termasuk rakan kepada rakan yang berasal dari Yemen. Mula-mula saya sangka dia tidak pandai berbahasa Melayu kerana asyik cakap bahasa Inggeris, rupa-rupanya dia boleh berbahasa Melayu sedikit-sedikit. Mungkin juga dia faham. Enam tahun duduk di Malaysia. Oh tiba-tiba rasa malu sebab rasanya banyak juga saya menyakat warga asing ini. Hehehe.

Tetapi dalam banyak-banyak rumah, ada satu yang paling terkesan dalam hati. Rumah rakan kami di taman perumahan lama saya. Siapa yang pergi, anda tahu siapa yang saya maksudkan.

Keluarga rakan kami itu memang sangat mengagumkan. Dari dulu, sehingga sekarang, tidak pernah berubah. Masih peramah dan baik. Rakan kami itu memang sedia comel, tetapi sederhana. Penampilannya sentiasa biasa, kadang-kadang sampai rasa nak tolong betulkan tudungnya. Haha! Tapi dia tetap seorang yang riang, walaupun malu-malu. Keluarganya, dari ayah sehingga ke dirinya sendiri, memang baik hati. Sangat baik hati. Dia mempunyai ibu bapa yang sangat supportive, loving, kelakar, dan paling penting, berilmu dunia akhirat.

Banyak yang emak dan ayah rakan kami itu kongsi dengan kami. Saya dengar satu per satu, dan tipu sekiranya tidak terkesan dalam hati. Rakan kami berhenti kerja kerana mahu berniaga. Berniaga ice-blended bagi meneruskan usaha abangnya.
Abangnya juga berhenti kerja yang bagus kerana mahu berniaga.

Ada mentaliti masyarakat kita, apabila berniaga, orang yang berniaga itu berniaga kerana tidak diterima bekerja oleh mana-mana syarikat. Orang berniaga itu lulusan kampung. Habis sekolah ataupun tidak agaknya. Tidak mungkin tidak, pasti ada yang mengatakan mereka keluarga yang gila. Emaknya pun pencen awal.

Hakikatnya, mereka adik beradik, berkelulusan tinggi. Ada diploma, ada ijazah. Jualan ice-blended mereka sangat menguntungkan. Lebih untung daripada kerja dengan orang. Kerja makan gaji. Emaknya pencen awal kerana terlalu sibuk sehingga bimbang keluarga terabai.

Memang insan-insan yang mengagumkan.

Rakan kami itu berniaga dengan lori putih, seperti yang digunakan mamak jual rojak tepi jalan itu. Malah, dia yang pandu sendiri lori itu dari satu lokasi ke satu lokasi. Perempuan. 24 tahun. Sebaya.

Seorang yang hebat dan mengagumkan.

Ketika ayahnya bertanya pekerjaan kami seorang demi seorang, boleh rasa betapa jauhnya pandangan ayahnya berkenaan kerjaya kami. Setiap daripada kami mendapat pandangannya. Kerjaya saya, editor buku. Ayahnya memberikan cadangan, yang mana, cadangan itu boleh dijadikan side income saya. Tetapi cadangan itu sebenarnya, adalah satu pukulan kerana saya pernah melakukannya.

Menjadi graduan komunikasi UiTM, memang banyak kelebihan. Lebih-lebih lagi apabila menjadi graduan penerbitan. Saya belajar banyak perkara, yang sememangnya mampu menjadikan saya kaya pada hari ini. Tetapi silap saya, saya tidak terus berbuat.

Dulu saya memang pernah ambil upah menterjemah. Zaman belajar. Ketika itu, klien saya sendiri ialah pelajar. Mana mungkin mampu mendapat beratus ringgit.

Dulu juga saya pernah ambil upah menaip.

Juga pernah ambil upah membuat kad raya dan kad majlis pertunangan.

Pernah membuat suntingan kerja luar.

Pernah ambil upah cari mutiara kata dalam sesebuah buku.

Dulu juga pernah ambil upah lipat baju, tahu? (Ini bukan diajar di UiTM.)

Zaman belajar dulu, memang macam-macam kerja saya buat untuk hidup.

Tetapi sekarang, sudah tidak. Kurang ada masa melayan kerja luar. Alasankah?

"Dalam hidup, tidak ada masalah. Hanya ada cabaran."

Mendengar bait-bait kata emak rakan kami itu, buat saya berfikir semula. Kurang ada masa adalah cabaran saya sekiranya mahu kukuh dalam hidup, bukan sekadar sebagai pekerja, tetapi sebagai insan berjaya. Orang lain boleh berjaya, mengapa saya tidak? Saya hanyalah pekerja kerdil dalam sebuah syarikat yang boleh dikategorikan gah. Ini pun, masih ramai yang tidak mengenali apa itu PTS. Ramai yang bertanya saya bekerja di mana. Pada mereka yang memang dalam industri ini, akan tahu. Tetapi yang luar daripada industri ini, ada yang tahu, ada yang tidak. Cabaran.

"Mak cik bangga dengan anak-anak mak cik. Ini memang mak cik akan cakap."

Mendengar lagi apa yang diperkatakan oleh emak rakan kami itu, memberikan saya satu semangat. Hohoho! Saya memang tidak ada perancangan untuk berkahwin. Saya sendiri belum pasti siapa nakhoda saya. Tetapi yang pasti, apabila saya sudah dalam alam itu kelak, saya mahu menjadi seperti emak rakan saya itu, dengan kocakan peribadi emak saya sendiri. Mahu menjadi yang terbaik buat anak-anak saya.

For them, I want to be a cheerleader.

For myself, I am my own stricker.

Mereka perlu dilatih menjadi stricker hidup mereka sendiri. Latih, bukan bentuk. Bentuk itu ada jisimnya. Latih lebih meluas. Keputusan untuk menjadi apa, keputusan mereka. Saya pasti akan menyokong, selama mana keputusan itu tidak menjahanamkan diri mereka.

Kesalahan ibu bapa: memaksa anak menjadi apa yang mereka (ibu bapa) diidamkan. Ada anak yang mampu dan mahu mengikut impian ibu bapa mereka. Ini tidak perlu difikirkan. Yang perlu difikirkan, anak yang tidak mampu ataupun tidak mahu menjadi seperti apa yang diidamkan oleh ibu bapa mereka. Anak ini lebih tertekan tanpa sokongan. Walaupun anak ini berjaya dengan jalan yang dia pilih, biasanya kejayaan itu ditanam-tanam jauh ke pasak bumi. Senyap seribu bahasa. Kejayaan anak orang, dijulang-julang sampai ke bintang.

Rasa terkesan dengan apa yang dikatakan oleh emak dan ayah rakan saya itu. Sememangnya kejayaan dipupuk di rumah. Rumah itu permulaannya. Keluarga itu pemangkinnya. Tidaklah perlu memuji anak berguni-guni, tetapi sokongan itu sangat memberi kesan. Sangat berbeza 'produk' yang dilahirkan dengan kasih sayang, dididik dengan kesungguhan, dibelai dengan ketabahan, dikemaskan dengan ilmu Allah.

Namun saya ada pesanan secara peribadi. Kepada yang tidak dilahirkan dalam keluarga yang sempurna, tidak bahagia seperti keluarga lain, janganlah merosakkan diri sebagai tanda protes. Hidup yang kamu rosakkan itu hidup kamu. Sekiranya nasib kita tidak sebaik nasib orang, kita teruskan hidup kerana mahu membaikinya. Bukan menambahkan lagi kerosakan sedia ada. Saya tidak setuju dengan anak-anak muda yang malas belajar, menjadi penagih, menjadi rempit, menjadi pencuri, menjadi pelacur, menjadi segala macam sampah masyarakat kerana alasannya keluarga mereka tidak bahagia. Tidak mungkin kita mahu memberikan pengalaman yang sama kepada anak-anak kita pula. Kita sudah rasa sakitnya, mengapa mahu seksa anak yang tidak tahu apa-apa?

Zaman-zaman muda ini, memang seronok protes itu ini. Tetapi percayalah, apabila sudah tua kelak, ah tidak perlulah sehingga tua, tunggulah apabila sudah berkeluarga kelak, kamu akan tahu bagaimana susahnya hendak hidup. Berkahwin memang seronok, tetapi disusuli tanggungjawab. Anak-anak. Ketika itu hendak menyesal pun tidak berguna.

Ada kemampuan dan peluang untuk belajar, belajarlah. Jangan malas. Ada orang yang mahu belajar tetapi tidak mampu. Percayalah, dik. Ewah, aku bercakap dengan siapa entah? Saya sedang menyaksikan seorang insan yang dahulunya sangat malas belajar, belum berkahwin pun lagi, tetapi sudah mengeluh kerana nasibnya sekarang. Siap menyalahkan ibu bapa kerana tidak memaksanya belajar rajin-rajin dahulu. Berbilah rotan patah memukul, ada hati menyalahkan orang. Mempunyai kelulusan tinggi, sijil bercop ataupun tidak, itu cerita lain. Yang penting, ada ilmu.

Hmm... memang raya yang berfaedah. Saya kalau cerita isu keluarga, memang agak emosi sedikit. Hahaha maaflah ya. Saya antara yang mahu mengubah nasib sendiri. Keluarga saya bukan yang terbaik, tetapi saya tetap sayang keluarga saya.

Dalam entri ini, kawan-kawan menjadi saksi betapa saya mahu menjadi itu dan ini.
Apabila kita hendak berbuat, memang macam-macam cabaran akan timbul. Mulai hari ini, kita jangan guna perkataan 'masalah'. Kita guna 'cabaran'. Okey? Masalah itu kedengaran negatif, maka kita juga akan hilang semangat. Oh, saya harap saya mampu.

Baiklah, semoga kebaikan raya saya dapat dikongsi dengan kawan-kawan. Raya setiap hari ke rumah orang tetapi tidak mendapat kebaikan, apalah gunanya. Baik berhari raya sehari sahaja tetapi ada intipati. Hahahaha! Ayat orang dengki ni, maaf zahir dan batin. Hehehe. La... saya gurau je la. Janganlah terasa hati. Dah, dah, lap air mata.

Sehingga berjumpa lagi! Selamat hari raya dan jaga diri (serta berat badan) baik-baik ya! Wassalam. Eh serius tau. Saya gurau je untuk perenggan atas ni. Sorry... sorry. Tapi tak nak pula delete. Wahahaha!

P/S: Saya bukanlah orang baik, mahupun yang terbaik. Sekadar berkongsi pandangan.

14 comments:

Zamri Mohamad said...

Saya mula-mula terkejut, apabila membaca ayat ini For myself, I am my own stricker.

Kerana saya membaca dengan bayangan ayat ini, For myself, I am my own sticker.

----

"Ada mentaliti masyarakat kita, apabila berniaga, orang yang berniaga itu berniaga kerana tidak diterima bekerja oleh mana-mana syarikat. Orang berniaga itu lulusan kampung. Habis sekolah ataupun tidak agaknya. Tidak mungkin tidak, pasti ada yang mengatakan mereka keluarga yang gila. Emaknya pun pencen awal."

---

Saya setuju dengan ayat ini. Risiko pilih jalan ini samalah seperti penulis bebas, ambil keputusan berlainan norma masyarakat.

Satu lagi ibu-bapa gadis akan berkata, "Kalau tak makan gaji bolehkah isteri terima dia? Tak ada jaminan!"

Sahabat saya pernah ditanya, "Berapa pendapatan awak setahun?" apabila dia tahu rakan itu bekerja sendiri. Alasan beliau, "Untuk yakinkan ibu bapanya," saya rasa yang bertanya pun mahukan rakan saya itu cari kerja makan gaji sebenarnya.

Cabaran betul!

Saya sendiri ambil masa sekitar dua tahun untuk yakinkan ibu saya untuk menjadi penulis bebas. Faktor keluarga makan gaji ini mungkin memberi kesan pada sukar menerima. Tapi sekarang sungguh menggalakkan!

-----

...Dulu saya memang pernah ambil upah menterjemah.

Itu dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeriskah? Jika ada saya berminat dapatkan khidmat itu. Memang diperlukan saat ini.

-----

....Bohonglah segala seri itu. Seri apakah? Abang Alif, kau memang, haha

Apa dia kata itu benar, kesan daripada penggunaan facial wash setiap kali pulang dari kerja, maka berserilah.

-----

P/S: Saya bukanlah orang baik, mahupun yang terbaik. Sekadar berkongsi pandangan.

Mahu menjadi sticker (striker) dan cheerleader, pertama mesti kurangkan self labeling seperti ini. Itu bicara kita sama tuhan di tikar sembahyang sambil minta yang terbaik. Self labeling melonggarkan gam sticker, dan rembatan striker itu nanti :)

-----

....Selamat hari raya dan jaga diri (serta berat badan)

Sempat lagi! Terasa pula, koyak hati mendengar ucapan ini haha! Tak apa minggu depan saya sudah ada teman training baru huhuh! Marilah sertai. Ah tak perlu, cik Husna sudah cukup cantik, ini untuk individu obes yang berhadapan dengan cabaran! Mesti positif!

-----

aKu NaKaL said...

x)~

alifstyle said...

PAkcik aku seorang bekas peniaga satey yang hebat di Klang, tetapi mak mertuanya tidak suka dia berniaga.

Akhirnya... selepas tak tahan dengan leteran, kini dia bekerja di pulau pinang makan gaji. Ulang alik dari pulau pinang ke klang. Kan dah jauh tu....

Btw, sampai sekarang orang cina klang cari pakcik aku kalau nak buat satey.

Zamri Mohamad said...

Aku dapat rasakan penatnya membuat pilihan seperti pakcik kau. Mahu menjadikan small pyramid menjadi big pyramid memang penuh cabaran.

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

Saya suka entri ini dan komen-komennya.
(ditambah pula bila dibaca dengan muzik latarnya ialah 'You Are My Sunshine').

K.A.A. said...

entri ni sungguh menginsafkan...
banyak kata motivasi juga...best!

husna dah boleh lawan tuan zamri la kalau macam ni gayanya...hehehe

Unknown said...

erm.. masih meneruskan khidmat lipat baju??? byk baju nak kena lipat ni.... hahahaha

o_o said...

Betul sangat..lwtn raya ke umah sahabat kita tu sangat meaningful.
Dapat rasa aura yg baik & sejuk hati mendengar kata-kata parents dia kan,memang wise people,banyak yg kita dapat,lps dengar pesanan parents dia rasa macam dapat different outlook on life...


Baiklah,Usna!Marilah kita bersemangat menghadapi cabaran ya!^_^

Husna Adnan said...

Tuan Zamri,
Terima kasih atas komen-komen dan ulasan-ulasan.
Saya bukan melabel diri saya, saya hanya tidak mahu dikatakan 'tunjuk pandai'. =)
Kerana kenalan-kenalan saya yang membaca blog ini bijak-bijak dan hebat-hebat belaka.

Berkenaan terjemahan tu, saya pernah terjemah dari BI ke BM, dan juga BM ke BI. Tapi teks general sahaja, bidang masscomm. Buat masa ini, masih belum jumpa masa lapang untuk buat kerja luar.

Wah... ada teman training!
Hebat nih! Good luck! =D

Man,
=)

Abang Alif,
Sayangnya pak cik kau terpaksa berhenti berniaga.
Kalau Cina sampai tercari-cari, tu tandanya memang sedap.
Hmm... sayanglah.

drbubbles,
Terima kasih.
Semua di sini handal-handal.
Termasuklah tuan. =)
Saya juga suka instrumental ini!

Vodlafin,
Wah, insaf? Hehehe.
Terima kasih.
Tapi mana mungkin saya mampu melawan Tuan Zamri.
Dia sudah ada banyak buku best seller.
Saya ini bak melukut sahaja. Hehe.

Ismail,
Wah, lama tak dengar cerita kamu ya!
Masa untuk lipat baju sendiri pun tercari-cari ni.
Khidmat saya sudah ditutup utk itu.
Hahaha.

Ai,
Kan? Memang respek la keluarga dia.
And yours too, you know!
Keluarga berjaya. =)
Proud of you, dear.

Mari bersemangat!!!

Zamri Mohamad said...

Teman training pun rakan-rakan kita di PTS juga.

Banyaklah melukut! Kalau tak kerana ada satu entri di dalam blog Sna La La ini, tak tergerak saya pergi training!

Husna Adnan said...

WAH! Entri apakah itu?

Unknown said...

lama tak dengar cerita ye.. ye la.. org tu pun lama tak dengar cerita.. erm, nampak gayanya, tak berlipat ler baju2 kat rumah saya ni.. main campak2 + longgok2 jer la.. haha

Husna Adnan said...

Raya sakan eh awak?
Tak yah campak atau longgok.
Malas lipat, bakar je.

Zamri Mohamad said...

Adalah entri yang itu. Paling penting hidup kita mesti saling dorong mendorong. Tak ada bezanya saya dan cik Husna. Sama sahaja!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...