13 August 2009

Belajar Erti Hidup

Saya tidak pernah tahu apa itu hikmah sakit. Yang saya tahu, sakit akan buat saya rasa, sihat itu lebih best. Tetapi kemudiannya saya pernah terbaca dalam sebuah blog. Katanya, sakit ialah salah satu cara menyucikan dosa. Kala itu, saya terfikir. Saya tidak berapa faham sebenarnya, al-maklumlah, ilmu agama saya tidak setinggi langit. Saya belajar solat pun dari sekolah, meniru-niru aksi pelajar yang lebih tua, sedangkan tidak tahu apa yang mereka lakukan. Saya hanya tahu mereka sedang bersolat jemaah, tidak tahu perbuatan itu ialah rukuk, sujud, takbiratul ihram dan sebagainya.

Bukanlah saya nak kata, ibu bapa saya lupa mengajar saya apa itu solat sehingga saya sendiri yang mencarinya. Tidak. Ibu bapa saya ada tanggung jawab yang lebih penting, kerana saya punya adik yang beza hanya setahun. Lahir sahaja saya, setahun kemudian lahir pula dia. Perhatian untuk saya hanya setahun, selebihnya pada adik lelaki saya.

Sehingga sekarang saya tidak faham apa maksud sakit menyucikan dosa. Kini yang saya faham, sakit itu ada hikmah. Dulu saya tidak tahu. Kini saya tahu tetapi saya tidak faham.

Bermulalah adegan mencari apa sebenarnya yang dimaksudkan.

Lalu, saya ditemukan dengan forum ini. Saya tidak tahu siapa penulisnya, tetapi tulisannya itu memberikan saya kefahaman tentang apa itu sakit menyucikan dosa. Semoga si penulis diberikan pahala yang melimpah-limpah kerana memberikan saya ilmu. Ewah aku....

Seterusnya membaca bahagian ini:
"
Salah satu daripada penawar sakit adalah memperbanyakkan sedekah kerana setiap sedekah dikeluarkan mengandungi makna keberkatan dan nilai doa, lebih-lebih lagi jika sedekah disumbangkan kepada orang yang benar-benar memerlukan."

Ayat yang lebih kurang sama dengan status FB bos PTS Islamika, Tuan Faris. Wah, betapa banyaknya ilmu yang saya perolehi!

* * *

Beberapa hari lalu, saya MC. Doktor sahkan saya migrain. Saya terima sahaja apa yang doktor kata, telan sahaja pil yang doktor beri, tetapi saya tidak tahu apa itu migrain. Yang saya tahu, kepala saya rasa berat dan sakit. Selalunya saya kata saya sakit kepala. Maka saya Google apa itu migrain.

"Migrain ialah satu keadaan di mana sakit kepala terjadi disebabkan oleh aliran darah dan perubahan kimia diotak. Perubahan ini akan menyebabkan arteri yang membekalkan darah ke otak tersekat dan menimbulkan sakit kepala diikuti oleh rasa tidak selesa pada perut, loya dan pening."

Loya, pening... hmm... patutlah doktor tanya sama ada saya sudah berumah tangga ataupun belum. Huhuhu.

Selepas sehari mendapat cuti MC, esoknya saya ke pejabat. Kepala masih rasa tidak best, tetapi kerana kerja yang dirasakan masih banyak dan MC pun hanya dapat sehari, saya gagahi jua. Tetapi tidak lama pun di pejabat. Saya dan tim PTS One (kecuali En. Azri) diminta menunjukkan syarikat percetakan (BS Print) di Jalan Kuchai Lama kepada pelajar-pelajar UiTM yang datang membuat kajian. Kemudian, kami terus ke Ampang, menziarahi keluarga Cik Puan Aznurliza (Ain - PTS Pro). Saya panggil dia Anim, panggilan semasa belajar dahulu. Ibunya kembali ke rahmatullah petang kelmarin, selepas beberapa hari berada dalam keadaan koma.

Melihat dirinya yang tabah, saya rasa kagum, walaupun nanti pasti akan ada ketika, dia teringat pada ibunya, kemudian mengalirlah air mata penuh rindu. Melihat keadaannya semalam tetap satu keadaan yang tenang dan tabah. Al-Fatihah buat ibunya, dan buat Anim, tabahlah menjalani kehidupan selepas ini. Saya yakin, keluarga, rakan-rakan dan orang tersayang akan sentiasa mewarna hidup Anim.

Dalam pada kepala saya yang sakit, saya lebih rasa hati yang menanggung pemergian orang tersayang itu lebih sakit, lebih pedih. Apa yang saya alami hanya ditanggung kepala saya. Tidak hati. Lalu saya rasakan kesakitan saya itu hanya sekelumit, lantas bersyukur kerana hanya migrain, bukan H1N1, bukan kanser. Bermulalah rasa syukur yang amat sangat.

Itu sakit yang menyucikan dosa buat saya. Bersyukur.

Ingat entri saya yang ini?

Ingat senang ke nak bersyukur? Ini jihad juga, tahu?


* * *

Hari ini, kita dikejutkan pula dengan pemergian Ustaz Asri daripada kumpulan nasyid Rabbani ke rahmatullah. Saya memang sedih dan terkejut, tetapi apabila mendapat tahu bagaimana akhir hayatnya, saya tidak lagi bersedih. Meninggal dunia ketika berdakwah. Bagaimana lagi cara mati yang kita mahukan selain mati di jalan Allah? Maka ustaz itu seorang yang bertuah. Dunia pun bukan bertambah baik. Penyakit berbahaya yang menular, pemerintahan tidak adil, pembunuhan pula dah macam satu kegiatan yang dibuat senang-senang sahaja. Sememangnya allahyarham seorang yang bertuah. Kita?


Al-Fatihah buat Ustaz Asri....

Hidup, sakit, kemudiannya mati. Sekelip mata sahaja. Seperti Allahyarham Yasmin Ahmad, Allahyarham Mikael Jackson dan ramai lagi yang sudah ke sana mendahului kita. Ada yang sakit bertahun-tahun, ada yang hanya sakit beberapa saat sebelum tiba ajal.

Saya sakit apa sekali pun, saya masih hidup. Masih ada masa membaiki apa yang patut.

Sama-samalah kita mensyukuri hidup dengan cara yang sepatutnya. Sakit pun salah satu daripada bahagian hidup, bukan? Yang mengakhiri hidup itu hanya kematian.

Aduh... segan pula saya yang begini tulis ala-ala macam bagus begini. Hahaha! Ini semua aura Ramadan, kawan-kawan. Saya yang begini, ada juga bahagian saya yang baik. (Dialog pembaca: "Yaaa right!")

Sehingga berjumpa lagi, assalamualaikum!

8 comments:

Blog Rasmi Motivasi Minda said...

Saya setuju.

aKu NaKaL said...

x)~

Maxmagic said...

ya,adakala kesakitan itu banyak mengajar kita tentang banyak perkara

Blog Rasmi Motivasi Minda said...

Aku setuju Max,

Contohnya kalau sakit perut kita pergi...

A) Tidur
B) Makan
C) Tandas

Jika salah jawab, makanya masih belum terima pengajaran.

Nota: Baru lepas makan ubat, masih di dunia la la la.

drbubbles said...

Cik Husna,

Saya teringat-ingat lirik lagu Sedekah Opick,

"Alangkah indah orang bersedekah,dekat dengan Allah,dekat dengan Syurga".

Semasa konsert Opick di UIA baru-baru ini, Opick ada berkongsi cerita bagaimana beliau dinasihati ustaznya untuk bersedekah (baca: rumah banglonya) apabila beliau menyatakan niat untuk mencari modal bagi membuat filem dakwah.

40 hari kemudian, ada ustaz kaya memberi modal kepadanya untuk membuat filem.

Saya juga merasa sedih dengan pemergian Ustaz Asri.Benar, kematian ini satu peringatan bagi kita yang masih belum cukup amalan dan kebaikan di atas dunia ini.

Semoga cepat sembuh!

Sna La La said...

Terima kasih semua.
Semoga hidup kita diberkati.

drbubbles,
bagusnya cerita yang tuan ceritakan.
sungguh bagus sikap Tuan Opick tu ya?
Terima kasih krn berkongsi ceritanya.
Dan terima kasih utk doa itu =)

dainty-raindrop said...

Husna...
Terima kasih atas Al-Fatihah buat ibu Anim.
Syukur, saya diberi ketabahan untuk menyokong abah saya yang lebih memerlukan. Memang Husna tahu, Anim memang rindu... rindu sangat, lagi-lagi bulan puasa akan datang.

Sna La La said...

Anim,
Terima kasih kerana sudi singgah ke sini.
Sama-sama, semoga Anim terus tabah menghadapi semua ini.
Sedekahkan al-Fatihah setiap kali Anim rasa rindu ya?
Semoga rohnya tenang di sana.
Amin...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...