09 August 2009

Entri Pendek Sikit Daripada Zirafah #2

Assalamualaikum, hai kawan-kawanku sayang!

Diharap semuanya berada dalam keadaan yang sihat dan gembira dalam menjalani hidup.
Bagaimana hujung minggu kalian? Saya memulakan malam hujung minggu saya dengan menonton perlawanan futsal antara PTS dengan beberapa penulis PTS. Best la juga menonton futsal ini walaupun saya tidak tahu apa-apa mengenai peraturan permainan dan posisi pemain. Mana-mana gol yang berjaya dibolosi bola, saya akan bertepuk tangan.

Hendak dijadikan cerita (sesi angkat bakul bermula!), saya pernah dipaksa menjadi wakil kumpulan saya ketika hari keluarga Penerbitan UiTM yang dibuat di Melaka untuk perlawanan futsal. Dahlah main futsal, dekat pantai pula tu. Dua kombinasi yang sangat tidak masuk dek akal, kerana saya tidak pernah bermain futsal, dan bertambah susah kerana pasir pantai yang begitu halus menelan tapak kakiku yang comel. Eh, tiba-tiba rasa seperti sudah cerita hal futsal ini pada entri terdahulu. 


Okeylah. Kita tukar cerita. Jadinya... emm... okey, jadinya hari Sabtu iaitu semalam, kami di unit editorial bekerja kerana hendak mengejar produksi raya, dan juga supaya raya nanti kami ada extra hari untuk bersuka-ria. Wah hahahaha!


Berkenaan produk raya, kami di PTS One Sdn Bhd, dengan sukacitanya memberitahu, PRODUK RAYA KAMI SUDAH SIAP!!! Yey! Minggu hadapan kedua-dua produk raya kami iaitu Remaja@ptsone 2009 dan Selamat Hari Raya The Silver (Siri Kembara Hafiz) akan masuk stor. Kawan-kawan jangan lupa membeli kedua-dua buku kami dan juga terbitan anak syarikat PTS yang lain ya? Sempena bulan Ramadan dan Syawal, akan ada banyak lagi produk istimewa daripada kami.


Ini Siri Kembara Hafiz. Hensem betul budak Hafiz ini berbaju Melayu warna ungu.


Ini pula Remaja@ptsone 2009. Sengaja saya beri kawan-kawan lihat keseluruhan buku ini kerana lebih cantik dilihat begini. Hehehe....
Terima kasih kepada designer, Tuan Hisham Salmin.



Okey, mari saya ceritakan serba sedikit (ye ke sedikit?) berkenaan Remaja@ptsone 2009. Buku ini ialah kompilasi cerpen-cerpen yang berkisar pada bulan puasa dan raya, yang ditulis oleh beberapa penulis PTS One seperti Bahruddin Bekri, Kusyi Hirdan, Ezee Rahmani, Aizam Aiman dan Natasha Effyzal.

Yang menariknya, bukan mereka sahaja yang menyumbang karya mereka untuk buku ini, pembaca-pembaca PTS One juga turut menyumbangkan karya! Menarik, bukan? Sepanjang proses penilaian, kami dapati, pembaca-pembaca PTS One juga mempunyai garapan idea yang menarik dan berbakat dalam penulisan. Syabas saya ucapkan kepada karya yang terpilih. Kepada yang tidak berjaya, jangan putus asa ya? Tahun hadapan ada lagi! *Senyum!*

Oh ya. Dalam buku ini juga, ada komik-komik yang best, 'air tangan' Zaidi, Koma, Alifstyle, Bop dan Ard-One! Dan buat pertama kalinya, Remaja@ptsone mempunyai slot perkongsian ilmu daripada ustaz yang kami import dari Timur Tengah, iaitu Ustaz Hariri Daud. Hore!!! Hehehe, tak adalah dari sana. Tapi ini ustaz import juga ni. Import dari anak syarikat lain.

Wah memang banyaklah yang saya nak ceritakan berkenaan buku ini. Memang tak rugi kalau beli, kerana di dalamnya juga (ini yang paling istimewa), ada kad raya percuma! Ada cerpen, ada komik, ada info Ramadan dan Syawal... ada kad raya percuma pula! Apa lagi yang kawan-kawan mahukan??? Apa? Duit raya?

(Mari ubah topik.)

Saya diminta oleh seorang rakan saya untuk memberikan penjelasan berkenaan perbezaan penggunaan kata sendi 'dari' dan 'daripada'. Saya secara jujurnya, masih ada masa-masa keliru dengan penggunaan kata sendi ini. Perlu ingat kembali beberapa aspek sebelum menggunakan 'dari' ataupun 'daripada'.

'Dari' digunakan bagi ayat yang menunjukkan arah, tempat dan masa. Ada formula untuk ini iaitu ATM (arah, tempat, masa.) Saya ada merujuk beberapa website, dan saya menjumpai formula yang sama. Maknanya memang betullah. Hehe. Dan saya sering gunakan peringatan ini juga:
  • Kata sendi 'dari', pasangannya 'ke'.
  • Kata sendi 'daripada', pasangannya 'kepada'.
Cuba kita buat ayat tanya pula.

1) Awak dari mana hendak ke mana?
2) Awak daripada mana hendak kepada mana?
3) Awak dari mana hendak kepada mana?
4) Awak daripada mana hendak ke mana?

Mana satu yang betul dan sering kita dengar?

Tentulah ayat pertama, bukan?

Kata sendi 'daripada' pula digunakan apabila ada pengirim dan penerima (walaupun ada kalanya watak penerima disilentkan), ketika membuat perbandingan dan bagi menyatakan asal kejadian.

Contoh ayat ada pengirim dan penerima:
Hadiah itu daripada Azmi kepada Aminah.
(Pasangan kata sendi yang betul)
Hadiah daripada Azmi itu sangat cantik.
(Ayat yang watak penerima disilentkan)
Hadiah dari Azmi ke Aminah.
(Pasangan kata sendi yang tak best dan salah)
Hadiah daripada Azmi diterima dengan hati gembira oleh Aminah.
(Ayat ala-ala drama tapi betul)

Contoh ayat perbandingan:
Azman lebih hensem daripada Syahmi.
Pasukan Malaysia lebih hebat daripada pasukan Man Utd.
(Fakta itu kes lain, tetapi penggunaan kata sendi sudah mantop ni!)

Contoh ayat asal kejadian:
Kertas ini diperbuat daripada pokok papyrus. (Ayat betul)
Kain yang berasal daripada ulat sutera itu sungguh licin. (Juga ayat betul)

Kain sutera ini pemberian Azman dari Pasir Mas, kepada saya.

Kita sebagai manusia, perlu gunakan 'dari', bukan 'daripada' apabila merujuk kepada tempat kita tinggal ataupun lahir (tempat), bukan material apa kita diperbuat (asal kejadian).
  • Nabi Adam AS dicipta oleh Allah SWT daripada segumpal tanah liat yang kering dan lumpur hitam yang berbentuk. Selepas disempurnakan bentuknya lalu ditiupkan roh ciptaan Tuhan ke dalamnya dan berdirilah ia tegak menjadi manusia yang sempurna. (Betul)
  • Nabi Muhammad SAW berasal dari Arab Saudi. (Betul)
Okeylah. Harap penjelasan saya ini berjaya menjelaskan apa yang kabur. Sekiranya makin buat kawan-kawan kabur, saya minta maaflah. Memang saya tidak sesuai menjadi guru. Hahaha! Saya pun selalu terlepas pandang hal ini, tetapi diharapkan dengan memberi tunjuk ajar kepada kawan-kawan, saya juga dapat praktikkan dengan cemerlang. Sehingga berjumpa lagi, salam sayang daripada saya (pemberi) kepada kawan-kawan semua (penerima)!

P/S: Dengan terbitnya Remaja@ptsone 2009, saya dengan bangganya meletakkan diri saya sebagai seorang penulis. HAHAHAHAHA! Terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian dan membantu sepanjang pembikinannya. "Kawan-kawan, kita sudah ada buku!" *Much love!*

4 comments:

Blog Rasmi Motivasi Minda said...

Ketawa riak! Muahaaha!

Oh saya bolos dua gol dapat dua tepukan tangan! Cis-cis dan cis! Mana gambar saya diayam golekan? Mohon emailkan.

Buku bila masuk stor, saya mahu beli untuk anak buah saya. Hahaha saya jadi penulis untuk remaja awal untuk pertama kali muahahah! (Ketawa menggunakan mikrofon)

Vodlafin said...

wah! dah jadi penulis? tahniah, ya

dan terima kasih banyak...
that's very nice of u ;) *terharu*

Castelano said...

Wah dah jadi penulis rupanya. Pasal buku raya tu memang hebat. Cerpen dari penulis nama Resmanshah ada ke hahahaha...anyway tahniah sebab dah jadi penulis...

Sna La La said...

Tuan Zamri,
Gambar yang ada tidak mantap.
Kerana sosok-sosok pemain tidak sharp.
Semua bergerak dengan pantas.
Videonya ada, tetapi perlu convert.

Vodlafin,
Hehehe terima kasih.
(Malu je, bkn best pun)
Sama-sama ;)

Castelano,
Terima kasih juga.
Resmanshah belum ada lagi.
Rasanya nama itu akan terus jadi penulis novel.
Bukan cerpen. Hehehehe.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...