01 August 2009

Zzz....

Assalamualaikum, hai kawan-kawan.

Benar kata pensyarah Psychology saya ketika saya diploma dulu. "Tidur adalah salah satu ubat apabila kita menghadapi masalah. Dalam tidur, hampir separuh daripada masalah kita sudah diselesaikan dan hati kita kembali tenang." Saya pada mulanya hairan dengan ajaran pensyarah saya itu. Saya tidak pernah merasakan tidur mampu menyelesaikan masalah. Tetapi sejak beliau menyatakan hal itu, saya mula sedar dan bersetuju perlahan-lahan. Ya, ini kerana selepas kita tidur, badan dan minda kita kembali segar. Maka kita akan bijak menyelesaikan apa yang perlu sahaja, iaitu permasalahan sebenar. Yang awalnya itu dipenuhi emosi yang terbeban. Apabila emosi kita terbeban, apa sahaja yang di hadapan kita, kita heret sebagai masalah sedangkan tidak.


Maka saya meniduri diri saya petang tadi selepas selesai mengarang luahan. Sila jangan cuba-cuba memberikan komen entri di bawah di bahagian entri ini kerana saya akan tidak segan silu mengtongsampahkan ia.

Saya sedikit bersemangat apabila tidur saya dikejutkan oleh panggilan telefon daripada kawan saya. Merancang aktiviti esok. Saya perlukan aktiviti esok supaya hati saya kembali merah menyala. Isnin yang kelam-kabut bakal tiba, makanya saya tidak mahu bertemu hari itu dengan hati yang terbeban, mendung dan kelabu. Ewah.

Hari ini saya tidak ada idea untuk buat review buku. Tetapi saya ada sesuatu yang mahu saya kongsi bersama. Ini saya olah (bermakna ayat yang ala-ala over itu ialah ayat saya, haha) daripada akhbar Metro bertarikh 31 Julai 2009, ruang Tazkirah Remaja kelolaan Tuan Mohd. Zawawi Yusoh.

Saya tertarik dengan tajuk dan sub-tajuknya, kemudian tertarik dengan isi kandungannya pula.

Artikel itu bertajuk,
Lima cara syukuri nikmat dan sub-tajuknya Manusia wajib bersyukur kerana dengan bersyukur dapat jaminan pertambahan dan gandaan.


"Ya Allah, masukkanlah aku dalam kumpulan orang yang sedikit." Itu doa seorang lelaki yang didengari oleh Saidina Umar al-Khattab ketika beliau mengerjakan tawaf di sekeliling Kaabah.

Saidina Umar al-Khattab terkedu kerana merasakan doa itu agak ganjil. Biasanya manusia suka kepada kumpulan yang ramai. Suka ramai kawan, suka ramai pengikut... kerana jumlah yang ramai itu menunjukkan betapa gahnya kita.

Tetapi doa lelaki itu berlainan.

Maka bertanyalah Saidina Umar al-Khattab kepada lelaki itu. Lalu lelaki itu menjawab, " Tidakkah tuan baca dalam al-Quran? Allah menjelaskan ayat yang bermaksud: ... sedikit sahaja dalam kalangan hamba-Ku yang bersyukur...."

Barulah Saidina Umar al-Khattab faham, 'sedikit' yang lelaki itu mahu digolongkan ialah golongan yang tahu berterima kasih, seperti dalam potongan ayat suci itu.

Ha, lima cara mensyukuri nikmat itu ialah:

Pertama, yakinlah segala nikmat itu datang daripada Allah.

Kedua, apabila kita mendapat pujian kerana sesuatu kelebihan, pulangkan kepada Pemberinya iaitu Allah. Apabila ada yang puji kita ini cerdik, kurangkanlah ucapan seperti, "Eh tak adalah." "Mana ada pandai....", "Ni puji dalam keji ni..." dan "Nak berapa ringgit?" Sepatutnya kita ucapkanlah alhamdulillah dan terima kasih atas pujian itu.

Ketiga, berterima kasih pada yang memberikan penyebab nikmat. Apabila kita cerdik, kita kaya, kita cantik, hensem dan sebagainya, kita beri kredit kepada mereka yang membantu iaitu guru-guru dan ibu bapa kita.

Keempat, jadikan segala nikmat yang diperoleh sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah. Contohnya, nanti apabila kita sudah punya zuriat sendiri, didiklah zuriat kita itu betul-betul hingga menjadi insan berguna pada agama, bangsa, negara dan keluarga kita.

Kelima, ceritakan nikmat anugerah Allah itu kepada orang lain. Memperlihatkan sebahagian nikmat adalah termasuk dalam erti kata syukur. Tetapi dalam bab ini, kita perlulah berhati-hati kerana dibimbangi mengundang riak. Nasihat saya, sekiranya kita bimbang ayat-ayat kita memang mampu mengundang riak, kira bangga diri habislah, berdiam diri sahajalah. Nanti orang meluat pula.

Selesai membaca artikel ini, saya mengangguk perlahan. Benar, kita terlalu banyak memikirkan apa yang kita idamkan, tetapi lupa bersyukur dengan apa yang kita ada. Sepatutnya kita terus berusaha mencapai yang terbaik sambil tidak lupa mensyukuri nikmat Allah. Janganlah kerana nak tunjuk sangat kau bersyukur, sampai tak nak berusaha langsung. Rasa cukup dengan apa ada sehingga malas up-grade diri. Salah dah tu, sayang.

. . .

Di bawah artikel itu, ada iklan PIKOM PC Fair 2009.

Saya memandang laptop saya yang banyak berjasa. Ada rasa mahu up-grade dirinya walaupun dia sudah sedia hensem. Mula mengira-ngira jumlah wang dalam akaun.

Inilah masanya mensyukuri apa yang ada.

Bedebah. Letaklah iklan kereta ataupun minyak wangi bawah tu. Memanglah saya tidak ada langsung keinginan nak beli. Oh, dengan ini saya mensyukuri kewujudan Cik Lisa saya? Love you my little red darling.

Meluat tak?

Har har harimau. Saya benci sebenarnya apabila gelak yang ditaip itu disambungkan dengan perkataan lain, tapi kadang-kadang saya buat juga. Hehehe.

Sehingga berjumpa lagi! Wassalam =)

P.S: Terima kasih pada kalian yang tetap memberikan kata-kata semangat. Saya sangat hargai segala nasihat dan pandangan kalian. Terima kasih juga saya ucapkan buat pemberi komen tunggal entri di bawah. Saya harap kalian tidak serik memberikan saya teguran dan tunjuk ajar kerana tindakan saya mengdisablekan bahagian komen di bawah. Sekiranya saya masih boleh bersabar, tidak mungkin entri di bawah muncul. *Senyum paling ikhlas saya beri*


Baru saya tahu yang Tuan Mohd Zawawi Yusoh itu ialah penulis PTS Millenia. Dalam pada saya kata saya tidak ada idea untuk buat review buku, saya sudah terbuat review fasal tulisan artikel penulis/ustaz/tuan ini pula. Dunia ini memang sederhana kecil, Tuan Bahruddin Bekri. Saya setuju =)

7 comments:

Maxmagic said...

tak leh ek nak komen entri dibawah kat komen ni? huhu.. baru jer nak komen dengan komen "no komen"
( berapa banyak komen da..)

Ya, benar tidur itu adalah ubat bagi yang memerlukan.. umpama dadah.. jika tidak disalahguna, ianya adalah satu ubat buat kita...

aKu NaKaL said...

kurasakan seperti ada yg tidak kena, mengenai kata2ku utk entry yg sblmnya.. maaf yea..

Vodlafin said...

rest more, ya

semoga ketenangan yang dirasakan semasa tidur, juga dirasakan di dalam jaga :)

bergembiralah!
dan mari bersyukur ! (^_^)

alifstyle said...

Kalau tidur.. selepas itu kau mimpi apa yang kau tak suka itu, macam mana pula?

Jawapannya... tunggu selepas iklan ini.

Sna La La said...

Ismail,
Setuju dengan pendapat kamu =)

Man,
Tak ada apalah.
Saya okey =)

Vodlafin,
Terima kasih!
Semoga kita semua gembira dan terus bersyukur =)

Alif,
Belum pernah pulalah aku begitu.
Tapi semalam termimpi orang itu.
Datang meminta maaf.
Walaupun ia tidak pernah terjadi, hati rasa selesai.
Hahahaha apa ntah.

Blog Rasmi Motivasi Minda said...

:)

Sna La La said...

Tuan Zamri, =)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...