Assalamualaikum kawan-kawan! Selamat hari Ahad! (^_^)
Hari ini, saya tiba-tiba mahu menulis tip-tip menulis karya. Maafkan saya sekiranya tip-tip ini dirasakan cetek dan kurang kredibiliti kerana saya tidak ada buku sendiri. Ini hanya pengalaman saya sepanjang bergelar editor novel. Tip-tip ini adalah tip-tip mudah bagi penulis yang baru berjinak-jinak menjadi penulis, terutamanya yang mahu menjadi penulis PTS One.
Minggu lepas saya ada menyunting sebuah karya penulis baharu. Jalan ceritanya menarik - kisah pelajar asrama yang lazimnya dikaitkan dengan pelajar senior membuli pelajar junior.
Sepanjang menyunting manuskrip itu, saya dapati beberapa perkara yang perlu diberi perhatian demi menjamin jangka hayat novel yang lebih gemilang dan digemari ramai.
1. Peristiwa yang ada tarikh tertentu dalam setahun.
Dalam manuskrip itu, penulis menulis watak-watak utama melakukan persiapan bagi menyambut Hari Asyura dengan menyertai pertandingan busana Muslimah. Hari Asyura yang dimaksudkan penulis adalah pada dua tahun lepas, sedangkan tahun buku ini akan diterbitkan adalah pada tahun ini, tahun 2010. Hari Asyura sudah ditetapkan, 10 hari selepas Maal Hijrah, maka peristiwa sebegini perlu diberi perhatian sama ada sesuai ataupun tidak.
Selepas ditukar menjadi tarikh terkini, tarikh pertandingan juga tidak sesuai kerana kita menyambut Maal Hijrah 1431 pada Disember lepas, seminggu sebelum tahun baru 2010. Macam mana fikir pun, sudah jadi tidak logik kerana sekolah bercuti pada bulan Disember dan awal Januari. Maka, mana mungkin mereka membuat pertandingan pada Hari Asyura 1431 Hijrah.
Maka saya terus buang sempena menyambut Hari Asyura. Saya hanya kekalkan mereka menyertai pertandingan busana Muslimah kerana pertandingan itu sendiri, bukan kerana Hari Asyura.
Bagi penulis, mungkin mereka merasakan ini 'salah' editor, yang 'sibuk' menukar tarikh sedangkan jika dibiarkan, tarikh itu tetap logik. Namun editor adalah manusia terakhir yang bertanggungjawab mencantikkan dan berusaha agar karya yang diterbitkan itu segar bertahun-tahun akan datang, maka keperluan seperti ini sangat diperlu dititikberatkan.
Contoh lain, buku yang menjadikan penulisan diari sebagai salah satu cara penceritaan. Hanya letakkan hari dan bulan sahaja. Tahun tidak perlu ditulis.
Nasihat saya, elakkan menulis tahun bagi mengekalkan kesegaran buku itu, kerana setiap tahun, akan ada pembaca baharu yang membaca karya itu. Sesungguhnya, penggunaan tahun selain memang sengaja mahu memaparkan aspek flashback, adalah tidak digalakkan.
2. Penggunaan perkataan dalam membina ayat.
Saya kerap menulis kembali perenggan yang ditulis oleh penulis baharu, kerana mereka akan menulis dengan panjang, ayat yang membuatkan nafas kita tersekat-sekat dan perlu disedut berkali-kali, namun maksudnya yang mudah itu tidak sampai.
Mencari penggunaan perkataan yang terbaik adalah satu seni. Cuba tambah kosa kata, supaya seni membina ayat yang lancar dapat dilakukan dengan mudah.
Contohnya, "Tidak mungkin! Pasti ini kerja yang dilakukan budak jahat itu!"
Lebih mudah ditukar menjadi, "Mustahil! Pasti ini angkara budak jahat itu!"
3. Elakkan menulis secara pemberitahuan.
Saya juga banyak membuang perenggan dalam karya ini kerana 'fakta' di sekolah terlalu banyak diberitahu. Sebaiknya, buat apa-apa peristiwa yang membuatkan pembaca memahami 'fakta' bersekolah secara penceritaan, bukan pemberitahuan. Pemberitahuan mampu membosankan pembaca, lebih-lebih 'fakta' yang tidak memberikan kepentingan kepada jalan cerita.
Contoh:
Pada setiap hari persekolahan, koperasi sekolah dibuka pada waktu tengah hari, dan dijaga oleh pelajar yang bertanggungjawab menjaga koperasi. Setiap hari adalah pelajar yang berlainan kerana ini membuka peluang kepada pelajar lain mendapat pengalaman menjaga koperasi. Terdapat dua pelajar biasanya, seorang menguruskan jual beli, seorang lagi menjadi penjaga kaunter. Maka tengah hari itu, Fatimah mahu ke sana kerana tidak mahu beratur di kantin.
Aku tulis ini pun dah rasa sesak. Ini baru kenalkan apa itu koperasi, belum urusan jual belinya lagi. Huhuhu.
Kita tidak berapa mahu tahu 'fakta' berkenaan koperasi sekolah itu yang dibuat seperti karangan. Buatlah gaya penceritaan.
* * *
Tengah hari itu, Fatimah ke koperasi sekolah. Dalam fikirannya, dia mahu membeli sebungkus roti coklat dan sekotak air soya. Dia tersenyum sendirian kerana itu menu kegemarannya semasa waktu rehat. Sesampainya dia di koperasi, kedatangannya disambut mesra oleh dua pelajar perempuan.
"Boleh berikan saya sebungkus roti coklat dan sekotak air soya?" ujar Fatimah.
"Boleh," balas salah seorang daripada pelajar di situ sambil tersenyum, dan menyerahkan pesanan Fatimah selepas dimasukkan ke dalam beg plastik berwarna merah.
"Seringgit dan tiga puluh sen sahaja," ujar pelajar yang menjaga kaunter pula sambil tersenyum manis.
* * *
Cukup sekadar di situ.
Dalam cerita ini, urusan jual beli hanya sebagai jambatan ke adegan lain yang lebih berkepentingan. Maka adegan itu perlu dipotong sependek mungkin melainkan adegan jual beli itu adalah pencetus adegan lain yang lebih menarik dan tidak mengandungi 'fakta' tidak berkepentingan.
4. Elakkan penggunaan nama watak yang terlalu panjang dan sukar disebut.
Nama watak, terutamanya yang perempuan, memang selalu direka indah-indah dan panjang. Edelia Magenta Firus Firdausi lah, Qhuzhaima Ain Nadhirah Alam Maya lah. Memang tak perlu ya di situ, kawan-kawan. Walaupun contoh di atas adalah rekaan saya yang melampau, namun memang ada watak-watak dalam novel yang namanya, hui! macam nama bidadari alam fantasi. Sekali sebut, mungkin okey. Kalau dalam satu muka surat, ada dua puluh nama itu diulang-ulang, mahu tak penat kita membacanya?
Maka buatlah nama watak yang ringkas, realistik, namun tetap indah. Husna okay what? Hahaha!
5. Tolonglah... tolong jangan habiskan cerita dengan kematian akibat barah ataupun kemalangan jalan raya.
Hmm... ini biasanya dilakukan oleh penulis dalam dua keadaan. Satu, kerana memang mahu diakhiri cerita itu dengan kekecewaan dan kesedihan pembaca, ataupun dua, kerana sudah ketandusan idea.
Namun biarlah aspek emosi pembaca itu kerana jalan cerita yang memang emosi, bukan kerana kekecewaan akibat watak dimatikan dengan begitu mudah. Oh tolonglah...
6. Tolonglah jangan kata semua itu mimpi.
Juga antara penghabisan cerita yang lemah. Tetapi lain halnya dengan buku Tawanan Mimpi karya Mazlina Ngadiman. Itu sah-sah sudah sedia maklum buku itu cerita dalam mimpi. Cerita ini berkenaan budak-budak nakal yang ditawan di dalam mimpi, dan mereka perlu menyelesaikan beberapa misi supaya mereka dibebaskan daripada menjadi tawanan mimpi. Jangan dah seronok-seronok mengejar cinta Adam dan Hawa, tiba-tiba terjaga dari tidur sebagai seorang wanita yang single dan miserable. Pukul nak?
7. Gunakan semua plot dan watak sebaik mungkin.
Sekiranya kita sudah buat satu plot suspen, kita buat watak jahat, gunakanlah watak sedia ada sebaik-baiknya. Bukan dengan membuat banyak watak jahat kerana mahu buat banyak plot suspen.
Saya pernah menyunting sebuah manuskrip di syarikat lama saya, yang al-kisahnya, budak ini menjual nasi kerabu emaknya. Pada suatu hari, nasi kerabu emaknya difitnah mengandungi ulat, maka pembeli itu mahu budak itu pulangkan semula harga nasi kerabu itu. Malah mahu nasi kerabu lain sebagai ganti. Memang sudah jahat habislah watak lelaki ini. Plot pun suspen, bimbang budak itu dibelasah cukup-cukup.
Akhir cerita, rumah orang kaya yang menjadi pelanggan tetap nasi kerabu budak ini, dimasuki perompak. Punyalah bersungguh budak ini tolong orang kaya itu menangkap suspek, namun watak jahat itu ialah watak jahat entah dari mana. Kalau watak jahat itu adalah lelaki yang memeras ugutnya pada awal cerita, lebih menarik bukan? Barulah ada nilai sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
8. Perancangan
Sebelum menulis, bagi mengelakkan plot yang cacamarba, watak yang kejap itu, kejap ini, penulis perlu ada perancangan. Buat peta minda. Apa awal, apa tengah, apa akhir. Tulis juga watak perwatakan yang digunakan, supaya penulis sendiri tidak keliru dengan watak yang direka. Contohnya, awal plot Aduka sebagai watak utama, tiba-tiba belakang jadi Andika. Cerita yang tiada perancangan juga membuatkan cerita itu akhiri dengan kematian watak utama akibat barah ataupun kemalangan kerana penulis sudah tidak ada idea. Waduh waduh deh...
9. Kaji selidik
Untuk menjadi penulis PTS One, kami sering minta sinopsis (bagi melihat sama ada jalan cerita itu menarik dan boleh dipasarkan ataupun tidak) dan juga mana-mana bab (supaya dapat kami nilai gaya penulisan penulis itu). Cara ini kurang dipraktikkan oleh syarikat penerbitan lain, maka ramai penulis merasakan PTS sangat lorat. Ada karya yang sudah siap ditulis, perlu dirombak hampir 80% supaya sesuai dengan kehendak pasaran.
PTS adalah syarikat yang menerbitkan buku yang bersifat komersil, bukan silibus. Maka sekiranya masih belum ada idea, buat kajian dahulu. Buku apa yang menjadi kegilaan ramai. Jalan cerita macam mana yang pembeli suka baca. Jangan risau jika mahu menulis jalan cerita yang hampir sama dengan buku sedia ada, kerana jika tidak keterlaluan saya katakan di sini, sudah tidak ada lagi idea yang original. Yang membezakan, adalah gaya penceritaan. Banyak buku berkenaan pelajar sekolah, gaduh-gaduh kemudian jadi kawan baik, tapi bagaimana membezakannya? Cari idea lain untuk membina konflik, buat peristiwa lain yang membuatkan mereka berkawan baik.
10. Idea segera.
Yang paling senang, buat karya pertama melalui pengalaman sendiri. Hidup hari-hari ada masalah dan peristiwa bukan? Maka kongsilah dengan dunia! (^_^) Cari masa lapang, imbau kembali peristiwa yang boleh dijadikan iktibar, dan yang penting, meninggalkan pembaca dengan 1001 emosi positif, bahawa hidup ini indah sebenarnya! WAH! Namun jangan dilupa, jalan cerita tetap mengikut selera terkini pembaca.
Nota Kaki: PTS adalah penerbit komersial. Bukan silibus. PTS ada perjuangan tersendiri. Ada manual suntingan sendiri. Maka adalah lebih mudah sekiranya mengikut prinsip syarikat penerbitan. Selain itu, tulis sesuatu yang pasaran mahu baca, bukan apa yang kita mahu pasaran baca. Menukar trend bacaan pembaca tidak mudah. Perlu disuntik sedikit demi sedikit dari pelbagai medium. Maka sebelum membuat suntikan, cuba mengikut arus dahulu. Apabila arus kita ada yang ikut, maka waktu itulah mahu ubah arus ke arah lain. Kalau kita masih belum ada nama, tiba-tiba terus melawan arus, redah sendirianlah jawabnya. Boleh, tetapi tidak berjaya dengan warna berterbangan.
Maka, diharap perkongsian ini dapat memberikan pencerahan kepada mana-mana bakal penulis. Yang penting, buat tapak dahulu. Kemudian baru kembangkan.
SELAMAT MENULIS YANG BAIK-BAIK! (^_^)
P/S: Uhuk. Kenapa tiba-tiba rasa entri ini untuk diri sendiri juga? Adess~ usaha tangga kejayaan.
5 comments:
Sesuatu perkara yang baik, bukankah bagus jika dinasihat dan ditujukan untuk diri sendiri juga...
GoodLuck x)~
Husna dah boleh jadi penasihat penulisan ni...hehe...this is really good tips :)
p.s.- u should try coming out with your own book...i would love to read it...u got the talent...cuba, ya! (^_^)
Terima kasih Cikpuan Husna di atas tip-tip yang diberikan.Saya suka!
Saya yang tak suka baca karya fiksyen ini pun seronok membaca tip-tip itu sampai habis dengan pernafasan yang selesa dan tidak tersekat-sekat.
entri yg bagus...mintak izin copy paste dalam pendrive bleh? hehe =)
Man,
Hehe, tq, insya-Allah.
Vodlafin,
Terima kasih!
Harap dapat berkongsi apa yang baik.
Err... hehe, insya-Allah.
Tuan Iskandar,
Terima kasih tuan kerana sudi menjengah blog saya. (^_^)
Harap entri ini dapat berikan info yang baik.
Shukri,
Terima kasih.
Ya, sudah tentu. =)
Post a Comment