27 March 2010

Entri Kasi Tisu Sedikit

Tiba-tiba mahu buat entri jiwa gelodak, hati sayu.

Hari ini, hari kedua terakhir sebelum berakhirnya pesta buku esok. Hari ini dan esok, saya tidak lagi perlu bertugas, mahupun mengendalikan event. Maka saya akan datang sebagai pengunjung sahaja jika rajin.

Hari ini, saya mahu duduk di rumah, mengemas bilik yang seperti baru selesai dilanggar todak, membasuh segala macam yang boleh dibasuh, bermain dengan Si Putih yang kasihan kerana diabaikan sekian lama, membaca segala perkembangan terbaharu rakan-rakan di FB, membaca blog yang mana saya larat baca, mengemas kini mana yang patut, juga gigihkan diri membaca buku yang dapat secara percuma dan yang dibeli hingga kosong dompetku, serta sibuk memantau FB emak sendiri.
Hahaha. Memang agak sibuk.

Juga agak sibuk bagi memastikan segala buku yang mahu diberikan sebagai hadiah kepada teman-teman berjaya dibeli, supaya minggu hadapan dapatlah saya poskan semuanya. Kepada para penerima hadiah, tunggu ya. Insya-Allah, saya akan dapatkan buku-buku yang kalian inginkan itu dengan kadar segera.

(^_^)

Buat Tuan Ilham Hamdani, saya ada terfikir sesuatu. Sekiranya saya tidak mampu mengirimkan hadiah kepada tuan di Australia, ada tak sesiapa di Malaysia yang tuan mahu saya hadiahkan buku-buku itu? Hehe. Saya amat berbesar hati sekiranya saya dapat kirimkan hadiah kepadanya, bagi pihak tuan. Sekiranya ada, beritahu ya!

Berkenaan pesta buku, saya akan kemas kini kemudian. Belum habis lagi berpesta, maka adalah lebih manis sekiranya saya buat satu entri khas sempena PBAKL'10 ini.


Kepada yang belum pergi, ini suasananya.

Terima kasih kepada semua yang sudi melawat ke blog saya, meninggalkan komen di ruangan komen dan juga Salam Singgah!, yang senaraikan blog saya di blog kalian, yang letak gambar saya, yang letak gambar kita, yang letak gambar PTS dan ada saya menyibuk (hehe) dan sebagainya. Terima kasih saya ucapkan. Sokongan kalian amat saya hargai, dan ya, saya amat terharu.

Husna Adnan ini belum jadi sesiapa, namun perjalanan saya menjadi sesiapa itu begitu banyak dorongan, nasihat dan sokongan. Terima kasih semua. Saya tidak perlu letakkan nama kalian di sini, satu per satu, kerana saya tahu, setiap yang terdetik, "Oh, aku juga pernah beri sokongan kepada dia!", maka kamulah orangnya. Dari saya lahir, masuk tadika, masuk sekolah rendah, masuk sekolah menengah, masuk High School Kajang, masuk UiTM ambil diploma dan ijazah, zaman saya menganggur tidak tentu arah, zaman saya bekerja di Kota Damansara, dan seterusnya zaman saya bekerja di PTS, saya amat menghargai semuanya.

Serius.

Saya amat, amat, amat hargainya. Biarpun ada antara kita yang sudah lost contact, saya sering doakan yang terbaik. Mana yang salah, saya maafkan, mana yang tidak dapat maafkan saya, saya mohon Allah lembutkan hati kalian demi memaafkan saya.

Saya tidak suka membenci orang, dan saya harap saya tidak menjadi kebencian orang juga. Namun bukan semua hati dapat dipuaskan, maka untuk mengharap saya langsung tidak dibenci, adalah umpama menyuruh saya memakan sawi, atau lebih dikenali dengan istilah, 'mustahil'.

Saya kurang faham dengan orang yang sering benci dengan apa yang diusahakan oleh orang lain, hingga seseorang bertindak menjatuhkan orang itu, kerana sifat cemburu. Saya kurang faham. Sekiranya kita cemburu dan berusaha menjadi yang lebih baik, itu bagus. Namun jika cemburu dengan niat menjatuhkan orang lain, nak-nak yang seagama dan sebangsa, saya kurang faham. Maaflah. Boleh kata saya kurang bijak kerana kurang faham. Tak apa, saya boleh terima. Lagipun saya memang bukan pelajar cemerlang, jadi apa salahnya jika saya mengaku yang saya ada kurang faham di mana-mana.

Dan saya juga kurang faham pada ibu bapa yang tidak menyokong minat anak-anak, selama minat anak-anak itu tidak bercanggah dengan agama, juga menyebabkan dia leka hingga tiada masa hadapan.

Melukis, contohnya.

Di PTS, kami para editor yang tidak pandai melukis ini, sering terdetik, "Kalaulah saya pandai lukis, saya dah buat semua ini sendiri." Kerana buku kami lebih-lebih lagi novel remaja dan kanak-kanak, amat memerlukan ilustrator. Kadang-kadang ilustrator sedia ada sibuk dengan tugas dan kerja, maka kami akan putus akal. Jika watak utama boleh dilukis dengan bentuk epal ataupun awan, saya sudah lama buat. Namun hakikatnya, belum ada watak utama novel kami adalah epal yang bercakap. Belum ada.

Maka, kepada ibu bapa yang anaknya ada minat pada sesuatu yang tidak memudaratkan, apa salahnya beri sokongan... dunia ini luas, peluang juga luas. Sambil bekerja di bank misalnya, boleh sahaja ambil kerja freelance melukis. Asalkan mampu menepati deadline kami. Jika tidak mampu, kami pun harap pelukis sebegini fokus sahaja pada kerja makan gaji mereka. Kerja apa pun, adalah tanggungjawab, sejurus kita setuju melakukannya, maka adalah tugas kita melaksanakan pada tempoh yang ditetapkan.

Saya pernah rasa zaman melakar masa hadapan yang tidak mendapat sokongan ketua keluarga. Saya sudah rasa apa itu 'buang daerah'. Saya sudah rasa apa itu belajar tanpa sesen daripadanya. Saya sudah rasa macam-macam. Maka saya agak sedih apabila ada adik-adik ataupun sesiapa sahaja yang tidak mendapat sokongan keluarga, walhal kita tahu itu bukan sesuatu yang memudaratkan. Namun adalah dinasihatkan juga buat anak-anak yang tidak mendapat sokongan, supaya jangan bergaduh dengan ibu bapa. Mereka lebih utama. Saya juga tetap sayangkan ayah saya. (^_^)

Namun satu-satunya manusia yang tidak pernah penat menyokong saya walaupun dia juga pemegang anugerah Pengkritik Terhebat, adalah emak saya.

Saya yakin emak kawan-kawan juga antaranya insan kurniaan Allah kepada kita yang paling cantik buatannya. Hampir sempurna.

Emak saya sudah tiga kali ke booth PTS, meninjau keadaan saya. Saya? Saya baru semalam berpeluang berbuat demikian. Tetapi saya tahu, dia tiada di situ. Asalkan saya ada datang jenguk, hati saya sedikit lega.

Sepanjang pesta buku, bilik saya memang teruk. Sangat teruk. Bukan sepanjang pesta buku sahaja, namun hidup saya memang sudah tidak terurus sejak Januari. Tetapi memang kerana pesta buku, bilik saya jadi begini. Dapat salahkan pesta buku memang indah.

Tetapi sepanjang tiga bulan ini, seminggu sekali saya akan pulang dengan bilik saya kemas dan cantik.

Kerja siapa?

Emak saya. (^_^)

Dulu ada rasa kurang selesa, yalah, sudah remaja (ehem), maka kita memang kurang selesa sekiranya emak kita yang kemaskan. Saya ada minta emak saya jangan kemaskan lagi, saya akan kemas sekiranya saya ada masa, namun nampaknya, sehingga jam 10 pagi tadi, dia masih mengetuk pintu bilik saya dengan vakum di tangan. Dia ada membebel, dia ada minta buang itu ini, hati saya serba salah, namun nampaknya, dia buat kerana dia mahu buat.

Jika demam pun akan bangun kerana risaukan kain di ampaian. Padahal anak-anak ada sahaja di rumah. Saya lihat, adik lelaki saya sudah pantas mengambil bakul sekiranya hari tiba-tiba mendung, dan ambil pakaian di ampaian. Adakah dia juga sudah sedar yang emak kami sudah berumur? Orang tua (walaupun masih nampak muda dan cantik), namun begitu cergas, sering buat saya risau. Entah kenapa.

Apabila dapat gaji, dia gigih shopping sendirian, beli barang dapur untuk kami sekeluarga, angkat beg-beg plastik yang ada kalanya berat, dan di dalamnya, lebih banyak makanan yang dibeli, bukan makanan yang dia akan makan ataupun sempat makan. Memang beli untuk kami sahaja. Kadang-kadang jika emak tanya, "Yang emak beli tu, ada lagi tak?", saya harap ada kedai runcit di sebelah rumah saya. Rasa mahu lari pergi beli supaya dia dapat makan. Tetapi teruknya saya sebagai seorang anak, saya akan gantikan niat dia mahu makan itu dengan hanya teman dia tonton TV.

Emak saya jika tonton TV, memang akan ajak borak, dari hal cerita yang ditayangkan, hingga hal hidup, hal kerja, hal penulis, hal jiran. Saya jenis yang kurang ambil tahu, maka kadang-kadang saya akan dengar sahaja. Saya kurang kenal penulis-penulis selain penulis PTS One, maka nama-nama yang emak saya kata itu umpama angin lalu sahaja. Teruknya saya sebagai
seorang anak.

Dia bawa buku KKC ke pejabat. Dia cerita anaknya kerja PTS.

Saya pula lebih senang berahsia.

Saya bukan tidak hargai dia, namun menjadi anak kepada dia adalah satu cabaran. Jika orang tahu, orang akan bandingkan. Saya tidak mahu dibandingkan, kerana salah seorang akan kalah. Jadi saya simpan sendiri. Pada yang tahu, tahulah. Pada yang tidak, saya tidak uar-uarkan.

Saya tahu dia amat menyokong hidup saya, dan saya amat hargai setiap pengorbanan dia.

Maka tolong Tuhan, jangan ambil dirinya selagi saya masih belum ada insan lain yang dapat saya peluk ketika gembira, dan tumpang bahunya ketika menangis.

Dan, hari ini bukan hari lahir emak saya. Haha!

Memang tiba-tiba mahu berhati tisu.

Sayangi ibu bapa kita, sayangi adik beradik kita, sayangi anak-anak kita, sayangi rakan-rakan kita, sayangi kenalan kita, sayangi kucing kita, sayangi semua makhluk dan pencipta-Nya, nescaya kita akan tenang. Siapa tahu sesaat kemudian, dia dijemput Ilahi. Menyesal adalah perasaan yang tidak best. Seksa, tahu?

Kepada cinta-cinta hati saya, terima kasih atas segala sokongan. ='D



Walaupun tiada iras, saya tidak peduli. Kan sudah kata saya tidak pandai melukis.
Hahaha! (Siap watermark, bai.)

14 comments:

ivayunus said...

Saya pun rasa macam mahu ambil tisu sahaja :(.Mahu hujan.Aaaa..

Unknown said...

nak jadiah gak.. haha ( dengan muka tak malu ) ;P

Iskandar aka DR Bubbles said...

Sudah habis segulung tisu tandas (tak apa ada lagi 3 gulung tisu tandas) ketika membaca entri ini.Hehehehe...

Nota: Tisu tandas di rumah saya digunakan untuk membuat origami bunga ros dan kadang-kadang origami Dinasour. Tidak sesekali ia digunakan di tandas.

Azmir Ismail said...

saya faham entry cik Husna mengenai ibu cik Husna. Sejak setahun dua lepas, sebelum berpisah dengan papa dan mama, saya akan cium tangan dan peluk mereka ... like u say u never know when it will be the last.

kyrel said...

fuhh... tersentuh hati,paru-paru dan limpa saya membaca entri kali ini... sungguh syahdu... (^__^) "saya sayang ibu saya" ujar penulis komen ini selepas menjadi pembaca entri ini sebentar tadi]

K.A.A. said...

pasal ibu bapa yang tidak menyokong minat anak, juga pasal penulis yang tidak tahu melukis ada disentuh dalam novel popular, The Little Prince, in an entertaining way...

if u've read it, u'll understand what i'm talking abt...cuba la baca...jangan risau,boleh habis baca dengan sangat cepat :)

http://en.wikipedia.org/wiki/The_little_prince

Shukri Mohd Ali said...

sedihnya (T___T)

saya tiada ibu sejak kecil lagi.

hanya membesar dengan kasih seorang ayah.

cemburunya bila baca entri blog berkenaan kemesraan seorang ibu dan anak.

uhuhuhuhuuu...

hargailah keluarga anda, kerana mereka lebih memahami kita berbanding rakan atau kekasih.

'Redha daripada Tuhan, datangnya dari keredhaan kedua Ibu Bapa.'

Resman said...

Test mic one two...Saya sebenarnya masih blur kesan dari kesesakan pesta buku yang sangat menggerunkan. Tapi alhamdulillah saya tetap juga berjaya membaca habis entri cik Husna kali ini. Terharu dan rasa bersalah wujud di hati saya yang ada mahligai ini walaupun muka saya ganas macam jin laparkan kanak-kanak gemuk. Mengapa rasa bersalah pulak? Saya rasa cik Husna faham mengapa...Anyway semoga entri kali ini menjadi sesuatu yang bermanfaat buat semua kita....

Aim said...

:)

saya suka entri macam ni. kalau boleh 'like' seperti di FB saya akan 'like' beribu kali.

Husna Adnan said...

Iva,
Wowowo... maaflah...
T______T mari sini, saya ada tisu.

Ismail,
Awak tak jawab, mana boleh dapat hadiah. Hahaha!:p

Tuan Iskandar,
Wah!! Tisu tandas dibuat origami!
Buatlah banyak-banyak dan ambil gambar!
Pasti comel semuanya! (^_^)

Tuan Azmir,
Saya tumpang simpati dengan tuan.
Maafkan saya, saya tidak bermaksud menyedihkan sesiapa.
Ya, hargai sesiapa sahaja kerana kita tidak tahu apa kemudiannya.

kyrel,
ya, sayangilah ibu bapa kita. (^_^)

K.A.A.,
Wah! Terima kasih atas perkongsian!

Shukri,
Oh!! Saya minta maaf!!
Entri kali ini mendedahkan kesedihan ramai pihak!
Saya tidak bermaksud!
Namun saya yakin, ibu awak bangga dengan siapa awak pada hari ini.
Ayah awak sudah melakukan tugas dengan baik! (^_^)

Resmanshah, saya sebenarnya kurang pasti kenapa awak rasa bersalah. Namun saya juga harap entri kali ini ada berikan kebaikan kepada sesiapa yang membacanya.

Aim,
Terima kasih kerana menyukai entri kali ini! (^_^)

Kepada semua, saya ucapkan terima kasih kerana gigih membaca entri saya. Saya sangat menghargai segala komen dan masa yang diluangkan di blog saya ini. (^_^)

kyrel said...

(^__^)v

ILHAM HAMDANI said...

Assalamualaikum,

Didoakan yang terbaik untuk Cikpuan Husna yang baru balik dari medan perang 'pesta buku'.

Tak mengapalah, saya simpan hutang Cikpuan Husna tu .. tahun depan, kalau saya balik dan ke PTS, baru saya tuntut hutang tu semula. Sekali dengan dividen per hari ..:))

Ok, selamat menyunting semula.

IlhamHamdani,
Kota Canberra.

Husna Adnan said...

Kyrel,
(^_^)v

Tuan Ilham,
Wa'alaikumsalam.
Saya juga doakan yang terbaik dan tahniah kerana bakal muncul dengan buku baru yang bertajuk mantap itu! =D

Oh, baiklah. Saya akan cuba tunaikan janji saya itu pada waktu tuan sudah di Malaysia. Mohon ingatkan saya ya! (^_^) Jaga diri!

Unknown said...

saya ada jawab.. tapi salah.. hahaha

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...