16 October 2010

Menghargai - untuk sesiapa yang sudi....

Saya bukan orang baik, serius cakap. Saya banyak kelemahan. Namun 
saya cuba menjadi baik dan melakukan hal yang baik-baik kepada orang lain, walaupun sedikit bersusah payah. Apa jua yang saya lakukan, saya cuba untuk tidak mencederakan perasaan orang lain.


Tetapi adakalanya, saya tewas. Saya sebagai manusia biasa, tidak mungkin mampu lari daripada hal sebegini. 


Hingga ada manusia lain yang terasa hati dengan saya.


Tetapi menerbitkan permusuhan bukanlah apa yang saya mahu lakukan. Jika ada yang menjadikan itu hobi, saya antara orang yang akan pelik terhadap kamu. Mungkin juga kagum. Kagum kerana kamu boleh hidup dengan gembira sedangkan ada hati yang sedih, marah ataupun kecewa denganmu. Jika saya, saya akan rasa serba salah yang amat sangat.


Kerana hati yang saya sakiti itu, mungkin juga ahli keluarga saya, teman rapat saya, insan yang saya kasihi, dan yang penting, mereka yang pernah berbudi dengan saya.


Sekiranya saya diam selepas melakukan kesalahan, bukanlah kerana saya enjoy melakukan hal itu ataupun saya ego, namun kerana saya sedang tidak tenteram dan ketakutan. Saya tahu, akan ada masanya, saya akan diperlakukan sedemikian, dan saya akan merana.


Kerana saya juga tahu, Tuhan itu maha melihat, maha mendengar dan 
maha mengetahui.


* * *


"No such thing as free lunch."


Itu yang pensyarah saya sering ungkapkan dahulu.


Tiada. 


Tiada apa yang percuma, kerana kita semua mengharapkan sesuatu. 


Kalau benar ada yang sudi belanja kita makan, harga makanan itu percuma bagi kita. Namun apa yang kita lakukan selepas itu adalah 'balasnya'. 


Apabila kawan belanja kita makan, adakalanya dia belanja kerana dia memerlukan pertolongan kita. Ini terang-terangan bukanlah "free lunch". 


Ada juga yang belanja kerana menghargai usaha kita, ataupun mahu membuatkan hati kita rasa 'ringan' supaya kelak kita masih mahu memberikan pertolongan.


Menghargai.


Ada juga kawan yang belanja kita kerana suka-suka. Walaupun dia tiada niat mahu mempergunakan kita, namun ia tetap bukan "free lunch" kerana kita akan 'bayar' dengan persepsi yang baik. Suatu perasaan yang tidak mungkin dapat dikawal. Kita akan simpan dalam hati, betapa baiknya kawan kita itu. Dia juga pasti mahu kita simpan persepsi sebegitu dalam hati kita. Supaya kita baik dengannya, seperti mana dia baik dengan kita.


Tali persaudaraan, persahabatan, kepercayaan....


Apabila dibelanja oleh kekasih hati misalannya, sama ada memang dia berniat mahu menawan hati kita ataupun memang hadir kerana keikhlasannya, sama ada mahukan balasan ataupun tidak, kita sendiri akan membalas tanpa kita sedari. Kasih sayang, cinta, kesetiaan, dan perhatian. Itulah yang sebenarnya yang kita 'bayar' kembali, dan semestinya, yang diharapkan oleh kekasih kita. Jika kita balas dengan kecurangan, mustahil dia akan belanja ataupun mahu bersama kita lagi. 


Berbuat baik kepada ibu bapa, adalah salah satu perkara yang kita perlu, malah wajib membalasnya. Kerana mereka sudah berjasa kepada kita sejak kecil. Kita tidak sewajarnya masih mengharapkan mereka membalas setiap kebaikan kita, namun percayalah, setiap anak yang berbuat baik kepada ibu bapanya, juga berharap, anak-anaknya kelak akan berbuat baik kepadanya.


Paling tidak, setiap yang kita lakukan itu, kita buat kerana Allah, yang menjanjikan pahala atas segala kebaikan yang kita curahkan, insya-Allah.


Tetap bukan "free lunch".


Kita buat kerana mengharapkan balasan. Pahala, syurga, berkat, dan restu.


Penghargaan


Demi memperolehi antara mana pun yang diniatkan, sesiapa sahaja pasti berusaha. Usaha yang paling tidak dapat diganti adalah tenaga dan keikhlasan.


Maka, kita sebagai penerima, janganlah memandang enteng ataupun mengeluh pada setiap usaha orang lain, walaupun bagi kita, itu sesuatu yang kecil, remeh dan leceh. Tiada siapa yang benar-benar tahu, betapa ada usaha yang kelihatan kecil pada penerima, namun meruntun usaha yang besar daripada si pemberi.


Maka ucapkanlah sekurang-kurangnya terima kasih, 
sebagai tanda penghargaan.


Dengan itu, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang pernah mengeluarkan wang ringgit, buah fikiran, tenaga, dan apa jua sekalipun, 
untuk saya.


Semua hadiah dan kad, juga bunga serta kudapan yang saya terima, saya ucapkan terima kasih. Semuanya saya hargai kerana ini adalah pemberian dengan usaha. Usaha membelinya. Usaha membalutnya. Usaha membawanya. Usaha menyerahkannya. :)


Komen, mesej, like, share, link, add dan segalanya di FB-FB saya, juga amat saya hargai. Tidak semua dapat saya layan kerana kekangan masa, idea, ataupun tidak perasan, namun amat saya hargai. Jujur. Saya hargainya.


Segala SMS, panggilan mahupun MMS yang dihantarkan ke telefon bimbit saya, terima kasih saya ucapkan atas ingatan. Mohon maaf juga apabila saya tidak membalasnya. Ada masa saya tidak balas kerana kehabisan kredit, ada masa saya tidak membalasnya kerana saya membaca SMS itu ketika mamai. Saya baca, namun tidak larat mahu balas dan tidur kembali. Dan akhirnya lupa. Ada panggilan yang tidak perasan, ada juga yang diabaikan demi menjaga hati orang lain. Namun walau apa jua sekali pun, saya sangat menghargainya. Sungguh.


Kepada semua yang membaca blog ini, meninggalkan komen, menulis sapaan ataupun apa sahaja di ruangan sembang dan menjadi Rakan Budiman saya, jutaan terima kasih saya ucapkan. Setiap yang kamu usahakan, saya hargai. Menaip, berfikir mahu tulis apa, klik ke blog ini dan sebagainya, semua itu saya hargai. Serius. Kamu semua sumber keyakinan saya.


Saya tidak mampu membalasnya dengan kebendaan, namun saya hanya dapat ucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Ucapan ringkas ini sahaja yang saya mampu, namun percayalah, nilai usaha kamu semua adalah sangat berharga.


Tidak dilupakan kepada semua yang terasa hati dengan saya, saya mohon ampun dan maaf kerana menjadi manusia yang teruk kepada kamu semua. Saya lalai, dan saya banyak main. Kadang-kadang saya tidak sengaja, namun itu bukan alasan untuk saya tidak meminta maaf.


Saya sangat menghargai semua yang muncul dalam hidup saya, kerana kamu, kamu dan kamu semua adalah 'cikgu' saya dalam menjalani kehidupan dari hari ke hari.


Insya-Allah, wallahua'lam.


Hargailah setiap saat dan usaha, kerana ada masanya, ia akan terhenti. 


Kamu akan terhenti. 


Saya juga akan terhenti.



9 comments:

Ampuan Awang said...

ternyata ada rajuk yang bakal panjang dalam diari hidup tahun ini... Sabarlah, Husna

Husna Adnan said...

Tuan Ampuan Awang, terima kasih atas nasihat itu... alhamdulillah, rajuk kali ini tidak berpanjangan, kerana sambil saya menulis, saya juga memuhasabah diri. Terima kasih ya tuan kerana sudi menitipkan komen! :D

Juw-one said...

thumbs up!

Shukri Mohd Ali said...

saling menghargai untuk saling menjaga hati =)

Resman said...

Secara peribadinya, feel kita sama di sini. Namun seperti arwah ustaz saya pesan selepas rotan saya sebab main kejar2 dalam masjid hehehe. Resmanshah, dibenci, disayang, dilukai, melukai, itu semua akan kamu lalui hatta insan yang bergelar Rasulullah S.A.W juga melaluinya..Tapi bila membaca part terhenti dan berhenti tu, mengingatkan saya tentang perjalan hidup yang menyakitkan ini. Terfikirkan adakah langkah terhenti dalam kesedihan atau langkah terhenti dalam kegembiraan. Kerana langkah ini sering bermula dengan kesedihan dan penderitaan. Jadi cik Husna. Bertabahlah. Pasal sate kajang tu, takpelah. Biarlah saya yang belanja awak. Ngeh ngeh ngeh sempat lagi tu. K la. Harap kita sempat berjumpa lagi. Kalau tak sempat pun nanti saya suruh sesiapa bagitau saya kat hospital mana. OK salam n all da best...

faizalmukhtar said...

Rilex.

Abang doakan yang baik-baik untuk adik tau... ingat tu ; )

Husna Adnan said...

Terima kasih Juw-one, Shukri, Resmanshah dan FM... saya amat menghargai apa yang kalian komen di atas. :)

Resmanshah, sekarang di hospital mana? Nanti beritahu ya.

kairiel said...

salam semua..
nk jd crita dok sorg2 kt rmh ni x tau nk wt pe2 layan internet lh jwbnya. dh buka internet x tau plak nk cri ape.. taip keja gila..
2 yg bleh jmpa blog ni..
1st time msk blog awk.. syok layan cite keja gila awk 2. hehe.. memang bleh d kategorikn keja gila.
hehe..
lyn keja gila awk bleh jgk mngisi masa sambey merangsang otak n dpt motivasi percuma..
thank

Husna Adnan said...

Salam Kairiel!
Wah, terima kasih kerana sudi baca!
Hahaha! Itu memang kerja gila yang gila!
Terima kasih ya! :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...