03 May 2011

Kasih ibu...


Petang tadi hujan lebat. Petir sabung-menyabung. Guruh tidak berhenti berdentum.


Saya yang gigih membuat kerja sambil berselimut, bangun menuju ke tingkap. Terlupa tingkap dibuka luas tengah hari tadi kerana bilik berbahang. Kalau dibiarkan lebih lama, memang habis lencun karpet di lantai.

Semasa menarik daun tingkap, saya ternampak kereta emak. Kereta emak yang baru lepas membuat pusing U, bagi keluar semula.

Saya terjengah-jengah, hairan juga kenapa emak keluar semula walhal biasanya waktu ini dia sudah di rumah. 

Tangan saya waktu itu masih kejap memegang besi tingkap. Selepas beberapa ketika terkebil-kebil, saya terus teringat. Semalam, emak ada cakap sesuatu kepada saya....

"Dah tak ada apa di rumah ini. Itu saja lauk yang tinggal."

Terus saya terdetik. Mungkin emak mahu ke Tesco.

Saat itu, saya rasa sangat terharu.... 

Titisan hujan yang lebat itu mewakili hati saya, mengenangkan jasa emak untuk kami berlima. Betapa besarnya pengorbanan seorang emak. Sanggup berpatah balik, semata-mata mahu membelikan bekalan makanan untuk kami sekeluarga, walaupun di luar sana sedang hujan lebat.

Bunyi biola tiba-tiba bermain di cuping telinga. Lagu 'Ke Makam Bonda' dendangan UNIC, yang asalnya adalah puisi indah daripada Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang, begitu terngiang-ngiang! 



Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap
 

Emak, dikau insan mulia... Y__________________Y

. . . . .

Lebih kurang pukul 7 petang, terdengar emak memanggil nama saya, minta angkatkan barang. Ya... betul... emak ke Tesco. Banyak barang dapur yang emak beli. KFC pun ada.

Selepas selesai angkat dan susun barang, kami pun duduk semeja, makan KFC yang emak beli. Hati saya waktu itu masih sayu. Mengenang pengorbanan emak. Masih teringat-ingat imej keretanya yang berlalu pergi, ketika hujan lebat.

Tiba-tiba emak membuka cerita. 

"Tesco tak cukup staf. Tadi emak nak beli ikan merah. Cantik-cantik ikannya. Tapi ada seorang staf situ kata, staf yang jadi tukang siang ikan, tak datang kerja. Emak pun tak jadi beli."

Saya senyum-senyum saja. Tetapi hati bergelojak mahu sampaikan rasa hati yang penuh syahdu ini. Lalu saya membalas, 

"Itulah... nampak kereta emak tadi, patah balik. Aaa...."

Belum sempat habis cerita, emak mencelah,

"Emak bukan patah balik. Memang dah balik tadi. Pergi tandas."

T_______________________________T

Nasib baik tak sempat meluahkan isi hati dengan begitu syahdu. "Terima kasih emak kerana sudi keluar semula semata-mata teringat yang rumah ini tiada makanan...." <- Walhal, kalau bukan sebab tandas, emak akan terus ke Tesco dan pulang bawa makanan. Maka, kurang sifat tragis di situ.

Segala biola, puisi Usman Awang semua, sila musnahkan diri sekarang.

Tapi apa pun, kasih ibu dibawa ke syurga, jasanya tetap dikenang setiap masa. Kalau saya, dah balik rumah, tak ada maknanya nak keluar balik.

Sekian. Y_Y


Selamat hari ibu, kepada ibu saya 
juga kepada ibu-ibu di luar sana.

(Ucap awal-awal, sebab kerja dah siap. Sempat nak tulis entri.
 Kejap lagi nak mula kerja lain pula. Sibuk sibuk sibuk. T_T)

Terima kasih sudi baca, 'like' dan juga komen! (^_^)v

6 comments:

Zam Fiesta said...

Esok nak jumpa mak kat Hospital. Huhu

Aman Wan said...

haahaha, kalau buat komik, mesti kelakar ni! Apapun, semoga semua para ibu sentiasa bahagia! (^_^)v

Anonymous said...

kasih seorang ibu tiada tolok bandingnya. entri kali ni membuat ku tergelak seketika dan juga pd masa yg sama, terkenangkan kembali segala jasa ibu sebelum ni T_T

azizah said...

Entri kali ini sungguh comel. Dalam masa mata sedang bergenang, senyum pula muncul di bibir. Cikpuan Husna memang terbaik! :)

Shukri Mohd Ali said...

moga ibu saya aman di sana...al-fatihah.

*cemburu tengok orang sambut hari ibu*

Husna Adnan said...

Zam Diend,
Adakah emak kamu sakit?
Semoga dia cepat sembuh, amin...

Aman Wan,
YOU FEEL ME, BRO!
Hahaha! Hal yang sebenar agak lucu.
Tak tahu nak tulis macam mana.
Apa pun, ya, semoga semua ibu bahagia sentiasa. :D

Shayfiq,
Betul tu...
Mari kita terus kenang jasa ibu kita ya. (^_^)

Cikpuan Azizah,
Oh... :">
Terima kasih ya!
Saya cuba tulis sebaik mungkin!

Shukri,
Semoga ibu awak ditempatkan bersama mereka yang beriman, amin...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...