12 June 2012

Hidup Umpama Bola?



Assalamualaikum.

Pasti kebanyakan yang membaca entri ini tahu, bahawa sekarang ini sedang berlangsungnya demam bola yang membingitkan telinga bagi sesiapa yang tinggal berhampiran restoran mamak.


Dahulu, saya langsung tidak tahu fasal bola, hinggalah dua tahun yang lalu, apabila saya berkenalan dengan jejaka yang amat gila bola, dan semakin tahu jadual perlawanan semenjak setahun yang lalu kerana sudah berkahwin dengan jejaka yang amat gila bola itu. :))

Sepanjang saya kenal Encik Suami yang amat gila bola itu (ulangan kali keberapa ini??), saya belajar sesuatu. Daripada ayat-ayat dia; daripada gaya kecewa dia apabila team pilihan kalah, dan bersemangatnya dia apabila team pilihan menang. Dan daripada match yang dia benar-benar mahu tengok.


"Malam ini boring. Tak ada match best. Malaslah nak tengok."

"Eh malam ini match best! Kena tengok! Mesti lauk team XYZ!"

"Malam ini XYZ lawan ABC. Mesti sengit. Dua-dua power!"


Walaupun saya tidak minat menonton bola, namun anehnya, daripada situ saya belajar sesuatu. Hingga saya dapat kekuatan yang insya-Allah, mampu menenangkan hati saya yang masih terisi 1001 persoalan.

"... boleh jadi kamu benci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu sedangkan ia buruk bagi kamu, dan (ingatlah) Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu) sedangkan kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah, ayat 216)

Perlawanan bola sepak. Antara satu negara, dengan satu negara. Antara satu pasukan, dengan satu pasukan. Dan semestinya, akan ada yang menjadi tukang sorak. Sokong satu-satu kumpulan, dan benci kumpulan yang lain. Namun perasan tak? Biasanya pasukan yang dibenci ini, bukanlah pasukan cap ayam yang lemah-lemah itu, tetapi pasukan yang hampir sama hebat (ataupun lebih hebat) daripada pasukan pilihan. 

Pasukan suam-suam kuku, mana ada penyokong pasukan lain nak bersengkang mata demi mereka. Tidur lebih baik. Tetapi pasukan hebat, walaupun lawannya bukan pasukan pilihan, sanggup letak batang mancis pada kelopak. Kena selidik semua taktik, kena fokus semua sepakan, supaya dapat dijadikan perbualan esok. Kalau tiba-tiba pasukan hebat kalah, meriahlah sindir-menyindir antara penyokong pasukan lain yang memang dah lama berbulu dengan pasukan hebat itu. Kalau menang, sama ada senyap sunyi seperti tiada apa yang berlaku, ataupun kena maki juga tak pasal.

Samalah dengan kita. Apabila kita kuat, memang akan ada yang membenci kita. Maki hamun, caci maki, mengadakan cerita supaya kita nampak lebih teruk daripada realiti. Namun sekiranya kita ini bukan sesiapa, tiada siapa pun peduli di mana kita makan, apa kita buat, apa kita reti dan tak reti. Nampak? 

Apabila ada manusia yang tidak senang duduk dengan apa yang kita buat, walaupun kita tidak usik pun hidup dia, bermakna dia sebenarnya rasa terancam dengan kekuatan kita. Kita yang dihina-hina ini, layak pula dijadikan pesaing. Tidakkah lucu mereka ini?

Maka apabila kita rasa annoying dengan orang macam ini, terus bisikkan dalam hati, bahawa kita ada sesuatu yang mereka tiada. WE ARE FABULOUS. Bukan kerana kita ini malang takdirnya, ataupun kita seburuk seperti yang dikata. Jadi, abaikan sahaja mereka, dan teruskan hidup.  Yang penting, hargai mereka yang menghargai kita. Banduan di dalam penjara itu pun ada yang sayang, inikan pula kita yang mahu bunuh semut pun tidak sampai hati.

Geddit?


P/S: Selamat datang ke sini, bagi mereka yang meraikan bahagia. :)

7 comments:

Mu'az Azmi said...

penuh bermanfaat entri ini ^_^

p/s: saya sokong spain untuk euro ini.. suami cik husna sokong apa?? hehehe

Zera Ghazali said...

saya sokong sepanyol! anda bagaimana? hahaha *dh macam artis yg buat iklan kt tv3 tu ;)

Husna Adnan said...

Terima kasih sudi baca! Haha! Dapat ilham semasa suami sibuk belek jadual bola semalam.

Ui, dua-dua di atas sokong pasukan yang sama! Suami kata dia tak sokong mana-mana. Dia sokong Malaysia, haha. Saya? Saya sokong Selangor. Dan Messi. Tapi dua-dua tak main Euro. :')

~ NANA ~ said...

suka entry ni :)

i sokonggg german :P

Husna Adnan said...

Waaaa Nana pun tengok bola la! Haha.

a little less conversation said...

wah bagus tul lah ko sna, mengaitkan isu bola dengan isu yang sudah lama wujud dari dulu iaitu sifat hasat dengki..huhu

wah lama dah tak jenguk blog ni..kalau sesekali jenguk blog + komen sini ada dapat hadiah tak? hahahha

Husna Adnan said...

Tetiba dapat ilham la, Rafi... hehe. Terima kasih sudi jenguk blog ni. Nah, ambillah ucapan terima kasih tadi dengan tangan terbuka, hehe.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...