27 August 2016

Kerana Sebiji Ultraman

(#throwback status FB bertarikh 7 September 2015)
.
Kisah ini aku peram, kerana terasa ianya kisah untuk kami sahaja.
.
Hinggalah tadi, apabila sahabat meluahkan rasa kesalnya, kerana beberapa kali menolak peluang menambah pahala.
.
Maka... izinkan aku berkongsi dengan kalian.
.
.
.
Dalam sebulan lepas, kami parkir di hadapan sebuah klinik di Bangi kerana perlu berjumpa dengan salah seorang petugas di situ.
.
Baru sahaja park kereta, datang seorang lelaki berkopiah; berdiri di tepi pintu co-pilot.
.
Waktu itu aku yang memandu, manakala suami duduk di sebelah.
.
Kami sangka lelaki itu mahu bertanya arah. Berpakaian kemas, bukan orang tempatan, dan tidak lekang memberi senyuman.
.
Suami pun menurunkan cermin tingkap.
.
Lelaki berkopiah itu terus memberi salam, lantas berbicara dengan bahasa Inggeris yang pekat loghat Timur Tengah.
.
"Masya-Allah brother, masya-Allah sister. I am here to sell Quran for wakaf, for childrens in Palestine."
.
Aku pandang suami, suami pandang aku.
.
Kini jelas dan nyata, lelaki berkopiah rupa-rupanya mahu meminta sumbangan derma.
.
Aku buka dompet, ada beberapa helai not. Paling kecil adalah RM10, dan entah kenapa tangan aku punyalah laju pegang RM10 tadi.
.
Tetapi tangan aku terhenti walaupun not merah sudah terjengul dari dompet.
.
Aku pandang suami. "Macam mana? Duit ni nak pakai, nak beli shawl dan Ultraman Afia."
.
Suami pun membuka dompet. Suasana dompet beliau lebih sayu kerana ada seringgit sahaja.
.
Memang rancangnya akan ke bank selepas ini, tetapi dalam perjalanan balik nantilah. Aduh... punah, punah.
.
Namun dihulurkan juga seringgit tadi, seikhlas hati.
.
Muka lelaki berkopiah sedikit kelat walaupun tetap juga menerima RM1 dari tangan suami.
.
"Masya-Allah brother, masya-Allah sister, minimum for a Quran is RM20." Waktu ini jemari lelaki berkopiah sudah melangkau masuk ke ruang kereta.
.
Muka suami dah bengang. Terancam juga dengan gaya lelaki tersebut.
.
Aku pulak naik angin.
.
"That's the amount sincerely from our heart." Hahahaha belasahlah aku cakap English terabur, hati dah panas tak sempat nak Oh My English sangat. Padahal dalam BM, nak kata "Tu je yang ikhlas."
.
Tetapi lelaki berkopiah dok tuding-tuding tangan aku yang masih pegang not RM10.
.
"Masya-Allah sister, masya-Allah brother. There's a reason why Allah meets us here. Today. There's a reason why I meet you." Jari dia dah tuding ke muka aku.
.
Terbaik betul skrip derma dia ni. Sampai rasa muka ditampar dengan rantai basikal.
.
Aku pun pandang suami. "Kasi sajalah eh. Saya pun dah lama tak sedekah. Kita ikhlaskan je la."
.
Suami aku cuma balas, "Ikut awaklah."
.
Aku pun pandang lelaki berkopiah, dan hulurkan RM10 dalam ikhlas tak ikhlas.
.
Walaupun minima RM20 katanya, dia terus berlalu riang selepas mengucapkan terima kasih dengan RM11 kami.
.
"Ya ke tidak wakafnya tu. Tak apalah, kita ikhlaskan diri. Saya dah lama tak sedekah." Aku ulang lagi ayat memujuk diri.
.
Terus kami ke salah sebuah butik di Bangi Sentral. Teruskan juga misi mencari shawl, dengan duit berbaki. Belikan Afia kek dan air, belanja abahnya sekali.
.
Naik pula ke butik lain.
.
Aku kata kepada Afia, "Nanti ibu belikan Ultraman eh. Nanti ibu cocok duit."
.
Sedih sebenarnya, sebab dah banyak kali Afia mengalah. Tiap kali pergi mall, mesti dia ambil Ultraman. Disebabkan itu mainan lelaki, kami suruh letak balik.
.
Dalam bentak, tetap juga Afia letak.
.
Anak yang baik, pada waktu ibu redha akan pilihan engkau... bajet sudah berlari ke Palestin. Y_Y
.
Dalam aku melayan perasaan, Afia dah berlari ke satu sudut butik yang memang disediakan khas untuk bebudak bermain.
.
Selepas tengok-tengok keliling butik, aku pun ajak balik.
.
Laju je budak kenit itu dengar cakap. Hmm... aku dah rasa lain macam.
.
Sah!
.
Pada tangan dia ada dua patung mainan.
.
Satu Ultraman, satu lagi Spiderman. T,T
.
Adoi, Ultraman itu pengaruh Upin Ipin. Ultraman Ribut. Yang Spiderman ni datang dari mana sampai nak dibawa balik.
.
Suami aku terus tegah, "Afia, letak balik. Bukan Afia punya. Nanti kita beli lain."
.
Tiba-tiba pekerja butik di kaunter membalas, "Tak apa bang, boleh ambil. Mainan situ memang kami kasi budak ambil."
.
Ya Allah. Aku terdiam.
.
Sudah beberapa kali kami datang butik ini. Tiap kali pun berperang waktu ajak Afia balik. Ruang yang bagaikan magnet bebudak.
.
Tetapi hari itu, benar-benar rezeki Afia.
.
Benda mungkin nampak kecil, tetapi aku betul-betul rasa sayu. Rasa nak menangis. Lebih-lebih lagi tengok Afia bahagia dapat bawa Ultraman lusuh itu balik bersama.
.
Ya Allah. Terngiang ayat lelaki berkopiah. "There's a reason why Allah meets us here. Today."
.
Pengalaman ini amat mahal. Aku belajar banyak. Tidak kira ke mana sedekah kita tadi, yang penting kita sudah berikan bahagian yang bukan milik kita. Tidak miskin orang yang bersedekah, kata ustaz.
.
Nota: Inilah Ultraman yang direzekikan kepada Afia. Terima kasih Allah atas pengajaran yang tidak ternilai. *nangis*
.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...