27 August 2016

Penjual Buku vs Penjual Asam

(#throwback status FB bertarikh 13 September 2015)


Semalam di restoran, datang seorang wanita muda bersama buku-buku di tangan menghampiri kami yang baru selesai hantar pesanan makanan. Beliau beri salam, dan memperkenalkan diri.
.
"Saya wakil dari Penerbit ABC di ******, izinkan saya ceritakan kepada akak berkenaan buku terbitan kami."
.
Oleh kerana kami tidak berminat, aku senyum dan menolak baik. "Tidak mengapa, dik. Terima kasih ya."
.
Dengan senyum yang belum lekang, wanita muda itu tetap tidak berganjak. "Tak apa, kak. Akak tak beli pun tak apa. Saya terangkan."
.
Entah berapa banyak dialog tarik-tali yang berlaku. Akhirnya aku membalas, "Kasihan adik kena cakap panjang lebar. Tidak mengapalah."
.
Pergh!! Tetap dihulur buku-buku kepada aku. Suami dah buat frozen layan telefon bimbit. Aku pun layankanlah dengan bisikan minda yang pelbagai.
.
Selepas selesai penerangan dua buah buku, wanita muda itu mengucapkan terima kasih dan menjemput kami ke pejabat sekiranya berminat pada lain waktu.
.
Kami pun mengangguk.
.
Sebelum beliau berlalu, sempat aku bertanya, "Dah berapa lama buat kerja ni?" Hayoooh terasa seperti soalan yang biasa diajukan kepada penagih dadah dalam drama Melayu. T_T
.
"Baru 8 bulan, kak." Kali ini beliau terus berlalu apabila melihat ada satu lagi keluarga masuk ke restoran itu.
.
.
Teringat waktu cuti sem duluuuuuu. Aku pernah kerja di kedai makanan ringan di Tesco Kajang. Yang jual asam, maruku, biskut itu.
.
Tugas aku: Pepagi lap bekas yang berderet, ambil mangkuk kecil dan letak sedikit tester, kemudian berdiri di depan kedai sambil hulurkan mangkuk kepada manusia lalu-lalang.
.
Hampir semua ambil asam di dalam mangkuk, tetapi terus berlalu.
.
Seorang lagi pekerja di situ, turut berjaya membuat pelanggan rasa, DAN berjaya tarik mereka masuk ke kedai.
.
"Ada lagi banyak pilihan di sini, kakak. Masuk abang, semua sedap-sedap." Dalam masa 5 minit, sudah beberapa pelanggan masuk ke kedai dan membeli berplastik-plastik. Power kakak ni.
.
Aku? Masih berdiri dengan pipi merah. Sengih-sengih hulur mangkuk sambil pandang kiri kanan.
.
Tetiba terasa muka bagai disimbah minyak panas. Terus aku kemas beg, dan berlari ke motor sambil telefon bos besar. "Bos, saya berhenti."
.
Itulah pekerjaan paling singkat pernah aku alami.

15 minit. KAKAKAKAKA.

Hanya selepas ternampak jiran setaman bakal lalu di depan kedai bersama anak-beranak seramai lima orang. ... Hanya kerana segan tidak tentu pasal. Bukannya ditempelak dan dihalau pun.
.
Tetapi wanita muda dan kakak penjual asam? Berapa banyak penolakan baik hatta kasar dengan ayat menghina yang pernah mereka hadapi? Bagaimana mereka begitu tenang dan teruskan misi?
.
.
Akhirnya aku diajar sesuatu.
.
Kerja sebegitu bukan sekadar jual beli. Pengalaman hidup ini bukan 2D.
.
Ia mengajar pengurusan emosi. Mengajar menjadi berani. Kadang ada perkara perlu kita fikir 3D. Ada tersurat, ada tersirat. Banyak kena tanya iman, tanya akal, tanya hati.
.
Betapa 'alah bisa, tegal biasa' itu hanya manis bagi yang setia. Setia menghadapi segala cabaran di luar zon selesa.
.
"Siapa dijentik awal, dia berani awal." JonyDeep
.
.
Husna Adnan,
Masih kurang berani depan orang ramai. (^,^')
.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...