Kisah 1:
Sesuatu yang mengejutkan berlaku pada saya dan keluarga pada hari Jumaat yang lalu. Pada jam 3.00 petang waktu Malaysia, saya yang berada di dalam bilik mendapat panggilan daripada nombor emak saya, tetapi suara adik pertama saya yang kedengaran. Bunyi seperti di dalam kereta, sedangkan tadi mereka berdua sedang menonton televisyen. Sah, ada sesuatu sudah berlaku.
Sama seperti ketika saya diberitahu bahawa motor kesayangan saya sudah hilang.
Saya seperti tinggal di kawasan yang berlainan dengan keluarga saya kerana saya sering dihubungi melalui telefon sekiranya ada apa-apa berlaku. Termasuklah sekiranya diminta mengangkat kain kerana hari mahu hujan. Sedangkan saya hanya berada di dalam bilik. Bilik saya di tingkat atas, sama aras dengan bilik adik-adik saya, manakala bilik emak dan bilik kakak sulung saya di bawah.
Perenggan pertama di atas kelihatan saya seperti tinggal di Dublin.
Okey, mari teruskan cerita.
Kali ini saya mendapat panggilan telefon yang mengatakan adik bongsu saya kemalangan. Bukan kereta langgar dia. Dia yang langgar kereta. Kereta itu sudah berhenti di simpang, tetapi dia tidak perasan hingga terperosok ke bawah kereta.
Ketika di bawah kereta, rakan-rakannya berlari mendapatkannya, dan bertanya sama ada dia boleh keluar ataupun tidak. Satu respons positif kerana dia mampu bercakap tetapi dia kata dia tidak boleh keluar sendiri. Maka dia dikeluarkan dari bawah kereta oleh rakan-rakannya, dan ketika itulah darah membuak-buak keluar dari mulutnya. Sangat ngeri kerana darah itu sampai berbuih dan dia menggelupur sebelum pengsan ketika diangkat naik ke dalam ambulan. (Seperti yang diceritakan oleh rakannya kerana pada waktu kejadian, saya di? Ya, tepat sekali. Saya di dalam bilik.)
Seterusnya selepas mendapat panggilan itu, saya dan kakak menuju ke hospital, terus ke unit kecemasan. Emak dan adik pertama saya sudah berada di situ, di samping beberapa rakan adik bongsu saya. Saya telefon kakak kedua saya yang sudah berkahwin itu. Dia juga terperanjat dan bergegas ke hospital bersama abang ipar.
Sambil menunggu keputusan doktor, menangis jugalah beberapa kali, kerana ada etika berbual yang tidak sesuai dilangsungkan oleh kakak dan adik pertama saya. Bayangkanlah, adakah patut ketika saat cemas itu, adik pertama saya menyamakan situasi adik bongsu saya dengan rakan sekelas saya yang berbangsa India, yang terperosok di bawah kereta, dan diakhiri dengan kematian. Rasa seperti hendak baling selipar ke muka dia. Emak saya yang sudah reda, menangis kembali. Sangat gila itu budak.
Saat itu, memang rasa seperti satu babak dalam drama Melayu di TV1. Duduk berderet, senyap, tangan pegang tisu dan telefon bimbit, rasa hendak meluahkan rasa pada seseorang tetapi tidak tahu siapa, memandang semua doktor dan jururawat yang keluar masuk dengan harapan mendapat berita terkini tetapi hampa, dan terus menunggu dalam kesenyapan.
Alhamdullilah, pada jam hampir lima petang, doktor keluar dan mengatakan adik bongsu saya tidak apa-apa. Tiada tulang yang patah, paru-paru semua okey, cuma leher dan paha bengkak, dan beberapa bahagian badan yang tersiat kulitnya. Ketika adik saya diusung keluar, suasana bertukar menjadi drama Cina TV2 kerana di belakang kami ialah puluhan rakan-rakan adik bongsu saya. Seperti babak ketua samseng yang diusung keluar dan diiringi konco-konco. Sangat bergaya.
Saat itu juga, hati saya dijentik kekaguman. Tadi hanya ada beberapa orang, tetapi ketika diusung, rasanya ada lebih kurang 20 orang rakannya mengiringi. Memang ramai! Adik saya itu bukan budak lelaki yang sangat baik, samalah dengan kakaknya ini, tetapi dia baik pada rakan-rakannya. Persahabatan sesama lelaki memang menakjubkan.
Susulan pertama kisah 1:
Semalam, saya bergilir dengan emak saya yang sudah bermalam di wad bagi menjaga adik bongsu saya itu. Kasihan emak... matanya sembap, kulitnya yang putih itu bertambah pucat. Tidak selesa sebenarnya di hospital itu. Terlalu kecil dan penjaga hanya diberikan kerusi plastik seperti di kedai makan. Mahu tidur bagaimanakah?
Selepas emak saya pulang, saya menjaga adik saya sambil membaca pruf. Bosan juga duduk saja, sementara adik saya sedang tidur.
Tiba-tiba pak cik katil hadapan memanggil jururawat. Saya yang duduk bertentangan dengannya, rasa hendak pitam. Perut pak cik itu sedang mengalir darah dengan anggunnya. Saya terus memandang manuskrip yang saya pegang, dan berharap hari akan berlalu dengan pantas. Duduk di hospital bukan sesuatu yang menarik, walaupun doktor-doktornya muda dan hensem. Udaranya ada perasaan berkuman, berbau ubat, dan darah di sana sini. Plus, situ ada kucing lalu lalang di bawah katil pesakit. Relek, bukan?
Petang semalam juga, adik saya sudah dibenarkan pulang ke rumah. Alhamdulillah... adik saya kuat. Dia kuat seperti saya. *Bergerak dan memasuki bakul perlahan-lahan*
Sebenarnya, untuk menjadi manusia yang kuat, perlu kuat di hati dan di minda. Bukan sekadar ke gim dan mengangkat besi-besi itu. Kita perlu positif. Sekiranya kita putus asa dalam hidup, kita akan terus dalam kesakitan dan kemurungan. Walau sesakit mana situasi itu, kita perlu pujuk diri kita yang semuanya pasti akan okey. Pujuk dan yakin. Tidak perlu tipu diri kita. Menipu lebih parah. Apa aku bebelkan ni?
Susulan kedua kisah 1:
Ada satu kejadian di hospital, membuatkan saya terkenang waktu kenduri kakak kedua saya. Persamaannya adalah, saya tidak dikenali oleh masyarakat. Ketika kenduri kakak kedua saya, saya tidak dikenali sebagai ahli keluarga saya. Mungkin hanya pembantu bagi melancarkan majlis, sedangkan saya adik kepada pengantin. Saya yang berdiri di sebelah emak, sering tersenyum pasrah apabila ada tetamu bertanya kepada emak saya, "Anak kau berapa orang? Yang kahwin ini yang kedua. Yang tu yang sulung. Anak perempuan kau tiga orang kan? Mana yang satu lagi?"
Yaaa... menarik sekali. 'Mak cik, sayalah anak ketiga itu.'
Ketika di hospital, ada seorang rakan adik bongsu saya yang juga jiran lama kami datang melawat bersama ibunya. Saya salam ibunya, tanpa mengetahui, dia telah berbisik pada adik pertama saya. "Itu kakak kamu juga ke? Kenapa macam tak pernah nampak?"
Saya rasa saya memang perlu duduk di Dublin.
Saya tidak akan bersedih kerana tidak dikenali! Saya berfikiran positif. Antaranya:
a) Saya berpisah dengan keluarga demi hidup berdikari terlalu lama hingga tidak dikenali.
b) Dulu saya comot. Kini apabila saya sudah dewasa, saya sangat berbeza kerana saya semakin jelita hingga tidak dapat dicam oleh mereka lagi. Kes The Ugly Duckling yang menjadi angsa yang gorgeous.
*Masih duduk di dalam bakul sambil meniup buih-buih riang.*
Hidup yang penuh pancaroba. Tetapi menarik.
Kisah 2:
Semalam, sebelum tidur, saya memakai earphone dan mendengar radio. Ada sebuah stesen radio yang sedang menunaikan permintaan lagu pendengar. Saya terus teruja hendak menghantar permintaan lagu. Hahaha! Kredit banyak, bukan guna pun. Tetapi saya terlepas dengar nombornya. Maka saya simpan sahaja. Tiba-tiba selepas lagu InTeam yang sedap itu, DJ sebut lagi nombornya. Saya terus taip, dan mengarang permintaan lagu. Jam 10.48 malam, saya hantar SMS pada stesen radio itu. Jam 10.49, dapat ucapan terima kasih kerana mendengar slot itu. Lalu saya teruskan dengar, tetapi saya tahu, saya sering tidak bernasib baik.
Selepas mendapat SMS itu, DJ kata, slotnya sudah hampir tamat. Jam 11 malam akan bertukar kepada slot lain. Saya tidak pernah dengar slot itu, jadi manalah saya tahu sudah hampir tamat. Saya tergelak. Tak apalah, memang sekadar mahu mencuba.
DJ pun baca SMS, daripada Labah-labah apa entah, nama samaranlah tu. Selesai baca SMS daripada Labah-labah, DJ ucap selamat malam, tiba-tiba, DJ ITU BACA SMS SAYA!!! Hahahaha! Saya sangat gembira! Dan saya melelapkan mata dengan senyuman kerana dapat mendengar lagu permintaan saya... Sangat manis... hik hik hik. Pandai DJ itu buat surprise.
Kesimpulan:
Cuti tiga hari ini dipenuhi dengan drama kehidupan yang mendewasakan. Ada manis, ada tidak. Jumaat ketika keputeraan Sultan Selangor ada drama kehidupan, Jumaat Maal Hijrah juga ada. Harap Jumaat ketika Krismas itu tidak ada lagi kerana... nantikan entri seterusnya! Hahahaha!
Kalian bacalah kisah-kisah di atas berserta susulannya. Buatlah kesimpulan sendiri. Saya main tulis sahaja, tidak ada idea mahu kaitkan walaupun saya rasa macam ada kerana saya perlu bersiap untuk ke majlis perkahwinan rakan serumah saya. Ambil yang jernih sahaja ya? Sikap masuk bakul itu jangan ditiru. Saya memang gemar berbuat demikian kerana ia menyedapkan hati. Hahaha!
Sehingga berjumpa lagi! Sebelum berpisah, kawan-kawan, mohon aminkan doa saya. "Ya Allah, semoga minggu-minggu hadapan dipermudahkan urusan buat Husna sekeluarga. Amin...." Saya tahu semua yang terjadi ada dua kemungkinan, tetapi yang ini, saya mohon dipermudahkan. Saya mahu 2009 diakhiri dengan manis. Tolonglah....
Sayang kalian! Assalamualaikum! Cuti baik-baik! Bye!
13 comments:
Amin, semoga tahun ini berakhir dengan manis =)
p/s: Yang pahit jadikan pengajaran dan teladan.
Kasihan emak Husna...mesti dia risau sangat2 ketika itu...kamu juga pastinya...harap kalian dah pulih dari kejutan ini...
Emm...there must be a lot among ur friend who is willing to share things with u...and so do I, Husna...u r not alone :)
"Ya Allah, semoga minggu-minggu hadapan dipermudahkan urusan buat Husna sekeluarga. Amin...."
Take care ya Si Jelita yang gorgeous...semoga tahun 2009 si gadis manis ini diakhiri dengan manis juga...hehe ;p
Amin....
Semoga dipermudahkannya.. Amin.. x)~
Oh..begitu ke kisahnya...
Sgt terperinci gambaran cerita.
Sambil baca kisah ni siap ada lakon layar dalam kepala aku...
"Ya Allah, semoga dipermudahkan segala urusan buat Husna sekeluarga & buat keluarga ku juga. Amin..."
p/s:rindu keluarga,umah & kawan2 sekalian...iskk T_T
ugly duckling bertukar menjadi angsa yang gorgeous?
wowww
*terkejut*
(sna masih didalam bakul kah?)
ahahaha
Ilyas,
Terima kasih atas doa itu.
Semoga tahun ini berakhir dengan manis juga buat awak. (^_^)
Vodlafin,
Ya, emak saya sangat kasihan.
Tapi rasanya kami semua sudah okey.
Cuma pening fikir hal sampingan saja.
Harap kami semua dapat tempuhi dengan tabah.
Terima kasih atas doa itu!
Saya juga doakan semoga segala urusan awak sekeluarga dipermudahkan.
Dan ya, si manis perlu manis sentiasa.
Hahaha! Terima kasih! (^_^)
En. Wahyudin,
Terima kasih kerana mengaminkan.
Saya doakan urusan tuan juga dipermudahkan. (^_^)
Man,
Terima kasih juga!
Semoga semua urusan Man juga dipermudahkan! (^_^)
Ai,
Terperinci sangat eh?
Hahaha! Aku tak pandai nak tulis pendek-pendek. Hihi.
Dan terima kasih atas doa itu!
Aku doakan segala urusan ko dan keluarga juga dipermudahkan!
Beb, nanti cuti bulan Jan, cuti puas-puas tau! Miss you too! (^_^)
Rozhan,
Hahaha! Saya masih di dalam ni.
Rasa macam tak nak keluar. Hehehe. (^_^)
Terima kasih semua yang mengaminkan doa saya! Sayang semua! (^_^)
amin..kem slm kat adek ko..moga die cpt sehat..aku tgk die sjk dr gemok2 dlu..hehehe..mgkin lps ne ko ptt lkatkan IC ko di pp belah kiri..aku yakin akn berjaya..haha
Terima kasi, Dayah!
Insya-Allah, nanti aku sampaikan salam ko.
Dulu dia gemok gile kan?
Aku ada gambar dia bergambar ala askar yang poyo dan gemok.
Sekarang sekeping. Apahal.
Eh, idea ko lekat IC di pipi itu aku tidak mahu melakukannya.
Kerana, ia akan menjejaskan pemerah pipi yang aku pakai. Hahaha!
Mungkin jadikan rantai seperti 4U2C menggantungkan CD pada leher suatu ketika dahulu.
terlebih dahulu,
Ya Allah, semoga minggu-minggu hadapan dipermudahkan urusan buat Husna sekeluarga. Amin....
hehehe...sungguh seronok membaca cerita husna...sangat terperinci tapi sangat menarik juga.ada sedih tapi diselang-selikan dengan lawak2 yang agak kelakar dan membuat saya tersenyum lebar seorang diri sehinggakan menjadi bahan lawak kepada rakan2 saya(huh..sesungguhnya mereka tidak berada ditempat saya.jika tidak sudah pasti mereka akan mengguling2kan diri di lantai seperti tenggiling)..tapi kan husna, saya rasa mungkin cerita tiada rekaan husna ini boleh dijadikan idea buat producer2 filem...hmmmm(mengoyang2kan kaki dan mengecilkan mata sambil memandang keluar tingkap..untuk mengambil feel jika cerita ini dijadikan filem)...oh tidak...ia mengambil masa terlalu lama..saya harus segera keluar makan dahulu..bye husna..
Terima kasih ..SmiLiN'...!
Wah, terharunya saya membaca komen awak yang begitu membuatkan saya terus berada di dalam bakul yang indah ini. Hahaha! Terima kasih juga atas doa itu. Semoga awak sekeluarga juga dipermudahkan segala urusan.
Nak filemkan kisah hidup saya yang penuh drama ini ke? Hahaha! Boleh2... asalkan Lisa Surihani setuju pegang watak saya, saya pasti benarkan! Hihi.
kakakakakakkakakakakakakakak..lawak2..gantung kat leher make sure IC 2 da diframekan..serius adek ko dlu gemok!!skrg kurus..berkat kwad kaki kot..kesannye 2 3 thn lps 2..haha
Hahahaha! Berkat kawad kaki zaman bila tu?? Kurus sebab makan hati kot.. hahaha.
Post a Comment