07 December 2009

Monolog.

Selesai baca buku kedua yang dibeli kerana minat mengejar realiti.

Saya perlu fikir kembali olahan kedua-dua buku itu, sebelum mengejar realiti dalam buku yang lain pula. Hebat. Dua buku dalam masa empat hari. Bagi sayalah. Ada yang mampu satu buku, tebal bagai nak gila, pun habis baca dalam masa sehari. Saya tidak mampu begitu. Saya tidak mahu melambai satu perenggan dengan bayangan mahu memahami perenggan seterusnya sedangkan perenggan yang dilambai itu, satu patah pun tidak masuk.

Rumit hidup ini sebenarnya.

Tadi kucing jiran yang macho itu muncul dari celahan langsir tingkap. Kepalanya digeleng-geleng dengan laju. Hairan juga. Telinganya gatal barangkali.

Ia menuju ke katil dengan pantas. Saya, apabila si kucing macho itu melakukan tindakan sedikit agresif, saya juga pantas mengelak. Dia banyak kali berpura manja, mengejar kita yang mengekek berlari, dan diakhiri dengan cakaran kurang manja dan gigitan di betis. Sungguh ngeri.

Ia naik ke atas katil. Gaya jalannya pelik. Saya perasan, matanya bengkak sebelah. Saya beranikan diri mendekati... oh, ada luka dan kulit tanpa bulu. Baru bergaduh agaknya.

Ia ke hulu, kemudian ke hilir di atas katil. Saya sudah beberapa kali mengubah duduk sambil membawa buku yang hampir khatam dibaca. Dia ke kiri, saya berganjak ke kanan. Dia ke kanan, saya bangun memerhati. "Kenapa dengan kau, Mok?" Biasalah. Simptom ketiga tiada teman sebilik. Bercakap dengan haiwan. Selepas bercakap dengan dinding. Dan mengacau ketenteraman emak.

Memang tidak keruan perbuatan kucing macho itu. Rasa kasihan pun ada. Saya tahu ia kepedihan kerana luka dan bengkak di kepalanya. Tetapi saya jadi cemas, kerana saya tidak tahu bagaimana mahu membantunya, dan adakah saya akan dicakar ketika membantunya kerana dia kesakitan?

Lalu saya buka pintu, dan mengumpannya turun ke dapur. Saya teringat diri saya. Apabila saya sakit, tidak kira 'hati' mahupun bukan hati, saya akan manjakan perasaan saya dengan makanan manis. Dan ke dapurlah saya, menuang susu segar untuk Gemok. Sepanjang ia minum, memang tidak nampak tanda ia dalam kesakitan.Tiada garuan yang pedih, tiada gelengan kepala yang deras. Saya fikir, kemanisan susu itu sudah melalaikannya. Saya harap ia kenyang dan tidur, maka sepanjang ia tidur, proses penyembuhan boleh berlaku. Jika kukunya terus menggaru, bila masanya luka itu bisa kering?

Tetapi tidak berjaya.

Gemok ikut saya yang beralih mahu ke bilik semula. Hati saya penuh dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak, berdiri tidak mungkin membolehkan buku itu khatam dengan baik.

Saya berhenti daripada menaiki tangga. Memang berdebar dada apabila makhluk yang kita sayang sedang dalam kesakitan tetapi kita tidak tahu mahu buat apa. Malah ia tidak dapat menjawab apa yang boleh mengurangkan kesakitannya.

Saya tekad.

Saya ambil kain, saya ambil ais, saya pakai sarung tangan yang biasa orang pakai ketika mengeluarkan kek dari ketuhar, dan mencari Gemok.

Dia sedang duduk di tepi sliding door. Matanya dikecilkan, mungkin menahan pedih. Saya tolak ia ke pintu, mahu ia baring, dan perlahan menekap kain berisi ais pada lukanya. Memang takut. Serius saya takut. Saya takut ia akan bertindak agresif dan mencakar saya. Cukuplah cakaran yang baru saya terima daripada Si Putih tempoh hari ketika ia cuba untuk duduk di atas ribaan saya. Sarung tangan yang dipakai itu mungkin tidak begitu membantu.

Beberapa kali Gemok menukar duduk, tetapi ia diam ketika ais menyejukkan kawasan lukanya. Tetapi, kucing... kena hujan pun sudah bertempiaran lari, inikan pula lukanya ditekap ais. Apabila pintu kayu dibuka oleh adik saya, Gemok berusaha untuk lari keluar. Saya tidak boleh berbuat apa-apa, melainkan membiarkan dia pergi.

Kucing. Mana boleh berkata-kata.

Macam baby.

Saya rasa... saya dapat rasa secebis rasa cemas ibu bapa apabila bayinya dalam keadaan tidak senang. Apa yang tidak kena? Apa yang perlu dibuat? Inikah yang perlu dibuat? Buat macam ini, ataupun macam itu? Sekarang ke, nanti? Saya ke, awak?

Baby.

Kepada bestfriend saya dan semua yang bakal melayari bahtera perkahwinan, good luck!

Rumit hidup ini sebenarnya.


Yang masih bersekolah, serius. Belajarlah dahulu.

Hidup bukan semuanya suka-suka.

6 comments:

aKu NaKaL said...

Good luck sna x)~

MOnSter KEkhai said...

huhu...satu pahala walau niat ada..umm...

Vodlafin said...

ais? kenapa tak letak minyak gamat je? =)

wow...2 buku dalam 4 hari?...average Malaysian baca 1 buku setahun...hebat la kamu ;)

wahyu deen said...

Hebat...!!!

drbubbles said...

Respon kepada ayat-ayat terakhir:

"Baik Cikgu Husna!".

Sna La La said...

Man,
Ha ha! Ya, good luck to you too.

MOnSter KEkhai,
Mudah-mudahan.

Vodlafin,
Memang selalu letak minyak Gamat, tapi M.I.A pula. Mana entah letak.
Haha! Itu average Malaysian.
Kasihan pada yang baca berpuluh buku sebulan.
But hey, thanks for your support!
Memang bangga dengan pencapaian hidup. Haha!

drbubbles,
Tak sesuai okey, Tuan Iskandar.
Hehe.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...