Salam semua! Selamat berhujung minggu! (^_^)
Saya kurang sihat hari ini, maka saya sekali lagi tidak dapat turut serta program Baca@LRT yang sungguh berdedikasi itu. (Sekiranya kawan-kawan klik pada pautan itu tetapi yang muncul adalah page yang membuatkan kawan-kawan terdetik "Ini apa maksud?", sila maafkan saya dan beritahu saya ya? Saya akan berikan maklumat lanjut berkenaan gerakan ini.)
Malah sekali lagi, saya perlu menyiapkan satu lagi buku sempena pesta buku ketika hujung minggu. T______T Mari doakan supaya saya kuat dalam menjalani tanggungjawab yang memakan kebebasan hari minggu saya. Jangan maghah bos saya kerana bos saya tidak memaksa saya melakukan semua ini. Yang memaksa saya adalah pesta buku. Wowowo! Esok ada kursus pula! (Yang didaftarkan atas sifat gatal kerana menyangka minggu kali ini sudah lapang.) Hoyehlah! Memang saya akan menjadi sawi rebus.
MAKA MARILAH MEMBELI BUKU-BUKU PTS ONE KERANA SAYA DAN TIM SUDAH BERUSAHA GIGIH!!! *menangis sambil berguling-guling dengan hebat*
Okey, Husna, sila bertenang.
(^_^)
Apa pula perkongsian ilmu buat kali ini?
Ya... kali ini agak penting juga kerana kesalahan yang bakal saya terjah adalah kesalahan yang biasa rakyat jelata lakukan dengan sangkaan mereka di pihak yang benar.
Mari mulakan!
Was-was, iaitu perasaan ragu-ragu, contohnya apabila Rob Pattison melamar menjadi suri hidupnya, selepas Justin Timberlake melakukan perkara yang sama satu saat yang lepas, maka timbul perasaan ragu-ragu sama ada mereka melamar kerana rupa paras seperti Jessica Alba ataupun kerana cinta yang murni datang dari hati.
Ejaan sebenarnya adalah waswas. Tiada tanda sempang/sengkang di antara was dan was seterusnya.
Terkejut, bukan? Ya... tidak perlu terlalu terkejut kerana ini adalah satu kebenaran. Terlalu ramai yang meletakkan tanda sempang di antara dua perkataan kembar seiras ini supaya mereka berpisah, walhal mereka masih mahu bersama hingga ke akhirnya. Maka jangan dipisahkan hati yang mahu bersatu, kerana kelak mengundang padah. Apakah?
War-warkan, iaitu membuat pengumuman dengan berteriak bersungguh-sungguh seperti "Hoi orang kampung! Cik Husna yang dikhabarkan iras Lisa Surihani itu akan mencemar duli!"
Marilah terkejut buat kali kedua kerana ejaan sebenarnya adalah uar (uar-uar).
"War-warkan kepada orang kampung berkenaan kedatangan Cik Husna yang popular itu, sekarang juga!" arah ketua kampung, Lebai Mansur kepada Kulup. (Salah)
"Uar-uarkan kepada orang kampung berkenaan kedatangan Cik Husna yang sangat popular itu, sekarang juga!" arah ketua kampung, Lebai Mansur kepada Kulup. (Betul, tanpa waswas.)
Tiada perkataan war-warkan ya. War dalam bahasa Inggeris bermaksud 'perang', iaitu keadaan kucar-kacir yang disebabkan permusuhan. Namun perkataan war dalam bahasa Malaysia juga wujud. Maksudnya berasa dahaga kerana memakan kacang. (~~.)
Berambus, merujuk keadaan dihalau pergi dengan kejam, contohnya "Berambus kau dari sini! Kau penyeleweng!" marah Cik Husna apabila Kulup menguar-uarkan rupa parasnya seakan-akan Lisa Surihani, padahal lebih mirip Jessica Alba kadang-kadang.
Kejutan kali ketiga ini adalah berdasarkan silibus ejaan yang diubah kerana apabila saya merujuk kamus Dewan online, perkataan berambus ini wujud namun pada edisi kedua sahaja. Edisi terkini iaitu edisi keempat yakni yang paling terbaharu lagi terkini, adalah, berhambus.
Ha... sakit dada kalian kerana terkejut bertubi-tubi, bukan? Hahaha! >:D Gelak bertanduk sudah muncul!
Walaupun berhambus juga sama makna dengan perkataan nyah, jangan dikatakan berhambus kepada kaum itu (faham-faham sendiri) ketika anda sendirian di lorong gelap, kerana bimbang diketuk kasut tumit tinggi saiz 11 dan dipaksa memakai gincu berwarna merah jambu pastel dan 'menjaja' bersama-samanya.
Okey, itu sahaja buat masa ini. Semoga mendapat manfaat. Mohon baca, semat di hati dan di minda, dan amalkan ketika menulis kelak. Insya-Allah, pasti mujarab.
Oh, jangan lupa!
Peluang masih dibuka hingga 28 Februari 2010! BERUSAHA SEMUA!
Peluang menulis cerpen puasa/raya untuk Remaja@PTSOne 2010
Peluang melukis komik puasa/raya untuk Remaja@PTSOne 2010
Sehingga berjumpa lagi! (^_^) *Lambai-lambai si daun rambai.*
7 comments:
Wow! Banyaknya kejutan!...hehe
Terima kasih kerana sudi berkongsi ilmu, ya. (^_^)
Semoga semuanya lancar nanti. Wuhuu!
Semoga cepat sembuh juga! Take care!
Hihi.
Sekali lagi, segmen berkongsi ilmu oleh cik Husna.
Terima kasih ya.
Err...saya suka karangan di bawah tu! (^___^)
Wah, memang banyak info betul Cik Husna ya. Terima kasih kerana sudi berkongsi dengan pembaca :). Karangan di bawah itu juga best (^_<). :D
pelan-pelan gustan = perlahan-perlahan ke belakang (gustan - gostan). ini karangan budak Sabah ni.. ramai orang tak puas hati sebab karangan ni disebarkan, seolah-olah budak ni diejek secara tak langsung. tapi jalan cerita budak ni bagus kan?
Terkejut saya bila membaca blog ini dan bercakap sendirian " Cik Puan Husna orangnya sebegini lucu?!!" (ya bercakap sendirian juga menggunakan BMT) .
Saya sangka dia seorang yang SKEMA dan selalu di sakat oleh abang2 PTS. Sekarang baru saya tahu mengapa cik puan selayaknya duduk di kerusi PTS One, dan mengapa karya PTS One penuh keceriaan. (^-^)b
K.A.A.,
Hahaha! Semoga terkejut dan ingat segala kejutan ini. Sama-sama.
Terima kasih kembali! (^_^) Wooohoo!
Shukri,
Hehe, sama-sama.
Terima kasih kembali kerana sudi membaca entri saya.
Saya juga suka karangan itu.;)
Riha,
Ya, sama-sama.
Terima kasih kembali ya Riha kerana sudi baca entri saya. ;)
Karangan itu tahap lagenda. Haha!
Sahana,
Ya, saya juga agak itu karangan budak Sabah selepas membaca perkataan 'limpas'. Saya ada jumpa satu blog yang menayangkan tiga karangan serupa, namun berlainan jalan cerita kerana guru suruh dia buat pembetulan. Tiga-tiga kelakar, tetapi yang terakhir ini memang yang tahap guling. Hahaha!
Harap orang Sabah tidak tergores dengan gambar sebegini. T____T Maafkan saya kerana turut menyebarkannya. Sekadar hiburan.
Tuan Muhammad,
Hahahaha! Saya memang selari dengan imej skema, maka tidak hairan tuan rasa terkejut membaca blog saya yang suka merepek ini. Terima kasih kerana sudi jengah ke mari. (^_^)
satu perkara yang saya suka dengan karangan kanak-kanak adalah mereka jujur dalam membuat karangan~ tiada prejudis~
Post a Comment