26 June 2010

Apabila emo, kita tulis di blog sahajalah senang cerita!


Tidak, tidak. Saya tidak emo kepada sesiapa yang berkenaan dalam hidup saya. Saya sedang bertabah. Ini kisah....

Saya jarang tengok TV.

Namun sekiranya ada adik-beradik yang menonton sesuatu, saya akan singgah sebentar di ruang tamu dan duduk sebentar dan bertanyakan tajuk filem yang mereka tonton. Selalunya yang menjadi penonton setia di rumah ini adalah adik-adik lelaki saya, juga emak saya yang sudah mula ikut jalan cerita drama Indonesia.


Tetapi kebelakangan ini, ada beberapa perkara kecil yang menyebabkan saya bangun semula dan lebih rela duduk di dalam bilik dan buat kerja, daripada tengok TV.


Kisah saya dan filem Barat.


Semasa sedang makan malam, adik saya (mari namakan dia Hassan) sedang khusyuk menonton TV. Saya lupa apa tajuk filem itu, namun berkenaan seorang lelaki berkulit hitam yang tidak menyukai seorang lelaki berkulit putih yang berkahwin dengan seorang wanita berkulit hitam. Ini kerana isterinya (yang juga berkulit hitam) lari dengan lelaki lain, yang berkulit putih. Bukan lari kerana mahu sihat yakni berjoging, namun ini dinamakan kecurangan.

Ada yang dapat fikirkan tajuk filem ini? Ada ditayangkan di Astro baru-baru ini.


Watak antagonis dilakonkan oleh Encik Samuel L. Jackson.
Cantik jaket you.

*Disclaimer: Penggunaan deskripsi watak dengan menggunakan warna kulit bukan bermaksud saya racist. Saya hanya mahu berikan gambaran kerana memang filem ini mahu tonjolkan berkenaan perbezaan kaum itu.*

Hendak dijadikan cerita, si lelaki berkulit hitam yang punya perasaan benci dalam hati itu mengupah seorang penyangak jalanan supaya memecah masuk ke rumah lelaki berkulit putih, dengan harapan lelaki berkulit putih merasakan kawasan kejiranan mereka tidak selamat, lalu berpindah keluar.


Namun semasa penyangak upahan (juga penyangak sepenuh masa) itu memecah masuk ke rumah lelaki berkulit putih, isterinya yang berkulit hitam sempat menekan siren supaya jiran tetangga mendengar berlakunya pecah masuk di rumahnya itu.


Suaminya (yang berkulit putih itu) dan jiran mereka (lelaki berkulit hitam yang punya perasaan benci dalam hati), berada di sebuah keramaian, tidak jauh dari rumah lelaki berkulit putih.


Maka berkejaranlah mereka ke rumah si lelaki berkulit putih bagi menyelamatkan isteri lelaki berkulit putih itu. Oleh kerana lelaki berkulit hitam yang berhati jahat itu adalah seorang polis, dia menembak penyangak, yang juga penyangak upahannya.
Tewaslah si penyangak. Si lelaki berkulit hitam yang juga seorang polis itu dikatakan hero.

Namun bagi melindungi dirinya daripada tertangkap kerana mengenali si penyangak, malam itu, si lelaki berkulit hitam memecah masuk ke rumah lelaki berkulit putih, yang berada di hospital kerana isteri kepada lelaki berkulit putih itu cedera. Lelaki berkulit hitam mencari telefon bimbit milik si penyangak, dan mahu menghapuskannya kerana terdapat nombornya di dalam telefon bimbit itu.

Semasa dia memeriksa badan si penyangak yang sudah terbujur kaku di dalam kolam renang kerana terhumban selepas terkena beberapa das tembakan, telefon bimbit itu tiada. Maka dia mengesyaki bahawa telefon bimbit itu tercicir di dalam rumah si lelaki berkulit putih.


Lalu dia menelefon nombor telefon si penyangak yang tertewas itu bagi mengesan kedudukannya. Dia terdengar deringan telefon bimbit si penyangak, namun sebelum sempat dia mengambilnya, si lelaki berkulit putih dan isterinya sudah tiba di rumah mereka. Maka bertempiaranlah dia lari menyelamatkan diri. Nasib dirinya baik, kerana dia tinggal di sebelah rumah pasangan suami isteri itu sahaja.


Semasa lelaki berkulit putih berjalan-jalan di dalam rumahnya, dia ternampak telefon bimbit itu! Telefon bimbit si penyangak yang tertewas itu! Ayokkk!!!


Dia mengambil telefon bimbit itu, dan menekan nombor yang paling akhir meninggalkan 'miskol' - ejaan remaja kini.


Trruuuut, truuuuuut.


Lelaki berkulit putih menunggu pemanggil terakhir itu mengangkat telefon bimbitnya.

Di luar, lelaki berkulit hitam yang sedang menyiram bumbung rumah bagi mengelakkan rumahnya turut disambar api (kerana berlaku kebakaran di kawasan kejiranan mereka), sudah mengangkat panggilan itu sambil berteriak:

"John? John??" - John, nama penyangak yang saya reka sebab tidak ingat nama watak itu.


Pada waktu dia berteriak memanggil nama John, si lelaki berkulit putih sedang menjengah si lelaki berkulit hitam itu dari tingkap rumahnya.
'Oh tidak... dia yang mengupah penyangak itu!' ujar lelaki berkulit putih dalam hatinya. - dialog juga adalah rekaan, namun itulah yang cuba disampaikan dari ekspresi wajah lelaki berkulit putih.

Si lelaki berkulit hitam terus mematikan talian telefon selepas ternampak lelaki berkulit putih, yang amat dibencinya itu, sedang menjengah dari tingkap dengan wajah yang terkejut.


'Pasti dia sudah dapat kesan,' desis hati lelaki berkulit hitam. - juga dialog buatan saya.


Ralatnya di sini:


Kalau kau sudah tahu pemilik telefon itu adalah orang yang kau tembak sampai mati, dan kau sudah tahu telefon bimbit si mati itu ada di dalam rumah lelaki berkulit putih, kenapa kau angkat padahal sudah tahu itu nombor telefon si mati??!! Si mati yang kau upah memecah masuk rumah lelaki berkulit putih itu?! Tidak mungkin dia menelefon kau dari surga mahupun nuraka!! Kau memang betul-betul gilakah?

*Ehem maaf. Saya perlu tertenang. Sudah emo sebentar kerana sangat tidak masuk akal.*


Namun saya teruskan menonton kerana filem tidak masuk akal ini sudah hampir ke penamat.


Plot seterusnya....


Si lelaki berkulit putih berjaya merampas pistol milik si lelaki berkulit hitam dan berlindung di sebalik kereta isterinya yang sudah terlanggar kereta milik jiran yang lain selepas tayar kereta mereka ditembak oleh si lelaki berkulit hitam tanpa belas kasihan semasa isteri lelaki berkulit putih itu cuba melarikan diri.


Oleh kerana si lelaki berkulit putih tahu sejarah kecurangan isteri si lelaki berkulit hitam, dia sudah
provoke dengan mengingatkan lelaki berkulit hitam berkenaan hal itu. Apa lagi, marahlah si lelaki berkulit hitam. Namun pistol kedua milik lelaki berkulit hitam sudah disembunyikan di belakang bajunya, sementara mereka dikepungi sekumpulan polis. Maka lelaki berkulit hitam kelihatan seperti mangsa, dengan kedua-dua tangannya diangkat ke udara.

Polis mendesak si lelaki berkulit putih meletakkan senjata, namun lelaki berkulit putih enggan kerana dia tahu lelaki berkulit hitam itu akan menembaknya menggunakan pistol kedua itu.

Sambil dia
provoke, tangannya masih teguh mengacukan pistol itu ke arah lelaki berkulit hitam.

Provoke
punya provoke, memang menyiraplah darah lelaki berkulit hitam itu dan dia terus menarik pistol di belakang bajunya lalu menembak lelaki berkulit putih. Lelaki berkulit putih rebah dan lelaki berkulit hitam itu ditembak polis.

Ralatnya di sini:

Kau dah tahu nak provoke orang tak betul, kau reti sedia untuk tunduk berlindung di belakang kereta itu tak? Kenapa kau boleh berdiri dengan penuh semangat keperwiraan dan menyangka dada kau kalis peluru???


*Cerita ini mampu bikin saya emo bertubi-tubi.*

Adakah sebegitu tidak masuk akal jalan cerita ini? Wowowowo... sangat teruklah. Mengapa mencipta plot yang lemah supaya filem ini mampu terhasil? Mengapa angkat telefon orang yang sudah tiada dan kau tahu telefon itu di dalam rumah orang yang kau cuba aniaya? Mengapa benarkan diri kau ditembak sebegitu mudah? Mengapa Hassan tengok cerita sebegini dan tidak membebel seperti saya? T____________________T



* * *


Tadi singgah tengok Starship Troopers (nasib kaulah aku ingat nama filem kau, John! - penggunaan John sekali lagi kerana tidak tahu siapa pembikin cerita ini) kerana adik bongsu saya (mari namakan dia Oya) sedang menontonnya.

Semasa seorang askar kacak dan kumpulan askar itu sedang megah menembak sekumpulan haiwan aneh di sebuah planet, muncullah seekor haiwan aneh bersaiz raksasa yang sangat besar dan berwarna hitam. Wow!! Memang sangat mengerikan kerana seperti kumbang pada daun yang dibesarkan beribu kali ganda!!

Hey, lihat! Inilah kumbang gergasi itu! Dan jejaka itu askar kacak yang dimaksudkan!
Tetapi kenapa kurang kacak dalam ini gambar?

Haiwan aneh bersaiz raksasa seperti kumbang gergasi ini mampu mengeluarkan sejenis cecair seperti lahar yang mampu memusnahkan organ manusia. Seorang askar wanita sudah terkena semburan cecair ngeri itu, hingga musnah tangannya.

Lalu si askar kacak sudah menjadi hero dengan melompat ke atas kumbang gergasi itu dan menembak bertubi-tubi di belakangnya. Berlubang terus bai! Kemudian dia sempat memasukkan sebiji bom tangan ke dalam lubang yang menghubungkan terus ke perut kumbang gergasi itu sebelum terhumban sedikit jauh akibat gerakan aktif haiwan itu.

Voila!!

Kumbang gergasi itu meletup dengan hebat dan berserakanlah cecair panas seperti lahar itu kepada askar kacak dan juga askar-askar berhampiran.

Mereka bersorak riang. Hore!

Ralatnya di sini:

Bukankah sepatutnya cecair itu, yang terkena pada wajah kacak kamu dan askar-askar lain, akan menyebabkan kalian semua menggelupur sakit dan mungkin meninggal dunia? Mengapa cecair itu tidak memberikan apa-apa kesan kepada kalian, padahal itu cecair yang sama yang terkena pada rakan kamu tadi, hingga dia sudah tidak bertangan? Adakah cecair itu hanya akan berfungsi apabila disalurkan melalui mulut, tetapi apabila diceduk dari perut menggunakan cawan dan meminumnya, kalian akan kenyang dan gembira?

T______________________T

Sangat teruklah....

Saya kata kepada Oya, "Oya, cerita macam ini yang kau nak tengok? Baik tengok cerita lain." Dan saya bangun, naik ke bilik. Oya hanya tergelak kerana dia juga rasa cerita itu tidak masuk akal. Namun dia gigih kerana mahu habiskan juga. Tahniah Oya! Sudah pelik panggil adik lelaki sendiri sebagai 'Oya'.

*Emo berlebihan kerana takdir hidup sendiri tidak begitu manis buat masa ini. Perkara khayalan juga tidak mampu menggembirakan. Cis.*

Siapa kata produk Barat semua bagus? Kalau ini cerita buatan Malaysia, pasti sudah dikutuk kaw-kaw punya dan syarikat yang menerbitkan akan musnah ditelan zaman. Oh, tidak perlu tunggu zaman, ditelan waktu juga boleh. Bila-bila masa sahaja akan tidak wujud lagi.


Namun bukan semua produk Barat juga tidak bagus. Ini hanya segelintir, namun ini nampaknya mereka juga ada kelemahan. Tidak perlu bangga sangat dengan produk orang luar. Walaupun cerita-cerita di atas bukan filem terkini, namun saya komen jalan ceritanya. Bukan teknologinya.

Maka hayati dan hargai produk tempatan. Mana yang tidak bagus, kita tegur untuk penambahbaikan. Mana yang bagus, kita puji, kita berikan kegembiraan. Pujian kita akan berikan mereka semangat. Bab khuatir mereka riyak, itu tugas empunya diri untuk berpada-pada.

Maka sokonglah produk tempatan. Belilah buku-buku PTS terutamanya PTS One (ngeh ngeh) dan komik terbitan Komik-M. Hahahahaha! Boleh pula sempat promosi, kan... hihihi.

Oh, sebelum terlupa, terima kasih kepada semua yang menjadi Rakan Budiman saya. Sudah 58 orang sekarang. Dulu kosong... sekarang... oh~ padahal saya ini insan biasa sahaja. Kalian semua sangat baik hati dan comel! Terima kasih ya! Juga untuk semua yang sudi meninggalkan komen di ruangan komen dan juga kotak sembang (chatbox, kemain). Terima kasih juga kepada semua yang sudi membaca blog ini.

Okeylah. Jumpa lagi, semua! Assalamualaikum! (^_^)

P/S: Tapi serius emo-hingga-menjadi-pembebel-terhebat apabila tengok cerita-cerita begini. Walaupun saya pandai komen hal yang bukan-bukan, namun saya bukan seorang yang hebat menulis cerita hingga terkenal. Hahaha! Beri pendapat itu memang mudah, kan? Tak perlulah emo membaca tulisan saya sekiranya pendapat saya bercanggah dengan pendapat kawan-kawan. Maaf sekiranya terkasar bahasa. Mia hahaha! Ada anak saudara Samuel ke di sini?

7 comments:

Reyna Ren said...

panjang betul entri ini..letih membaca ;)

kyrel said...

(^____^) betul-betul [upin&ipin]

Shukri Mohd Ali said...

salam.

Haha. ingin ketawa sambil berguling tapi, harus mengawal diri kerana sedang online di tempat awam.

kalau dulu-dulu, mungkin akan kagum apabila menonton filem sebegini. tapi sejak dah matang ni, mahu ketawa dan mengkritik saja kerjanya. Kikiki...

entah kenapa produk sebegini pun dikatakan bagus walhal banyak ralatnya.

eh, panjang pula komen ni. terpengaruh dengan emo cik Husna. hehe.

sila tulis lagi entri-entri begini. selain menghibur, dapat juga membuka minda =)

Husna Adnan said...

Wah Cik Reyn!!
Terima kasih kerana sudi singgah!
Dan gigih baca bebelan saya. Haha!
Terima kasih juga kerana menjadi Rakan Budiman ke-59. <3

Kyrel, apa yang betul? Setuju dengan entri ke, setuju dengan komen Cik Reyn? Hahaha! Terima kasih Kyrel walau apa pun. Selalu singgah ke mari kan... (^_^)

Shukri,
Wa'alaikumsalam.
Hahahaha! Kasihannya.
Sangat sakit dadalah tahan gelak.
Terima kasih atas komen kamu.
Saya tak sangka sebegitu pula impaknya.
Baik, saya akan cuba ya! (^_^)

kyrel said...

mana-mana pun boleh...(^^,)v...cikgu seorang blogger yang beribawa..hehehe... blogger contoh gitu... kagum dengan gaya penulisan cikgu yang memukau..(^0^)BMT cikgu juga menjadi rujukkan...itu yang selalu saja melepak di sini...(^___^)

Reyna Ren said...

hehehheh!! jadi rakan ke 59 ada hadiah tak? ;p

Husna Adnan said...

Kyrel, hahaha!
Terima kasih atas komentar.
Tinggi sangat pujian kamu itu.
Namun dalam bebelan karut ini, ada memberi manfaat kepada pembaca. Hihi.
Terima kasih ya! (^_^)

Cik Reyn,
Yaaaa... ada...

@->--

Bunga mawar!! Yeah!! :D Haha!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...