17 February 2012

"Nuun. Demi pena, dan apa yang mereka tulis."



Assalamualaikum kepada semua yang sedang membaca.

Sebenarnya, lama saya merancang mahu menulis entri ini, tetapi masih juga tertangguh-tangguh. Sekarang ada sedikit masa memandangkan kerja suntingan sudah dihantar, SnaLaLa Blogshop pun sudah dikemas kini, jadi saya perlu siapkan juga entri ini. 

Ini perihal, apa yang kita buat dan apa yang kita dapat.

Fuh~ agak berat topik kali ini. Namun sekiranya kita hidup di dunia ini sebagai jambatan bagi menemui hari pembalasan, kita wajib ambil peduli hal-hal sebegini. Kadang-kadang yang nampak remeh itulah menjauhkan kita dari syurga. Sayangnya....

Mari kita lihat imej-imej di bawah:

Sedutan dari tiga novel tempatan. Kredit gambar: Cikpuan Azzah
(Klik bagi tumbesaran yang hebat.)

Luahan seorang pembaca dalam Berita Harian, 3 Februari 2012
Kredit gambar: Penulis Maya Iris 
(Klik bagi tumbesaran yang hebat.)

 Luahan seorang bapa dalam Berita Harian.
Kredit gambar: Tuan Asyraff
(Klik bagi tumbesaran yang hebat.)

Adalah di luar bidang kuasa saya bagi membincangkan siapa penerbit dan penulis yang dimaksudkan, walaupun gambar bagi imej terakhir adalah para pembeli di gerai PTS sebagai gambar hiasan. 

Sepanjang saya berkhidmat dengan PTS, saya tidak pernah melepaskan karya yang tidak patuh syariah, sama ada melibatkan hal-hal cabul dan lucah, syirik, khurafat, dan sebagainya. Wallahua'alam, saya harap saya tidak lagi melepaskan bahan bacaan sebegitu.

Hei hei, apakah maksud 'tidak lagi' di atas?

Sekitar tahun 2009 - 2010, saya mula berkhidmat di PTS One Sdn. Bhd, sebagai editor pengurusan. Sekiranya ada yang belum maklum, editor pengurusan adalah editor yang menguruskan manuskrip, sejurus ia lulus dalam mesyuarat proposal. 

Sepanjang saya menjawat jawatan itu, saya amat berhati-hati dalam menyunting karya penulis. Saya mahu berikan contoh, tetapi saya harap tiada penulis yang tersinggung membacanya. Ada yang pernah menulis berkenaan kewujudan toyol sebagai penyebab kehilangan duit salah seorang watak dalam buku itu (syirik). Ada juga yang membuat adegan watak perempuan mengetuk kepala watak lelaki, kerana watak lelaki itu bermulut cabul (sentuhan bukan muhrim). Ada juga yang membuat watak itu gemar memakai bulu mata palsu, sedangkan ianya haram.

Perkara-perkara sebegini memang kecil, dan kadangkala editor dan penulis sendiri tidak perasan akan kehadirannya dalam membentuk pemikiran para pembaca, terutama yang masih muda remaja.

Saya sangat alert, dan sangat tegas dalam menyunting karya. Saya akan buang terus, ataupun gantikan dengan plot lain sekiranya ketiadaan plot lama mengganggu jalan cerita. 

Ini kerana, [pengakuan] pada tahun 2008, saya pernah terlibat secara total dalam pembikinan sebuah komik di syarikat penerbitan milik bukan Bumiputera. Komik itu ditulis dan dilukis oleh seorang Muslim, dan diuruskan sepenuhnya oleh saya, dari segi suntingan, toning, layout, hinggalah berurusan dengan pihak atasan. Di syarikat itu, semua manuskrip diluluskan oleh bos besar, yang juga bukan penganut agama Islam, dan bukan orang Malaysia. 

Sepanjang menguruskan komik itu, hati saya rasa terlampau berat. TERLAMPAU. Rasa pelik apabila membaca bab per bab. Memandangkan komik itu perlu segera terbit, saya sunting dan layout bab yang sudah siap, sementara menunggu bab lain selesai dilukis. Jadi makin lama, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan jalan cerita komik itu.

- Watak utama, lima remaja, mendapat kuasa dari sebatang pokok.

- Bagi menggunakan kuasa, mereka perlu menyeru nama pokok itu.

Dan ini adalah syirik.

Hanya Allah tempat kita memohon bantuan, bukan selain dari-Nya.


"Sembahlah Allah, kerana Allah pencipta saya!" kata pokok.

Jenuh saya memohon pelukis membetulkan jalan cerita, tetapi memandangkan saya pekerja baru, dia tidak begitu mengendahkan. Dia benarkan saya menukar dialog supaya tidak menyeru nama pokok itu, tetapi menukarnya kepada "Atas nama Alexander The Great!". 

Apakah!

Saya adukan kepada bos dan pengurus, walaupun mereka bukan orang Islam, namun saya tetap diminta meneruskan kerja kerana komik itu sudah hampir siap, dan perlu segera diterbitkan. Saya kembali ke meja, dan menukar ayat seruan para remaja itu menjadi, "Atas izin Allah, aku menyeru kuasa yang ada padaku...." lebih kurang begitulah. 

Kemudian, saya terus letak jawatan selepas selesai sunting dan layout semua bab, tanpa menunggu komik itu terbit. Waktu itu saya tiada kerja ganti, namun alhamdulillah beberapa hari kemudian, PTS menghubungi saya.

Beberapa bulan kemudian, waktu saya sedang membuat kerja di pejabat PTS, saya terdengar rakan sekerja saya, Tuan Alif Firdaus Azis, bercakap berkenaan sebuah komik yang dilukis oleh kenalannya. Apabila dia sebut nama pelukis itu, saya terus menoleh, dan memohon melihat komik yang dia beli. Rasa malu sangat waktu itu, kerana itulah komik yang membuatkan saya rasa menyesal tidak sudah. Saya pegang sekejap, dan meletakkan kembali ke mejanya. Saya tidak begitu membelek dengan teliti, kerana rasa malu yang amat. 

Malu kepada Allah. Malu kepada masyarakat. Malu kepada diri sendiri.

Saya berdoa, komik itu tidak bertahan di pasaran. Saya berdoa, sesiapa jua yang membacanya, tidak terfikir mahu meminta kuasa hebat dari mana-mana pokok. Saya berdoa semoga Allah maafkan saya sekiranya benar apa yang pernah saya lakukan sebelum ini, menjauhkan saya dari-Nya.

Sejak dari peristiwa itu, saya tidak pernah menjumpai komik syirik itu di mana-mana kedai, dan tiada dalam carian Google. Wallahua'lam. Ada sedikit rasa syukur, sekurang-kurangnya ia tidak lagi disebarkan kepada sesiapa jua yang membacanya. Saya harap ia benar-benar sudah tiada di muka bumi ini. Benar-benar berharap. 

Terus saya terfikir. Menguruskan bahan bacaan sebegitu pun saya sudah rasa amat berdosa, apatah lagi sekiranya saya sendiri menulis berkenaannya dalam karya saya. Saya kira, saya bernasib baik kerana komik itu benar-benar tidak boom di pasaran, tetapi sekiranya ia meletup dan menjadi bacaan hangat para remaja? Bagaimana? Apakah saya akan senang duduk melihat para remaja menyembah pokok? T_T

Sama halnya, sekiranya saya mendapat tahu, ada remaja yang terlanjur selepas membaca karya saya, hanya kerana saya membuat adegan suami isteri yang saya fikir halal ditulis. Bercumbuan, melakukan hubungan malam pertama, semuanya dengan begitu terperinci, hingga menaikkan syahwat pembaca, yang kemudiannya terlanjur dengan sesiapa sahaja kerana tidak dapat mengawal nafsu.

Ataupun menerbitkan bahan bacaan seperti ini.

Ini adalah GILA. 
Kredit gambar: Facebook

Saya tidak mahu menunggu hingga ia benar-benar berlaku, barulah saya bertaubat nasuha. Saya mahu halang ia daripada wujud sebagai bahan bacaan, kerana apa jua yang buruk dilakukan oleh tangan saya, akan terus menjadi penyesalan, walaupun Allah maha mengasihani. Rasa kesal yang bersarang itu tidak mampu saya tanggung, walaupun Allah mungkin sudah memaafkan saya.

Saya pernah, dan masih berasa kesal. Ianya satu perasan yang tidak indah.

Sangat tidak indah. 

Percayalah. T_T


Kredit gambar: iluvislam.com




Terima kasih sudi baca, 'like' dan juga komen! (^_^)v

9 comments:

Azmir Ismail said...

Membaca post tuan mengingatkan saya pada buku - buku novel cinta di pasaran sekarang yang laku dan popular. Banyak adegan2 yang tuan sebut ada dalam buku - buku ini.

NSaidatulAineen said...

assalam,walaupun saye baru shj 17 thn,tapi entry kak husna ini betul2 memberi tunjuk ajar dan kesedaran kepada saya.alhamdulillah, perkngsian yang baik.terima kasih.

Anonymous said...

Gambar buku yang anda kata 'gila' itu bertajuk Alfie's Home. Ditulis oleh seorang bekas gay yang mengendalikan pertubuhan yang merawat kes homoseksualiti.

Husna Adnan said...

Tuan Azmir:
Memang itulah isu asasnya. Ibu bapa sekarang sudah mula menyedarinya, kerana lambakan buku sebegitu.

ENCIKMAKWE:
Salam, alhamdulillah. Semoga kita sama-sama menulis yang baik-baik, amin... (^_^)

Tuan Kamarul:
Di PTS, kami ada prinsip dalam bagaimana menyampaikan sesebuah isu yang tidak patuh syariah. Buku 'gila' itu contoh buku luar negara, yang tidak sesuai untuk bacaan masyarakat Islam di Malaysia, kerana itu bukan cara hidup kita. Ada cara yang lebih baik dan sesuai, berdasarkan Teknik Surah Yusuf.

Ini sekadar pendapat saya. Apa pun terima kasih atas info. Terima kasih juga kerana membaca blog ini. :)

a little less conversation said...

nasib baik aku bukan jenis suka membaca novel..macam ini, boleh kah cik sna? kah3

singgah komen..

Husna Adnan said...

Rafi:
Haha! Bolehlah...
Tapi bacalah buku bukan fiksyen.
Surat khabar ke. Baca FB pun boleh.
Haha.

Shukri Mohd Ali said...

saya sudah membebel berkenaan ini dalam blog. hasilnya? rakan-rakan saya masih juga beli dan baca novel sebegitu. haih...

Shukri Mohd Ali said...

mujur setakat ini tiada laporan mengenai penyembahan pokok T_T

Husna Adnan said...

Ya, alhamdulillah... memang tiada setakat komen ini ditulis. :')

Tidak mengapa. Kita sudah tegur, tugas kita sudah selesai. Moga terbuka juga hati mereka untuk memilih bahan bacaan yang lebih baik. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...