25 July 2011

Kisah Sehelai Baju



Perlahan dia menggosok matanya yang berair. Almari yang gelap itu dirasakan sama seperti hatinya waktu itu. Badannya yang lembut dan menyejukkan, terasa hangat seketika.


"Mengapa? Apa yang sudah berlaku?" tegur satu suara.


Dia menoleh ke belakang. Menyeka terus air matanya. "Tiada apa-apa."


Suara itu kembali menerjah. "Mustahil tiada apa-apa."


Dia menarik nafas dan menghembus kasar. Matanya diarah ke satu sudut. "Aku cuma rasa tidak berguna. Lihat sahaja diriku ini. Di sini. Tidak berusik. Sudah berminggu. Mungkin sekiranya aku salah perhitungan, sudah berbulan ataupun bertahun."


"Siapa kata kau tidak berguna?" soal suara tadi.


Dia termangu. Jeda panjang.


"Aku cuma rasa begitu." Akhirnya dia menutur jawapan.


Suara tadi seperti tergelak kecil. Lalu merapati dia yang mengeluh.


"Kau tahu kenapa kau dicipta sebegini, bukan?" Suara itu kembali bergema. Badannya yang gebu dan tebal mampu sahaja menyerap air sebaldi. 


Dia mengeluh lagi. "Entahlah."


Si gebu dan tebal itu terus memandang seraya berkata, "Kau mungkin ada di sini kerana musim. Kau dan aku berbeza musim. Kita dicipta berbeza-beza. Demi mengisi waktu-waktu istimewa. Tidakkah kau rasa istimewa?"


Dia masih termenung. Termenung yang dalam.


"Kita dicipta berbeza-beza kerana setiap daripada kita unik. Kita semua adalah baju bagi menutup apa yang diminta tutup. Tetapi kau sempena hari raya, mungkin. Aku? Aku kalau-kalau tuan kita bermusim salju di Korea."


Suara si gebu bergema lagi. "Lain sekiranya kau dicipta sebagai pakaian harian. Memang ada yang bertuah kerana dicipta sebegitu. Seakan sempurna, seakan sering diperlukan. Dalam apa musim sekali pun, tetap menjadi pilihan. Tetapi itu juga punya kelemahan."


Dia memandang kejap. "Kelemahan? Aku tidak nampak apa-apa kelemahan."


Baju tebal itu menarik nafas. 


"Kerap dipakai, kerap dibasuh. Kerap dibasuh, pudar warnanya. Kerap dilihat, hilang istimewanya. Kau dan aku jarang dipakai, jarang dibasuh, jarang dilihat, warna dan keadaan kita masih bagus. Berpada-pada pasti ada kelebihannya."


Masih tiada sinar ceria pada wajah sugul tadi.


"Kita digunakan pada musim-musim tertentu, bukan kerana kita tidak berguna. Tanpa kau, tuan kita terpaksa pakai uniform hijaunya bagi menghadiri majlis perkahwinan. Tanpa aku, tuan kita akan pakai kau sambil main salji. Tak gila?"


Baju kurung bercorak bunga mengangguk perlahan. Ya... dia sudah mulai sedar. Air matanya yang masih belum reda, diseka-seka. 


"Setiap kejadian itu unik. Kita berbeza bukan bagi dihina, bukan bagi disesali, tetapi bagi mengisi ruang istimewa. Unik itu istimewa. Keistimewaan kita bagi mengisi rompong nasib orang lain. Begitu juga sebaliknya."


Dia yang sugul itu mula senyum. Rasa lega kembali mengisi ruang hatinya.


Tiba-tiba suasana menjadi cerah. Pintu almari dibuka kasar. Pantas si baju kurung bercorak bunga itu direntap keluar.


"Eh, sudah hari raya, kah?" Si ungu tebal menjengah keluar.







Terima kasih sudi baca, 'like' dan juga komen! (^_^)v

2 comments:

ivayunus said...

Penutupnya sempurna. ahaiiii...

Husna Adnan said...

Kui kui kui. :))

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...