20 June 2009

Alif Dal Nun Alif Nun: Coretan Buat Seorang Wira


Beratnya beg yg dibawa. Buku teks sudah sememangnya berat. Hujan pula lagi. Basah satu beg. Buku-buku yang berat itu kian berat apabila basah. Saya yang hanya tinggi beberapa sentimeter daripada tanah, harungi juga hujan lebat itu tanpa payung. Saya memang tidak pernah memiliki payung ketika zaman sekolah dahulu.
Lopak-lopak yang penuh di kiri dan kanan jalan, saya redah sahaja. Waktu itu, dengan ketinggian sebegitu, seperti sedang mengharungi Sungai Muar. Habis basah separuh badan dengan sekelip mata sahaja. Kelas agama pula petang-petang. Sekiranya hendak tunggu hingga hujan berhenti, mahu ada yang balik lepas maghrib. Huh, saya tak sanggup. Sekolah agama saya betul-betul bersebelah dengan kubur. Ngeri, okey.
Jadinya, perlahan-lahan saya jalan kaki pulang ke rumah. Ada beberapa kilometer untuk sampai. Saya hanya berjalan kaki ketika ini. Saya sendiri tidak ingat mengapa. Mungkin basikal saya rosak agaknya. Sepanjang perjalanan, banyak kali jugalah saya disimbah dengan air lopak daripada beberapa pemandu kereta yang durjana.
Sedang berjalan itu, muncul sebuah lagi kereta dengan begitu laju lalu menyimbah saya dengan air lopak bagi menambahkan kelencunan saya yang sedia lencun ini. Saya ada kelihatan seperti budak yang tidak mandikah? Saya pandang kereta yang baru memandikan saya tadi. 'Volvo! Oh, abah!'
Mungkin juga abah sudah perasan entiti kecil umpama cendawan butang itu ialah anaknya, lantas dia memberhentikan keretanya.
Saya yang sedari tadi sudah perasan bahawa kereta durjana yang sekelip mata bertukar menjadi kereta hebat abah itu, pantas berlari ke Volvonya dengan bersungguh-sungguh kerana kasut dan baju saya sudah basah. Berat mahu bawa diri yang sedia berat.
Sampai sahaja di kereta, abah berkata:
“BALIK CEPAT! HUJAN NI!”
Abah dengan pantas memecutkan kembali keretanya.
Saya jadi hilang arah. Terpinga-pinga sendirian di tepi jalan.
Sampai sahaja di rumah, saya mengadu pada emak. Lalu emak bertanya kepada abah, mengapa tidak ditumpangkan sahaja anaknya yang comel ini (ayat italik itu saya sendiri yang tambah) pulang bersama?
Abah menjawab, “Basah kusyen kereta tu nanti.”
Abah saya seorang yang penyayang, bukan?
* * *
Abah saya tidaklah kelakar sangat di rumah. Dia seorang yang serius dan berekspresi ketat.
Ya, kadang-kadang saya rasa juga yang abah itu kelakar orangnya. Cuma di hadapan anak-anaknya sahaja dia buat ketat supaya dia digeruni. Berjaya jugalah. Salah satu perkara yg buat saya fikir yang abah saya seorang yang kelakar ialah melalui penggunaan ayatnya.
Setiap kali dia ingin mengait rambutan, menyiram pokok, ataupun membetulkan jala (abah seorang kaki pancing), dia akan suruh kami jangan dekati dia. Perkataan yg selalu digunakan ialah “LARI!” dengan wajah bengis, mata tajam bak helang. Kadang-kadang kami hanya mahu lalu di sebelahnya untuk ke kedai, bukannya mahu duduk mencangkung melihat dia membuat kerja, namun apabila dia ternampak sahaja bayang-bayang anak-anaknya, abah dengan pantas akan suruh, “LARI!”
Saya dahulunya juga tidak faham dengan penggunaan istilah "LARI!" itu. Saya akan pandang abah dengan dahi berkerut, sambil dalam hati, 'Lari? Saya bukan atlet.' Lalu saya capai basikal, dengan muka masih penuh tanda tanya, cuba sedaya upaya menjauhinya. Saya yang naif.
Rupa-rupanya pada abah, lari itu bermaksud "Pergi jauh-jauh. Jangan ganggu." (Walaupun kami tak ada niat pun mahu mengganggunya.)
Jadinya tiap kali abah suruh "LARI!", kami adik beradik akan menjauh. Cuma pernah sekali saya menjadi anak yang keji. Abah kata "LARI!", saya memang lari dengan wajah memandangnya sambil tergelak-gelak. Saya anak yang pelik. Sering berani buat sesuatu walaupun situasinya sangat serius.
Selain itu, abah juga ada penggunaan ayat komputernya yang tersendiri.
“Halimah!” Terdengar suara abah menjerit memanggil kakak sulung saya (itu bukan nama sebenar.)
Ketika ini abah di dalam bilik kakak sebab dia meminjam komputer kakak bagi membuat kerja-kerjanya. Tetapi faham-fahamlah... abah seorang manusia zaman mesin taip. Dia sukar memahami penggunaan komputer moden. Tetapi tidaklah moden sangat. Ini cerita tahun 1990-an.
Kakak saya bergegas menuju ke arah abah.
“Kenapa, abah?”
“Perkataan ini aku tak nak ni. Macam mana nak bunuh?!”
Ayat abah untuk delete adalah BUNUH!

* * *

Mengimbau kembali kenangan zaman kecil saya dengan insan bergelar abah itu, buat saya ketawa sendirian. Hehehe, ya, macam-macam kenangan sebenarnya, namun banyak yang saya sudah lupa. Apa yang ada ini saya hendak jaga, supaya saya tidak melupakan beliau hingga bila-bila. Kerana itulah saya paste kembali entri daripada blog lama saya ke sini dengan harapan saya dapat membacanya kembali bagi menyegarkan kembali memori saya.


Abah. Insan yang sama peliknya dengan saya. Tidak banyak yang saya dapat daripada beliau, lebih-lebih lagi kepintaran beliau dalam berfikir. Kami insan yang nyata berbeza. Cuma rupa saya yang agak asing daripada adik beradik yang lain ini banyaknya daripadanya. Kata oranglah. Pada saya, saya 100% kacukan emak dan abah. Sana sikit, sini sikit dan walla! Muncullah saya.

Saya sangat kagum dengan beliau sehingga saya pernah membuat portfolio berkenaan ayah sendiri di kala cikgu menyuruh kelas saya menemu ramah mana-mana tokoh tempatan. Saya dapat A untuk hasil kerja saya. Dan saya masih simpan sehingga kini portfolio itu. Sangat kelakar dan comel. Semuanya ditulis dengan gigih menggunakan tangan. Peta Malaysia hingga ke peta Kajang, dilukis sendiri. Sangat gigih ketika zaman tanpa Internet.


Abah saya memang begitu. Dua cerita di atas kelihatan beliau seperti seorang yang 'kejam' dan berhati dingin. Itu baru kamu yang membacanya, belum kamu hadapinya bersama saya. Kawan-kawan saya juga sangat takut pada abah saya. Dulu saya seorang anak yang memberontak kerana pemikiran saya dan abah saya sangat berlainan. Apa yang beliau kata A, saya enggan buat. Saya tetap kata B. Namun beliau sebagai ketua rumah, selalu menang dan sepatutnya menang kerana beliau ialah... ketua rumah. Beliau garang sebab ada anak pelik seperti saya agaknya. Hehehe. Namun saya tahu, segala apa yang beliau buat selama ini, ketegasannya dan tindak-tanduknya terhadap saya adalah bagi mengajar saya menjadi seorang manusia yang kuat dan berilmu.

Ada beberapa perkara yang kami sekeluarga mulakan kembali kini. Pertama, dengan membeli kamera digital. Dulu, abah rajin bawa kami jalan-jalan serata Malaysia. Ya, banyak yang saya lupa. Saya sangka saya tidak pernah jejak negeri Kelantan, namun emak saya kata sudah pernah. Siap ada gambar. Sayang, bukan? Memori itu seolah-olah tidak pernah wujud sama sekali. Kerana itulah saya mahu suami saya kelak arif jalan-jalan di Malaysia. Mahu bina kembali kenangan yang dulunya ada, tetapi tidak saya ingati. Abah yang menjadi jurugambar kami. Banyak juga gambar zaman kecil saya yang sangat la selekeh ya rabbi. Rasa nak pergi bakar gambar-gambar itu. Hahaha. Namun tidaklah saya tergamak membakarnya. Memori dalam minda pun sudah tiada, nak bakar yang itu pula. Biarlah zaman kecil saya kelihatan sebegitu, asalkan kini ketika dewasa saya kelihatan lebih....

Itu yang pertama. Kami mula bergambar satu keluarga semula. Gambar sekeluarga yang pertama setelah sekian lama tidak bergambar ialah pada hari raya dua tahun lepas. Gambar itulah yang kini diletakkan di dinding rumah. Kemudian makin banyak gambar-gambar keluarga. Bayangkan, gambar terakhir kami bergambar bersama adalah ketika saya masih belum bertudung. Dan saya bertudung ketika saya darjah lima. Tetapi saya gembira kerana minat abah dalam fotografi sedikit sebanyak sudah saya sambung kembali.

Kedua, kami sudah kembali membeli kacang kuda. Yang warna oren, apabila sudah rebus jadi empuk itu. Itu kacang kuda, kan? Mengapa ya namanya ada kaitan dengan kuda? Hmm.... Dulu abah selaaaaalu beli dan masak di rumah. Itu juga antara 'masakan' pertama saya ketika saya kecil dulu. Saya belajar daripadanya kerana kadang-kadang abah akan 'seksa' saya yang masih kecil supaya menyediakan hidangan kegemarannya. Masukkan kacang ke dalam periuk, masukkan air sehingga semua kacang itu tenggelam, pasang api, apabila air sudah sedikit mendidih, taburkan garam secukup rasa, dan gaul kemudian toskan apabila kacang sudah empuk. Memang kudapan petang yang abah sangat suka.

Cuma air teh sahaja yang tidak lagi dibuat di rumah ini. Kerana tidak ada seorang pun daripada anaknya yang menggemari air teh. Saya ada kenangan kelakar berkenaan air teh dengan abah. Tiap kali mendengar kawan-kawan order air teh, saya akan tersenyum kerana teringatkan abah. Memang minuman kegemarannya.

Buku-buku abah, kini masih tersusun kemas di dalam salah sebuah bilik di rumah lama. Saya ada perancangan membelek kembali buku-bukunya, namun masih belum terbuat. Saya tidak mewarisi banyak perkara daripadanya seperti yang saya nyatakan di atas, lebih-lebih cara abah berfikir. Kerana saya kurang minat membaca. Saya akan cuba buka bahan bacaannya sebagai salah satu usaha saya memahami pemikiran dan dirinya. Insya-Allah, saya akan cuba.

Pelbagai konflik telah pun terjadi sepanjang lebih kurang dua dekad hidup saya bersama beliau. Ada yang saya kesali, ada yang saya tertawa riang apabila mengenangnya. Seperti dua kisah di atas. Namun bagi saya, beliau sememangnya insan yang saya sayang. Tetapi masa sangat mencemburui saya, kerana saya tidak sempat menyelami sedalam mana sayang saya padanya. Saya sedar yang saya sayang beliau dengan begitu hebat apabila ianya sudah terlalu terlambat. Terlambat di dunia, namun tidak pernah terlambat di alam yang satu lagi. Doa saya sentiasa ada untuk beliau. Al-Fatihah.


1945 - 2006
Gambar beliau ketika zaman muda. Tembam, kan? (^_^)

Hadiah Saya Untuk Abah
Dua tahun yang sangat perit kerana saya sudah tahu usaha saya dalam memberikan beliau hadiah ini tidak dapat disaksikan oleh beliau. Hampir putus asa namun terima kasih buat emak saya, ahli keluarga yang lain, kawan-kawan seperjuangan dan semua yang terlibat. Soalan wartawan kepada saya, "Siapa yang datang tengok awak konvo hari ini?" sangat menyesakkan dada saya. Konvokesyen degree saya yang penuh drama air mata. Buat malu sahaja. Nasib baik muka saya dalam paper itu okey. Hehehe. Saya memang sedih beliau tidak dapat turut serta, tetapi saya yakin beliau ada ketika itu. Paling tidak, ada dalam hati saya.


Ana mushtaqot ilaika. Sungguh. Itu ayat yang saya mahu nyatakan kepada abah sepanjang lima tahun saya berjauhan kerana pilihan saya menyambung pengajian, namun tidak pernah tersebut. Dan langsung tidak dapat disebut. Abah pergi ketika saya sedang dalam kuliah, subjek statistik. Saya masih ingat suasana kuliah ketika itu, beberapa bulan selepas bermulanya pengajian ijazah saya, juga sebulan sebelum konvo diploma saya. Jam empat petang jika tidak silap, saya melihat handphone saya, ada tiga missed call daripada kakak sulung saya. Dan saya seperti tidak tahu mahu buat apa mendengar berita pemergiannya yang secara mengejut. Saya anaknya yang tiba paling lewat, seperti hendak pitam melihat sekujur tubuh berselimut putih menyambut ketibaan saya. Hari dan kali pertama kakak saya memeluk saya dengan begitu erat.

Banyak perkara membuatkan saya ingat pada abah. Terbaru, tahlil yang dibuat di syarikat saya Jumaat lepas. Sungguh menguji hati saya.
Ada bacaan beberapa ayat suci yang membuatkan saya rasa terpukul dan teringat abah. Masih ingat cara bacaannya. Nasib baik mata saya sungguh tabah. Huhu.

Hargai apa yang kita ada, kerana apabila ia sudah tiada, kita tidak dapat membayangkan betapa terseksanya hati kita kerana sebuah penyesalan. Awak sayang dia? Awak rindu dia? Cakap sahaja. Segan mahu sampaikan dengan kata-kata? Sampaikan dengan tindakan. Peluk dia kuat-kuat. Salam cium tangannya. Masih segan membuat aksi seakrab itu? Sampaikan pula dengan bakti. Berbuat baik kepada ibu bapa kita dari segenap hal adalah
penghargaan yang tidak terhingga atas segala usaha dan pengorbanan yang telah mereka lakukan buat kita. Kepada yang tidak pernah putus menghargai ibu bapanya, saya ucapkan tahniah dan teruskan. Wassalam.

Selamat Hari Bapa
Daripada saya buat semua wira di luar sana.

9 comments:

Zamri Mohamad said...
This comment has been removed by the author.
K.A.A. said...

abah saudari tentunya seorang yang hebat dan penyayang...

saya rasa, mmg kebiasaan bagi lelaki untuk tidak menunjukkan perasaan sebenarnya...tapi yang sebenarnya, kasih sayangnya memang tak berbelah bahagi...semua ini bergantung bagaimana kita menilainya dan sama ada kita dapat rasai kasih sayang itu...

benar kata saudari, kita manusia memang sering tersedar apabila semuanya sudah terlambat.harap tiada lagi penyesalan seumpamanya yang hadir lagi...insyaAllah

Selamat Hari Bapa juga.
Semoga roh abah saudari dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang2 yang beriman.Amin.

Al-fatihah.

aku-H said...

slamat hari bapa...
ye..zmn kecik2 dlu terase ayahnye bgitu kejam krn tlah melakukn sesuatu pd kami..tp skrg klu igt blk pasti gelak x benti..klu hilang ingatan pn kjadian 2 xkn dilupekn..hehehe

Zamri Mohamad said...
This comment has been removed by the author.
Hariri Daud said...

Dari Abdullah bin 'Amr R. A., Rasulullah S. A. W.bersabda : Hidup sebagaimana Engkau kehendaki, tetapi ingat engkau akan mati. CINTAILAH SESIAPA YANG ENGKAU KEHENDAKI, TETAPI INGAT ENGKAU AKAN BERPISAH DENGANNYA. Buatlah apa sahaja yang engkau kehendaki, tetapi awas kamu akan di balas atas apa engkau lakukan.

Semoga rohnya dicucuri rahmat. Pastinya Arwah berbangga memiliki anak yang solehah seperti snalala. amin

miehaimie said...

hola cik sna..
apa khabar dunia seberang sana?

ini sepertinya entri di blog dahulu dengan sedikit tambahan..
tiap yang hidup pasti merasai mati.. doa kamu pastinya kan buat dia lebih tenang disana..

maaf.. cuma rupa abah kamu sepertinya familiar dimata aku.. kurang pasti pula dimana temunya.. garangnya abah lalu menjadikan kamu seperti hari ini.. cik sna la la la..

mari kita mengucap syukur lebih sering pada kurniaanNya..

moga hari kamu fabulouscious,kewl, fantastic dan lebih bang bang boom.

p/s: aku sudah hampir khatam peta dunia.. tinggal 8 mukasurat saja lagi.. bolehkah?

Husna Adnan said...

Tuan Zamri,
terima kasih banyak2.
ya semoga kebaikan saya di dunia ini memberikan ganjaran buat beliau =)

Vodlafin,
saya juga setuju dengan saudara,
lelaki lebih2nya yg sudah bergelar bapa, kurang mempamerkan kasih sayangnya.
mungkin juga satu peralahan supaya kasih isterinya kpd anak2 lebih tampak hebat. mungkin.
terima kasih atas doa saudara =)

aku-H,
kejadian itu mmg sampai skang diperbualkan.
tp mcm yg saudari katakan, emosi perceritaan dah lain.
mula2 dulu kena, rasa nak lari rumah je. hehe.
skang ni bila cerita blk, ia satu kenangan kelakar buat kita kan?
kalau tak jd hal itu, mungkin juga kita tidak seerat kini. haha ;)

Tuan Zamri,
sekali lg saya bersetuju dgn tuan.
semoga roh ayahanda tuan juga dicucuri rohnya dengan rahmat Ilahi.

Ustaz Hariri,
terima kasih yang tidak terhingga.
insya-Allah, semoga saya kekal mampu memartabatkan didikan beliau =)

Bro Fahmi,
hola ;)
saya di sini baik2 saja.
ya, ini entri blog lama, tetapi sudah diperindahkan semampu saya.
Sekiranya ayah saya kelihatan familiar pd saudara, sudah tentulah tidak begitu mengejutkan dan pelik,
kerana kita satu area kan?
hehehe kita warga Kajang yg kecil.
walaupun kita tidak saling kenal dan bersua, mungkin saudara dan abah saya pernah terserempak.
atau, ada apa2 kaitan dgn UKM x?
hehe semuanya ada kemungkinan.
terima kasih atas doa itu,
semoga hari saudara juga hebat sentiasa ;)

Selamat hari bapa kepada kalian,
walaupun sahabat2 saya di atas ini belum bergelar bapa semuanya.
aku-H, tggu hari ibu thn2 akan dtg.
tak sabar nak ucapkan pada saudari. hehehe.

aku-H said...

waa...knp aku yg ditgu2!!
jgn2 ko yg trime ucapan dlu..
ucapan ari ibu dr insan manis ne..
hahaha..

Zamri Mohamad said...
This comment has been removed by the author.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...