Sejujurnya, saya sangat malas untuk bersiap ke Bangi pada awalnya. Sudah biasa duduk di rumah pada hujung minggu, membuatkan saya begitu liat menyiapkan diri. Pukul 12.30 tengah hari, saya melemparkan diri ke atas katil semula. Rasa malas yang maha hebat sedang melanda diri saya waktu itu. Kakak saya hanya melihat saya yang mula menenggiling di kala dia sedang bersiap-siap mahu ke rumah lama untuk proses membaik pulih bersama emak. Apabila zuhur sudah masuk baharu saya paksa diri saya untuk bangun. Bersiap pun nak tak nak saja.
Tetapi sesampai sahaja di PKNS Bangi, rasa seronok. Melihat adik-adik kecil yang bersemangat muncul di kawasan pentas, bersama keluarga masing-masing, mahu melihat sendiri penulis kegemaran mereka iaitu Kak Ain Maisarah dan Kak Farihah Iskandar. Ada yang datang seorang diri, berjalan kaki kerana rumahnya dekat dengan PKNS Bangi semata-mata mahu berjumpa Kak Ain Maisarah.
Saya terfikir.
Ketika saya seusia dia, saya tidak begitu. Hujung minggu saya, hanya duduk di rumah, bantu emak membuat kerja-kerja rumah yang tidak pernah habis. Buku cerita? Huh, sungguhlah saya tidak sapa walau dengan jelingan mata. Inikan pula ada penulis kegemaran. Saya tidak kenal penulis-penulis buku kanak-kanak, tetapi saya kenal sasterawan negara. Usman Awang, A. Samad Said, A. Samad Ismail, Arena Wati dan banyak lagi. Inilah buku-buku yang ada di rumah saya sejak saya kecil.
Saya tahu nama-nama itu pada usia sebegitu kerana kawasan rak buku rumah saya diletakkan berhadapan dengan bilik saya. Saya tidak sapa dengan jelingan, tetapi sudah itu sahaja yang menjadi penghias dinding. Susah juga sekiranya setiap kali keluar bilik perlu memalingkan muka ke arah lain. Namun tetap sama. Tidak sekali saya membelek buku-buku itu, hanya membaca nama-nama hebat itu pada spine sahaja.
Oleh kerana merasakan diri ini sungguh tidak patut kerana tidak berusaha untuk membelek, saya pernah juga melakukan beberapa percubaan memilih beberapa buku untuk dibaca. Saya panjat kerusi, memilih buku-buku yang saya rasa macam best. Antaranya ialah Salina tulisan A. Samad Said. Entah mengapa saya rasa buku itu macam best. Nama Salina itu kedengaran sedikit misteri bagi saya. Mula-mula jumpa yang kulit lembut. Kemudian jumpa pula yang kulit keras. Saya ambil yang kulit keras kerana tampak bergaya. Tetapi tidak pernah saya habis membaca buku itu. Tidak juga kini berusaha menghabiskannya. Tiada perancangan pun.
Bukanlah emak saya tidak pernah membelikan buku kanak-kanak ataupun novel remaja untuk saya dan adik beradik yang lain. Pernah, malah agak banyak juga. Tetapi tidak lama, kerana emak saya juga dilanda perasaan meluat melihat buku. Kerja dengan buku, di rumah dengan buku, dinding rumah penuh dengan buku dan dapur rumah penuh dengan plastik yang dapat kerana membeli buku. Lalu matilah koleksi buku baru di rumah kami, kecuali yang emak dapat percuma kerana itu hasil kerjanya dan juga hadiah syarikat. Abah sahaja yang paling rajin mengumpul, masih mengumpul pada hayatnya, dengan bacaan-bacaan berat dan penuh ilmu. Itu perancangan saya - mahu mencuba membelek bacaan-bacaannya untuk memahami dirinya. Namun masih belum terlaksana. Masih belum nampak bila.
Ada beberapa buku pemberian rakan-rakan saya sejak dari zaman universiti sehingga kini, masih belum saya habiskan. Bayangkan. Novel Ayat-ayat Cinta yang kawan sebilik saya paksa saya baca kerana saya dengan rajinnya menghadiahkan buku Janganlah Bersedih: Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia kepada dirinya pada hari lahirnya, hanya saya habiskan hampir setahun kemudian. Hari lahirnya pada bulan Disember 07, dan saya habis baca buku Ayat-ayat Cinta itu pada Disember 08. Malah bukan buku miliknya. Habis sahaja semester terakhir pada bulan Mei 08, saya pulangkan kembali buku itu kerana kami akan berpisah. Sukar berjumpa lagi. Maka saya pulangkan.
Pulang ke rumah, emak saya pun ada buku itu. Hadiah kawan katanya. Saya sambung baca buku milik emak pula. Sangatlah lembab bagi saya menghabiskan buku itu, walaupun ketika habis membacanya, saya rasa buku itu bagus sebenarnya. Malah meninggalkan saya dengan keinginan penuh semangat mencari jejaka seperti Fahri walaupun hati dengan yakin kata sukar. (Siapa saya untuk bersama jejaka berperwatakan Fahri sedangkan diri sendiri tidak betul? Tidak cermin diri sungguh. Huhuhu... namun ini semua adalah impak membaca novel Ayat-ayat Cinta. Jangan salahkan saya. Salahkan penulisnya yang membuat watak Fahri terlalu hebat dan baik.)
Setahun satu buku.
Namun saya berterima kasih kepada buku-buku yang rakan-rakan hadiahkan. Kerana buku-buku itu walaupun masih ada yang belum saya habis membacanya, sudah banyak memberikan saya ilham. Novel Ayat-ayat Cinta itu hujah saya ketika 2nd interview. Dan hasilnya saya dapat kerja yang saya lakukan sekarang. Apabila timbul soalan, "Apa buku terbaru yang kamu baca?" ketika saya di dalam bilik mesyuarat untuk diconfirmkan, saya sudah kaget. Saya nak saja jawab buku-buku yang saya murnikan, namun sudah tentulah tidak valid. Lalu saya teringat. Saya hujahkan buku hadiah dari seorang sahabat. Be Happy Without Being Perfect. Nasib baik saya pandai goreng sikit-sikit. Yang penting saya mampu keluarkan satu tajuk buku. Terima kasih semua.
Mengenang kembali adik-adik yang datang ke mana-mana aktiviti berkenaan buku - dan sangat seronok berjumpa penulis-penulis kegemaran sehingga ke tahap beli sahaja semua buku yang penulis itu tulis, entah best, entah tidak, kalau sudah nama itu yang tertera di cover, blurb di belakang sudah tidak diendahkan, malah tidak perlu tanya penjual buku itu tentang apa, janji beli dahulu, baca dan tahu kemudian - saya jadi malu sendiri. Saya kagum pada mereka, dan saya seronok melayan mereka yang begitu teruja kerana saya akan jadi sebahagian kenangan mereka ketika membeli buku itu walaupun mungkin tidak lama. Nanti mereka lupalah wajah ini, suara ini, kakak ini. Seronok melihat mereka yang seronok bergelumang dengan buku sudah memadai.
Semoga adik-adik ini menjadi syabab yang cemerlang. (Syabab = remaja - ewah dah pandai nak guna perkataan Arab sebegini! Terima kasih kepada IKIM.fm dan tetamu undangannya, hehe.) Juga sebab pesta buku di PKNS Bangi tadi ada nama Syabab Media sebagai penganjur bersama dan buku-buku yang dipromosikan tadi perlu dibayar di booth Galeri Buku Syabab. (Jadi apa kena mengenanya? Abaikan.)
Info: Pesta Buku di PKNS Bangi ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam, sampai 15 Julai.
Antara adik-adik yang mengambil bahagian. Maaf gambar gegar sebab tangan terketar-ketar menekan kamera. Masih gemuruh kerana disuruh jadi MC secara mengejut, sebelum diganti staf senior yang lain. Lega saya. Hahaha!
Dari sekecil anak hingga sebesar bapa memunculkan diri.
Inilah superstars yang dikerumuni para peminat. Hebat!
Dari sekecil anak hingga sebesar bapa memunculkan diri.
Inilah superstars yang dikerumuni para peminat. Hebat!
2 comments:
Walaupun saudari tidak berapa suka membaca, namun usaha murni saudari telah membantu dalam mencorak generasi muda yang lebih baik. Terima kasih.
Harap saudari sentiasa gembira dan bangga akan pekerjaan ini :)
Hahaha terima kasih.
Semoga kita semua bersyukur dengan pekerjaan yang kita lakukan.
Post a Comment