23 July 2009

Entri Pendek Sikit Daripada Zirafah

Assalamualaikum... sebenarnya banyak yang saya nak tulis. Tetapi tidak tahu mana pangkal, mana hujung. Jadi seperti biasa, saya akan mula dengan satu huruf, kemudian satu perkataan, kemudian satu ayat, kemudian satu karangan merepek. Sedia?

Err... macam mana ya nak mula? Okey, mula dengan....


* * *

Cerita kerja.


Macam biasa, minggu-minggu lalu merupakan minggu yang agak sibuk tetapi teratur. Lepas satu musibat, timbul satu musibat yang lain, namun diselesaikan dengan anggun. Well... ini pun masih ada yang perlukan bantuan kawan-kawan, especially bila nak buat PnL. Huhuhu... nak kira harga sebuah
buku pun payah. Dah berapa kali saya tengok staf senior buat, dan saya lancar juga memberi cadangan, namun bila kena buat sendiri, jenuh. Yang lain, saya rasa saya sudah pegang. Ewah! Alhamdulillah... buku yang saya handle, selesai satu per satu.

Ha... nampak?

Satu per satu.

Satu per satu. Bukan satu persatu. One by one. Not one byone. =)

Banyak sebenarnya kesalahan di muka bumi Malaysia ini yang saya perhatikan. Tolak kesalahan seperti membunuh dan berjudi, juga bukan kes Teo Beng Hock mahupun Manohara, saya fikirkan kesalahan bahasa. Saya rasa saya skema, poyo dan kau-rasa-kau-bagus-ke? punya orang apabila bercakap tentang bahasa. Saya tidaklah begitu
kau-rasa-kau-bagus-ke?, tetapi saya cuba menjadi bagus. Saya tidak pandai sains, mahupun matematik. Sangat teruk dalam subjek geografi dan sejarah. Maka saya cuba pandai bahasa. Pening juga kadang-kadang. Bab ejaan saja, bertukar-tukar. Dulu begini, sekarang sudah dieja begini pula.

Dalam banyak-banyak hal bahasa, saya paling tidak suka (benci sebenarnya) apabila melihat papan tanda yang salah penggunaan 'di'.

'Di' yang rapat dengan perkataan seterusnya ialah 'di' yang digabungkan dengan perbuatan, ataupun perkataan yang dapat dibayangkan sebagai perbuatan. Contohnya, digarap, diselang-selikan, dipijak dan diteruskan. 'Diteruskan', kita tak tahu bagaimana perbuatan 'diteruskan' itu, tetapi cuba bayangkan gaya seorang lelaki gentleman menunduk sedikit dengan tangan diarahkan ke hadapan apabila ada gadis mahu melalui laluan yang sama. Begitulah bayangan perbuatan bagi 'diteruskan' mengikut kamus sukasuki saya.

'Di' yang dijauhkan dengan perkataan seterusnya pula ialah 'di' yang menunjukkan tempat dan arah. Di mana? Di situ. Di sana? Di Langkawi? Di Wangsa Melawati. Kemudian di Batu Caves.

Senang bukan?

'Di' juga sering disalahgunakan oleh masyakat apabila 'di' digunakan sebagai penunjuk waktu dan hari. Bermula dengan lirik Allahyarham P. Ramlee. "Di hari raya, terkenang daku kepada si dia.' Sebenarnya bukan 'di hari raya', tetapi 'pada hari raya'. Bukan 'di pagi hari', tetapi 'pada pagi hari'. Bukan 'di minggu hadapan', tetapi 'pada minggu hadapan'. Oh ya, 'pada' pula digunakan....

Okey, saya stop. Sakit-sakit kepala sikit tak? Ada rasa nak skip baca kan? Ataupun rasa nak terus halakan mouse ke arah petak kecil di hujung kanan atas sana kan?

Fhewww... (susah nak tengok entri pendek di sini... nanti saya usahakan.)

Rasa nak tulis buku. Tetapi saya punya masa yang terhad. Masa saya sangat penuh dengan kerja dibayar gaji, makan masakan emak yang sangat sedap, menonton televisyen yang bil elektriknya dibayar oleh kakak-kakak (mungkin apabila mereka berkahwin kelak, bil-bil tersebut menjadi tanggungan saya... hmm... *considering something*), tidur apabila sudah mengantuk, melihat-lihat dunia siber, merepek di sini, memikirkan masa hadapan, memandu Cik Lisa dengan perjalanan yang lama dan jauh, nanti akan makin jauh, dan membelai Bubu.

Sibuknya hidup saya.... (~~',)

Hahaha sibuklah sangat. Bukan sibuk, hatta malas.

Belum sampai seru.


* * *

Cerita di rumah.

Kurang tidur apabila dilanda kepanasan tahap gila dan nyamuk menari-nari di telinga. Tutup tingkap supaya nyamuk tidak masuk, lalu menyebabkan saya dan kakak tidur bagai hidupan laut dalam. Basah, gelap dan sesak. Berpeluh-peluh, hoh tidak menarik langsung! Saya terbangun jam 2 pagi, berpusing-pusing di atas katil, berputus asa. Termenung memandang siling, lalu memakai earphone dan mendengar radio. Bangun buka tingkap, maka meriahlah kemasukan nyamuk bagai kemasukan pendatang asing. Cuma tak ada tongkang saja.

Apabila duduk di luar, anginnya nyaman pula. Maka sudah beberapa malam saya lepak di luar rumah bertemankan berbelas kucing. Tujuh wakil rumah saya, lima lagi wakil rumah jiran. Mereka sangat comel apabila berbaringan tanpa ragu beramai-ramai di atas jalan. Malam-malam begitu tidak banyak kereta lalu. Bertambah galaklah mereka bergelimpangan. Kadang-kadang saya lepak di luar pagar, kadang-kadang apabila rasa keselamatan agak terancam melihatkan beberapa ekor anjing menyalak-nyalak, saya membuaikan diri di dalam kawasan pagar. Buaian hadiah abah kepada emak. Emak begitu mahukan buaian, namun rumah lama kami agak sempit. Tetapi abah belikan juga, dan rumah kami tiba-tiba kelihatan seperti reban.

Sekarang rumah dah lain. Halaman pun besar sedikit. Buaian itu sudah kelihatan cantik di tempatnya. Kira bolehlah... malah jiran hadapan yang dulunya warga asing dan juga gemar melepak di luar tanpa baju dan rokok setia di jari, sekarang sudah berpindah. Membuatkan saya rasa buaian itu memang kena pada tempatnya. Terima kasih, abah. Kalau hati tidak gembira, saya akan keluar, berbuai-buai. Dulu warnanya biru, sekarang sudah diwarnakan merah hati. Cantik.

Beberapa malam saya melepak di luar melayan perasaan dan angin, emak pun join. Lepak sama. Apabila duduk di luar, tidak banyak yang dibualkan. Sekadar terhibur melihat gelagat-gelagat binatang berbulu, berkaki empat, ada misai dan berbunyi meow itu.

Tiba-tiba emak ajak teman dia round taman perumahan kami. Jam 10.30 malam, hari Selasa. Dua-dua esoknya perlu ke pejabat. Sepatutnya sudah mula hampir-hampirkan diri dengan katil. Saya mengantuk juga waktu itu, tetapi melihatkan kesungguhan emak, saya masuk dan siapkan diri. Pakai baju sejuk, senonoh-senonoh sedikit, kemudian turun kembali.

Mula melangkah dengan tangan diselukkan ke dalam poket. Sejuk! Jalanlah berdua dengan emak. Malam-malam, dengan bunyi seretan kaki, pasti ada jiran yang hairan dan rasa tidak selamat. Huhu... tetapi saya gagahi juga. Selesai satu round, emak ajak round jalan sana pula. Kemudian jalan belah sana. Jenguk-jenguk rumah jiran yang sedang renovate. Ada satu rumah itu, sangat cantik. Ada swimming pool lagi kau. Senyum saja melihat kemewahan sesetengah orang. Rezeki... biarlah... jangan emak tiba-tiba nak swimming pool juga sudahlah.

Memang letih dan sangat mengantuk berjalan-jalan malam itu, tetapi bagus juga. Layan kemahuan orang tua kita sekali sekala, apalah sangat. Cuba kalau ada kekasih hati. Diajak keliling dunia pun sanggup. Ini cuma keliling taman perumahan. Apalah sangat... dan aktiviti itu buat saya sedar, ya saya hidup dalam dunia saya sahaja. Siapa jiran saya, apa jiran saya buat, rumah mana yang pakai kereta mewah, rumah siapa yang pagarnya hanya deretan pasu bunga, tidak saya ambil kisah. Malam itu, saya kenal rumah siapa yang bagaimana.


* * *

Cerita hujung minggu.

Sabtu ke Bangi, kenduri kahwin Amad. Ya saya sudah cerita. Ahad yang saya tidak cerita. Sebab Ahad saya sibuk dengan aktiviti mengenal diri dan belajar perkara baru. Pagi-pagi, saya sudah bersemangat waja. Kerana baru hari Ahad. Selalunya kenduri kahwin sudah hari Ahad. Ini apabila kenduri kahwinnya hari Sabtu, saya rasa diberi satu hari lagi sebagai bonus. Psikologi je... hari minggunya masih tetap dua hari.

Saya belajar masak sambal ikan bilis. Hahaha!

Saya kan memang tak pandai memasak, makanya saya belajar sikit-sikit. Kelakar juga bila dikenang. Emak suruh kupas bawang putih, bawang besar. Basuh ikan bilis. Tumis cili sehingga keluar minyak. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Begini pun sudah rasa hidup saya sudah selesai. Rasa tidak ada apa lagi yang perlu saya achieve. Ini belum lagi tiba-tiba pandai buat nasi kerabu ataupun nasi dagang. Melampau gila perasaan.


* * *

Cerita perpisahan dan memisahkan.


Ogos yang bakal muncul ini bukanlah bulan yang ditunggu-tunggu. Bahangnya sudah terasa, dan kesedihan saban hari menjadi Ajinomoto bagi gula-gula perisa oren saya. Unit kami akan berlaku kehilangan dan kami sendiri akan menghilang dari lokasi sekarang. Sedih, tahu? Hari-hari yang ada ini, perlu digunakan sebaik mungkin. Selepas ini, akan berpisah buat jangka masa yang lama sebelum bertemu kembali. Puasa kelak tidak satu tempat. Tazkirah yang dinanti-nanti juga entah bila mahu mula semula. Bukanlah dipisahkan dengan lautan pun... ya saya tahu... cuma environmentnya pasti lain. Kena adapt dengan sesuatu yang baru. Menghakis semangat, masa dan minyak Cik Lisa saya.

Bertabahlah, Sna. Bak kata A.F.A, "Perubahan itu perlu...."

Dan saya rasa memang perlu. Perlu buat akaun Facebook yang baru dan buat blog baru. Facebook urusan kerja vs. Facebook peribadi. Blog urusan kerja vs. blog repekan hati. Nombor telefon sudah dipisahkan. Lega saya. Kini urusan kerja dan peribadi saya sudah dipisahkan dalam dunia telefon (walaupun masih belum terima handphone satu lagi), tetapi tidak bagi Facebook dan blog. Perlu dibuat sesuatu.

Isunya, kawan-kawan saya gila belaka. Saya pun. Facebook yang ada itu sangat teratur kerana rasa diperhati. Masih belum open untuk add semua staf, terutamanya Mrs. Chairman. Makanya saya akan buat clean up. (Update: Sudah ada akaun kerja! Yeah!)

Blog. Juga sama. Saya tekad, kelak saya akan war-warkan blog ini. Senang. Nak hebahkan apa-apa, saya akan letak di sini. Segala gambar, sudah boleh letak sesuka hati. Saya tetap akan update blog ini, dan kongsi apa yang patut. Ini kerana blog ini sudah semakin ramai yang tahu siapa pemiliknya. 


Memang betul kata A.F.A, "Perubahan itu perlu...."


* * *

Cerita sudah habis.

2 comments:

Vodlafin said...

tolong sampaikan salam saya kepada SIB, ya...

dia nampak gorgeous! yummy!(^_^)v

Sna La La said...

hehe nampaknya salam itu tidak dapat disampaikan kerana beliau sudah tidak wujud lagi di muka bumi ini.

tapi terima kasih kerana memuji beliau. saya pasti dia tenang di sana.

hehe.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...