Sebenarnya saya tidak mahu memperkatakan tentang ini, tetapi atas kerisauan saya yang maha dahsyat, saya tulis juga sebagai peringatan sesama kita. Agak panjang, tetapi mohon luangkan sedikit masa ya. Terima kasih.
Pagi tadi dalam jam 4 pagi, rumah kami hampir dimasuki pencuri.
Alhamdulillah, dia tidak memasuki rumah kami, tetapi dia berjaya memasuki kereta Viva emak saya, mencuri Touch N' Go dan beberapa helai duit kertas.
Kehadiran pencuri itu disedari oleh kakak sulung saya, kerana si jahanam itu (eh maaf ya, emo sikit, haha!) berani pula menghulurkan tangan dengan lampu suluh. Nasib baik kakak saya tersedar kerana lampu suluh pencuri itu terlanggar besi tingkap. Kakak saya memang selalu membuka sedikit tingkapnya bagi aliran udara, dan kerana kucing-kucing kami selalu masuk melalui tingkap selepas seharian bercanda di luar, demi mengelakkan kejadian dahulu berulang lagi.
Oleh kerana kakak saya tersedar dan terkejut, dia sergah pencuri itu, dan terus pencuri itu menarik tangannya. Tetapi tidak kedengaran bunyi lari lintang-pukang. Kami syak dia sekadar tunduk sebelum bersembunyi. Kakak saya yang cemas, keluar dan mengetuk bilik emak saya terjerit-jerit. Tetapi tiada apa-apa lagi yang berlaku selepas itu, hinggalah semasa emak saya mahu pergi kerja dan menekan alarm, keretanya berbunyi seolah-olah pintu tidak tutup rapat.
Ada beberapa perkara pelik dengan kejadian ini, namun saya tidak mengharapkannya. Sekadar mengaitkan dengan kejadian yang menimpa orang lain.
- Pencuri itu berjaya masuk ke laman rumah kami kerana pintu pagar tidak berkunci, memasuki kereta emak saya, tetapi dia tidak mencuri kereta. Sekadar Tonch N' Go dan duit. Malah radio juga tidak dicuri.
- Dia berani suluh ke dalam rumah kami dari luar.
- Tiada tanda-tanda dia kelam-kabut.
Selepas mengamati segala tindak-tanduknya, kami sebulat suara bersetuju yang pencuri lahanat itu (eh, maafkan sekali lagi kekasaran saya) adalah pencuri profesional. Membawa lampu suluh, tidak cemas walaupun disergah, dan memasuki kereta emak saya tanpa sebarang bunyi. Sangat licik dan berani! Dan kami rasa, dia baru sekadar ushar-ushar.
Saya sangat tidak percaya kalau emak saya tidak kunci kereta, hanya kerana dia parkir di dalam. Itu bukan cara kami, kerana kami bukan gated-community, pak guard pun macam tak ada faedah. Kau angkat tangan, kau beri senyuman mesra sikit, dah boleh masuk.
Lebih-lebih lagi selepas kejadian pahit ini.
Memang tidak mungkin langsung kami, lebih-lebih lagi emak saya, tidak kunci keretanya. Nampak sangat pencuri itu bijak membuka kereta tanpa perlu memecahkan tingkap ataupun mengumpil lubang kunci. Entahlah, yang ini masih menjadi misteri. Mungkin juga emak saya akhirnya terlupa kunci kereta. Mungkin.
Tetapi ya, kejadian sebegini berlaku hanya kerana kita lalai seketika. Dalam banyak-banyak hari kita berjaga-jaga, tiba-tiba hanya kerana sekali kelalaian, kita terpaksa menanggung akibatnya.
Macam hal ini, selalunya kami kunci pagar, tidak kira keluar pada pukul berapa. Tetapi hendak dijadikan cerita, adik bongsu saya keluar selepas maghrib, adik kedua saya pula baru balik dari kerja lebih kurang jam 9 malam, pagar itu tidak dikunci kerana menganggap adik bongsu saya belum balik. Emak saya terjaga jam 12 tengah malam, lihat masih belum berkunci, tetapi beranggapan yang sama, iaitu adik bongsu saya belum balik.
Hanya kerana tanggapan masing-masing, dan kelalaian, rumah kami dimasuki pencuri buat kali kedua, walaupun sekadar di halaman rumah. Isunya, pencuri itu sudah melepasi pagar. Itu langkah pertama berlakunya kecurian.
Maka di sini saya mahu kongsikan sedikit peringatan buat diri sendiri, dan kawan-kawan yang membaca.
Jangan lupa kunci pintu.
Pintu pagar, mungkin boleh dimaafkan sekiranya leceh asyik perlu dimangga, tetapi selepas jam 10 malam, mohon mangga. Pintu kayu yang ada tombol itu pula, mohon kunci 24 jam. Tambah selak sekiranya perlu. Jangan sangka jam 10 pagi ke, 3 petang ke, 8 malam ke, pencuri tidak boleh masuk. Adalah lebih parah apabila kita sedang syok-syok tonton TV sambil makan nasi, tiba-tiba masuk orang yang tak dikenali, sambil bawa pisau. Mahu tercekik nasi kau.
Jangan lupa tutup dan kunci tingkap.
Sekiranya untuk tujuan menganginkan bilik, hanya buka pada waktu siang, dan pastikan tingkap tidak boleh dimasuki manusia. Dan tolong jangan buka tingkap yang berhampiran pintu. Orang jahat hulur tangan, pulas tombol, dah boleh masuk. Tak ada maknanya, Nab.
Jangan gantung kunci berhampiran tingkap ataupun pintu.
Ini memang cari nahas. Tidak kira kunci apa sekalipun. Kunci rumah apatah lagi. Kunci kereta sila simpan di bilik masing-masing. Dulu kami gantung kunci betul-betul di sebelah sliding door, yang bersebelahan dengan pintu utama sebab lebih mudah bagi kami apabila mahu buka mangga pintu. Tetapi memang lebih mudahlah untuk pencuri masuk senang-lenang. Sekarang saya sudah alihkan tempat gantung kunci itu di tempat yang tidak dapat dicapai tangan. Harap pencuri tidak perlu gigih hulur kayu panjang beratus-ratus sentimeter. Memang cacat otak kalau dia terfikir begitu. Melendut kot kayu kau!
Jangan letak apa-apa barang berharga di dalam kereta.
Touch N' Go adalah salah satu daripadanya. Ini kad debit, maknanya ada sejumlah wang di dalamnya. Tak kisahlah kalau tinggal seringgit dua, tetapi kad itu sendiri ada harganya. Dulu RM15, sekarang saya tidak tahu berapa. Jangan kerana kad bernilai RM15 itu, pencuri berkeinginan untuk pecah kereta kita, seterusnya membolehkan dia curi benda lain, atau paling sakit, kereta kitalah kan.
Jangan jadikan keluar rumah lewat malam dan balik awal pagi sebagai habit.
Ini sudah banyak kali saya beritahu adik-adik saya, tetapi sekejap sahaja mereka dengar, kemudian mereka buat balik. Ini bahaya. Pada waktu begini, kebanyakan orang sedang tidur. Apa yang menyebabkan ini lebih bahaya, mereka boleh pukul leher kau masa kau tengah sibuk-sibuk nak kunci pintu, sampai kau pengsan. Peratusan jeritan mengaduh kau pada waktu ini didengari oleh orang lain adalah tipis. Kalaupun dia pukul tidak sampai pengsan, mungkin dia belasah pula, dan hingga ke satu tahap, nyawa melayang. Selepas kau dah 'diselesaikan', dia masuk dengan riang-ria cuti sekolah, curi barang-barang, dan mungkin nyawa ahli keluarga lain pula dalam bahaya. Astaghfirullah, harap dijauhkan.
Pasang lampu di luar, terang-seterang-terangnya.
Emak saya tidak suka idea ini, kerana bil elektrik melambung. Malah emak saya kata, ini lebih membuatkan orang tahu apa yang ada di dalam kereta, dan apa yang ada di halaman rumah. Tetapi bagi saya, apa sangatlah bil elektrik itu dibanding nyawa kita sendiri. Yang penting, kalau kita nampak ada orang memasuki halaman rumah kita, kita nampak macam mana wajahnya, dan bukan sekadar bayang-bayang. Malah sekiranya jiran-jiran kita ada yang belum tidur, dapat melihat sesiapa yang sedang berlegar di halaman rumah kita.
Tetapi sekiranya semua langkah berjaga-jaga sudah dilakukan dengan jayanya, tetapi berlaku juga, saya ada peringatan lain bagi menghadapi situasi itu.
Sentiasa kunci bilik masing-masing, dan jangan buka bilik walaupun diketuk bertalu-talu, hingga orang yang mengetuk itu bersuara.
Jadikan ini satu habit. Tidak kira waktu siang ataupun waktu malam. Ketukan pertama, kita biarkan. Ketukan kedua, kita tanya, "Siapa?". Kalau yang menyahut itu suara ahli keluarga kita, pastikan suara mereka tidak seperti ketakutan. Tanya lagi, "Mahu apa?". Kalau yang mengetuk itu terus mengetuk tanpa menyahut, jangan buka pintu bilik. JANGAN SEKALI-KALI! Terus sendal pintu dengan meja, almari atau apa-apa sahaja yang boleh. Kemudian hubungi kenalan terdekat, supaya datang memantau. Jiran sebelah rumah lebih afdhal. Hal ini, kalau kita mampu letak kanta untuk mengintai macam di bilik hotel itu, mengancam juga.
Apabila semua sudah sepakat untuk tidak buka pintu sekiranya yang mengetuk tidak menyahut, insya-Allah nyawa masing-masing akan selamat.
Kalau bilik kita ada pintu lain yang menghubungkan kita dengan bilik ahli keluarga lain, masuk ikut pintu itu dan kejutkan semuanya. Kumpul di dalam satu bilik, dan minta mereka sendal pintu bilik mereka dengan almari atau meja. Kemudian telefon polis.
Bilik saya boleh dihubungkan dengan bilik adik pertama saya melalui beranda, dan bilik adik saya itu boleh dihubungkan dengan bilik adik bongsu saya melalui bilik air. Sama halnya dengan bilik kakak dan emak saya. Mereka berkongsi bilik air. Tetapi yang silapnya pagi tadi, kakak saya yang cemas sudah keluar bilik dan mengetuk pintu emak saya. Ini sangat-sangat bahaya. Tiada siapa tahu berapa ramai yang datang, bimbang ada yang sudah di dalam rumah. Lebih baik ketuk pintu bilik air dan duduk di dalam satu bilik.
Pastikan ada senjata di dalam bilik kita.
Tidak kira senjata tajam mahupun tumpul, mohon letakkan berhampiran katil. Dulu ayah saya ada pedang dan parang, dia letak dicelah almari. Takut, kan? Seorang ayah memang protective. Selepas ayah saya meninggal, pedang itu adik saya ambil dan simpan di dalam almari. Cuma harap senjata seperti ini tidak disalahgunakan. Paling tidak, sediakan kayu seperti kayu besbol ataupun pistol angin, atau pisau daging sekiranya perlu. Garfu, harap tidak perlu susah-susah simpan. Pisau lebih baik. Jangan pisau sapu mentega ya. T_T
Tolonglah simpan nombor-nombor penting seperti polis, bomba, jiran sebelah dan sesiapa sahaja yang dapat datang ke rumah kita pada waktu kecemasan.
Jangan sekadar ada nombornya, pastikan juga telefon sentiasa ada kredit. Jangan asyik guna kredit untuk telefon buah hati, sayang oooooi.
Sekiranya telefon tiada berfaedah demi menyelamatkan diri, sendal pintu dengan almari dan mula menjerit di tingkap supaya jiran tetangga terdengar. JERIT KUAT-KUAT, KATA ADA PENCURI DAN MINTA TOLONG!
Jerit berulang kali hingga jiran menyalakan lampu dan keluar dari rumah.
Last but not least, NYAWA ADALAH LEBIH PENTING DARIPADA HARTA BENDA. Biarkan sahaja mereka ambil apa yang mereka mahu, kerana barang-barang itu boleh diganti balik.
* * *
Harap maaf ya kerana sudah membebel-bebel. Saya benar-benar bimbang dengan kejadian ini. Ini sudah kali kedua, dan kami masih bernasib baik kerana tiada kecurian bernilai besar dan tiada nyawa yang terancam. Dan saya rasa masih ramai yang menganggap, mereka selamat apabila berada di dalam rumah sendiri. Kita mungkin selamat di dalam, tetapi tidak bermaksud yang jahat-jahat itu tidak masuk.
Tolong jaga diri masing-masing ya. Dan tolong jangan anggap semua langkah keselamatan ini untuk menjaga diri sendiri sahaja. Fikirkan ahli keluarga yang lain, dan saling mengingati. Kalau rasa-rasa malas nak kunci pintu, fikir setiap kemungkinan yang akan berlaku atas kemalasan kita. Malas gosok gigi pun sudah mampu mengancam kehidupan orang lain, inikan pula malas kunci pintu.
Mohon sebarkan dan beritahu kawan-kawan lain, dan teruskan berjaga-jaga. Pada waktu kita lalailah semua ini akan berlaku. Takdir memang takdir, tetapi kita cubalah menjaga keselamatan diri kita.
Okey, terima kasih kerana sudi membaca. Sekiranya ada tip-tip lain yang mahu dikongsi, mohon tulis di ruangan komen untuk sama-sama kita saling mengingati. Ini langkah-langkah saya dalam berjaga-jaga dan bersedia menghadapi pelbagai kemungkin, mungkin ada salah di mana-mana, mungkin ada cara yang lebih baik.
Kepada yang berniat menjadi pencuri, tolonglah jangan curi nyawa sekali. Malah janganlah jadi orang jahat... banyak lagi kerja yang boleh kita lakukan demi mencari wang.
Semoga kita terus dilindungi Allah.
Segala kebaikan datangnya daripada Allah, dan segala kekhilafan adalah kelemahan saya sendiri.
Jumpa lagi! :)
6 comments:
Semoga Husna sekeluarga sentiasa dalam perlindungan Allah. Amin!
Jaga diri baik2 ya.
p.s.- mungkin boleh ajar bubu karate...atau suruh dia belajar mengaum...hehe ;p
1) "Kau angkat tangan, kau beri senyuman mesra sikit, dah boleh masuk"
Ayat yang ini sangat benar!
2) Apa kata bangun sembahyang malam? Banyak kelebihannya. Di samping itu dapat juga mendengar kalau kalau ada bunyi bunyian yang mencurigakan di luar rumah ketika itu.
3) Sebagai pedoman, setelah menyediakan segala sistem pertahanan di rumah untuk mengelakkan kecurian, doa dan tawakkal kepada Allah adalah tersangatlah penting.
K.A.A,
Amin... terima kasih ya atas doa.
Semoga kita semua dilindungi Allah sentiasa.
Ajar Bubu karate atau mengaum?
Berzamannnnnnn....
Hahaha!
En. Ismail Fitry,
1) Memang selalu macam ni kan!
Sangat tak patut!
2 dan 3) Terima kasih banyak-banyak En. Ismail. Ya, saya juga setuju!
Terima kasih atas perkongsian!
Salam Cik Puan,
Saya mohon buat sharing refreshment content ini boleh?
Tuan Ahmad Fitri,
Ya dipersilakan.
Semoga memberi manfaat.
Terima kasih banyak-banyak ya!
terima kasih..
Post a Comment