30 August 2016

Anak Cerminan Ibu Bapa

(#throwback status FB bertarikh 22 November 2015)

Sampai ke pagi ini rasa tidak sedap hati. Semalam waktu memarahi Afia, rupa-rupanya jiran kiri kanan ada di luar rumah.
.
Bimbang kasihnya seorang ibu, dibuang jauh hanya kerana amarahnya.
.
Marah kerana... amaran pertama supaya tidak keluar, diabaikan. "Afia jangan keluar tau." Berkali-kali cakap jangan keluar, akhirnya budak kecil itu tetap sarungkan kasut dan menuju ke arah aku.
.
Waktu aku sedang bertungkus-lumus keluarkan barang-barang dari kereta, dalam gelap malam, dalam hujan lebat dan lantai basah.
.
Amaran terakhir dengan suara amat kuat dilemparkan. Dia terus masuk sambil berulang kali cakap, "Sorry... Sorry... Okey."
.
Dengan marah masih membara, aku membalas, "Tak boleh asyik buat salah dan cakap sorry! Kalau dah jatuh nanti macam mana? Kenapa dah takmo dengar cakap ibu?? Ibu kata jangan keluar kan?"
.
Dan dia masih cakap "Sorry... Okey..." sambil bersandar pada dinding.
.
.
Selepas selesai kemas barang-barang, aku peluk dia. "Sorry ibu marah tadi. Luar tu licin. Nanti Afia jatuh."
.
Dia senyum dan kata, "Okey."
.
Walau dia belum faham sepenuhnya.
.
Dia hanya kata 'okey' kerana itu yang diajar kepadanya.
.
Memaafkan orang yang meminta maaf.
.
Bila dia kata 'sorry' dan kami susah mahu kata 'okey', dia sendiri pegang dan pandang kami sambil kata, "Okey?"
.
.
Pada usia ini, kesalahan anak-anak bukan dibuat sengaja demi merisaukan kita, bukan juga demi mencabar kesabaran ibu bapa.
.
Mereka sedang belajar.
.
Mereka sedang meniru.
.
Mereka sedang mempraktikkan apa yang baik dilakukan pada waktu ia baik dilakukan.
.
Hatta menolong ibunya tatkala lantai licin disimbahi air hujan. T_T
.
.
Mereka belum kenal risiko. Minda dan hatinya naif sekali. Tidak takut berbuat apa-apa selagi belum merasa sakitnya.
.
Tidak. Bukan merasa.
.
Mengingat sebetulnya.
.
Ingat rasa sakit.
.
Seperti sang dewasa, yang luar nampak indah senyuman, baik paras badan.
.
Tiap dewasa, jika dipandang pada mata pengalaman, kita semua berbirat dengan pelbagai kekecewaan, pelbagai ketakutan, pelbagai kerisauan.
.
Dan dengan itu, kita mahu lindungi sang anak daripada merasa yang sama.
.
Sebolehnya, tidak mahu dia terluka.
.
.
Well... 'siapa dijentik awal, berani awal'. Ini ayat aku sendiri. Jika mahu Afia berani dan kuat hadapi penjara duniawi, kenalah biarlah dia rasa sakit seawal ini.
.
Kerana dunia tidak sedamai kicauan burung setiap pagi.
.
Dan kembali mengingati, sang anak hanya pinjaman Ilahi.
.
Boleh 'pergi' walau dipagari menara tinggi.
.
Dan aku juga, tidak kekal di sini. Sementara punya umur, cuba baiki diri.
.
.
Husna Adnan,
Ibu yang banyak luka
belajar melihat anaknya sama luka
dan bersedia menyambutnya tiap kala.
.


(Gambar anak-anak. Semua panggil aku ibu. Ada antaranya, 4/5 hampir menjadi anak susuan aku. Walaupun tidak lengkap, dialah sering memeluk aku tiap kali bertemu. Sayang semuanya.)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...