30 August 2016

Bekerja Sendiri

(#throwback status FB bertarikh 8 Disember 2015)

Lagi beberapa minggu, masuk tahun keenam saya bekerja dari rumah. Suami pula akan masuk tahun kelima. Belum berjaya, belum hebat. Berkais-kais lagi.
.
Tetapi apabila beberapa kenalan minta tips sebab nak buat hal yang sama hingga ada yang sanggup datang ke rumah, kami jadi gerun.
.
Tak mudah tau kerja sendiri.
Tak semudah yang kita fikir.
Lebih-lebih lagi pada yang berkeluarga.
.
Walau tak ada bos, tak ada punch card, tak ada KPI yang ditetapkan oleh orang lain, kita sendiri kena tetapkan untuk diri kita. Kena ada matlamat.
.
Tapi itu bukan yang pertama.
.
Hal pertama yang kita kena siapkan sebelum bermula adalah ini;
.
Adakah sudah bersedia untuk benar-benar meletakkan kebergantungan kepada Sang Pemberi Rezeki?
.
Apabila kita berhajat sesuatu, minta pada Allah. Kita minta dipermudahkan, kita minta diberikan ilham, idea, pertolongan.
.
Nak dapat sale, minta pada Allah.
Nak dapat berkat, minta pada Allah.
Bukan semata-mata teknik dan strategi.
Walau usaha itu tetaplah perlu dikerahi.
.
Ada masa... dah minta banyak kali pun belum dapat. Usaha dah habis usaha dah, tapi masih tidak dapat.
.
Teringat. Lalu kita periksa ibadah dan tuntutan wajib. Kita kerapkan amalan sunat. Tambah nilai sedekah. Berdamai dengan diri, dan memaafkan orang lain. Muhasabah.
.
Walau akhirnya tetap permintaan tidak ditunaikan, rasa tenang itu mencukupi. Rasa cukup itu, mencukupi.
.
Lantas akhirnya...
.
Rezeki bekerja sendiri itu, bukan sekadar menyakini boleh dapat lebih lagi. Tetapi menikmati rasa tenang dan betapa dekatnya kita dengan Ilahi.
.
.
.
Husna Adnan,
... who? 😢
#dearhakak
#masihbertatih


STATUS SUSULAN


Sebenarnya agak risau dengan post semalam. Bimbang ada yang berkesimpulan, saya maksudkan bekerja dengan majikan itu jauh daripada Allah.
.
Jika ada, saya mohon maaf. Saya melihat ramai sahabat yang dekat dengan Allah pada waktu saya bermajikan dahulu, maka tiada yang tersirat sebegitu.
.
Kisah itu, kisah saya. Saya yang pernah sangat jauh daripada-Nya.
.
.
Terlalu sibuk kejar KPI, sibuk uruskan buku supaya terbit pada tarikh jangkaannya, maka saya tidur jam 3 pagi hampir setiap hari.
.
Angkut PC ofis balik rumah lengkap dengan keyboard dan mouse? Biasa.
.
Tiap pagi pula bangun dan set minda untuk riang-riang sajor menghadap hazab jammed di MRR2. Karok sepanjang jalan.
.
Siap menyanyi ala buat videoklip.
Dengan tangan diayun penuh perasaan.
Mimik muka selari dengan emosi lagu.
Tak pernah buat? Syok oh!
.
Sesekali tersedar apabila nampak kemalangan, okey insof pasang ceramah. Siapa tidak pernah cuba menjadi lebih baik, kan? Maka CD islamik wajib ada. Selain CD Rossa.
.
Sepanjang waktu pejabat, urus itu ini.
Buku, penulis, freelancer, ISBN. Printer pula call, cemas saiz cover tak sama saiz buku. Masak! Dah kena keluar pejabat menuju ke pencetak.
.
Sibuk.
Tapi best.
.
Punya best fokus kerja... kadang teringat belum solat HANYA pada waktu terlihat kawan sepejabat duduk di meja dengan bertelekung. Zohor tunggu asar kaedahnya, jimat wuduk.
.
Barulah nak berlari tak cukup tanah.
.
.
Itu saya. Lupa.
Lupa pada Yang Utama.
.
Tetapi tidak orang lain.
Saya belajar banyak daripada mereka.
Keindahan waktu bermajikan.
.
Teringat satu kisah yang masih berbekas.
.
2009. Pejabat PTS Wangsa Melawati. Jam 9 atau 10 pagi. Sesampai di pejabat, terus masuk surau untuk check tudung. Imej kena jaga walau tak drop dead gorgeous. 😒
.
Waktu di surau, melihat sahabat saya, Fatin Hasan sedang solat. Tekun melihat gerak-geri Fatin dari pantulan cermin.
.
Selesai dia solat, saya bertanya, "Utin solat apa? Utin terlepas subuh?"
.
Matilarnakkkkk rupa-rupanya dia solat dhuha. 😭😭😭
.
Waktu itu umur 25 tahun. Tak simpan dalam otak apa itu solat dhuha, apa fadilatnya. Tak mencari. Sebab?
.
Sebab tiap bulan tetap masuk gaji, tetap masuk duit. Tak sedar apa kaitan minta dimurahkan rezeki pada Allah, tatkala gaji tetap sama setiap bulan.
.
Hingga pernah satu tahap, apabila projek menjadi, capai KPI, terawang dengan komisen-komisen... "Aku tujukan kejayaan ini kepada usaha keras aku."
.
Lupa. Lupa izin siapa.
.
.
Makan gaji, berkuli, atau kerja sendiri,
Masing-masing ada perjuangan peribadi.
Asalkan tidak lupa hakiki.
Dunia ini hanya jambatan ke negara abadi.
.
.
.
Husna Adnan,
Dibesarkan oleh orang makan gaji.
Hari gaji maksudnya makan piza.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...