30 August 2016

certot: Razif Tebako


Letih menunggang motosikal dari Batu Pahat, Razif berhenti di RnR Ayer Keroh. Mahu berehat sebentar sebelum memulakan perjalanan ke Kuala Pilah.
.
Razif melihat jam tangan. "Baru 11 pagi." Terus dia menuju ke surau.
.
Selepas membasuh muka, dia duduk berhampiran kipas.
.
Sambil menikmati udara sejuk, Razif memerhati seorang tua di hadapannya.
.
Dari tadi lelaki tua itu berdiri di atas sejadah. Terdengar suara lembut si tua terkumat-kamit, sebelum mengangkat takbir.
.
Pandangan Razif dilempar ke luar tingkap.
.
Tetapi kemudian, Razif terdengar lelaki tua tadi kembali terkumat-kamit, sebelum sekali lagi mengangkat takbir.
.
Perbuatan yang sama berkali-kali. Baca niat, angkat takbir. Nampak lelaki tua itu menggeleng-geleng, sebelum membaca niat dan angkat takbir sekali lagi.
.
Razif terus memerhati dengan kening berkerut. 'Berapa banyak kali pakcik ni nak baca niat, nak angkat takbir.'
.
Namun akhirnya selesai dua rakaat solat lelaki tua itu.
.
Selesai berdoa, lelaki tua memandang Razif. Razif membalas pandangan dengan senyum kelat.
.
"Pakcik solat dhuha." Bicara lelaki tua.
.
Razif mengangguk dengan senyuman kelat masih berbaki.
.
"Tapi tiap kali niat dhuha, pakcik tersebut niat fardu. Bukan niat sunat."
.
Kening Razif terangkat tinggi. "Oh dhuha. Saya tahu ni. Solat murahkan rezeki." Terasa kembang dada Razif bagai mampu berkepak megah.
.
Lelaki tua tadi mengangguk.
.
"Pakcik solat dhuha bukan sekadar minta dimurahkan rezeki. Pakcik solat sebab dah banyak rezeki Allah beri kepada pakcik. Syukurnya pakcik, sampai rasa wajib untuk pakcik solat dhuha sebagaimana pakcik solat fardu."
.
Nyaman kipas terus hilang. Segera Razif bangun, dan menghulur salam kepada pakcik tersebut, sebelum mengambil wuduk.
.
'Tebako wa cakap lu,' ujar Razif dalam hati.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...